HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Thursday, September 1, 2011

Perutusan Aidil Fitri 1432

Perutusan Aidil Fitri 1432

Aidil Fitri adalah simbol kemenangan ummat Islam di sepanjang zaman. Ianya diraikan saban tahun sebagai mercu tanda bahawa Islam adalah sebuah cara hidup yang diiktiraf malah mempunyai daulatnya yang tersendiri justeru ia adalah wahyu Allah swt Tuhan yang Maha Mencipta untuk mengatur sistematika kehidupan manusia di atas muka bumi ini.

Ia juga adalah manifestasi dari kejayaan ummat Islam mengawal diri dari pengaruh nafsu dan syahwat setelah melalui tempoh sebulan di Madrasah Ramadhan. Ia juga anugerah Ilahi buat ummat Islam yang grad sebagai insan bertaqwa serta sedia taat dan patuh kepada seluruh titah perintah Allah swt.

Justeru Aidil Fitri adalah hari gilang gemilang buat Ummat Islam untuk mereka lahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah swt Tuhan Yang Maha Perkasa Lagi Maha Agong di atas apa jua pemberianNya.

Ertinya Aidil Fitri bukan hari memperagakan baju baru, menghidang aneka kuih muih, menunjuk kemegahan duniawi dan sebagainya, tetapi Aidil Fitri adalah hari penyatuan ummah dengan membawa jiwa menang mengatasi penguasaan nafsu dan segala agentnya. Hari yang meletakkan ummat Islam sedar serta insaf bahawa mereka tidak selayaknya menjadi ummat yang lemah dibelasah musuh, tetapi sedia bangkit menjulang izzah dan himmah mempertahankan maruah Islam dengan tenaga, harta, darah dan nyawa sebagai taruhan.

Laungan takbir , tahmid dan tasbih di pagi syawal adalah pengisytiharan bahawa Islam adalah agama  suci yang bebas dan merdeka dari pengaruh syirik, maksiat dan mungkar sekaligus meletakkan penganut dan pejuangnya di suatu tempat yang mulia dan tinggi martabatnya.

Aidil Fitri adalah satu deklarasi Islam bahawa semua penganutnya mesti bangkit menyatakan ketauhidan mereka kepada Allah swt dan mengisytiharkan kesediaan untuk mempertahankan aqidah Islamiyah meskipun berdepan dengan pelbagai bentuk cabaran dan rintangan di sepanjang zaman.

Aidil Fitri adalah satu referundum ummah untuk menyatakan sokongan dan dokongan yang padu terhadap perjuangan mendaulatkan Islam guna menyelamatkan ummah agar tidak menjadi mangsa belasahan musuh - musuh Allah serta terperangkap dalam cara hidup yang memesongkan mereka dari jalan yang benar.

Aidil Fitri adalah satu resolusi penyatuan ummah berasaskan kalimah toyyibah sebagai tali agama Allah yang kukuh. Menyatukan ummah melewati sempadan bangsa, pemikiran dan geografi bersendikan semangat kunjung mengunjung, maaf bermaafan di antara satu sama lain tanpa peduli warna parti dan logo persatuan.

Aidil Fitri adalah satu sumpah ikrar bahawa kita sebagai muslim yang beriman kepada Allah swt. berkewajipan untuk meneruskan perjuangan Rasulullah saw membina tamadun ummah dengan membebaskan mereka dari perhambaan sesama hamba agar menjadi  hamba  Allah yang taat, membebaskan mereka dari kezaliman idealogi ciptaan manusia kepada keadilan Islam yang diwahyukan oleh Allah dan membebaskan mereka dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat yang dijanjikan Allah kepada mereka yang soleh.

Aidil Fitri adalah satu memorundum ummat Islam kepada seluruh dunia dan isinya bahawa Islam adalah rahmat Allah swt buat semua. Membawa agenda menyelamatkan manusia dari kebinasaan dan kemusnahan angkara kebejadan manusia tanpa agama. Ia adalah cara hidup untuk diamal bukan ditolak. Ia adalah agama untuk dianut bukan dimusuhi.

Sempena Aidil Fitri 1432 ini, marilah kita menghayati semangat Aidil Fitri menurut perspektif yang benar dan tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh syariat, justeru Aidil Fitri tidak boleh dicemarkan dengan kelalaian dan kealpaan, keangkuhan dan kemegahan, kemewahan dan kesombongan. Sebaliknya Aidil Fitri mesti diserikan dengan kesyukuran dan keinsafan, kesedaran dan penghayatan.

Khususnya anak - anak muda, jadikan Aidil Fitri kali ini lebih bermakna dengan meletakkan ia sebagai noktah bermula untuk kita berubah menjadi insan yang lebih  baik dari semalam, lebih dekat dengan Allah dan lebih semangat untuk terus berjuang membebaskan minda dari terjajah oleh pemikiran materialistik dan gaya hidup yang diselubungi dosa dan noda.

Menjulang panji perjuangan meruntun perubahan sistem pemerintahan yang korup dan pentadbiran yang lemah demi membina peradaban negara yang aman, sejahtera, maju, damai, membangun dan mendapat keredhaan Allah swt.

Salam Aidil Fitri dari saya buat semua rakan - rakan seperjuangan. Bermula dari saff pimpinan PAS Pusat, Dewan Ulama' , Dewan Muslimat, Dewan Himpunan Penyokong PAS dan tidak lupa saya kepada semua pimpinan dan anggota parti kompenan Pakatan Rakyat [ Keadilan dan DAP ], pimpinan - pimpinan masyarakat dan istemewa juga salam Aidil Fitri saya ucapkan kepada semua pimpinan dan anggota parti Kompenan Barisan Nasional, ngo - ngo dan tidak sekali - kali saya lupa kepada seluruh rakyat Malaysia. Salam Aidil Fitri al Mubarak. Minal A'idin wal Faaizin.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive