HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Wednesday, February 2, 2011

Jalan Untuk Negara Islam Senantiasa Ada

1. Cita - cita untuk mendaulatkan Syariat Islam di negara ini senantiasa mekar dan laluan untuk merealisasikannya semakin lebar walaupun terpaksa menempuh cabaran dan rintangan yang sukar. Al Marhum Ustaz Fadhil Mohd Noor [ mantan Presiden PAS ] pernah menegaskan di dalam ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS ke 39 [ 11 Jun 1993 halaman 7  ] yang bertemakan "Pertahan Syakhsiyyah Ummah" bahawa :

" Dasar dan pegangan kita [PAS] memperjuangkan Islam adalah tidak pernah berubah. Kita bergerak dan bekerja adalah untuk kedaulatan Islam."

2. Kedaulatan Islam hanya dapat direalisasikan apabila kita memiliki Daulah Islamiyah [ Negara Islam ]. Justeru itu, berjuang untuk menegakkan negara Islam biarpun menghadapi halangan dan rintangan yang runcing disepanjang zaman, namun ia tetap menjadi suatu kewajipan bagi ummat Islam.

3. Gerakan ummah untuk mendaulatkan Syariat Islam di bumi tercinta ini telah bermula sejak sekian lama. Seorang tokoh ulamak terkenal dalam sejarah negara kita, Syeikh Junid Thola di Perak telah memberi penegasan bahawa menjadi satu kewajipan kepada ummat Islam mendirikan sebuah negara Islam di Tanah Melayu. Selepas Perang Dunia Kedua, tokoh ulamak terkenal tanahair Maulana Abdullah Noh dari Kelantan juga telah menegaskan tentang tanggungjawab memperjuangkan kewujudan sebuah negara Islam. [ Abdullah Noh ( 1947 )  "Semangat Perajurit - perajurit Muslim". Matba'ah ismailiah Kota Bharu. halaman 53 - 54 ]

4. Mendokong kesinambungan perjuangan ini, Baharudin Abd Latif  melalui lidah rasmi pertama PAS iaitu Suara Islam  telah menulis secara aktif artikel yang menjelaskan konsep negara Islam. Antara artikel beliau ialah : "Tanah Melayu dalam Perjuangan Kita : Baldah Toiyyibah Wa Rabbun Ghafur " sebanyak 3 siri . Prof Dr Zulkifli Mohammad juga merupakan tokoh besar di dalam "suara Islam" 

5. Peranan suara Islam  [ 56' - 62' ] kemudiannya diteruskan oleh lidah rasmi PAS yang kedua "Bulan Bintang[ 67; - 73' ]. Artikel Jaiz Anwar [al marhum ] " Kedudukan Pemerintahan Islam" . Lidah rasmi PAS yang ketiga "Berita PAS" [ 73' - 74' dan 82' ] turut aktif membincangkan mengenai negara Islam seperti artikel : " Peranan Agama dan Idealogi Dalam Pembangunan" oleh Baharudin Latif  walaupun waktu itu PAS menyertai Kerajaan campuran PAS - Perikatan. Lidah rasmi PAS keempat Suara Islam  [ 79' - 81' ] pula menonjolkan idea siasah dan negara Islam yang agak radikal sesuai dengan zaman atau era kebangkitan Islam pada waktu itu. Artikel "Pemisahan Antara Agama dan Politik : Satu Kekeliruan" menjadi topik utama selain Tafsir Fi Zilaalil Qura'an oleh Syed Qutb.

6. Harakah selaku lidah rasmi PAS kelima, sejak 1987 juga telah menggempur pemikiran ummat Islam mengenai kewajipan menegakkan negara Islam dengan menyiarkan artikel " Ke arah Menegakkan Daulah Islamiyah : Tanggungjawab menolak kesesatan" [ Harakah bil. 1 : 31, 30 Oktober 1987 ].

7. Pemimpin - pemimpin PAS terdahulu [ Rahmatullahi Alaihim ] tedlah menunjukkan kesungguhan memperjuangkan pembentukan negara Islam seperti Dr Burhanudin Al Helmy yang pernah menulis 2 buah buku mengenai  hubungan Islam dengan politik kenegaraan iaitu Agama dan Politik  [ 1954 ] serta Idealogi Politik Islam. [ 1956 ] sungguhpun kedua - dua karya ini ditulis sebelum beliau menyertai PAS. Naib Ketua Dewan Pemuda PAS [1963] Budiman Radhi menulis buku berjudul Tata Negara Islam. Sementara menangani keperluan non muslim mengenai negara Islam Prof Dr Zulkifli Mohammad telah menghasilkan monolog yang berjudul " Practicability of Islam As a Socio-Political System "

8. Kegigihan tersebut terus diwarisi oleh kepimpinan PAS sehingga hari ini seperti Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi [ Presiden PAS ] menghasilkan karya berjudul " Konsep Negara Islam dan Matlamatnya " [ 1986 ] , " Jika Islam Mentadbir " [ 1984 ] , " Islam Penyelesaian  Masaalah Ummat dan Negara" [ 1982 ] dan " Sistem Pemerintahan Islam" [ 1995 ]

9. PAS telah mempraktiskan usahanya untuk mendaulatkan syariat Islam dengan meluluskan Rang Undang - Undang Kesalahan Jenayah Syariah [ Hudud dan Qisas ] di Dewan Undangan Negeri yang dimenangi oleh PAS seperti di Kelantan [ 24 November 1993 ] dan Terengganu [ 2002 ].

10. Biarpun PAS mengalami tekanan yang cukup getir sepanjang perjuangannya untuk mendaulatkan Islam di negara ini, usaha dan gerakkerja untuk mendaulatkan Islam terus dilangsungkan tanpa jemu dan mengalah kepada tekanan. Pelbagai usaha dilakukan untuk memahamkan masyarakat muslim dan non muslim sehinggalah ke hari ini. Mutaakhir ini kelihatan laluan untuk mendaulatkan syariat Islam semakin lebar sekalipun terpaksa melepasi kesukaran yang berpanjangan. Sabar, tabah, hikmah dan istiqamah menjadi ramuan utama untuk menjayakannya.

11. Kini semakin ramai non muslim menyokong perjuangan Islam yang didokong oleh PAS. Malah DAP yang  seketika dulu dikenali sebagai anti PAS dan negara Islam kini semakin lunak dan memahami cita - cita perjuangan PAS setelah sekian waktu bersama dan berkawan dengan PAS. Terbaru apabila Yb Karpal Singh Pengerusi DAP yang pernah menegaskan bahawa " langkah mayatnya terlebih dahulu untuk menubuhkan negara Islam" kini secara terbuka di dalam Konvensyen Pakatan Rakyat menyatakan bahawa kenyataan beliau yang lalu sebagai "out of contact" sambil menegaskan bahawa isu negara Islam kini boleh dibincangkan .

12. Maha Suci Allah swt. Saya percaya jalan untuk mendaulatkan syariat Allah swt ini senantiasa ada walau apa pun bentuk demographynya. Apa yang penting ialah usaha berterusan secara hikmah mestilah dilakukan oleh semua pejuang Islam untuk mendidik dan memahamkan muslim dan non muslim kepada Islam dengan pemahaman yang betul dan tepat. Bukan sebagaimana yang dimomokkan oleh sesetengah pihak dengan tujuan untuk menakutkan lagi non muslim kepada Islam.

13. Lihat sahaja bentuk demography negara - negara arab sewaktu Rasulullah saw diutuskan oleh Allah swt kepada mereka.Ternyata jarak permukaan bumi, jurang persempadanan geografi, kepelbagaian kaum, agama dan bangsa tidak sedikit pun meresahkan Rasulullah saw apalagi untuk membuatkan Baginda saw berputus asa sehingga tidak nampak jalan untuk mendaulatkan syariat Islam di atas muka bumi ini. Sebaliknya Baginda saw gigih menunaikan amanah perjuangan untuk meninggikan kalimah Allah swt sehingga ia lebih tinggi dari idealogi ciptaan manusia serta Baginda saw bersikap optimis dengan janji Allah swt bahawa Islam pasti akan tegak di atas muka bumi ini.

14. Bayangkan bagaimana keadaannya hari ini, andai Rasulullah saw berputus asa dari terus memperjuangkan Islam dan mendaulatkannya lantaran tekanan dan ancaman yang bertali arus dari musuh - musuh Allah swt.  pula menganggap tiada jalan lagi untuk mendaulatkan syariat Allah justeru halangan atau rintangan terlalu sulit dan getir. Tentunya Islam tidak akan sampai kepada kita .

15. Allah swt yang mencipta negara dan seluruh alam ini. Mustahil al Quran wahyu Allah yang mengandungi syariatNya tidak sesuai untuk  dilaksanakan dalam negara ini biar bagaimana payah mengurus dan menyelia demographynya. Bahkan Allah swt memerintahkan kita terus berdakwah dan berjuang untuk mendaulatkan syariatNya di atas muka bumi yang memiliki pelbagai rupa demography ini, sekalipun terpaksa bersabung nyawa . Janganlah mengalah hanya kerana kilauan harta dan kuasa jua janganlah butakan mata sehingga tidak nampak jalan untuk masa depan agama yang suci ini. Teruskan perjuangan dengan gigih dan optimis terhadap masa depan kemenangan Islam. Islam pasti menang dan masih ada jalan untuk mencapai kemenangan yang dijanji. [ Ketahuilah sesungguhnya kemenangan yang dijanjikan Allah itu hampir ]

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Post a Comment

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 018 590 8890
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Follow by Email

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive