HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Friday, April 30, 2010

Tok Guru diugut Bunuh oleh Pemuda UMNO!

1. Insyaallah , Esok [sabtu / 1 Mei] jam 12.30 tengahari , Dewan Pemuda PAS Pusat akan membuat satu report polis [ di Balai Polis Jalan Chow Kit ] terhadap satu ugutan bunuh ke atas Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat al Mursyidul Am PAS oleh Mohd Safuan Hilmi yang mengaku sebagai anggota pemuda UMNO .

2. Dewan Pemuda PAS Pusat [DPPP] mengesa pihak Polis menyiasat ugutan bunuh tersebut yang disiarkan dalam laman sosial facebook .

3. Mohd Safuan Hilmi, 24 bekas pelajar UiTM yang mengaku sebagai ahli pemuda Umno membuat ugutan itu dengan berkata "aku sanggup dihukum gantung jika aku dapat bunuh Nik Aziz".

4. Sama ada beliau mempunyai niat untuk melakukan jenayah itu atau tidak pihak Polis perlu menyiasat dan jika benar ia adalah anggota pemuda Umno maka ia sangatlah dikesali kerana terdapat anggotanya yang samseng dan sanggup melakukan ugutan jenayah sebegini.

5. DPPP menyeru Pemuda PAS disemua negeri turut membuat laporan Polis bagi memastikan percubaan untuk melakukan jenayah ini dapat dihalang dan kita sesekali tidak akan membiarkan peristiwa lama berulang kembali.

6. Dalam lipatan sejarah :

a] Julai 1967, Ahli Parlimen PAS-Pasir Mas Hulu, YB Abdul Samad Gul Ahmad Mianji mati ditetak dengan kapak ketika selesai sahaja acara Maulid Nabi di bangunan Pas Kelantan di Kota Bharu, Kelantan. Beliau yang ketika itu Ketua Pemuda PAS diserang ketika sedang membuka pintu keretanya.

b] 8 Mac 1970, YB Cikgu Tahrim Ariffin wakil tunggal PAS dalam Dewan Undangan Negeri Perlis, meninggal dunia dalam satu peristiwa pembunuhan yang memeranjatkan di rumahnya di Perlis.

c] 18 Januari 1985, tragedi ngeri Lubuk Merbau dalam pilihanraya kecil Parlimen Padang Terap. Seramai lebih 200 ahli Umno bersenjata parang, botol pecah, batu-bata telah menyerang, menetak, memukul dan menghentak petugas PAS di Felda Lubuk Merbau. Tujuh daripada ahli PAS cedera parah, berpuluh cedera ringan dan seorang daripada mereka, saudara Osman Talib syahid.

7. Serangan berulang beberapa kali lagi semasa Pilihanraya kecil Ijok dan Bagan Pinang tahun lepas hingga menyebabkan petugas PAS tercedera.

8. Jenayah yang dilakukan ini bukan hanya melibatkan mangsa dari kalangan pemimpin dan ahli PAS sahaja. Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan Datuk Mohamad Taha Talib telah dibunuh oleh Datuk Mokhtar Hashim yang ketika itu memegang jawatan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 14 April 1982 ekoran pertelagahan mereka dalam merebut jawatan dalam mesyuarat Agung Bahagian Umno Tampin.

9. Dewan Pemuda PAS Pusat melihat Umno seperti mendatangkan ancaman kerana sentiasa melahirkan penjenayah dan samseng yang suka mengugut dan menindas rakyat hatta sanggup menggunakan kekerasan seperti membunuh .

10. Dewan Pemuda PAS Pusat mahu pemuda ini disiasat dan didakwa di Mahkamah atas tindakan yang menimbulkan ancaman keselamatan kepada pemimpin PAS malah sebagai ketua kerajaan Negeri Kelantan . Andai benar ia adalah anggota pemuda UMNO sebagaimana yang didakwa , Pemimpin Umno khasnya dituntut agar memohon maaf secara terbuka kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan seluruh anggota PAS serta rakyat yang kasihkan pemimpin bertaraf ulama' ini .


5 Keadilan Buat Allahyarham Aminurrasyid

1. Terlebih dahulu , marilah kita mengalungkan Ummul Kitab buat Allahyarham Adik Aminurrasyid Amzah [15 th] yang ditembak mati oleh seorang anggota Polis Di Raja Malaysia 26 April 2010 baru - baru ini .

2. Ianya adalah sebuah tragedi yang sungguh malang dan sekali lagi mengheret PDRM menghadapi krisis kredebiliti mereka yang semakin dipersoalkan .

3. Sebelum ini Shahril Azlan Ahmad Kamil [25 th] turut mengalami peristiwa ngeri apabila terkena tembakan rambang seorang anggota polis pada 16 April 2009 yang lalu .

4. Norizan Salleh [30 th] juga pernah menjadi mangsa tembakan tanpa sebab oleh seorang anggota polis sebanyak 5 kali di bahagian dada dan tangannya dalam satu peristiwa [ 30 Okt 2009 ] yang hampir meragut nyawanya dan membuatkan beliau parah dan terlantar 2 minggu dihospital .

5. Begitu juga pengalaman ngeri yang dihadapi oleh Suwandi Abdul Ghani [37 th ] dan Muhammad Azman Aziz [ 21 th ] yang ditembak polis dengan peluru hidup dalam jarak dekat oleh seorang anggota polis sewaktu menyuraikan satu perhimpunan aman di Batu Buruk pada 8 sept 2007 yang lalu .

6. Mohammad Tawfiq Noorzan [ 22 th ] juga mati ditembak oleh seorang anggota Polis yang berpengalaman di Guar Sanji Perlis [ 14 Nov 2009 ] . Bapanya memberitahu bahawa Mohammad Tawfiq tertiarap berlumuran darah setelah ditembak dadanya , dalam keadaan tangannya bergari .

7. Berlaku adil dalam menghadapi isu ini [ Aminurrasyid ] , saya mewakili Dewan Pemuda PAS Pusat menggesa supaya :

Pertama : Tubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Di Raja bagi menyiasat secara adil dan telus kes ini . Bukan tidak percaya kepada polis tetapi demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap keadilan dan ketelusan dalam siasatan . Jika polis siasat polis tentu sahaja ia tidak meyakinkan , apatah lagi peristiwa ini bukan sekali dan pertama kali tetapi semakin kerap berulang .

Kedua : Anggota polis yang terbabit mestilah ditahan reman agar ia tidak bebas berada di luar justeru rakyat turut rasa bimbang terhadap keselamatan saksi sekaligus mengelakkan kemungkinan saksi dipaksa atau dipengaruhi .

Ketiga : SUHAKAM mestilah memainkan peranan dan mengambil langkah berkesan agar kejadian serupa tidak berulang dan pesalahnya mestilah dihukum setimpal . Insyaallah pada hari ISNIN [ 3 Mei 2010 ] pada jam 2.30 petang Pemuda PAKATAN Rakyat akan pergi ke SUHAKAM bagi membawa suara pembelaan dan keadilan buat Allahyarham Aminurrasyid .

Keempat : Polis Di Raja Malaysia [ PDRM ] dan beberapa pihak media mestilah menarik balik tuduhan kononnya Adik Aminurrayid adalah penjenayah yang wajar ditembak mati justeru untuk menghalalkan tindakan mereka menembak tepat ke bahagian belakang kepala Allahyarham . Mereka juga mestilah memohon maaf kepada keluarga mangsa dan rakyat seluruhnya . Sungguhpun PDRM menghadapi cabaran sukar sewaktu menjalankan tugas namun kes seperti Aminurrasyid tidak boleh dipandang sebelah mata . Polis adalah Polis Di Raja Malaysia [PDRM] bukan Polis Raja Di Malaysia [ PRDM ]

Kelima : Perbetulkan tanggapan atau persepsi umum terhadap kewibawaan pihak Polis sebagai pasukan beruniform yang paling bertanggungjawab menjaga keselamatan negara dan rakyatnya. Janganlah sampai rakyat sendiri rasa tidak selamat dan aman terhadap pasukan beruniform ini . Campur tangan Yang diPertuan Agong mungkin wajar memandangkan pasukan polis adalah Polis Di Raja Malaysia .

8. Polis mestilah bersikap profesional menghadapi situasi ini dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan tidak perlu melatah sehingga menjatuhkan kredebiliti dirinya sendiri apabila bingkas mengugut rakyat bahawa beliau bersedia untuk mengarahkan pasukan polis agar tidak lagi berkawal jika itu yang dikehendaki oleh rakyat !

9. Saya rasa Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan agak emosi dan gagal memahami kehendak rakyat yang sebenarnya . Rakyat bukan persoalkan kawalan yang dibuat oleh pihak polis tetapi apa yang dipersoalkan ialah tindakan polis yang terburu - buru , tidak profesional dan tidak berhati - hati sewaktu memilih untuk bertindak dengan menggunakan senjata api .

10. Kesilapan dan kesalahan adalah kelemahan manusia . Isunya ialah jangan menyembunyikan kesilapan atau kesalahan apalagi angkuh mempertahankan kesalahan tersebut. Pesalah mestilah bersedia untuk menerima hukuman setimpal justeru itu adalah keadilan .

Friday, April 23, 2010

Pantau Gerakkerja DPP di Hulu Selangor

Bersama petugas Pakatan Rakyat dari PAS Pahang yang berkampung di Felda Seoharto . Sebahagiannya telah lebih 10 hari berada di Felda ini

Motivasi sambil memberi gambaran atau perkembangan terkini kepada petugas Pakatan Rakyat di Markaz Induk Dewan Pemuda PAS Pusat .

Mendapat maklum balas dari Penyelia Markaz Induk Dewan Pemuda PAS Pusat berkait gerakkerja dan perkembangan mutaakhir di UPU Gesir Ulu Bernam .

Penat bekerja dan bertugas , mereka diraikan seketika dengan minum ringan dan mem"bedah" hamper yang disempurnakan oleh Al Fadhil Ustaz Azman Syafawi Abd Rani Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat .

Mendengar sendiri taklimat khas dari Ketua Operasi Pilihanraya PAS di P 094 Sdr Jamuliddin Alias di bilik Gerakan sebelum mengadakan mesyuarat rutin sepanjang musim pilihanraya kecil ini .
Lawatan khas ke Bilik Penerangan Pilihanraya PAS di P 094 untuk meneliti perjalanan maklumat ke lokaliti selain mengambil tugas yang diamanahkan .

Bersama Ketua Angkatan Muda Keadilan sdr Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam satu siri ceramah sempena kempen P 094 Hulu Selangor .

Pentas bergerak [ lori ] antara medium yang digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat atau orang ramai . Berkesan dan mudah .

Peluang bertaaruf dan bermesra dengan petugas yang datang dari segenap ceruk negara tidak dilepaskan . Ukhuwwah tetap menjadi sendi utama kekuatan bekerja untuk perjuangan suci ini .

Melawat bilik gerakan sambil memberi tazkirah atau motivasi agar petugas memiliki kekuatan untuk berdepan dengan kuasa UMNO dan BN

Berkunjung ke pos Parti Keadilan Rakyat di UPU Gesir sambil mereka sedang membuat persiapan untuk menyambut kehadhiran Presiden PKR Datin Seri wan Azizah Wan Ismail .

Taklimat khas gerakkerja petugas di Markaz Induk Dewan Pemuda PAS Pusat . Kagum dengan kesungguhan mereka yang berjuang dan berkorban tanpa sebarang imbuhan material selain mengharapkan keredhaan Allah swt . Inilah rahsia kekuatan perjuangan ini .

Tuesday, April 20, 2010

Siasah Kita di Hulu Selangor

1. Semua anggota pemuda PAS [ ahli dan pimpinan ] telah dikerah turun bertugas dan berjuang di P094 Hulu Selangor bagi memenangkan calon Pakatan Rakyat [ Zaid Ibrahim ] mewakili Parti Keadilan Rakyat .

2. Atas semangat dan akhlak kita bertahaaluf siasi [ kerjasama politik ] , biarpun ia bukan calon dari parti kita sewajarnya kita bekerja dan membantu laksana ia dari parti kita sendiri . Justeru sekali - kali kita tidak boleh memberi ruang kepada Barisan Nasional mendekati jumlah 2/3 majoriti penguasaan mereka di parlimen .

3. Ia tidak hanya berpaksi kepada kepentingan politik lantaran politik hanya alat . Apa yang paling penting ialah perjuangan kita untuk menghalang UMNO dan BN berkuasa dan memperkukuhkan kuasa mereka di Parlimen.

4. Andai diberi peluang UMNO dan BN memperkukuhkan kuasa mereka di Parlimen kelak , ianya akan menjadikan mereka lebih angkuh dan sombong . Ia juga kelihatan seperti kita terus membenarkan segala penyelewengan , penyalahgunaan kuasa , rasuah dan 1001 mungkar Barisan Nasional yang sekian lama telah didedah serta dibongkar .

5. Turun ke medan pilihanraya atas tujuan menghalang kemaraan UMNO dan BN memperkukuhkan kuasa mereka di Parlimen adalah sebahagian dari perjuangan kita [ an nahyu a'nil mungkar ] dan ianya satu ibadah suci . Sungguhpun peribadi calon Pakatan Rakyat di P 094 teruk dipertikai oleh blogger - blogger yang pro Barisan Nasional , perlu disedari bahawa UMNOlah yang bertanggungjawab mengheret saudara Zaid Ibrahim terperangkap dalam situasi yang sedemikian seketika dulu .

6. Saya yakin dan percaya , andai Zaid Ibrahim sedari awal lagi tidak bersama dengan UMNO dan BN beliau tidak akan terjebak dalam situasi mungkar yang sedemikian rupa . Nyata UMNO dan BN tidak menawarkan penghayatan agama yang baik kepada anggota mereka . Kemungkaran itu hanya dilihat salah apabila individu terbabit bertindak keluar dari UMNO dan BN .

7. Kini Zaid Ibrahim bersama Pakatan Rakyat . Beliau mendekati Tok Guru dan sering menghadhiri pentas bersama dengan pimpinan PAS selain PKR dan DAP . Hasilnya , beliau kini dengan berani mengakui bahawa beliau telah memohon maaf [ ampun ] atau taubat kepada Allah swt . malah beliau juga tidak lagi mengulangi kesilapan lalu . Ertinya mudah - mudahan beliau telah menemui "jalan pulang" yang benar dan selamat .

8. Nabi saw pernah menyebut bahawa semua anak Adam berdosa dan sebaik - baik orang yang berdosa ialah orang yang bertaubat [ kesal dan tidak lagi mengulangi kesilapan lalu ] . Sementara pintu taubat belum ditutup , Allah swt senantiasa berbangga dengan hambaNya yang bertaubat . Justeru inilah calon pilihan terbaik berbanding UMNO dan BN yang jelas kelihatan terus mempertahankan kemungkaran yang mereka lakukan .

9. Seperkara yang utama perlu saya tegaskan di sini buat semua pemuda , setelah kita menyedari bahawa kita perlu menang dan kemenangan yang kita mahu capai bukan untuk memuaskan nafsu tamakkan pengaruh dan kuasa , sebaliknya kerana mahu melunaskan cita - cita suci menegakkan keadilan , kesaksamaan , kesejahteraan dan keharmonian serta memastikan syariat serta syiar Islam terpelihara dan mampu didaulatkan , maka :

  1. bertugas dan berjuanglah dengan ikhlas dan tulus .
  2. hubungkan diri dengan Allah seraya mengharap pertolonganNya
  3. jaga akhlak dan etika berkempen justeru ia satu dakwah
  4. tampilkan ketinggian budi dan ketulusan hati
  5. jauhkan diri dari provokasi dan kawal emosi
  6. fahami pilihanraya juga adalah sebuah perjuangan
  7. bezalah diri dari penampilan dan pendekatan musuh
  8. elakkan fitnah dan bercakap bohong
  9. bertindak benar dalam tindakan dan perkataan
  10. senantiasa bersedia dan mematuhi arahan pimpinan
10. Kemenangan adalah anugerah Allah swt. Pastikan hubungan kita dengan Allah swt erat dan rapat . Ianya adalah sebahagian pra syarat kemenangan yang wajib dipatuhi . Jangan pisahkan kerja - kerja pilihanraya dari tanggungjawab ubudiyyah kita kepada Allah swt. Jangan kerana sibuk dan leka berkempen sehingga terlupa waktu solat dan baca al mathurat . Manafaatkan semua ruang dan peluang untuk mendekati madu'u dan berikan maklumat yang benar lalu doakan mereka agar mereka kembali ke jalan yang benar jua . Elakkan diri daripada :

  • pergaduhan dan mencetus keganasan [ provokasi ]
  • caci maki dan sorak sorai yang tidak bermoral / akhlak
  • menabur fitnah dan melakukan perbuatan khianat
  • mengganggu ketenteraman awam dan meresahkan pengundi

Monday, April 19, 2010

Malaysia membelakangkan Mufti

1.Seketika negara kita dihebohkan oleh satu keputusan kabinet untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Antara Agama dimana ianya dipengerusikan bersama oleh Dr Koh Tsu Koon dan Hajjah Illani Ishaq .

2. Objektif yang diberikan sebagai alasan penubuhan Jawatankuasa ini ialah untuk menjadikannya ia sebagai satu wadah yang boleh menyelesaikan apa jua permasaalah dan kekeliruan yang timbul antara agama dalam negara ini .

3. Turut dijelaskan bahawa Jawatankuasa ini tiada komitmen peraturan atau undang - undang yang mengikat melainkan ia hanya satu jawatankuasa yang berupa forum atau dialog untuk mencari titik penyelesaian antara agama .

4. Baru - baru ini pula kita saksikan bagaimana mufti - mufti membantah tindakan kabinet terhadap penubuhan jawatankuasa tersebut . Akhirnya kerajaan bercadang untuk memberi penjelasan kepada mufti - mufti kenapa jawatankuasa ini perlu ditubuhkan . Apa yang menarik , jelas kita lihat sikap UMNO yang seringkali membelakangkan mufti dalam mengambil keputusan terutama dalam perkara yang melibatkan kepentingan agama Islam dan ummatnya .

5. Pihak mufti telah mencadangkan agar nama Jawatankuasa ini ditukar kepada suatu nama yang lain agar ia tidak memberi maksud yang mengelirukan ekoran sebelum ini telah wujud satu pertubuhan yang hampir sama dengan jawatankuasa antara agama sekalipun mempunyai matlamat yang berbeza iaitu IFC .

6. IFC sebelum ini dengan segala tindakan dan tuntutan mereka telah menimbulkan rasa tidak selesa dari kalangan ummat Islam terutama berkait dengan isu murtad dan menyamaratakan agama . Kini Jawatankuasa antara agama ditubuhkan oleh pihak kabinet dan sedikit sebanyak ia menimbulkan kekeliruan dikalangan ummat Islam .

7. Asasnya saya bersetuju dengan cadangan pihak mufti agar nama jawatankuasa tersebut ditukar kepada satu nama lain yang lebih jelas membawa matlamat dan objektif yang mahu dicapai sebalik penubuhan jawatankuasa tersebut . Mungkin Majlis Dialog Antara Agama atau Majlis Dialog Peradaban dan sebagainya lebih mengelak kekeliruan yang timbul .

8. Saya dan rakan - rakan pemuda PAS yang lain tidak bermasaalah dengan sebarang dialog dan perbincangan silang budaya , silang agama dan peradaban dalam usaha mengatasi segala salah faham dan kekeliruan timbul serta menamatkan segala prasangka yang hanya meletakkan kedudukan penganut pelbagai agama dalam negara ini dalam keadaan tegang dan bermusuh .

9. Malah agama Islam sendiri menggalakkan penganutnya berbincang , berdialog dan elakkan permusuhan bahkan apa yang diajar ialah membina kesejahteraan , keadilan dan kedamaian khasnya dalam masyarakat majmuk disamping kesucian agama Islam terus diperlihara dan tidak dipersenda .

10. Segala kekeliruan dan rasa sengketa antara satu sama lain hanya dapat diatasi apabila semua pihak mengambil langkah penyelesaian dengan :

  • tenang tanpa gopoh dalam tindakan ,
  • tindakan berasaskan kebenaran hujjah ,
  • saling hormat menghormati ,
  • jauhkan diri dari sebarang provokasi ,
  • berbincang dalam menyingkap kekeliruan .

Saturday, April 17, 2010

Kerajaan Malaysia Agent Israel


1. [ Bagaimana benih disemai begitulah hasilnya dituai . Jika perundingnya Israel maka pemikirannya Zionis .] Barangkali inilah perkataan yang boleh saya gunakan terhadap sikap dan tindakan terbaru yang diambil oleh kerajaan Malaysia terhadap dasar luarnya .

2. Segala-galanya bermula selepas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil APCO Worldwide sebagai konsultan merunding imej beliau [ serta negara dengan kos RM 77 juta sebagaimana yang didedahkan oleh Datuk Nazri Aziz ] dan tindakan itu semakin jelas dan ketara selepas Perdana menteri bertemu dengan Presiden Amerika Barrack Obama baru - baru ini .

3. Selain daripada Perdana Menteri kelihatan amat terdesak untuk mendapatkan sokongan antarabangsa khasnya Presiden Obama dalam pembentukan atau penstrukturan semula imej beliau yang tercalar teruk ekoran pelbagai dakwaan skandal dan penyalahgunaan kuasa yang membayangi kepimpinannya , Perdana Menteri Malaysia juga kini dilihat sebagai "terjerat" dalam mainan zionis antarabangsa.

4. Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib kini mendahului negara - negara Islam yang lain [ sementara negara - negara Islam tersebut masih berdialog dalam pendekatan mereka mencari penyelesaian isu nuklear Iran] apabila mengambil langkah sadis dan menyokong dasar Penjajah Amerika untuk terus mengenakan tekanan ekonomi dan politik ke atas negera berdaulat Iran .

5. Biarpun beribu kali Kerajaan Iran menegaskan bahawa teknologi nuklear yang dibangunkan di negara mereka adalah bertujuan untuk menghasilkan tenaga alternatif dan kegunaan teknologi bukan senjata pembunuh sebagaimana yang didakwa oleh Amerika , ternyata Iran terus diasak dan ditekan oleh Amerika dan sekutunya di peringkat antarabangsa . Pelbagai bentuk sekatan ekonomi dikenakan ke atas Iran sekaligus menafikan kedaulatan negara tersebut .

[ sedang Iran masih patuh kepada resolusi Majlis Keselamatan PBB dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa IAEA ]

6. Kini Malaysia mengambil pendirian yang berbeza dengan Turki , Rusia dan China [ yang menetang tindakan Amerika ke atas Iran termasuk Ahli majlis Keselamatan PBB yang lain seperti Brazil dan Lubnan dijangka mengambil sikap yang serupa ] apabila [ Malaysia ] secara terbuka menyokong dasar Amerika terhadap Iran .

7. Sebelum ini Malaysia sekurang - kurang mempunyai sikap yang tidak berpihak kepada Amerika sebagai sebuah negara kuasa besar yang menjadi sekutu rapat Israel itu ,terutama dalam isu melibatkan kepentingan negara Islam dan ummatnya di peringkat antarabangsa , seperti isu Palestine dan penindasan ke atas ummat Islam .

8. Segala sikap dan dasar itu berubah secara drastik sejurus Malaysia mendapat khidmat rundingan imej berbayar dari sebuah Syarikat Konsultan bertaraf antarabangsa [ APCO Worldwide ] , sebuah syarikat yang panel penasihatnya ialah

Doron Bergerbest-Elion [mantan Ketua Keselamatan Kerajaan Israel]
Shimon Shein [ mantan Duta Israel ke German ] dan
Itamar Rabinovich [ mantan Duta Israel ke Amerika Syarikat ] .

9. Benarlah apa yang saya tegaskan sebelum ini , apabila Malaysia mendapat nasihat dan khidmat runding imej dari syarikat konsultan yang mempunyai hubungan erat dan intim dengan Israel maka sudah tentu yang dikonsult itu akan dibentuk pemikiran , sikap dan imejnya agar menepati agenda zionis antarabangsa .

10. Hasilnya telah dituai kini apabila Malaysia turut menyekat bekalan minyak ke Iran selari dengan kehendak negara penjajah dunia Amerika Syarikat dan saya difahamkan bahawa Petronas telah mengesahkan penjualan gasolin ke Iran telah dihentikan pada 4 dan 5 march yang lalu .

Jangan Teruja Dengan Ramainya Pengikut

1. Sejarah Harakah Islam (Ikhwan Al-Muslimin) tidak berapa lama dahulu telah dapat melihat pertambahan bilangan anggota tanpa mutu yang telah menyukar dan melalaikan harakah.

2. Ini memaksa da’i hari ini untuk mengambil pengajaran. Perkembangan yang seimbang adalah pesanan untuk hari esok.

3. Kita katakanan, ia adalah pesanan untuk hari esok kerana kita dapati ramai orang telah melupakannya. Padahal itulah wasiat lama dari Imam Hassan al-Banna rahimahulLah yang ditegaskan sejak tahun 1938 di dalam Muktamar (Ikhwan) Ke-5. Ketika menjelaskan pelbagai jenis manusia ketika berdepan dengan kerja. Khayalan langsung tidak menyumbang apa-apa kerana ia hanyalah gambaran sahaja dalam memikul bebanan jihad.

4. Hassan al-Banna telah berkata:

“Jadi saya mahu berterus-terang betul-betul dengan kamu kerana tiada guna lagi saya berselindung.

- Medan bercakap tidak sama dengan medan berkhayal.

- Medan beramal tidak sama dengan medan bercakap.

- Medan berjihad tidak sama dengan medan beramal.

- Medan berjihad sebenar tidak sama dengan medan berjihad yang silap.


5. Ramai yang mudah berkhayal namun tidak semua apa yang terbayang di kepala mampu diungkapkan dengan kata-kata.


6. Ramai yang mampu bercakap namun hanya segelintir daripadanya yang mampu bertahan ketika beramal.


7. Ramai di kalangan segelintir ini yang mampu beramal namun hanya segelintir sahaja di kalangan mereka yang mampu memikul bebanan jihad yang sukar dan amal yang nekad.


8. Para mujahid yang kecil jumlahnya ini mungkin akan tersilap jalan dan tidak menepati sasaran jika tidak kerana mereka dipelihara oleh Allah. Kisah Talut menjelaskan apa yang saya katakan ini.


9. Oleh itu, siapkanlah diri kamu, pupuklah jiwa kamu dengan tarbiyah yang betul, latihan yang ketat dan ujilah diri kamu beramal dengan kerja-kerja yang keras, tidak disukai dan menyukarkan. Kekanglah dari segala kehendak dan adat kebiasaan yang biasa dilakukan oleh jiwa.” (243 Al-Muktamar Al-Khamis, al-Majmu’ah, m.s. 258)


10. Fiqh itu dipusakai oleh Syed Qutb rahimahulLah. Ini menyebabkan beliau gelisah menjelang hari kematiannya apabila melihat keadaan Sudan yang dilanda dengan demonstrasi umat Islam yang merebak dan meluas memenuhi jalan-jalan raya. Beliau pun memberi wasiat kepada para da’i dari Sudan yang melawatnya. Beliau berkata kepada mereka:


“Janganlah sambutan orang ramai itu menyibukkan kamu dari menyusun barisan dalaman dan menyediakan para pejuang yang mampu menghadapi segala kesukaran dan akan dapat bertahan lama.” (244 Syed Qutb, Kitab al-Syahid, m.s. 91)


11. Sebenarnya kepentingan pemantapan barisan dalaman bukan hanya kerana untuk memudahkan penyusunan dan memudahkan penggunaan tenaga secara selaras, tetapi, kewujudan “masyarakat tarbawi” ini akan mampu menjadi nursery kepada pentarbiahan ‘anak-anak baru’. Ia akan mampu memperlihatkan bentuk-bentuk Islam dan mendinding mereka dari melihat pemandangan jahiliyyah orang-orang jahil dan menghalang dari mendengar jahiliah dan sekaligus menjauhkan ‘anak-anak baru’ dari kesan dan pengaruh tarbiyyah yang bukan Islam.


Rujuk : Al-Muntalaq – Muhammad Ahmad Ar-Rasyid m.s.159


Al Fadhil Ustaz Hazmi Dibok

Monday, April 12, 2010

Meng"Kualiti"kan Anggota PAS

1. Anggota PAS terdiri dari ahli serta pemimpin dan ianya mempunyai peringkat atau marhalah yang berbeza dan pelbagai .

2. Sesuai sebagai anggota kepada sebuah Gerakan Islam , ahli dan pemimpinnya wajar memiliki :


  • aqidah perjuangan yang mantap,
  • fikrah Islamiyyah yang jelas
  • syakhsiyyah [ akhlak ] yang soleh .

Inilah tahap kualiti yang paling minima mesti dimiliki oleh seluruh anggota PAS .

3. Mencapai tahap dan nilai Kualiti anggota PAS yang diperlukan tidak semudah mencari kuantiti . Melalui projek Jom Sertai PAS , PAS For All dan Orang Muda Geng Kita , saya dapati kuantiti cukup mudah untuk dicapai . Setiap bulan pasti ada anggota baru yang akan diluluskan keanggotaan mereka sebagai ahli PAS , malah kini keanggotaan PAS telah mula mencecah sejuta .

4. Apa yang merisaukan saya mutaakhir ini ialah berkait tahap kualiti anggota berdepan dengan kuantiti yang semakin meningkat . Tentu sahaja kemasukan anggota baru adalah dari pelbagai latar belakang dan tidak juga dapat dinafikan betapa kita juga berdepan dengan kemasukan anggota yang mempunyai pelbagai tujuan [ objektif ] yang ingin mereka capai melalui penyertaan mereka dengan PAS .

5. Justeru itu Gerakan Islam membahaskan persoalan intima' [ penggabungan atau penglibatan dan penyertaan ] sebagaimana yang telah dikupas panjang lebar oleh al marhum Ustaz Said Hawwa di dalam kitabnya Jundullah . Intima' yang diterima dan layak untuk sebuah Gerakan Islam seperti PAS ialah intima' al Aqidi iaitu penyertaan berasaskan aqidah perjuangan.

6. Pun begitu sebagaimana yang telah saya katakan tadi bahawa PAS sebagai sebuah pertubuhan yang terbuka kini menerima pelbagai latar belakang penyertaan anggota sekalipun tidaklah berasaskan aqidah . Kemungkinan ..............

Ada yang menyertai PAS kerana terlalu marah dan bencikan UMNO dan BN .
Ada yang menyertai PAS kerana melihat PAS sudah mulai kuat dan menang .
Ada yang menyertai PAS kerana mahu menonjolkan diri sebagai pejuang yang hebat.
Ada yang menyertai PAS kerana nak jadi calon pilihanraya .
Ada yang menyertai PAS kerana kecenderungan hatinya yang minat kepada PAS
Ada yang menyertai PAS tanpa mengetahui apakah sebab dan kerananya .....

7. Maka kualiti yang kita harapkan bahkan kualiti yang Rasulullah saw tuntut ialah anggota yang menyertai Gerakan Perjuangan Islam ini hanya untuk meninggikan kalimah Allah swt sehingga ia mengatasi ideologi yang dicipta oleh manusia . Samaada menang untuk mendaulatkan syariat dan syiar agama Allah swt ataupun mati sebagai syuhada' yang telah mempertaruhkan segala kepentingan diri , darah dan nyawanya untuk Islam .

8. Kita menerima dan mendekati semua orang sesuai dengan slogan kita PAS For All , namun setelah mereka menyertai PAS , kita bertanggungjawab untuk memastikan setiap anggota PAS [ baru atau lama ] menjadi anggota yang berkualiti menepati piawaian sebuah Gerakan Islam dimana anggotanya ialah bertaraf Ansoorullah [ pejuang agama Allah ] . Justeru itu , proses memberi kefahaman , pentarbiyyahan dan pengkaderan menjadi tugas asas dan paling utama bagi PAS di sepanjang perjuangannya .

9. Lajnah Tarbiyyah , Lajnah Pemerkasaan Parti , Akademi Kepimpinan Pemuda dan seluruh lajnah serta jabatan yang wujud dalam PAS sewajarnya sibuk mengatur aktiviti masing - masing guna menepati objektif perjuangan suci ini serta melahirkan anggota yang berkualiti . Melahirkan anggota yang berkualiti tinggi adalah keutamaan kita berbanding meningkatkan rating kuantiti tanpa menafikan bahawa kita juga perlukan keanggotaan yang ramai .

10. Satu mekanisme yang boleh saya cadangkan di sini untuk memastikan usaha melahirkan anggota yang berkualiti dalam sistem keahlian terbuka ini bermula dengan mengemaskini sistem penyerahan sijil keanggotaan setelah ianya diluluskan oleh parti .

11. Sijil itu hendaklah dihantar kepada PAS kawasan dimana ia berdaftar dan pihak PAS kawasan pula hendaklah menganjurkan satu kursus induksi untuk menyerahkan sijil keanggotaan tersebut kepada yang berkenaan bersama stater kit yang mengandungi perlembagaan parti dan kertas - kertas dasar yang menjelaskan prisip perjuangan Islam yang didokong oleh PAS .

12. Kursus induksi tersebut pula bertujuan memahamkan anggota baru mengenai PAS dan risalah perjuangannya . Kursus seperti ini perlu ada lanjutan dan kesinambungannya walaupun anggota itu telah bergelar ahli lama mahupun pimpinan . Nokhtah inilah sewajarnya menjadi titik bermula tugas besar lajnah Tarbiyyah dan lainnya .

13. Kebimbangan saya berasaskan realiti masakini dan belum terlambat untuk kita semua lakukan sesuatu yang positif dan berkesan di semua peringkat di mana kita berada . Kita semua pastinya tidak mahu anggota PAS [ ahli dan pimpinannya ] rendah wibawa , hilang thiqah [ kepercayaan ] korupsi dan tidak ada beza akhlaknya dengan musuh - musuh Allah swt.

14. Sebagaimana kita tidak mahu ada ......

  • anggota bergelar pimpinan mendedahkan rahsia parti ,
  • ahli yang hilang taat serta thiqahnya pada jamaah dan pimpinan ,
  • wartawan lidah rasmi parti menghina pimpinan jamaah sendiri ,
  • ruang untuk musuh akses maklumat parti dari dalam ,
  • persaudaraan [ ukhuwwah ] antara kita retak dan belah ,
  • pimpinan yang mengabaikan tanggungjawab / amanah parti dan ummah,

lantaran itu semua tidak melambangkan kualiti Ansoorullah yang diinginkan .

15. Perlu dilihat juga kepada kesediaan anggota parti [ ahli atau pimpinan ] untuk merelakan diri mereka ditarbiyyah oleh PAS ke arah membina prestasi anggota yang baik dan berkualiti . Selayaknya keadaan diri mereka selepas menganggotai PAS menjadi jauh lebih baik dari sebelumnya .


Report Polis dan Demontrasi Aman

Membantah APCO Worldwide dan hubungannya dengan Kerajaan Malaysia pimpinan UMNO dan Barisan nasional yang meletakkan keselamatan serta kedaulatan negara terancam .

Tindakan semasa :

1. Laporan Polis akan dibuat oleh Pemuda Pakatan Rakyat di setiap Ibu Pejabat Kontijen Polis negeri - negeri seluruh negara pada hari Rabu [14 April 2010]

2. Himpunan Aman membantah APCO di Malaysia akan dipimpin oleh Pemuda Pakatan Rakyat sejurus selesai solat Jumaat [ 16 April 2010 ] di Masjid Negeri masing - masing di seluruh negara .

Semoga negara kita selamat dari anasir - anasir zionis yang merosakkan negara serta kedaulatannya dan mengancam pula keselamatan rakyat .

Selamat berjuang . Allahu Akbar !

Monday, April 5, 2010

BN Membuli Rakyat Hulu Selangor

1. Pilihanraya kecil di negara kita terus menjadi pentas UMNO dan BN menabur gula - gula guna memperbodoh dan mempersendakan rakyat sendiri . Saya tidak tahu bagaimana rakyat atau masyarakat yang bertamaddun hari ini boleh menerima tindakan UMNO dan BN .

2. Kesempatan saya menonton berita Awani semalam cukup memualkan apabila Perdana Menteri secara spontan dengan senyuman melirik sinis ke arah audien yang terdiri dari masyarakat India di Hulu Selangor menghamburkan gula - gula pilihanrayanya .

3. " Hendak apa lagi ? taman permainan , balairaya , kuil ? kuil dah ada ke belum ? hah .. kuil dan banyak lagi ... tapi saya mahu tengok kamu semua sokong BN ......" begitulah lebih kurang bahasa Perdana Menteri dalam pertemuan beliau dengan masyarakat India di Hulu Selangor , disambut dengan tawa gaya mempersenda oleh beberapa menteri yang turut hadhir .

3. Saya sendiri rasa cukup terhina dengan cara Perdana Menteri berkempen . Seolah - olah masyarakat India di Hulu Selangor berada dalam kebuluran .

4. Tidaklah salah untuk memberi .... tetapi jika dilihat kepada cara UMNO dan BN memberi .... kepada masyarakat India di Hulu Selangor jelas kelihatan seperti mempersenda dan memperbodohkan kaum itu . Tidak kurang juga Timbalan Perdana Menteri yang menjanjikan :

  • 4 buah sekolah baru bagi Parlimen Hulu Selangor
  • RM 2 juta bagi mengatasi masaalah banjir di kg Sentosa batang Kali
  • Meluluskan RM 100 kepada pihak Masjid al Sajdin di Kampung itu .
5. Persoalannya kenapa projek jutaan ringgit ini sering dijanjikan pada musim pilihanraya . Saya yakin jika tiada pilihanraya maka tiada menteri yang tergamak menabur janji seperti itu . Sudahlah janji - janji lama seperti di Bagan Pinang dan Manek Urai belum terlangsai , kini UMNO dan BN kembali semula dengan janji yang cukup manis . Alangkah diselesaikan dahulu jambatan yang mahu dibina di Manek Urai dan Bandar Tentera yang penuh dengan kemudahan WiFi di Bagan Pinang .

6. Parlimen Hulu Selangor menyaksikan 3 DUN di bawahnya adalah dimenangi oleh UMNO dan BN dalam pilihanraya umum 2008 yang lalu . Kenapa UMNO dan BN tidak melaksanakan sahaja segala projek dan peruntukan yang dijanjikan itu sebelum ini ?

7. Tawaran Projek perumahan RM 32 juta oleh Perdana Menteri jika masyarakat peneroka Felda mengundi UMNO dan BN juga sebahagian daripada manipulasi pilihanraya untuk terus memerangkap rakyat agar kekal menjadi bodoh dan terpedaya dengan segala politik murahan mereka . Alangkah manis jika Perdana Menteri memberi perhatian kepada peneroka Felda di negeri kelahiran beliau sendiri yang masih memerlukan banyak peruntukan untuk menaik taraf kehidupan peneroka Felda dan generasi kedua Felda setelah mereka membanting tulang separuh usia mereka untuk Felda .

8. Saya sekali lagi yakin rakyat tidak mudah terpesona dan terpedaya terutama peneroka Felda yang kini rata - ratanya telah mula menghidu penyelewengan Felda juga kerajaan UMNO dan BN ke atas peneroka . Tidak ada sebab peneroka Felda seperti Felda Soeharto merelakan diri mereka diperangkap oleh UMNO dan BN dengan projek pembinaan rumah 250 unit sebagaimana yang diumumkan kerana ia hanyalah rumah untuk dijual [ bukan diberi percuma ] kepada peneroka .

Rumah kos rendah dengan harga RM 42,000 [harga pokok tidak termasuk kadar faedah]
Rumah kos sederhana dengan harga RM 75,000 [juga tidak termasuk kadar faedah]

Jika dihitung nilai dengan kiraan tempoh pinjaman selama 20 hingga 30 tahun , harganya adalah dibaca pada nilaian RM 100 - 120 ribu .

9. Lebih baik dan bermaruah jika kerajaan UMNO dan BN memulangkan semula hak 25000 peneroka Felda yang dinafikan sebelum ini berhubung dengan wang simpanan untuk Tanam Semula sebanyak RM 425 juta yang telahpun diarah bayar oleh mahkamah. Kerajaan UMNO dan BN tidak perlulah berlakon untuk acara pecah tanah membina 250 unit perumahan baru di Felda Soeharto .

10. Isu peruntukan rumah kediaman buat generasi kedua peneroka Felda masih belum selesai , juga isu tanah lebihan di kawasan Felda belum dapat ditangani dengan baik malah banyak lagi projek perumahan dan setinggan yang belum diselesaikan secara bijak oleh Kerajaan UMNO dan BN , tiba - tiba hari ini mereka menabur janji baru bernilai jutaan ringgit kepada pengundi Hulu Selangor .... saya harap pengundi nilailah sejujurnya sikap dan sandiwara UMNO dan BN lalu sedarkan mereka dengan menyentap segala kuasa yang menjadi punca mereka angkuh dan sombong lalu membuli rakyat marhaen .

Sunday, April 4, 2010

Rintihan Bumi Kenyalang

Sarawak Terpinggir
Dari Arus Pembangunan
Material dan Spiritual

1. Lawatan saya ke Bumi Kenyalang dalam misi memperkasa gerakan Pemuda PAS dan Pemuda Pakatan Rakyat di sana sungguh bermakna dan benar - benar menyentuh sanubari seorang pejuang .

2. Semangat anak - anak muda yang ingin melihat perubahan besar berlaku di negeri Sarawak cukup meyakinkan bahawa Sarawak adalah bumi yang subur buat perjuangan Islam yang kita dokong ini .

3. Sarawak sebagai sebuah negeri yang mempunyai banyak hasil bumi seperti minyak , gas , balak dan lainnya adalah sebuah negeri yang berpotensi besar untuk menjadi negeri yang paling maju di Malaysia dan rakyatnya pula adalah rakyat yang paling selesa dan bahagia . Bertolak dari kemajuan dan keselesaan itu pula , Sarawak sewajarnya mampu membekalkan ilmu dan pendidikan yang baik malah bertaraf dunia kepada seluruh rakyatnya .

4. Namun malang sejuta kali malang apabila rakyat Sarawak disenaraikan antara rakyat yang paling miskin dalam negara kita . Inilah musibah besar yang terpaksa dihadapi oleh rakyat negara ini ekoran penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana negara yang sangat ketara . Lihat sahaja negeri Terengganu yang turut mendapat jolokan sebagai Kuwait Malaysia seketika dulu lantaran minyak yang melimpah dikurniakan Allah swt , tetapi dukanya Rakyat Terengganu juga antara rakyat termiskin dalam negara ini .

5. Sarawak yang hanya mempunyai 2.4 juta penduduk berbanding pendapatan kerajaan negeri Sarawak yang sedemikian banyak , selayaknya sejak 47 tahun negeri ini merdeka tiada lagi rakyat yang hidup miskin dan berada di bawah paras kemiskinan yang bisa meluluh sanubari insaniah .

6. Lebih malang 37% ummat Islam [ 888.000 orang ] Sarawak tidak mendapat pendidikan agama yang sewajarnya sebagai seorang muslim terutama kepada muslim yang berada di kawasan pendalaman . Mereka terus terhimpit atau terperangkap dalam kemiskinan dan kejahilan yang parah . Jurang perbedaan tahap upaya ekonomi keluarga juga sangat ketara antara golongan kaya dan miskin . Pemandangan di Sarawak jelas dapat dilihat secara mata kasar bagaimana jurang perbedaan kaya miskin itu selebar jarak "langit dan bumi" .

7. Saya tidak nafi berlakunya perkembangan dakwah dan peningkatan ummat Islam di Sarawak tetapi perlu diingatkan bahawa Islam tidak sekadar mengislamkan insan kemudian meninggalkan mereka kekal dalam keadaan jahil dan terus leka dibawa arus maksiat serta mungkar tanpa ada usaha yang gigih dan berkesan untuk membimbing atau mendidik mereka agar menjadi insan yang soleh dan bertaqwa .

8. Sarawak telah memiliki institusi Islam yang baik seperti surau [ 845 buah ] dan masjid [ 352 buah ] . Malah Sarawak juga turut mempunyai Ngos Islam seperti Harakah Islamiah [HIKMAH] , PERKIM , PERKIS , JIM , ABIM , AMAL , PERKEPIS , SEMISA dan 74 buah Lembaga Amanah Khairat di seluruh negeri Sarawak . Segala potensi ini sewajarnya tidak hanya diberi peruntukkan material berupa dana dan bangunan semata - mata tetapi juga peruntukkan kuasa dan bidang tugas yang lebih luas dan besar agar mereka benar - benar berfungsi tanpa kekangan yang membantutkan usaha murni mereka .

9. Peningkatan 78 buah perkampungan baru Islam si seluruh negeri Sarawak juga mestilah diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan negeri agar kebajikan dan pendidikan mereka dijamin sebaik mungkin . Bukan sahaja kaum dan bangsa yang menganut ajaran Islam tetapi jua kepada seluruh rakyat negeri Sarawak selayaknya diberikan tumpuan oleh kerajaan agar taraf hidup mereka ditingkatkan sekaligus memberi harapan dan sinar baru buat masa depan mereka.

10. Setakat ini , apa yang berlaku di Sarawak ialah pengaruh dan penguasaan ekonomi negeri hanya dibolot oleh golongan pemimpin dan kroni parti pemerintah . Segala projek dari serendah nilai seperti projek angkut sampah hinggalah kepada projek mewah setinggi nilai dikaut dan dikuasai oleh individu dan golongan [ elit ] tertentu sahaja .

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive