HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Monday, January 13, 2014

Laksanakan Syariat Islam : vol 2 (Risalah Dakwah 15)

[1]. Rentetan daripada statistik dan pendedahan kes jenayah yang sangat membimbangkan akhir-akhir ini, maka saya ingin mengajak semua untuk memberikan kesempatan waktu memikirkan sejenak solusi yang ditawarkan oleh Islam dalam menangani jenayah ini. Menurut lembaran sejarah negara, sejak pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka dan di negeri-negeri Melayu sebelum dijajah oleh Inggeris telah melaksanakan hukum syarak dengan berpandukan kepada teks-teks Melayu Lama yang termuat di dalamnya hukum Syara’.

[2]. Sehinggakan dalam satu kes (Ramah lawan Laton 2), Mahkamah Rayuan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu memutuskan bahawa undang-undang Islam bukanlah undang-undang asing tetapi undang-undang tempatan dan undang-undang negara. Sebelum negara mencapai kemerdekaan, terdapat beberapa enakmen yang berkaitan dengan perundangan Islam telah digubal dan dikanunkan oleh badan perundangan. Contohnya, hukuman yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Melaka seperti qisas, hukuman had potong tangan ke atas pencuri dan had rejam terhadap penzina telah dikanunkan pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1445 - 1458M).

[3]. Begitu juga bukti lain yang sepertimana yang direkodkan pada Batu Bersurat Terengganu bertarikh 22hb Februari 1303M telah memperuntukkan kesalahan jenayah Islam dan hukumannya. Secara langsung membuktikan bahawa negara Malaysia yang terbina pada hari ini, pernah mengaplikasikan Undang-Undang Jenayah Islam sebelum ia secara terancang dan halus disisihkan oleh koloni Inggeris seawal tahun 1771 dengan memperkenalkan Piagam Keadilan Pertama 1807 dan disusuli dengan penggubalan Kanun Acara Jenayah, Kanun Acara Sivil dan Kanun Keseksaan.

[4]. Sehinggalah pada hari ini, jurisdiksi Undang-Undang Jenayah Islam telah disempitkan sepertimana yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam Jadual Kesembilan, Senarai Dua, Butiran Satu. Termasuklah penggubalan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1984 yang telah menghadkan Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi 3 tahun atau denda tidak melebihi RM 5,000 atau sebatan tidak lebih 6 kali atau kombinasi mana-mana hukuman tersebut.

[5]. Sebagai seorang Muslim yang cintakan rakyat dan negara ini, adalah menjadi hak saya dan masyarakat Islam berhukum dengan pensyariatan yang diimani keadilannya, keunggulannya dan ketinggiannya. Syariat dianggap sebagai satu juzuk yang tidak terpisah daripada agama, maka keimanan ummat Islam tidak dikira sempurna melainkan dengan berhukum berdasarkannya. Kita tidak mempunyai pilihan yang lain setelah mana kita berpegang dengan Islam dan merelakannya sebagai agama, syari’at dan sistem kehidupan. Marilah kita menginsafi firman Allah ;

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا

“Dan tidaklah bagi seorang lelaki mukmin dan seorang wanita mukminah, apabila Allah dan rasul-Nya telah membuat sesuatu ketetapan, akan ada pilihan lain dalam urusan mereka. Barangsiapa derhaka terhadap Allah dan rasul-Nya, maka sungguh, dia telah tersesat dengan kesesatan yang nyata” (Surah Al-Ahzab : 36)

Nasrudin bin Hassan
Timbalan Pengerusi 1 Lajnah Dakwah PAS Pusat
Mencorak Masa Depan

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive