Demokrasi Dari Kacamata Islam
Demokrasi Dari Kacamata Islam
Definisi
Demokrasi memberikan maksud rakyat yang memerintah.
Iaitu rakyat mempunyai kuasa dalam memilih pemerintah bagi negara mereka
melalui sistem pilihanraya. Hal ini bermaksud undang-undang yang diguna pakai
oleh negara yang mengamalkan sistem demokrasi ini adalah berdasarkan suara
majoriti rakyat.
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi ke-4,
demokrasi memberikan maksud pemerintahan oleh rakyat atau wakil yang dipilih
dalam pilihanraya.
Sejarah Demokrasi
Perkataan asal bagi demokrasi adalah berasal dari
Yunani. Ia memberikan maksud sebagaimana yan g telah dinyatakan di atas iaitu
pemerintah rakyat atau kuasa rakyat.
Demokrasi ini pada asalnya merupakan satu bentuk
aliran pemikiran berpolitik yang mana diguna pakai di bangsa Yunani sejak
sebelum kelahiran Nabi Isa AS. Mereka menggunakan sistem demokrasi ini sebagai
satu sistem dalam membentuk kesatuan dalam kalangan rakyat apabila sistem ini
berjaya mengumpulkan seluruh rakyat untuk memilih ketua mereka. Dengan wujudnya
sistem ini, ia menolak sistem diktator iaitu pemerintahan yang ditentukan oleh
kerajaan tanpa ada ruang oleh rakyat untuk memilih. - kitab Qadhaya
Fiqhiyyah Muasorah,tahun 4, Universiti Al-Azhar, Kaherah – m/s 8
Sistem ini mula berkembang di Eropah selepas zaman
kegelapan yang berlaku. Zaman kegelapan menyaksikan apabila rakyat dizalimi dan
dikuasai penuh oleh sati sistem pentadbiran yang dikawal oleg gereja dan paderi.
Gereja mempunyai kuasa mutlak dengan mendoktrin rakyat bahawa kuasa tuhan
diberikan kepada paderi-paderi dalam menentukan sesuatu walau ia bertentangan
dengan undang-undang yang sedia ada. Selain itu lapisan masyarakat juga
dibahagikan kepada 2 lapisan. Lapisan golongan bangsawan oleh pembesar-pembesar
dan paderi-paderi mempunyai layanan yang istimewa dan kemewahan serta pangkat yang
diwarisi. Manakala lapisan golongan bawahan oleh petani dan hamba sentiasa
hidup dalam keadaan kemiskinan serta ditindas oleh kerajaan.
Bermulanya kebangkitan dengan bangkitnya golongan
cendiakwan dan golongan cerdik pandai untuk membebaskan kongkongan gereja ke
atas mereka dengan membawa perjuangan menyucikan atau meninggikan akal
pemikiran yang dimiliki. Iaitu gereja tidak boleh lagi menghambakan rakyat atas
nama wahyu, akidah, amanat tuhan dan sebagainya. Selagimana akal membenarkan
sesuatu perkara, maka ia adalah benar.
Hal ini terjadi apabila gereja menggunakan kuasa
mereka dengan menolak secara total dengan menggunakan doktrin ‘wahyu’ ke atas ilmu-ilmu
moden dan teori-teori sains yang membawa kepada pembentangan ilmiah.
Hasil daripada itu, dalam Revolusi Perancis, rakyat
terutama golongan bawahan mula bersatu dan bangkit bagi menjatuhkan kerajaan
yang sedia ada bagi menggantikan satu kerajaan yang baru yang membela hak asasi
kemanusiaan sejagat. - Kitab Fiqh An-Nawazul, bab Al-Ahzab Al-Islamiah Fi
Al-Islam, oleh Sofi Ar-Rahman Al-Mubarakfuri – m/s 7-14
Maka hasil daripada itu, sistem demokrasi mula dipakai
secara meluas di negara-negara Eropah. Dan sehingga kini, sistem demokrasi ini
juga digunakan di rata-rata negara termasuklah negara kita, Malaysia yang
mengadakan pilihanraya bagi rakyat memilih wakil-wakil mereka sebagai
pemerintah.
Golongan Yang Menolak Sistem Demokrasi
Terdapat golongan yang menolak sistem demokrasi ini
secara mutlak. Mereka tidak menerima bahawa demokrasi kerana ia jelas
bertentangan dengan syariat Islam. Bahkan sistem demokrasi ini sebegini tidak
pernah dilakukan di zaman Nabi SAW.
Terdapat beberapa alasan yang dikemukakan oleh
golongan yang menolak sistem demokrasi ini secara mutlak :
1- Sistem dari
pihak Barat bukan asal usul dari Islam
2- Demokrasi
memberikan kuasa penuh kepada rakyat dalam membuat sebarang undang-undang
bahkan dalam konteks yang melibatkan syara. Sedangkan Islam menetapkan bahawa
hukum adalah milik Allah
3- Demokrasi
meletakkan asas bahawa suara majoriti sebagai penentu sedangkan suara majoriti
tidak menjamin akan keputusan yang pasti betul
4- Demokrasi
bertentangan dengan konsep syura yang dianjurkan dalam Islam apabila konsep
pilihanraya memberikan hak dan peluang kepada rakyat untuk memilih walaupun
mereka tidak memenuhi syarat layak sebagai ahlul halli wa aqdi (anggota penilai dan pemutus keputusan)
sebagaimana yang ditetapkan oleh Islam
Beberapa hujah yang digunakan oleh mereka ialah :
1)
Aisyah RA
meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda :
مَنْ أَحْدَثَ في أَمْرِنا هذا ما لَيْسَ مِنْه فَهُوَ رَدٌّ
“Sesiapa yang melakukan
sesuatu yang baharu dalam urusan kami (agama) ini maka perkara tersebut
bukanlah daripada urusan agama, maka ia adalah tertolak”. – Bukhari dan Muslim
Dalam riwayat lain oleh
Muslim :
مَنْ عَمِلَ عَمَلا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنا فَهُوَ رَدّ
“Sesiapa yang melakukan
sesuatu amalan dan ia bukan daripada urusan kami (dalam agama), maka ia
tertolak.”
Daripada ‘Irbadh bin
Sariyah, Nabi SAW bersabda :
فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وسُنَّةِ الخُلَفاء الراشِدِين المَهْدِيِّين
عَضُّوا عَليها بالنَواجِذ وَإِيّاكُم وَمُمْحَدثات الأُمُور فَإِنَّ كُلَّ
بِدْعَة ضَلالَة
“Maka hendaklah kamu
mengikuti sunnahku, dan sunnah sahabat Khulafa’ Ar-Rasyidin yang mereka ini
diberikan hidayah dan gigitlah ia dengan gigi geraham (berpgang teguh dengan
sunnah tersebut), maka jauhilah kami daripada pembaharuan yang yang direka-reka
(dalam agama), maka sesungguhnya setiap bid’ah tersebut adalah sesat.” - Abu Daud dan At-Tirmizi
Justeru, sistem demokrasi adalah tertolak kerana ia merupakan
rekaan di dalam Islam dan dicetuskan oleh pihak Barat.
2)
Ayat
Al-Quran pada Surah Al-A’raf pada ayat yang ke-3, bermaksud :
“Ikutlah apa yang telah
diturunkan oleh tuhan kamu (Allah) kepada kamu.”
Maksud daripada firman Allah dalam surah Yusuf pada
ayat ke-67 :
“Kuasa menetapkan sesuatu (hukum) itu hanya tertentu
bagi Allah”
Justeru, demokrasi adalah bertentangan dengan Islam
yang mana demokrasi memberikan kuasa sepenuhnya kepada rakyat dalam menggubal
dan mencampuri urusan undang-undang bahkan syara’. Sedangkan syara’ adalah
milik Allah dan Islam menetapkan bahawa Allah adalah kuasa mutlak yang
tertinggi.
3) Dalam Islam,
konsep syura adalah bagi mereka yang layak dan memenuhi kriteria yang
ditetapkan oleh Islam. Dan syura inilah yang akan menentukan sesuatu keputusan
yang dilakukan walaupun bilangan anggotanya adalah sedikit.
Hal ini dapat dilihat ketikamana perlantikan Saidina
Abu Bakar menjadi khalifah yang pertama, beliau dibai’ah dahulu oleh 5 sahabat
kemudian barulah diikuti oleh para sahabat yang lain. Hal ini berbeza dengan
sistem demokrasi dalam pilihanraya yang meletakkan konsep majoirti adalah
penentu.
Dalam Islam, sesuatu perkara hendaklah dirujuk kepada
ahlinya, bukan hanya berdasarkan kepada majoriti suara semata-mata. Maksud daripada
firman Allah dalam Surah An-Nisa’ pada ayat ke-59 :
“Wahai orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah
rasul-Nya serta pemimpin kamu. Maka sekiranya kamu berselisihkan akan sesuatu
perkara hendaklah kamu kembali atau rujuk kepada Allah dan rasul-Nya sekiranya
kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.”
Ulama sepakat bahawa yang dimaksudkan dengan kembali
atau rujuk kepada Allah dan rasul adalah rujuk kepada Al-Quran dan hadis. Maka
bukan semua orang mampu atau berautoriti dalam menguruskan hal ini melainkan
ulama dan mereka yang mendalami ilmu agama. Maka dalam sistem pilihanraya,
jelas ia bertentangan dengan Islam, kerana bukan semua rakyat adalah ulama dan
mendalami ilmu agama, maka bagaimana boleh dikira suara majoriti mereka adalah
penentu?
Saidina Umar di zaman pemerintahannya memilih 6
sahabat sebagai anggota syura dalam membincang pelbagai perkara. Bahkan banyak
pembaharuan yang dilakukan di zaman beliau. Beliau, Saidina Umar tidak
mengambil majoriti suara rakyat yang berada di bawah, namun hanya memadai
dengan suara majoriti daripada 6 sahabat yang dipilih. Hal ini menunjukkan suara
majoriti rakyat sebagaimana yang digunapakai dalam sistem pilihnaraya demokrasi
ini bukanlah menjamin sesuatu keputusan tersebut adalah betul. Bahkan konsep
syura adalah bergantung kepada ahlinya iaitu mereka yang mempunyai kelayakan
bukan semua rakyat.
Demokrasi Dari Kacamata Islam
Demokrasi Dari Kacamata Islam
Sebagaimana yang dinyatakan di atas, demokrasi
merupakan sistem yang memberikan ruang kepada rakyat untuk memilih wakil-wakil
mereka dalam pilihanraya yang diadakan. Ia mengambil kira majoriti suara rakyat
dan meletakkan ia sebagai timbangan pilihan rakyat secara bebas.
Sistem demokrasi adalah tidak lain, pada asalnya bagi
memberikan hak sama rata kepada rakyat dan kebebasan. Maksudnya setiap individu
layak untuk bertanding menjadi calon. Ia sekaligus menolak sistem pemerintahan
secara diktator. Rakyat juga diberikan ruang untuk menilai dan muhasabah
pemerintah yang sedia ada bagi menentukan pemerintah bagi sesi akan datang.
Justeru, dalam Islam, demokrasi yang dilihat dari
sudut politik ini dalam memberikan kebebesan untuk memilih pemimpin mereka
melalui pilihanraya yang adil dan telus adalah menepati syariat Islam. Dan
inilah sebenar tuntutan Islam dalam mewujudkan pentadbiran yang adil.
Sehubungan itu, alasan dan serta hujah yang dibawa
oleh golongan yang menolak sistem demokrasi secara total akan dijawab dengan
beberapa hujah yang akan dibentangkan sebentar lagi.
1) Menjawab :
Sistem demokrasi adalah celupan daripada pihak Barat dan ia merupakan rekaan
dalam Islam
Berdasarkan hadis-hadis yang menerangkan berkenaan bid’ah
dan kewajipan memegang sunnah merupakan perkara yang disepakati oleh ulama.
Sistem demokrasi walaupun ia tidak pernah dilakukan oleh baginda SAW namun ia
bukanlah menjadi hujah ia tertolak. Hal ini demikian kerana, bid’ah yang
terlarang adalah yang bercanggah dengan Islam. Demokrasi membawa ke arah
kebebesan bersuara dan hak sama rata dan ia tidak bercanggah dengan Islam.
Disebabkan itu, alasan “apa yang Nabi SAW tidak pernah lakukan” bukanlah hujah.
Untuk perbahasan terperinci rujuk artikel lepas di : http://www.manhal.pmram.org/2012/05/nabi-saw-tidak-pernah-lakukan-hujah.html
Bahkan Islam tidak melarang
untuk mempraktikkan sesuatu teori atau teknik (dalam konteks urusan keduniaan)
daripada orang bukan Islam. Dalam peperangan Khandak, sistem parit adalah hasil
idea daripada Farsi. Bahkan selepas peperangan Badar, Nabi SAW menyuruh setiap tawanan
Badar untuk mengajar menulis dan membaca akan 10 kanak-kanak Islam di Madinah.
Saidina Umar di zaman pemerintahannya juga melaksanakan sistem jabatan dan
cukai melihat kepada kerajaan dunia yang lain. Maka inilah yang disebutkan
sebagai “Kebijaksaan tersebut adalah barang hilang kepunyaan orang mukmin, maka
sesiapa orang Islam yang mendapatinya maka ia (orang Islam) lebih berhak untuk
menggunakannya.” – Fatwa Syeikh Ali Jumaah dalam kitab Al-Bayan Lima
Yashghulu Al-Azhan, ms – 93-95
2) Menjawab : Demokrasi memberikan manusia kuasa mutlak mengatasi kuasa
Allah
Demokrasi yang diterima
dalam Islam bukanlah sehingga memberikan hak mutlak kepada rakyat dalam
memerintah sehingga perkara syarak dan melebih kuasa tuhan. Islam menjaga akan
ketetapan-ketetapan yang telah diperuntukkan.
Dalm konteks demokrasi yang
diterima dalam Islam, hak memerintah adalah bagi memilih pemerintah untuk
mengurusan dan mentadbir urusan dunia sahaja. Bermaksud, kebebasan tersebut
adalah untuk memilih pemimpin mereka untuk melaksanakan amanah dalam menjaga
agama dan hak asasi secara adil.
Dr Yusuf Al-Qardhawi
berkata di dalam kitab Ad-Din Wa As-Siyasah :
“Yang kita maksudkan dengan demokrasi (yang diterima dalam Islam) ialah
dari sudut politiknya iaitu intipati demokrasi ialah rakyat memilih pemerintah
yang akan mentadbir urusan negara. Maka ini sebagaimana yang ditekankan oleh
Islam melalui konsep syura dan bai’ah. Hal ini demikian kerana Islam menolak dan
mencela sistem pemerintahan firaun dan diktator. Dan sesungguhnya Allah
bersama-sama dengan jemaah. Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda kepada Abu
Bakar dan Umar : {Sekiranya kamu berdua bersepakat dalam satu pandangan,
maka aku tidak akan bertentangan dengan kamu.[1]}
Hadis ini menjadi dalil bahawa Nabi SAW memperakui akan suara majoriti.”
Mufti Mesir, Syeikh Ali
Jumaah dalam kitab Al-Bayan Lima Yashghulu Al-Azhan menyebutkan bahawa :
“Apabila kita menyebut akan demokrasi yang dikehendaki, bukanlah
bermaksud kuasa rakyat menggantikan kuasa Allah. Demokrasi yang diterima di
negara-negara Islam ialah dari konteks meletakkan dasar dari sudut politik
untuk memilih pemerintah, konsep syura, nasihat, amar makruf nahi mungkar dan
menentang kezaliman. Dengan erti kata lain, demokrasi yang diterima ialah ia
sebagai wasilah atau cara dalam mencapai satu taraf hidup yang lebih baik dan
terjaga kehormatan (dengan cara memilih pemimpin yang adil). Justeru, tidak
menjadi masalah menggunakan istilah barat seperti ‘demokrasi’ kerana hukum
bukan dilihat pada sesuatu nama akan tetapi dilihat kepada intipati sesuatu
tersebut.”
Disebabkan itu, dalam
sistem demokrasi yang diterima oleh Islam ialah kita bukan taqlid iaitu
mengikuti secara mutlak sebagaiman yang dilakukan oleh pihak Barat. Akan tetapi
kita mengambil apa yang baik dan bersesuaian dengan tidak bercanggah dengan Islam.
Justeru, apabila demokrasi yang dijalankan dari sudut politikl iaitu memberikan
ruang untuk rakyat menilai dan memilih pemerintah tanpa melebihkan sehingga
melampaui had syara, maka ia tidak bermasalah.
Justeru, yang dimaksudkan
dengan kuasa rakyat atau pemerintahan rakyat ialah dari sudut menafikan
pemerintahan mutlak seseorang atau diktator, bukannya menolak kuasa Allah dari
konteks syara’.
3) Menjawab : Konsep syura adalah tidak sebagaimana yang dikehendaki oleh
Islam
Intipati demokrasi ialah
syura dalam memilih pemerintah melalui pilihanraya. Islam juga akan
mementingkan konsep syura kerana Allah bersama-sama dengan jemaah. Dan juga
keputusan yang dibuat melalui syura iaitu perbincangan adalah terlebih baik
daripada keputusan individu semata-mata.
Hal ini demikian kerana
pemerintahan secara diktator menggunakan kausa mutlak untuk memilih pengganti
atau mengadakan pilihanraya sebagai gimik namun suara majoriti rakyat
diketepikan.
Justeru demokrasi yang
diterima oleh Islam ialah melihat kepada intipati sistem tersebut iaitu konsep
syura. Adapun hujah berdasarkan ayat Al-Quran dalam surah An-Nisa pada ayat
ke-59 yang memberikan maksud hanya ulama dan mereka yang mendalami ilmu agama
sahaja yang layak dalam konteks rujuk dan mengkaji mengani urusan agama.
Perkara ini adalah sepakat ulama. Namun begitu, perlu ingat bahawa ia hanya
dalam konteks agama kerana ulama adalah orang yang mempunyai kemahiran dalam
bidang agama.
Adapun dalam konteks urusan
keduniaan seperti pilihanraya yang merupakan wasilah yang bersesuaian pada kehidupan
hari ini, maka ia merupakan perkara ijtihad dalam urusan dunia yang terserah
kepada manusia umum untuk membuat pilihan. Justeru, ia mestilah
memerlukan kepada suara majoriti dalam membuat sesuatu keputusan sebagaimana
juga dalam konteks syura atau mesyuarat.
Maka ia tidak ada masalah
kerana bukanlah apa yang ditentukan oleh manusia tersebut akan sesuatu pilihan
adalah tercela secara mutlak. Justeru, dalam konteks ini Allah memberikan ruang
kepada akal yang diberikan untuk menilai dan membuat pilihan selagimana pilihan
tersebut tidak bertentangn dengan syara’.
Maka jelas, rakyat
merupakan ahlinya dalam memilih pemerintah mereka kerana mereka tahu apa akan
calon-calon yang bertanding dan mereka mampu menilai mana calon yang akan
menjalankan amanah dengan baik dan adil.
Dr Wahbah Az-Zuhaily
berkata 3 syarat bagi menjadikan mereka sebagai ahli dalam sesuatu perbincangan
dan keputusan seperti pengundi :
- Adil dalam membuat keputusan
- Mempunyai pengetahun asas berkaitan sifat yang mesti dimiliki oleh
seorang pemerintah
- Bijaksana ketika membuat pilihan atau undian
Justeru, dengan kemajuan
teknologi yang ada, sumber maklumat yang luas dan jaringan media yang tersebar,
maka rakyat mampu menilai dalkam konteks pilihanraya. Maka apabila rakyat
mempunyai syarat ini maka, pilihanraya jelas menjadi konsep syura yang terbesar
dalam menentukan pemerintah mereka.
Mengenai bilangan ahli
syura sebagaimana alasan atau hujah yang dibawakan oleh pihak yang menolak
demokrasi secara total dengan mengatakan memadai Saidina Umar melantik 6
sahabat sebagai ahli syura beliau, maka tidak ada dalil daripada Al-Quran
dan sunnah serta ijma’ yang menetapkan bilangan yang tertentu. Ia adalah
bergantung kepada ijtihad. – Dr Wahbah Az-Zuhaily, kitab Fiqh Adillah Wa
Adillatuh, jilid ke-8 – m/s 6172
Justeru, tidak ada masalah
jika, dalam pilihanraya, kerajaan menetapkan bahawa semua rakyat yang mencukupi
syarat-syarat tertentu untuk mengundi ia dikira sebagai saksi dalam memberikan
undi. Dan ia tidaklah bertentangan dengan konsep syura dalam Islam sebagaimana
maksud daripada firman Allah dalam Surah Ali Imran pada ayat ke-159:
“Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam sesuatu perkara. Maka apabila
kamu telah berazam maka tawakkallah kepada Allah.
Kesimpulan
Kesimpulan
Maka berdasarkan kepada
kita, jelas bahawa demokrasi wujud di dalam Islam sebagaimana yang telah
dinyatakan di atas. Namun begitu, sistem demokrasi di dalam Islam mestilah
bukan sebagaimana yang dianjurkan oleh pihak Barat iaitu sehingga melampaui had
syara’. Maka selagimana demokrasi yang diamalkan dari sudut politik dalam
mengadakan pilihanraya yang adil dan telus untuk memberikan rakyat menilai dan
membuat pilihan untuk memilih wakil mereka, maka ia tidak bercanggah dengan
syara’. Hal ini dikuatkan lagi apabila demokrasi yang ada pada hari ini adalah
:
1- Menolak sistem diktator atau pemerintahan ala firaun yang menggunakan
kuasa yang sewenang-wenang dengan menzalimi rakyat.
Maksud daripada firman
Allah dalam surah Al-Qasas pada ayat ke-4 :
“Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi dengan melampaui batas,
serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas satu puak di
antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak
perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.”
2- Pilihan adalah berdasarkan keputusan suara majoriti. Ia merupakan
konsep syura dalam membuat sesuatu pilihan.
3- Pemerintah yang dipilih merupakan pilihan majoriti rakyat. Pemerintah yang
dikasihi dan diredhai oleh kebanyakkan rakyat.
Daripada Ibnu Abbas
meriwayatkan, Nabi SAW bersabda :
“3 golongan yang tidak diteriman solat mereka : lelaki atau satu kaum
yang mereka ini dibenci, wanita (isteri) yang dimuraki oleh suaminya dan dua
saudara yang bermusuh-musuhan.” – Ibnu Majah no 971
Berdasarkan hadis di atas,
Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebut, maka apabila seseorang yang dipilih untuk
menjadi imam solat hendaklah ia disukai oleh para makmumnya supaya solat yang
diimami tersebut diterima. Justeru, penjagaan ini dalam konteks imam solat, maka
lebih-lebih lagi dari konteks pemerintah negara, ia mestilah disukai dan
disenangi oleh rakyatnya.
Nabi SAW bersabda :
“Sebaik-baik pemimpin kamu ialah kamu mengasihi mereka dan mereka
mengasihi kamu, kamu mendoakan merekan dan mereka mendoakan kamu. Dan seburuk-buruk
pemimpin ialah kamu membenci mereka dan mereka membenci kamu dan kamu melaknat
mereka dan mereka melaknat kamu.” – Muslim no 1855
Wallahu a’lam
"Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar"
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"
Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012
Rujukan :
1- Al-Bayan Lima Yashghulu Al-Azhan, oleh Syeikh Ali Jumaah, cetakan
Al-Muqattam Li An-Nasyr Wa At-Tauzik
2- Fiqh Al-Islam Wa Adillatuh, jilid ke-8, oleh Dr Wahbah Az-Zuhaily,
cetakan Dar Al-Fikr
3- Al-Islam Wa As-Siyasah, Dr Muhamad Imarah, cetakan Dar At-Tauzik Wa
An-Nayr
4- Ad-Din Wa As-Siyasah, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah
Wahbah
5- Qadhaya Fiqhiyyah Mu’asorah, kitab Syariah Islamiah tahun 4, Universiti
Al-Azhar, Kaherah
[1] Riwayat Imam Ahmad no 17994
0 comments:
Post a Comment