HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Monday, February 28, 2011

HIMPUNAN 500K BERSIH 2 : Kenapa Wajar ?

1. Kita telah memberikan tempoh sehingga 1 Mei 2011 untuk Kerajaan UMNO dan BN segera melakukan satu transformasi yang meyakinkan rakyat dalam  pengurusan dan pengendalian sistem demokrasi negara agar adil , telus dan baik. Rakyat telah menanti dalam satu tempoh yang terlalu lama untuk kerajaan melakukan perubahan yang dimaksudkan sejak tuntutan mereka melalui rally BERSIH 1 tempoh lalu.

2. Rakyat didahulukan dan Pencapaian diutamakan selayaknya menjadi slogan yang baik untuk kerajaan bertindak drastik untuk memulihkan persekitaran dan meratakan padang demokrasi negara agar semua parti yang menyertai pilihanraya dapat bertanding dan bersaing di atas padang yang sama rata . Sebagaimana tindakan drastik yang diambil oleh Pengerusi PTPTN yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Krau melanjutkan tempoh bayar peminjam PTPTN dari 6 bulan kepada 30 bulan dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas Dewan Pemuda PAS Malaysia mengumumkan Perhimpunan Peminjam PTPTN dan MARA akan diadakan di Hotel Sri Malaysia Temerloh pada 26 feb 2011 baru - baru ini.

3. Kerajaan tidak mempunyai pilihan selain akur terhadap tuntutan rakyat dengan segera melakukan transformasi yang dimaksudkan. Tanpa tindakan bijak dan hikmah dari pihak kerajaan, saya yakin kebangkitan semula rakyat menuntut  keadilan proses demokrasi negara akan kembali meletus. Sehingga hari ini, bukan sahaja undi pos yang masih belum dimansuhkan dan kebebasan media juga masih parah, terlalu banyak pencabulan demokrasi terus berlaku dalam negara kita dan ianya meresahkan rakyat. Antaranya :

Amalan Pencabulan Demokrasi di Malaysia

4.       Pada 13 Disember 2010, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin telah menafikan hak Ketua Pembangkang yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mengemukakan bukti serta berhujah dalam Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengenai isu 1Malaysia dan APCO Worldwide.  Akhirnya beliau serta lima lagi ahli Parlimen pembangkang yang lain iaitu Ahli Parlimen Gombak, Ahli Parlimen Padang Serai, Ahli Parlimen Shah Alam, Ahli Parlimen Batu dan Ahli Parlimen Balik Pulau telah digantung daripada menghadiri sidang mesyuarat selama enam bulan.

5.       Akta Keselamatan Dalam Negeri masih dikekalkan meskipun pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia mendesak supaya kerajaan memansuhkan akta zalim tersebut. Tambahan pula akta drakonian ini bercanggah dengan Perkara 8, Perlembagaan Persekutuan dan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR 1948).  Akta Keselamatan Dalam Negeri menzalimi tahanan kerana tidak membenarkan tertuduh dibicarakan di mahkamah disamping menafikan hak untuk membela diri. Sesi siasatan dibuat dalam keadaan zalim dan meragukan.

6.       Pihak polis menggunakan kuasa dan kekerasan menangkap para peserta perhimpunan aman yang dianjurkan oleh parti politik Pakatan Rakyat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Antaranya ialah tangkapan ke atas kira-kira 46 orang peserta Perhimpunan Protes pada bulan Januari 2008, 438 orang peserta Himpunan Mansuh ISA pada bulan Ogos 2009, dan 70 orang dalam perhimpunan membantah kenaikan air di Selangor pada bulan Disember 2010.  Penangkapan ke atas peserta perhimpunan aman adalah bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

7.       Pihak polis mengganggu program-program yang dianjurkan oleh parti politik Pakatan Rakyat meskipun diadakan dalam premis persendirian dan permohonan permit telah dilakukan. Malah, tangkapan juga turut dibuat ke atas individu-individu yang hadir ke program berkenaan.  Antara kes yang pernah berlaku ialah,

a] pihak polis, anggota simpanan khas (FRU) dan dua trak meriam air telah menggempur program Sambutan Ulang Tahun Pakatan Rakyat pada 7 Mac 2010 di Kelab Sultan Sulaiman. Premis tersebut adalah milik persendirian milik Kerajaan Negeri Selangor.

b] Pihak polis juga telah mengganggu dan menangkap peserta Himpunan Warga FELCRA Kebangsaan di FELCRA Bandar Seberang Perak pada 1 Ogos 2010. Program tersebut telah diadakan di tempat tertutup dan di atas premis persendirian.

c] Selain itu, puluhan pihak polis dan anggota FRU telah menyerbu markaz dan pentas ceramah PAS di Rengit pada 31 Julai 2010. Mereka telah bertindak merampas pembesar suara, menghalau individu-individu malah menangkap seramai sembilan orang.

8.       Sistem dan amalan demokrasi pilihanraya kampus telah dicabul apabila pihak pentadbiran universiti memperkenalkan beberapa perkara baru yang tidak menjamin keadilan, ketelusan dan bersikap berat sebelah.  Antara peraturan tidak demokratik yang diperkenalkan di Universiti Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Putra Malaysia ialah; sistem pengundian elektronik (e-voting), tempoh berkempen yang singkat, pusat pengundian yang diletakkan di kolej kediaman bukan di fakulti dan semua calon dipaksa dan diwajibkan untuk menghadiri satu kursus yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP.

9.       Pihak Pendaftar Pertubuhan bercadang untuk menghadkan dan mengetatkan proses penubuhan parti politik pada bulan Februari 2011 adalah bercanggah dengan semangat demokrasi dan Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan.  

10.       Parti UMNO dan Barisan Nasional telah menggunakan pelbagai jentera kerajaan dalam beberapa siri pilihanraya kecil sebelum ini. Antaranya, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Kerajaan Persekutuan telah berkampung di Kampung Ladui dan Pos Hau ketika Pilihanraya Kecil DUN Galas. Perkara yang sama turut dilakukan oleh FELDA apabila badan berkanun tersebut menggunakan bajet sokongan serta jentera pentadbirannya untuk membantu Barisan Nasional dalam Pilihanraya Kecil DUN Tenang.

Demikian dari sebahagian pencabulan demokrasi dalam negara kita yang mewajarkan rakyat bangkit mendasak agar Kerajaan memulih dan meratakan padang demokrasi negara agar persaingan berlangsung secara adil, telus dan saksama.

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Post a Comment

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Follow by Email

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive