HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Wednesday, September 7, 2011

Teguran Mesra Kepada Pihak Berkuasa Agama, Permudahkan “Jangan Menyusahkan”

Permudahkan, jangan menyusahkan itulah sabda Nabi Muhammad ﷺ di dalam sebuah bab yang dinyatakan dalam hadis Sahih al-Bukhari, iaitu; (بَاب قَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسِّرُوا وَلَا تُعَسِّرُوا وَكَانَ يُحِبُّ التَّخْفِيفَ وَالْيُسْرَ عَلَى النَّاسِ)

Sesungguhnya usaha memberikan peringatan, tunjuk ajar agama, nasihat dan bimbingan hidup kepada ummat Islam dizaman mereka terkepung dalam dunia jahiliyyah moden hari ini adalah suatu tindakan yang sangat mulia.
مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَ أَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيءٌ
“Barangsiapa yang menunjuk jalan Islam dengan kebaikan maka baginya pahalanya (sendiri) dan pahala orang yang beramal dengan kebaikan itu selepasnya tanpa mengurangkan pahala mereka sedikitpun.” (riwayat Muslim)

Firman Allah;
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ.
“Siapakah yang lebih baik perkataannya, daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata; “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).” (surah Fussilat ayat 33)

Masjid dan surau adalah antara tempat strategik dan sistematik untuk menyampaikan Islam dan mengukuhkan kefahaman ummat Islam terhadap cara hidup berlandaskan syariat Islamiyah. Ia bagai benteng akhir bagi ummat Islam untuk berpaut guna menyelamatkan fikrah dan aqidah mereka. Terlalu sukar untuk mencari kelas atau majlis pengajian Islam secara terancang dan sistematik selain masjid dan surau.

Alangkah malang bagi masa depan umat Islam jika masjid dan surau juga terdapat kekangan atau halangan untuk menyampaikan Islam dan peringatan kepada ummat Islam agar menjalani kehidupan berasaskan panduan dan pedoman agama. Selain daripada institusi atau pusat pengajian Islam, di mana lagi umat Islam dan masyarakat awam boleh duduk bersimpuh menimba ilmu secara formal dan serius jika tidak di masjid dan surau.

Menyampaikan Islam dan menyeru manusia agar taat dan tunduk kepada perintah Allah adalah perbuatan dan perkataan yang paling mulia, maka pastinya menghalang dan mengekang pengajian Islam dan penyebarannya kepada masyarakat pula adalah suatu tindakan yang paling hina.

Firman Allah;
وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن مَّنَعَ مَسَاجِدَ اللَّهِ أَن يُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ وَسَعَى فِي خَرَابِهَا
“Dan siapa lagi yang paling zalim (jahat) berbanding mereka yang menghalang masjid-masjid Allah daripada disebut nama-Nya dan merancang pula untuk meruntuhkannya.” (surah al-Baqarah ayat 114)

Saya yakin bahawa penyebaran Islam mesti dipantau serta dipastikan tulen prinsip dan maudhuk-nya. Tetapi pastikan juga pengajian dan penyebarannya berjalan lancar tanpa sebarang kekangan terutama saat umat Islam sangat memerlukan agamanya untuk hidup selamat dan diredhai oleh Allah.

Tauliah adalah untuk memastikan usaha jua aktiviti penyebaran Islam dan kelas-kelas pengajiannya berjalan secara terancang, sistematik dan mampu menampung keperluan ummat Islam masa kini terhadap agama yang mereka anut. Pihak berkuasa agama mesti mempunyai suatu mekanisme yang berkesan bagaimana mengurus tauliah.

Tidak munasabah, seorang yang mahu menyampaikan Islam dan memberikan peringatan kepada masyarakat khasnya umat Islam agar sedar tanggungjawab dan amanah hidup sebagai seorang Muslim terpaksa berdepan dengan tindakan undang-undang semata-mata kerana isu tauliah. Munasabahnya ialah pihak berkuasa agama selayaknya membantu, membiayai, menyokong dan memudahkan usaha murni tersebut bukan menyusahkan. Jika tauliah menjadi isunya, kenapa tidak ditauliahkan kepada mereka yang boleh menyampaikan Islam dengan baik dan berkesan.

Hari ini, tauliah menjadi igauan dan hambatan yang menyulitkan para pendakwah dan ilmuan untuk menyampaikan Islam dan mendidik ummah sedang situasi di luar sana, umat Islam sedang terperangkap dalam iklim sosial yang mendorong mereka untuk rosak dan binasa akhlak, pemikiran dan aqidah mereka. Apakah pihak berkuasa agama tidak peka perkara ini?

Saya masih ingat Allahyarham Tuan Guru Hj. Musthafa Abu Bakar Pengasas Pondok Pasir Tumbuh turut menjadi mangsa tauliah apabila al-Marhum ditahan kerana mengajar di Hulu Besut satu ketika dulu, sehinggalah al-Marhum Tuan Guru kembali ke rahmatillah, kesnya belum selesai. Malah ramai Tuan-tuan Guru yang memiliki lautan ilmu untuk mendidik ummah menjadi mangsa tauliah. Terbaru Dr. Asri Zainal Abidin mantan Mufti Perlis dan sebelumnya Ustaz Fathul Bari sebelum menyertai Ulama Muda UMNO.

Masjid dan surau terlalu banyak, ruang pengajian dan dakwah yang perlu dimanafaatkan juga terlalu banyak. Cendikiawan Islam yang diiktiraf ilmu mereka oleh Universiti di mana mereka menuntut dan akhirnya pula dengan segulung ijazah Sarjana Muda, Master atau Phd juga terlalu ramai, tetapi berapa jumlah tauliah yang dikeluarkan? Jika Tuan-tuan Guru, alim ulamak, para ilmuan Islam, cendekiawan Muslim masih belum layak mendapat tauliah, kriteria bagaimana yang layak untuk dapatkan tauliah tersebut? Atau pihak berkuasa agama nantinya digelar sebagai Pihak Penghalang Agama?!

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive