Amalkan Tabayyun “Maklumat”
Kuat dan luasnya paksi perjuangan yang berlandaskan kebenaran adalah banyak bergantung kepada benar dan tepatnya maklumat selain daripada tunjangnya adalah prinsip dan aqidah perjuangan yang sahih. Justeru perjuangan berkait rapat dengan sokongan dan penerimaan masyarakat, sementara sokongan dan penerimaan itu pula banyak dibantu oleh maklumat yang benar dan tepat.
Maklumat yang disebar dan disampaikan tanpa mengetahui kesahihannya adalah menjejaskan kredebiliti perjuangan dan merosakkan integriti pejuang. Tambahan maklumat yang mencetuskan pertelingkahan dan salah faham dikalangan penerima gara-gara salah fakta dan tidak diketahui sumber atau punca. Ia menjadi fitnah yang memusnahkan keutuhan perjuangan dan kesejahteraan hubungan.
Hayati firman Allah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (surah al-Hujurat: ayat 6)
Teknologi maklumat adalah anugerah Allah yang mesti disyukuri dengan memanfaatkannya secara amanah dan penuh tanggungjawab. Jangan jadikan teknologi tersebut sebagai saluran pantas mencipta dosa dan noda. Kelak murka Allah tidak tertanggung oleh kita.
Teknologi maklumat adalah anugerah Allah yang mesti disyukuri dengan memanfaatkannya secara amanah dan penuh tanggungjawab. Jangan jadikan teknologi tersebut sebagai saluran pantas mencipta dosa dan noda. Kelak murka Allah tidak tertanggung oleh kita.
Memanglah mudah untuk copy paste sesuatu maklumat sebagaimana mudah juga untuk share dan forward maklumat tersebut, tetapi ingatlah bahawa Malaikat Allah tetap berupaya menerobos masuk ke segenap talian digital. Jaringan cyber jua bukan zone bebas dari pemantauan Malaikat Allah. Bukankah Allah itu Maha Mengetahui? Maka jangan cipta dosa dalam keghairahan kita ber-facebook, twitter dan mengendali website.
Penerangan dan penyampaian maklumat jalur konvensional seperti ceramah, kuliah, forum, wacana, maqalah, majallah, kenyataan media dan sebagainya juga mesti dielakkan dari fitnah, salah fakta dan sumber yang kabur. Demikian juga maklumat “hear say” kerana pastinya ia mencalar reputasi kita sebagai penyampai kebenaran.
Bagaimanalah kita layak digelar pejuang kebenaran jika maklumat yang kita sampaikan itu pun tidak pasti kebenarannya? Dalam masa yang sama kita juga mesti menolak gaya maki hamun dan pendekatan caci nista dalam penyampaian kita. Kemukakan pandangan, komen, kritikan, nasihat dan sebagainya dengan fakta yang benar dan betul serta membawa pendekatan yang harmoni dan cool.
Sebagaimana kita dilarang syara’ menyebarkan maklumat yang salah dan berbaur fitnah, demikianlah kita diajar supaya tidak menelan bulat-bulat sebarang maklumat yang diterima atau yang disampaikan kepada kita. Sebaliknya siasat (tabayyun) kebenaran maklumat itu terlebih dahulu dengan teliti dan berhemat sebelum mengambil sikap dan menentu keputusan terhadap maklumat yang diterima.
Langkah ini adalah “firewall” yang akan menyelamatkan kita dari tersalah langkah dan tersilap arah didorong oleh maklumat yang salah. Pastikan setiap kita sebagai pejuang kebenaran ini selamat dari virus yang dibawa oleh maklumat yang salah sama ada di salur input atau dijalur output.
0 comments:
Post a Comment