HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Thursday, December 8, 2011

Kenapa PAS Tidak Bergabung Dengan UMNO

Soalan keempat dari mahasiswa yang tidak sempat dijawab sewaktu Forum di UIAM bersama Ust Fathul Bari Mat Jahya dan Dr. Roslan Mohd Nor tempohari. Soalan itu berbunyi : Kenapa PAS Tidak boleh bergabung dengan UMNO.

Jawapannya :
1. Penyatuan secara asasnya adalah suci malah dituntut. Tiada siapa yang mahu berpecah dan berpisah tanpa sebarang sebab atau alasan yang kukuh.
2. Namun .... sungguhpun Islam menggalakkan malah menyuruh supaya ummatnya bersatu padu, Islam meletakkan syarat serta garis panduan yang jelas bagaimana penyatuan itu wajar dilakukan atau sebaliknya. Antaranya Firman Allah:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِۦٓ إِخْوَٰنًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Wahai orang - orang yang beriman, bertaqwalah kamu dengan sebenar - benar taqwa dan jangan kamu mati melainkan kamu tunduk menyerah diri kepada Allah swt. dan berpegang teguhlah kamu dengan Tali Allah dan jangan sekali - kali kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika dulunya kamu saling bermusuhan maka Allah telah menyatukan hati - hati kamu, lalu dengan nikmat Allah itu kamu bersaudara sedang kamu telah berada di jurang api neraka, lantas Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah dijelaskan oleh Allah kepada kamu ayat - ayatNya, mudah - mudahan kamu beroleh petunjuk.
Surah Aali Imran 103

3. Ayat di atas jelas meletakkan syarat utama untuk tidak berpecah belah ialah berpegang teguh dengan Tali Allah iaitu Al Quran atau Al Islam bukan bangsa atau warna kulit jauh sekali harta benda, pengaruh dan pangkat. Lantaran penyatuan manusia adalah melibatkan penyatuan hati dan hati tidak boleh dijinakkan dengan harta benda dunia. Firman Allah swt :

وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ ۚ لَوْ أَنفَقْتَ مَا فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًا مَّآ أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Dialah [Allah] yang telah menyatukan antara hati - hati mereka. sekiranya engkau membelanjakan keseluruhan apa yang ada di atas muka bumi ini, nescaya engkau tidak boleh menyatukan hati - hati mereka akan tetapi Allah swt telah menyatukan antara mereka sesungguhnya Ia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Surah al Anfaal 63

4. Islam adalah asas penyatuan. Tanpa Islam bagaimana mungkin penyatuan itu boleh direalisasikan. Sementara kebajikan dan taqwa pula menjadi objektif utama kepada penyatuan yang dianjurkan oleh syariah. Firman Allah swt :

 ۘ وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

dan bertolong bantulah kamu dalam perkara yang membawa kepada kebajikan dan taqwa dan jangan kamu bertolong bantu dalam perkara yang mengundang dosa dan permusuhan. Bertaqwalah kepada Allah swt sesungguhnya balasan Allah sangat dahsyat.
Surah al Maaidah 2

5. Ayat di atas pula bukan sahaja menyuruh kita bertolong bantu, bekerja sama dan bersatu padu untuk melakukan amal kebajikan dan bertaqwa kepada Allah [ dengan melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah swt dan meninggalkan apa jua yang telah dilarang oleh Allah swt.] tetapi nas di atas juga melarang sebarang kerjasama dan penyatuan yang menumbuhkan bibit dosa serta menyuburkan permusuhan sesama ummat manusia.

6. Demikian asas yang perlu difahami oleh semua mengenai konsep perpaduan. Apabila ditanya mengenai penggabungan antara PAS dan UMNO, maka saya harap semua dari kalangan kita merujuk kepada prinsip dan konsep yang telah saya jelaskan di atas dengan jujur dan adil.

7. ...... pun begitu, untuk aman, damai, sejahtera, harmoni dan sebagainya buat masa ini, jika UMNO mahu terus kekal dengan dasar partinya hari ini, maka  PAS dan UMNO terus menjadi parti yang berbeza lalu wujudkan suasana check and balance.

8. Keperluan utamanya ialah kematangan dalam berpolitik. Elakkan politik fitnah dan adu domba. Begitu juga dengan politik dedah aib dan politik caci maki. Sebaliknya amalkan politik yang diperkaya dengan akhlak. Politik berteraskan hujjah dan fakta. Politik yang matang dan berhikmah.

9. Saya mengharapkan generasi muda hari ini boleh memulakan politik jenis ini. Politik baru ke arah masa depan negara dan ummah yang lebih bertamadun. Hentikan persengketaan dengan menamatkan pencabulan dan penindasan. 

10. Sebagai satu contoh mudah, Kerajaan persekutuan yang ditulang belakangkan oleh UMNO mestilah mengembalikan semula royalti minyak yang menjadi hak rakyat Terengganu dan Kelantan kerana ini antara punca persengketaan antara UMNO dan PAS. Lebih klasik, persengketaan antara PAS dan UMNO ialah pada perbedaan dasar dan manhaj perjuangan. Maka janganlah UMNO mempersendakan hasrat PAS untuk melaksanakan syariat Islam khasnya di Kelantan.
Post a Comment

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 018 590 8890
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Follow by Email

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive