HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Friday, December 9, 2011

Apakah PAS Mampu Tegakkan Islam dalam PR ?

Maafkan saya teman kerana agak lembab menjawab beberapa soalan yang dikemukakan semasa forum Politik dan Mahasiswa di UIAM tempohari sedang saya telah berjanji untuk menjawabnya. Maklumlah, apabila sudah tidak berada dalam majlis, ada sahaja perkara yang melengahkan saya untuk menjawabnya. Kini ada satu lagi soalan yang masih belum terjawab. Soalan kelima !

Soalan tersebut ialah : Apakah PAS Mampu Tegakkan Islam dalam Pakatan Rakyat ?

1. Saudara , perjuangan PAS bukan lagi berusia setahun jagung. Malah PAS telah berpengalaman luas dalam Kerajaan Campuran di zaman Perikatan. Berpengalaman di zaman Angkatan Perpaduan Ummah juga di zaman Barisan Alternatif dan kini Pakatan Rakyat. Sepanjang tempoh itu, PAS tidak pernah lekang biarpun seketika cuma dari dasar perjuangan yang telah mendarah daging iaitu Islam.

2. Tinggal Islam maka hilanglah identiti PAS dan tersasarlah dari matlamat penubuhannya. PAS ditubuh untuk memperjuangkan Islam. Hakikat ini mesti diinsafi oleh semua. Malah PAS dibangunkan dengan segala sendi yang kukuh dan melalui proses pengkaderan yang berterusan. Aqidah Islam menjadi tunjang perjuangan, Fikrah Islam menjadi dahan perjuangan sementara Syakhsiyah Islam menjadi bunga perjuangan dan Kedaulatan Islam kelak menjadi buah perjuangannya.

3. PAS istiqamah berjuang menegakkan Islam biarpun di mana ia berada. Menyertai Pakatan Rakyat adalah pilihan dan ijtihad PAS yang telah dibincang dan dibahas lumat oleh para pimpinannya yang terdiri dari para alim ulama' termasuklah ianya diluluskan oleh Majlis Syura Ulama' PAS. Segala congakan atau perkiraan politik yang melibatkan untung rugi masa depan perjuangan telah dihitung nilai.

4. Malah Tahaaluf Siasi atau kerjasama politik yang diguna pakai lalu membawa PAS bersama membentuk Pakatan Rakyat adalah sebuah kerjasama politik yang sarat dengan terma dan syarat tersendiri malah menjamin kedudukan serta kesucian perjuangan Islam yang didokong oleh PAS.

5. Biarpun berbeza ideologi perjuangan, ianya tidak menghalang ketiga - tiga parti komponen Pakatan Rakyat mengadakan kerjasama politik berhadapan UMNO dan BN. Ia bukan kerjasama aqidah, tetapi kerjasama politik. Malah ia bukan perkara baru bagi Gerakan Islam mengadakan kerjasama politik dengan non muslim lantaran Bagunda Rasul saw juga pernah terlebih dahulu pernah menganjurkannya.

6. PAS bukan sahaja konsisten malah sangat komited untuk melaksanakan Islam terutama apabila rakyat telah bersedia memberikan mandat kepimpinan kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Insyaallah, Islam tetap terpelihara dan akan terus diperjuangkan atau ditegakkan oleh PAS bersama Pakatan Rakyat.

7. Ada orang bertanya saya, kenapa tidak bersama UMNO ? saya hanya menjawab : Ini pilihan PAS. Pilihan pemimpin dan ahli - ahli PAS malah penyokong PAS. Hati PAS berkenan kepada Pakatan Rakyat sementara UMNO dan BN tidak. Sungguhpun UMNO dan BN menggunakan pelbagai madah, sehingga kini mereka belum mendapat tempat di hati PAS. Kenapa PAS tidak berkenan ? nantilah saya bercerita kemudian dalam artikel yang lebih khusus. Cuma ringkasnya, Bukanlah UMNO tidak cantik, tapi ada yang jauh lebih cantik dari UMNO.

8. PAS tidak larut dan hilang identiti sebaliknya terus membawa suara Islam dengan segala warna hikmah yang ada. Kita akui, peringkat awal dulu kita mengalami beberapa kesulitan untuk mengeratkan jalinan kerjasama antara parti komponen gara - gara terlalu banyak fitnah dan adu domba.

9. Namun kesabaran dan kematangan yang bertolak dari pengalaman yang luas akhirnya perjuangan PAS untuk menegakkan syariat Islam dan akhlaknya semakin diterima. Paling tidak, bersetuju untuk tidak bersetuju. Ianya satu perkembangan positif malah jauh lebih positif berbanding sebelumnya.

10. Saya optimis Islam akan ditegakkan malah boleh dan mampu ditegakkan Insyaallah, justeru Islam adalah agama Allah swt Tuhan yang Maha Sempurna dari segala sifat kekurangan, bukan agama ciptaan manusia yang serba lemah. Selama PAS bersama Islam, PAS akan kuat dan mampu. Selagi Islam diperjuangkan oleh PAS maka PAS senantiasa relevan.

11. Seperkara lagi, ingin saya tegaskan di sini bahawa Islam tidak sekadar hudud sebaliknya hudud adalah sebahagian dari Islam yang wajib dilaksanakan. Masih terdapat banyak perkara yang perlu dilaksanakan. Antara yang menjadi fokus penting juga selain Perlaksanaan Qanun Jenayah Syariah 2, ialah pembentukan sebuah pemerintahan atau pentadbiran yang adil, telus dan berintegriti tinggi. Bebas rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana negara. Ianya menepati Islam yang diperjuangkan.

12. Memperjuangkan perkara - perkara ini sahaja pun sudah tidak menang tangan dalam Pakatan Rakyat yang semakin memaut kerjasama erat antara parti komponen berbanding hanya satu dua perkara yang menjadi asas perbedaan. Semua parti bekerjasama erat untuk membasmi ISA, menentang rasuah, menubuhkan Good Governence, mempertahankan bahasa kebangsaan, menolak AUKU, perjuangkan hak rakyat marhain, perjuangkan hak mahasiswa dan 1001 perkara lagi yang selari dengan kehendak Islam.

13. Bertolak dari nokhtah yang telah saya sebutkan ini juga sudah cukup bahawa PAS berpotensi besar untuk menegakkan Islam bersama Pakatan Rakyat. Membasmi ISA adalah tuntutan Islam yang mesti ditegakkan, menentang rasuah adalah tuntutan Islam yang mesti ditegakkan, membina negara yang telus, adil dan berintegriti adalah tuntutan Islam yang mesti ditegakkan. Agihan kekayaan negara dengan adil dan bijaksana, bebas dari amalan monopoli, juga merupakan tuntutan Islam yang mesti ditegakkan. Kini dakwah PAS berjalan rancak dan semakin pro aktif insyaallah.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS

4 comments:

mail lambong said...

jawapam terlalu umum dan berulang-ulang..

kita mahu hasilnyaa..bukan sekadar cakap.

Anonymous said...

Wahai saudara Faizal, usaha menegakkan Islam itu bukanlah boleh dijayakan sekaligus dalam sekelip mata. Namun, bibit-bibit kejayaannya boleh nampak jika saudara perhatikan dengan mata hati. Cara anda bercakap begitu seolah-olah usaha untuk menegakkan Islam ini adalah terletak dibawah tanggungjawab PAS sahaja. Sedarlah saudara, beban itu berada diatas bahu anda juga. Barulah and tahu bahawa tugas ini bukanlah usaha 'instant'. Selain itu, saya cadangkan saudara fahami dulu konsep Tahaaluf Siasi yang diambil oleh PAS, cuba kaitkan dengan sirah nabi. Usah kritik jika kita tidak ada resolusi yang lebih baik. Semoga kita semua dirahmati Allah dan marilah sama-sama berjuang menegakkan Islam.

alfa4M said...

Penjelasan saudara hanya untuk menutup kelemahan dan kedaifan PAS dalam pakatan rakyat haram.Bangkai gajah xboleh ditutup dengan daun sehelai,kecuali bagi mereka yg taksub dan tidak menggunakan hukum akal yg waras.PAS mesti kembali keperjuangan asal utk mendapat sokongan yg padu dari umat Islam dan org Melayu.Sama sekali jgn menghalalkan cara.Pertahan dan perjuangkan keagungan,keutuhan agama Islam berterusan dan bukanya bermusim mengikut percaturan politik kepartian para pemimpin yg kemaruk kuasa duniawi saje.Jgn bersekongkol dgn petualang yg menghina atau mempersenda agama Islam termasuk dari gabungan yg dibentuk,sangkal dan beri amaran keras.Ini adalah isu yg sensitif kpd umat Islam dn org Melayu.Nampaknya skrg UMNO yg lebih Islam dari PAS.Manakala DAP pula dh ganti PAS.Kami ditipu dn diperbodohkan oleh PAS dgn menggunakan agama utk mengejar sekelumit kuasa duniawi yg xkekal.Semua manifesto hanya d atas kertas.Berjanji tapi xmenunaikanya,bukankah itu munafik namanya.Dulu kata UMNO kafir sbb bersekongkol dgn MCA,MIC,GERAKAN dll tpi apa sdh jadi skrg,PAS bersekongkol dgn parti DAP yg terang2 benci Islam.Kami xakan lupa hingga akhir hayat kata2 karpal sing (pengerusi DAP)*langkah mayat aku dulu kalau hndak tubuh negara Islam*.Salepas meraih kemenangan d Kedah dn Kelantan atas bantuan pengundi Cina yg rasis dn India,PAS bertukar wajah membuat pusingan 360 darjah dgn membelakangkan agama Islam dan suara majoriti rakyat.Tindak tanduk PAS sentiasa d perhatikan.Kami buknya buta huruf dn jadi yes man.Baliklah kepangkal jalan sebelum terlambat.PRU13 sdh hampir,dikuatiri PAS akan berkubur tanpa batu nisan.Majoriti org Melayu,Islam dh benci teramat sangat pd PAS.Ideologi politik itu hak masing2 tapi bila bab agama,bangsa,bahasa,budaya,pendidikan,ekonomi dn negara maka kita hendaklah bersatu mempertahankanya sapertimana kaum Cina.DAP adalah parti rasis kaum cina.Dibandar mereka boleh menang tanpa sokongn org Melayu/Islam kerana pintu hati mereka telah ditanam kebencian terhadap Melayu dan Islam. Fikir2kanlah kenyataan ini.

Anonymous said...

betul ke membelakangkan Islam setelah Pas join PR?pada pengamatan sy Pas tetap konsisten dengn dasar perjuangannya, Islam terus disuburkan di semua negeri oleh daei Pas n lain2, tok2 guru, para asatizah terus mendidik masyarakat kembali pd Islam, cnth plg simple sambutan hari hudud di kelantan seiap tahun diadakan utk sentiasa memberi peringatan dan pendidikan kepada rakyat, tok guru tk berhenti berkuliah di depan jaafar rawas kb, di selangor, akan dtg ni ada countdown 2012, diisi dengan program2 yg bermnafaat, ditmpilkn IM asyraf, ust syed nurhisyam TV9,ust azhar idrus n zizan raja lawak, di masjid s.alam kuliah syeikh nuruddin.alfa4M kata PAS dh terssar laluan,ishk33...@alfa yg butakan mata dr melihat kebenaran, btl ke UMNO dh lbh Islam dr PAS, pengamatan sy tidak, kerana UMNO tk berubah gaya hidupnya menuju kearah Islamiy..mudah aje,countdown 2012 penuh dengan mungkar...wahai alfa saudara seislam ku, sedari kata2mu yg akan dipersoal diakhirat kelak.wallahua'lam

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive