HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Sunday, January 1, 2012

Melabuh Tirai 2011

Melabuh Tirai Tahun 2011

1.  Ini adalah bingkisan fikrah saya yang terakhir untuk tahun 2011. Album atau koleksi artikel dan hasil pena saya, telah saya abadikan buat semua pembaca di www.eperjuangan.com dan juga di dalam laman sosial saya ini.

2. Saya aktif menulis sejak tahun 1989 dengan menghasilkan maqalah - maqalah kecil untuk teks usrah kami sewaktu saya menuntut di Maahad Fathul Islami Damascus Syria. Minat berkarya terus diasuh apabila saya memanjat menara gading di University Al Azhar Mesir pada tahun 1992.

3. Sebelumnya, saya seperti penulis jalanan, hanya berkarya di atas kertas usang buat tatapan diri sendiri. Sesekali berkongsi dengan rakan terdekat mencari kepuasan hasil karya, bertemankan mesin taip Olivetti, memecah kesunyian malam di pondok kecil nun di perkampungan Madrasah Ad Diniah Al Bakriah Pasir Tumboh Kelantan.

4. Tahun 2003, saya berkelana ke bumi Doreamon Hokkaido, melepaskan pandangan menyorot saujana luas bumi Allah swt. Kala itu, saya mengasah ilmu dibidang IT bergurukan adik - adik mahasiswa/i Hokkaido. Detik itulah jua lahirnya episode perjuangan.blogspot.com sebelum beralih alamat sekarang di www.eperjuangan.com

5. Sejauh tempat lahirnya laman web saya, begitulah jauhnya cita - cita saya mahu melihat pencapaian [prestasi] saya dalam karya pena menyentuh pelbagai aspek dan cabang ilmu, termasuklah Feqh Muasirah [ isu semasa ], Feqh Haraki, Feqh Siasi [ politik ], Feqh Iktisad [ekonomi] dan tazkirah am serta khutbah [ jumaat dan hari raya ]

6. Saya bukanlah profesional dalam bidang penulisan. Hanya minat yang mendalam menjadi dorongan kuat untuk saya nekad menghasilkan sekurang - kurangnya secara purata dalam keseluruhan hidup saya selepas 2003 dengan skala satu artikel dalam masa tiga hari.

7. Bukan sahaja saya tidak profesional dalam bidang penulisan tetapi juga tidak tinggi pengajian akademi saya. Saya hanya menuntut setakat tingkat 3. Selepas tamat menduduki SRP, saya berhijrah ke Madrasah al Muhammadiah Sungai Durian Kuala Krai Sebelum saya berpindah Madrasah Ad Diniah Al Bakriah Pasir Tumboh.

8. Saya mengambil SPM sebagai persendirian pada tahun 2008 ketika saya telah berusia 38 tahun dengan 8 subjek. Saya hanya mampu meraih keputusan 4A 2B dan 1C. Satu subjek saya gagal iaitu Matematik Tambahan. Waktu itu saya sedang memikul amanah sebagai Timbalan Ketua DPP Pusat.

9. Saya terpaksa membaca sebanyak mungkin buku untuk mengasah minda dan apa yang paling penting ialah mempertingkatkan mutu bahasa yang saya akan praktiskannya dalam dua platform berbeza iaitu penulisan dan pidato [ceramah]. Menyedari tahap akademi saya yang rendah tentunya tahap penggunaan bahasa saya juga sangat lemah. Saya menggagah diri sehingga terpaksa menghafal glosary dan menjadikan kamus bahasa sebagai teman musafir.

10. Sempena tahun baru 2012, seperti orang lain yang menanam azam dan tekad maka saya juga berjanji pada diri yang kerdil ini untuk terus berjaya dalam bidang penulisan dan pidato gaya bebas. Saya sangat cemburu melihat kejayaan sahabat saya Ust Riduan Mohd Noor yang mampu menghasil karya penanya lebih pantas dari keupayaan pembaca.

11. Tahun baru 2012 juga akan menjadi tahun permulaan pengajian saya di peringkat MA sebelum saya mahu menunaikan cita - cita peribadi saya untuk melangkah ke gerbang pengajian peringkat Phd selewat - lewatnya pada tahun 2015 insyaallah. Semoga sahabat handai mendoakan kejayaan saya bertatih di medan ilmu setelah jauh ditinggalkan oleh sahabat sebaya dan seangkatan.

12. Tahun baru 2012 ini juga saya berazam mahu menghasilkan sebuah novel Islami [ tajuk dirahsiakan hu hu .. ] dengan date linenya akan jatuh pada hari persaraan saya bersama Dewan Pemuda PAS Malaysia setelah saya menyertai Dewan Pemuda ini sejak saya berusia 15 tahun lagi [1985]. insyaallah.

13. Tahun baru 2012 ini juga akan saya cuba sedaya upaya untuk Dewan Pemuda PAS Malaysia yang saya pimpin ini mampu melahirkan kader - kader yang memiliki kesedaran Islam yang tinggi berteraskan Amal Islami [ Amal Jamaei, Ijtimaei dan Fardi ] yang menepati piawaian sebagai pejuang Islam dengan jumlah sekurang - kurangnya 100 orang pemuda di setiap negeri. insyaallah.

14. Tahun baru 2012 ini menjadi tahun pilihanraya umum. Saya menanam tekad untuk bekerja bersungguh - sungguh bagi memenangkan perjuangan ini berasaskan dasar dan prinsip perjuangan Islam yang diwarisi dari Baginda Rasul saw tanpa saya peduli lagi kata nista dan caci sinis dari pelbagai pihak luar dan dalam. Segalanya menjadi motivasi buat perjuangan yang saya dokong.

15. Tahun baru 2012 ini, insyaallah akan menyaksikan DPP Malaysia menghasilkan produk dakwahnya menerusi Filem Box Office [ Filem Panjang tuuu ] setelah saya tutup 2011 dengan Filem pendek berjudul Oley. [ juga bertaraf Box Office dalam You Tube hi hi ... ]  Nantikan kehadhirannya dengan doa kalian yang tidak putus agar saya dan rakan - rakan pimpinan DPP Malaysia mampu melakukannya sebagai dimensi baru dalam dunia dakwah tanahair kita.

Akhirnya, saya juga mengharapkan semua anak - anak muda yang terdiri dari kalangan mahasiswa, graduan universiti, profesional, pekerja muda dipelbagai sektor kerajaan mahupun swasta, sehinggalah kepada semua lapisan anak muda di mana jua mereka berada, di kampus atau di rumah, di bandar atau di kampung, di desa atau di felda agar pastikan :

a] anda berbakti kepada agama dengan memastikan hidup anda berlandaskan syariat  dan bekerja membantu gerak dakwah di pelbagai lapangan termasuk politik dan sosial.

b ]  anda selaku anak muda, bentuk gelombang kebangkitan dan mara bersama kami untuk selamatkan negara dan masyarakat dari korupsi, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan harta negara dan keruntuhan nilai budaya yang kian parah.

c] anda jangan mengalah dan patah semangat biarpun berdepan dengan 1001 tribulasi dalam usaha membawa idealisme perjuangan asal anda yakin dan berdiri di atas prinsip perjuangan yang benar.

Salam perjuangan dari saya dan seluruh warga DPP Malaysia buat anda semua. Tahun 2012 adalah " Tahun Menuai Kemenangan" insyaallah setelah segala upaya dan segenap daya dikerah serta diperah buat membajak, menanam dan membaja usaha ke arah kemenangan Islam di tanahair tercinta.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

1 comments:

Anonymous said...

All the Best,Bro.
wa doakan moga2 bro, terus tabah dan istiqamah dlm perjuangan ini dan berjaya mencapai cita2 yg dihayati.


-uma-

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive