HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Tuesday, December 6, 2011

Strategi Pemuda PAS Mengekalkan Momentum Politik

Gerakan belia sejak awal bersama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sangat konsisten membawa cita-cita perubahan dari sekular kepada Islam, dari kufur kepada iman, dari bathil kepada haq, daripada zalim kepada adil. Perjuangan yang telah menyaksikan pimpinan dan aktivis pemuda PAS keluar masuk penjara dan menjadi bahan belasahan musuh-musuh Islam.

Tentu sahaja perjuangan ini mengharapkan kejayaan dan kemenangan namun ia bukan matlamat utama perjuangan kita pemuda Islam. Kemenangan adalah anugerah Allah yang akan dikurniakan kepada yang berhak dan layak setelah mereka terbukti sanggup mewaqafkan diri kepada perjuangan Islam ini setulusnya tanpa mengharapkan sesuatu selain redha Allah.

Ini bukan minda pembangkang dan bukan juga minda orang yang kalah tetapi ini adalah minda sunnah berasaskan manhaj perjuangan suci.

Kemenangan tidak diberi kepada “sang gopoh”, “mat kalut” bahkan tidak juga dikurniakan kepada “Mat Jenin”. Tetapi diberi kepada mereka yang telah berjaya memiliki pra syarat kemenangan seperti yang digariskan oleh para ulama al-mujahidin bertunjangkan manhaj an-nabawi.

Bukan saya prejudis dengan kemenangan tetapi jangan dipetik buah sebelum masaknya. Sekalipun kita berjaya memetik, kita hanya akan memakan buah yang putik dan mungkin pahit atau masam rasanya. Alangkah baiknya jika kita bersabar menanti buah yang masak, lalu kita memetiknya sudah tentu kita akan merasai nikmat dan lazat yang tidak terhingga.

Saya yakin Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana ketentuan-Nya. Masakan Allah gagal atau terlupa untuk memberi kemenangan setelah kita dikenal pasti layak untuk memperolehi kemenangan. Justeru itu, langkah utama dan paling penting bagi pemuda PAS ialah melengkapkan diri dan jamaah agar layak menang menepati piawaian yang dikehendaki oleh Islam sebagai teras perjuangan.

Ada yang mempersoalkan tempoh 50 tahun kita berjuang apakah ia belum menjadi tempoh matang? 50 tahun rakyat pula derita dibawah UMNO dan BN bersama dasar dan polisi mereka yang menekan rakyat marhain, apakah kita masih boleh bersabar?

Inilah sifat perjuangan Islam yang bila-bila pun tidak terikat dengan tarikh dan tempoh. Kita berjuang meredah masa dan merentas zaman. Kalau 50 tahun kita sudah rasa lama menanti, bagaimana pula dengan umat terdahulu. Nabi Nuh alaihissalam mengambil masa 950 tahun malah penguasaan Firaun juga mengambil masa ratusan sebelum ia ditumbangkan oleh Allah.

Kalau sememangnya kita layak dan berhak, saya yakin Allah akan memberikan kemenangan itu kepada kita pada bila-bila masa, kerana telah thabit janji daripada Allah kepada kita yang berjuang;
وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ
“Nescaya Allah akan memberi kemenangan kepada siapa yang berjuang untuk memenangkan agama-Nya. Sesungguhnya Allah Tuhan yang Maha Kuat lagi Perkasa.” (surah al-Hajj ayat 40)

Sememangnya kemenangan bukan hak kita sebaliknya ia milik Allah tanpa kita boleh mengambilnya sekehendak kita. Kalau boleh ikut kehendak kita, bukan esok apatah lagi lusa tetapi hari ini kita mahukan kemenangan itu. Tetapi Allah telah sebut;
وَمَا النَّصْرُ إِلاَّ مِنْ عِندِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
“Dan tiada kemenangan melainkan hanya kurniaan dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (surah al-Anfal ayat 10)

Pemuda PAS sentiasa mengambil langkah pro-aktif bagi memastikan anggota pemuda sentiasa dalam keadaan bersedia dan melaksanakan tanggungjawab serta amanah perjuangannya sekaligus menangani gelombang politik semasa.

(1). Mewujudkan keseimbangan antara;
  • Tarbiyah, pengkaderan (rekrut) serta pengukuhan aqidah, fikrah dan syakhsiyah anggota jua pimpinan pemuda PAS di semua peringkat sebagai langkah penyediaan sumber manusia yang berkualiti untuk menyandang tugas sebagai pejuang dan pemimpin ummah.
  • Dakwah, penerangan untuk menjelaskan risalah perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS, menjawab segala isu semasa yang dihadapi oleh masyarakat sekaligus menjawab segala tohmahan yang dilemparkan.
  • Siasah, politik untuk meninggikan kalimah Allah, membawa suara Islam ke Parlimen dan DUN serta berusaha untuk membebaskan negara dan rakyat dari penindasan angkara penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Memanafaatkan ruang demokrasi lalu meloloskan diri daripada sebarang kepungan musuh Islam moden yang tidak mahu melihat Islam tegak di bumi tercinta ini.
(2). Pemuda PAS turun ke padang menyantuni anak muda yang menjadi pasaran utama gerakan Pemuda PAS. Mengenal pasti hot spot mereka lalu mendekati dan menjiwai emosi mereka. Sebagai contoh;
  • Pemuda PAS telah mempunyai pasukan beruniform seperti Jabatan AMAL yang berorientasi untuk mendisiplinkan anak muda dengan kerja-kerja amal kebajikan dan sedia berkhidmat kepada siapa jua tanpa mengira latar belakang perbezaan parti dan warna kulit.
  • Pemuda PAS juga membentuk Department Art, Culture and Sport (DACS) untuk menjadi jambatan mesra dengan anak-anak muda. Melalui department ini, Pemuda PAS telah menubuhkan Alternative Riding Club (ARC), malah kita juga menganjurkan Alternative Band Club, Amal Bikers Group, Alternative Futsal Club dan insyaallah senantiasa peka dengan perkembangan semasa.
(3). Menggerakkan isu semasa dan memobilisasi kebangkitan rakyat menentang segala kepincangan dan penyelewengan. Pemuda PAS telah menubuhkan lajnah khusus iaitu Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat yang dipengerusikan oleh sahabat saya Sdr. Suhaizan Kaiat. Buat masa ini Pemuda PAS fokus kepada isu berikut;
  • Skandal Mykad. Terdapat beberapa keadaan yang sangsi dan keliru berkait kes ini. Malah semakin ketara apabila baru-baru ini Pemuda PAS berjaya mengepung dan menahan bas-bas yang memunggah warga asing untuk dianugerahkan mykad. Peristiwa ini berulang dua kali dan DPPM berjaya melakukannya dengan baik. Sekali di Sepang dan kali kedua melibatkan aktor yang sama ditahan di Putrajaya.
  • Manipulasi Daftar Pemilih. Masih terdapat senarai nama yang bertindan, jumlah senarai nama berkod 71 yang sungguh mencurigakan dan senarai nama pemilih yang meragukan.
  • Undi Pos yang menjadi tali hayat UMNO dan BN sejak dulu. Pemuda PAS konsisten menolak rasional penggunaan kaedah undi pos dalam pilihanraya.
(4). Rapat Anak Muda Pakatan Rakyat akan dilangsungkan ke seluruh negara dan kita menjangkakan sejurus tamat musim tengkujuh ini, roadshow ini akan bergerak dan berlangsung hingga ke tarikh pilihanraya umum akan datang. Objektifnya ialah untuk;
  • Menemui pemuda Pakatan Rakyat peringkat negeri dan memotivasi mereka bagi persiapan menghadapi pilihanraya akan datang.
  • Menjelaskan isu-isu nasional dan mendapatkan ikrar umum dari kelompok anak muda untuk bersama Pakatan Rakyat.
  • Memanafaatkan sepenuhnya keajaiban Media Baru untuk penyebaran maklumat, menggerakkan idealism perjuangan dan memimpin budaya baru yang lebih berkesan dan berakhlak di pentas politik hari ini. Keluar dari kebiasaan negatif seperti politik maki hamun, politik cerca nista, politik dedah keaiban, politik lucah kepada politik berasaskan hujjah dan fakta. Politik yang berlandaskan akhlak dan kebenaran.

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive