HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Thursday, October 27, 2011

Ijtima' Tarbawi 2011: Pemukiman yang dinanti.

1. Bermula esok [ 28 Oktober 2011 – Jumaat - jam 4.30 pm ] hinggalah [ 30 Oktober 2011 ], Dewan Pemuda PAS Malaysia sekali lagi bakal melakar sejarah menelusuri episod perjuangan Islam di Malaysia, apabila anak – anak muda yang cintakan Islam, sahabat seperjuangan yang rindukan ikatan ukhuwwah Islamiyyah dan pejuang yang perlukan sentuhan tarbiyah ruuhiyah harakiyah dari para murabbinya akan berhimpun dengan penuh “persediaan” untuk ditarbiyah aqidah, pemikiran dan keperibadian mereka di KUIZM Taman Melewar.
2. Malah anak – anak muda yang ingin merasakan pengalaman baru dengan sentuhan kepimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia membina dan mengkaderkan anggotanya turut tidak melepaskan peluang untuk mendaftar dan menyertai acara tahunan ini, sebagai himpunan yang terbesar malah terpenting selepas muktamar tahunannya.

3. Saat saya menulis artikel ini, sebahagian pemuda telah pun bergerak dengan penuh semangat dan teruja untuk menjadi peserta paling awal ke Ijtima’ Tarbawi 2011, sementara yang lainnya pula berdebar – debar menanti saat untuk berlepas pergi. Tentu sahaja keikhlasan akan tersemat jauh di dalam sanubari mereka kerana melepaskan masa dan kepentingan lain untuk beruzlah di Taman Melewar tentunya tidak mengharapkan apa – apa selain redha Allah swt.

4. Terlebih dahulu saya ucapkan selamat berijtima’ buat semua anak – anak muda yang mewarisi semangat pejuang, untuk terus mendidik diri agar lahir dan tampil sebagai pejuang yang mantap pemikiran, kental semangat dan tabah jiwa menggalas amanah perjuangan suci ini.

5. Tahniah jua saya ucapkan buat seluruh warga kerja sekretariat Ijtima’ Tarbawi 2011 yang diketuai oleh sahabat saya al fadhil Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz yang gigih dan sibuk tahap gaban untuk menjayakan Ijtima’ tersebut. Sesekali saya berkesempatan masuk dan menyertai mesyuarat sekretariat ini dan ternyata ia sungguh membanggakan saya. Bukan sahaja berbincang dan bermesyuarat, tetapi juga mereka sangat serius, gigih, bersungguh dan rajin melaksanakan apa jua keputusan mesyuarat. Saya doakan agar mereka diberi kekuatan dan keupayaan untuk menghasilkan kualiti Ijtima’ Tarbawi yang terbaik insyaallah.

6. Namun, perlu saya tegaskan di sini buat semua peserta agar turut bersedia menghadapi apa jua kesulitan dan kesukaran yang bakal ditempuhi sepanjang Ijtima’ Tarbawi 2011 sungguhpun pihak sekretariat telah mengesat keringat di betis. Tentu sahaja akan ada kelemahan dan kekurangan luar jangka yang berlaku dan dikesan oleh peserta. Justeru Ijtima’ Tarbawi ini sifatnya sebagai program pengkaderan, maka saya harap semua peserta tidak merungut dan mengomel, apa lagi merasa kesal dengan segala kesulitan yang bakal ditempuh sebaliknya menerima dengan tenang dan semangat juang yang tinggi sementara segala kelemahan itu kita akan atasi bersama insyaallah.

7. Ijtima’ Tarbawi 2011 bukan kursus keusahawanan atau kursus kemahiran yang mempunyai budget kementerian dan juga bukan hari keluarga atau perkelahan musim cuti untuk menikmati segala kemudahan, keselesaan, keseronokan dan kerehatan. Sebaliknya ia adalah program pembinaan, pendidikan, pengkaderan, pembentukan dan pemantapan. Justeru itu, segala kepayahan, kesulitan, kelemahan dan kesukaran yang bakal ditempuh adalah sebahagian dari “pakej tarbiyah” yang mesti diterima dan diambil oleh peserta dengan baik, tekun dan cermat sekalipun ia tiada dalam agenda dan tentatif program.

8. Saya kira segala kesulitan dan kesukaran itu adalah “campurtangan Allah swt” untuk mendidik para pejuangnya agar mencapai matlamat dan objektif Ijtima’ Tarbawi ini. Malah pengalaman saya, jua pengalaman senior – senior saya dalam mengambil skima pentarbiyah dari jamaah ini, suatutarbiyah yang tiada dalam tentatifprogram itulah yang lebih meninggalkan kesan mendalam pada diri setiap peserta jika mereka benar – benar bersedia untuk ditarbiyah agar lahir sebagai pejuang bertaraf Ansoorullah.

9. Sekurang – kurangnya ada 3 tumpuan yang perlu diberikan oleh setiap peserta Ijtima’ Tarbawi ini.

Pertama : Setiap pengisiannya yang terdiri dari taujihat, amanah, wasiat, kertas kerja, forum dan arahan pimpinan. Antara cara memberi tumpuan ialah dengan rakaman audio, menulis dan menghafaz point – point penting.

Kedua : Aktiviti dan amali sepanjang Ijtima’ seperti al mathurat, solat jamaah, qiamulail, munajat, taaruf, makan bersama, rehat bersama dan pelbagai aktiviti yang bersifat secara langsung atau tidak secara langsung mestilah dimanafaatkan sebaik mungkin untuk nilai tambah kepada pengisian yang kita perolehi melalui agenda dan tentatif yang telah disusun.

Ketiga : Ujian dan cabaran yang bakal dihadapi sepanjang program malah ia akan berterusan sepanjang masa perjuangan kita. Jangan lepaskan peluang keemasan ini. Serap sebijak mungkin hikmah dan ibrah [pengajaran] dari ujian dan cabaran yang ditempuh. Lantaran ia adalah suatu anugerah Allah swt yang tidak dapat dibekalkan oleh sekretariat Ijtima’ Tarbawi 2011 kelak.

10. Sama – sama lah kita berdoa agar Ijtima’ Tarbawi 2011 yang bakal berlangsung esok, benar – benar berjaya, bukan sahaja penganjuran aktivitinya tetapi juga menepati matlamat dan objektif yang telah digariskan. Suatu yang saya mahu ialah lahirnya pemuda – pemuda yang :
  • ikhlas berjuang,
  • gigih menunaikan amanah perjuangan,
  • cekal menghadapi rintangan,
  • berjaya mengurus diari gerakkerja
  • menepati piawaian Ansoorullah.
 Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Post a Comment

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 018 590 8890
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Follow by Email

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive