HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Wednesday, May 11, 2011

Negara Islam Solusi Perpaduan Kaum

Negara Islam [ negera yang aman dan mendapat keampunan Allah swt.] solusi Perpaduan Kaum.

1. Isu perkauman [rasis] kini ditiup oleh pihak yang cuba menangguk dari kekeruhan air yang dicipta sedang negara kita adalah negara berbilang kaum dan bangsa [majmuk]. Sehari dua ini pula, isu agama juga dieksplolaitasi sepenuhnya untuk menjayakan agenda pecah dan perintah mereka sedang negara ini juga adalah negara yang berbilang agama [majmuk].

2. Setiap kali mereka buntu bagaimana untuk mempertahankan survival kuasa mereka, isu bangsa dan agama ini akan menjadi modal utama bagi merencana plan konspirasi mereka berasaskan kaedah divide dan rule. Surat khabar dan televisyen digunakan sepenuhnya sebagai misionery untuk mencetus api pertelingkahan dan permusuhan antara agama dan bangsa.

3. Selagimana minda pemerintah mahupun pembangkang dibelenggu oleh fahaman sempit seperti ini, maka selama itulah rakyat dan negara ini akan terus mengalami igauan yang mengancam keselesaan dan keselamatan mereka setiap kali perkara ini marak menyala disimbah minyak.

4. Penuh keinsafan dengan hasrat untuk membantu semua pihak keluar dan bebas dari belenggu fahaman sempit ini, marilah saya tunjukkan kepada anda semua sebuah solusi yang perlu dinilai dengan ikhlas, jujur tanpa sebarang prejudis setelah menyaksikan kegagalan mencari penyelesaian sejak puluhan tahun lamanya, lalu membiarkan negara dan rakyatnya terus dihambat "hantu" perpecahan dan pergolakan yang berisiko tinggi ini.

5. Suatu yang saya mahu tunjukkan ini adalah pelan penyelesaian yang telah digezetkan oleh tuan empunya langit dan bumi ini. Dia jugalah yang menciptanya dan mencipta seluruh ummat manusia malah Dialah juga yang mencipta seluruh makhluk di atas muka bumi ini. Tiada syak pada menamakan siapakah Dia yang saya maksudkan, justeru semua akan mengakui bahawa yang mencipta langit, bumi dan seluruh isinya ialah Allah Jalla wa A'la.

6. Allah swt adalah Tuhan yang Maha Mencipta dan Dia jualah yang akan mengurus dan mentadbir apa yang diciptaNya. Perjalanan galaksi menepati orbitnya, peralihan iklim yang menepati waktunya, pertukaran siang dan malam yang melunasi saatnya serta seluruh kehidupan bergerak meneladani jadual yang telah ditetapkan oleh penciptanya.  Allah swt mencipta manusia bersama syariat [peraturan] yang perlu dipatuhi agar mereka tidak binasa sebagaimana sebuah syarikat kenderaan menghasilkan produknya bersama dengan buku manual operasi kepada pihak pengguna agar dapat menggunakan produk yang dihasil dengan baik dan tidak rosak. Pengguna sekali - kali tidak boleh menggunakan buku manual yang dikeluarkan oleh syarikat lain yang tidak berkenaan.

7. Begitulah kita sebagai pengguna di atas alam buana ini tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh yang Maha Pencipta. Tuhan yang mahukan agama terjaga, nyawa terpelihara, maruah tidak dicabul, harta tidak diragut, keturunan tidak dinodai, keadilan ditegakkan, kasih sayang dipupuk, silaturrahim dihubung, tiada paksaan beragama, hormat - menghormati antara satu sama lain, mengawal keselamatan, bina kedamaian, kerajaan bertanggungjawab, pemimpin beramanah, rakyat yang harmonis, politik yang stabil, ekonomi yang membangun dan negara yang berkebajikan.

8. Segalanya perlu berlaku secara hubungan 2 hala tanpa terpisah antara satu sama lain. Hubungan antara manusia selaku makhluk [yang dicipta] dan khaliq [yang mencipta] perlu erat dan melandasi syariat yang ditetapkan oleh pencipta. Bertolak mula dari nokhtah ini, saya sekali lagi mengusulkan pembentukan kerajaan dan pemerintahan negara dengan berasaskan peraturan yang telah ditetapkan oleh Tuhan yang Maha Mencipta. Saya percaya, ialah solusi kepada perpaduan kaum yang dicari selama ini.

9. Usah panik dan usah fobia dengan cadangan dan usul saya. Apa yang perlu ialah semua pihak melihat, meneliti dan memikirkan ke arah solusi yang saya usulkan dengan jujur, adil dan rasional setelah sekian lama negara dan rakyat dipaksa menelan segala kepahitan dan trauma dengan kesengsaraan yang berpanjangan dibawah sitem pentadbiran, pengurusan dan pemerintahan ciptaan manusia yang derhaka kepada Tuhan yang Maha Mencipta.

10. Tentu sahaja Allah swt Tuhan yang Maha Mencipta tidak akan menzalimi dan mengkhianati hambaNya jauh sekali merosakkan apa yang telah diciptaNya kecuali mereka yang derhaka lalu merosak dan membinasakan diri sendiri dari angkara perbuatan tangan mereka. Saya sedar solusi ini tidak mudah diterima dan dilaksana semudah diungkap dan diusulkan. Namun saya menyeru agar semua pihak dengan melibatkan semua agama dan bangsa melihat, mengkaji dan membincangkan solusi yang diusul demi masa depan rakyat dan perpaduan kaum di dalam negara ini.

4 comments:

abangmokh said...

Salam,

Saya angkat tangan dan tabek pada tuan mengenai dengan tulisan dan cadangan ini.Setuju 100%.

Tapi, sebelum itu umat ISLAM yang sedia ada, terutama orang orang MELAYU kenalah bersatu dahulu.

Bangsa MELAYU ISLAM mesti bersatu dan menjadi kukuh, serta menjadi contoh kepada bangsa bangsa lain.Kita kena menunjukkan dan menjadi tauladan yang baik. Bila segala kebaikan dan tauladan yang baik ada pada kita, maka bangsa bangsa lain akan membuka mata mereka.

Semuanya bermula dengan kita sendiri.Dalam ISLAM, amalan yang baik adalah dengan diri kita dahulu.

Contoh, pemberian sedekah, pada kaum kerabat yang susah dahulu,pas tu, jiran jiran yang susah, pas tu, masyarakat keliling kita, pas tu, baru lah yang lain lain.

Jadi, ISLAM tu bermula dengan kita dahulu,keluarga kita, saudara mara kita, jiran jiran kita, masyarakat kita dan seterusnya...

Itu pun yang dilakukan olih Nabi S.A.W. Berdakwah kepada kaum kerabat dahulu.

Siapa kaum kerabat itu dan apa bangsa mereka? ARAB.

Orang orang ARAB kan banyak puak.
Ini yang di dakwah dan disatukan olih Nabi S.A.W. Bila semua mereka mengaku ISLAM dan BERIMAN, maka mereka menjadi kuat dan di segani. Dan seterus nya ISLAM berkembang keluar dari bumi ARAB.

Jadi, tuan, disini perkara pokok, orang orang MELAYU kena bersatu dibawah panji panji ISLAM. Satu agama, satu hukum dan satu kepercayaan.

Saya juga setuju dengan tuan, memang susah nak dijadikan kenyataan, tapi tak mustahilkan?
Kita kena buang jauh jauh agenda peribadi. Apa juga yang kita lakukan mestilah meletakkan ALLAH dahulu.

KELAKUAN MELAMBANGKAN KEPERIBADIAN. JADI, CERMINKAN LAH DULU DIRI KITA.

Ameen.

Salam.

Anonymous said...

niat PAS mencadangkan negara Islam solusi perpaduan kaum amat baik. tapi....adakah DAP bersedia terima negara Islam?

Jika DAP memerintah (PAS dan PKR hanya pengikut dalam PR), adakah kedudukan Islam di dalam negara ini akan bertambah baik? atau bertambah buruk? sebagai pengundi atas pagar, itu sahaja asas membuat pilihan di peti undi.

dan melihat senario semasa, ternyata PAS amat lemah dan tidak mampu berbuat apa-apa dalam mempertahankan syiar Islam mahupun membela nasib umat Islam yg ditindas sesuka hati oleh DAP. maka semestinya PAS bukan pilihan saya untuk PRU-13.

Anonymous said...

Soalan saya : negara islam tidak benarkan bukan Muslim jadi pemimpin, terutama sekali jawatan Perdana Menteri. Wanita juga tidak ada peluang. Beza pula Perlembagaan negara kita sekarang yang tidak menghalang siapa pun, Islam ke, bukan Islam ke dan wanita pun - boleh jadi PM.

Bagaimana pula orang bukan Islam dan kaum wanita (Islam ataupun bukan Islam) boleh rasa aman jika mereka tidak boleh jadi pemimpin?

Terima kasih.

Abu Akram said...

Salam abangmokh:

Menyatukan manusia atas nama bangsa adalah satu perkara yang sangat sukar dan boleh dikatakan mustahil memandangkan bangsa tidak mempunyai apa2 rujukan, tujuan, halatuju dan matlamat. Mengapa kita perlu bersatu atas nama bangsa dan bukan bersatu atas nama agama iaitu Islam? Satu agama yang syumul yang telah diturunkan oleh oleh Allah SWT kepada manusia. Kita telah disediakan dengan Al Quran sebagai panduan hidup yang lengkap dalam segala aspek kehidupan. Dalam Islam, kita ada halatuju untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT dan kebahagiaan dihari akhirat.

Allah SWT jadikan kita berbangsa2 bukan untuk kita bersatu atas nama bangsa, tapi untuk kita berkenal kenalan antara satu sama lain, untuk kita bekerjasama antara satu sama lain, tapi kalau kita nak bersatu, mestilah atas nama Islam.

Kita kene buktikan kepada bukan Islam yang akhlak kita baik, ekonomi kita baik, perundangan kita baik atas dasar kita sebagai seorang Muslim, bukan sebab kita seorang yang berbangsa Melayu, itu salah. Tidak ada hebatnya kita sebagai bangsa Melayu berbanding dengan bangsa2 lain..malah kita jauh ketinggalan dalam sudut2 tertentu. Tapi apa yang ditunjukkan oleh Rasullulah adalah bukti kekuatan dan kesyumulan Islam, bukan kekuatan bangsa arab. Bangsa arab sangat hancur sebelum kedatangan Islam.

Kita baik, kita berakhlak, kita beretika adalah disebabkan kita mematuhi ajaran Islam..bukan disebabkan kita Melayu...dan mutaakhir ini, sudah ramai mereka2 yang bernama Melayu tetapi tidak Islam...

Berkenaan dengan bolehkah bukan Islam (contoh DAP) menerima Islam, dizaman Rasulullah sendiri terdapat mereka2 yang bukan Islam boleh berada dibawah naungan pemerintahan Islam. Mereka boleh patuh kepada peraturan Islam. Sebab itulah wujudnya hukum dalam Islam untuk kafir zimmi dan kafir harbi.. Islam itu sangat adil kepada semua manusia samaada Islam atau bukan Islam...ISLAM FOR ALL..

Wassalam.... Sekadar berkongsi bersama sahabat2.. Kalau ada yang silap mintak Ustaz tolong betulkan....

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive