DPP Anjur Kursus Al Quran Kepada Non Muslim
Pemuda PAS Sedia Buka Kelas Bacaan dan Tafsir Al Quran kepada Pemimpin Non Muslim .
1. Perkembangan menarik berlaku kebelakangan ini sejak lahirnya Pakatan Rakyat  di bumi bertuah ini . Satu front yang meletakkan 3 buah parti berbeza  idealogi,  menggaris tindakan bersama dan bekerjasama dalam perkara yang  dipersetujui bersama untuk mendepani UMNO dan BN sekaligus membawa  perubahan kepada rakyat dalam negara ini setelah lebih 50 tahun mereka   berada dalam satu sistem yang korup dan tidak adil malah tidak selamat .
2. Melalui bahasa yang digunakan oleh PAS , kerjasama ini dinamakan Tahaaluf Siasi [  kerjasama politik ]. Biarpun ia berbeza idealogi namun kerjasama ini  tidak mengikat antara satu sama lain untuk memaksa dan menganut idealogi  yang dibawa oleh pihak lain . Tiap - tiap parti kekal dengan idealogi  masing - masing , namun di sana sekali lagi saya tegaskan bahawa  terdapat banyak perkara yang perlu kepada kerjasama antara satu sama  lain khasnya dalam perkara politik .
3. Keikhlasan tentunya akan menjadi sendi utama dalam kerjasama ini. Tanpa keikhlasan ia akan musnah dan lerai dalam masa yang tidak lama .[  Keikhlasan dengan maksud jujur dan tidak tikam belakang ] . Sebagai contoh , PAS sebagai sebuah Gerakan Islam atau Jamaah Islam  , tentunya idealogi perjuangan dan orientasi gerakannya adalah  berteraskan Islam dan syariatnya. Asas ini sedia diketahui oleh PKR dan  DAP sebelum mereka bersetuju untuk menjadi anggota kerjasama [ tahaaluf ]  atau sebelum mereka menerima PAS sebagai anggota kerjasama [ tahaaluf ]  ini .
4. Sebab itu saya berulang kali menyebut bahawa kita tidak perlu apologatik untuk bercakap mengenai Islam  dan tegas memperjuangan dasar - dasar syariat Islam di pentas terbuka  kerana semua orang tahu apakah dasar perjuangan Islam yang dibawa oleh  PAS  sejak awal penubuhannya . Justeru tidak perlulah disembunyikan  suara Islam yang diperjuangkan semata - mata kerana mahu menjaga undi  dari non muslim . Apalagi untuk berlaku tidak jujur dengan mengatakan  ini pakej Islam untuk bercakap dengan orang melayu muslim dan ini pula  pakej Islam untuk bercakap dengan kaum non muslim .
5.  Islam hanya satu . Sumbernya ialah wahyu Allah swt al Quranul karim .  Inilah yang telah termaktub dalam perlembagaan PAS sebagai sumber rujuk  PAS . Perjuangan PAS tidak boleh lari walau satu milimeter dari manhaj  al Quranul karim . Alhamdulillah , kini sumber dan perjuangan PAS telah  diakui benar oleh semua pihak termasuk non muslim .
6.  Tidak hairanlah mutaakhir ini kita mendengar beberapa orang pimpinan  parti kompenan Pakatan Rakyat seperti Yb Chang Ming Kai [ Adun Simpang  Pulai ] , Yb Chah Lee Kang [ Adun Teja ] , Yb Ngar Kor Meng [ Adun  Pantai Remis ] , Yb Ngeh Koo Ham [ Adun Sitiawan ] , Yb Gobala Krishnan [  MP Padang Serai ] dan terbaru  seoreang perwakilan PKR K. Subramaniam ,  sering memetik beberapa ayat - ayat suci al Quran sebagai sandaran  kenyataan dan ucapan mereka .
7. Saya percaya mereka yakin  Islam benar dan betul , justeru itu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan  Eng turut menjadikan Khalifah Omar Abdul Aziz sebagai idolanya.  Mereka  cuba memetik sumber dari al Quranul karim sebagai sandaran kenyataan  mereka sekalipun bacaan mereka tidak fasih , salah sebutan malah  sesekali salah menterjemah . Lantaran itu tidak sedikit kontraversi  tercetus terutama dari kalangan ummat Islam yang tidak biasa mendengar  dan melihat non muslim membaca al quran . Apa lagi dengan sebutan mereka  yang tidak fasih dan salah .
8. Tidak fasih dan salah  membaca al quran adalah berpunca dari ketiadaan ilmu yang mencukupi  untuk membaca dan menterjemah serta menafsirkan al Quran . Bukan sahaja  non muslim , saya kira orang Islam sendiri pun masih ramai yang jahil  tentang al Quran . Tidak tahu membaca al quran jauh sekali tahu  menafsirkannya . Malah lebih malang ada dari kalangan yang mengaku muslim tetapi menolak ajaran al quran lantas mendokong faham sekular .
9. Salah  membaca al Quran dan salah menterjemah atau mentafsirkannya adalah  merupakan kesalahan serius walau siapa yang melakukannya samaada non  muslim , lebih - lebih lagi muslim . Justeru itu , saya selaku  ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia menasihati sesiapa jua dari kalangan  pimpinan Pakatan Rakyat yang non muslim , yang mahu membacakan al Quran  dalam ucapannya atau pada bila - bila masa jua , termasuk juga yang  mengaku muslim tetapi masih belum pandai membaca al Quran dan  memahaminya dengan baik agar berhati - hati memetik perkataan atau ayat -  ayat suci tersebut . Kerana ayat - ayat suci tersebut bukan semurah harga akhbar Utusan Malaysia bah kan ia adalah kalam tuhan .  Ia adalah wahyu Allah tuhan yang mencipta manusia yang tidak boleh dipetik sesuka hati apatah lagi sekadar untuk kepentingan politik duniawi .
[  membaca dan menterjemah atau menafsirkan Ayat Al Quran mestilah tepat  sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt. Juga jangan sekali - kali  membaca al quran dan menterjemahkannya dengan maksud mahu mempersendakan  kesucian al quran . ]
10. Mengatasi perkara ini dan  mengelak dari tercetusnya kontraversi atau fitnah , saya mewakili Dewan  Pemuda PAS Malaysia bersedia menganjur kursus intensif pengajian membaca , menterjemah , menafsirkan dan memahami al Quran kepada non muslim terutama para pemimpin mereka agar mereka lebih memahami maksud kandungan al quranul karim . Kursus ini juga terbuka buat pemimpin - pemimpin UMNO dan BN yang ingin memahami al Quran dengan lebih jelas agar ajaran al Quran di sokong dan didokong bukan ditentang dan dihalang.
11. Saya juga telah meminta agar Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang menganjurkan Seminar Urus Tadbir Kerajaan  menurut perspektif Khalifah umar bin Abdul Aziz rha  . Insyaallah seminar tersebut akan memberi kefahaman serta pendedahan  yang lebih jelas kepada semua pihak bagaimana kerajaan Islam memimpin  dan mentadbir sekaligus ia wajar menjadi asas dan sandaran pemerintahan  hari ini dalam mendaulatkan syariat Allah swt sekaligus menegakkan  keadilan dan kesaksamaan dalam kehidupan ummat manusia .

3 comments:
semoga segala urusan dan gerak kerja dprmudhkn Allah..amin (^_^)
terbaiklah ustaz!
Great site. A lot of useful information here. I’m sending it to some friends!
Post a Comment