HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Monday, January 13, 2014

Wanita Dan Politik (Risalah Dakwah 18)

[1]. Politik adalah satu tuntutan syara' dan menjadi keperluan ummah. Ia menepati satu bahagian agama yang wajib ditangani berlandaskan petunjuk Allah untuk menyusun atur dan mengurus tadbir kehidupan ummah di atas muka bumi ini. Tanpa petunjuk Allah s.w.t, politik menjadi kotor dan kejam. Inilah antara peranan utama khalifah Allah swt di atas muka bumi sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam Al Mawardi dalam kitabnya Al Ahkam As Sultaniyyah :

نِيابةً عن النبوة في إِقامة الدين و سياسة الدنيا به
"Menyambung tugas kenabian dalam urusan menegakkan agama (Islam) dan mentadbir dunia dengan menggunakan agama (Islam)."

[2]. Tugas ini bukan hanya terpikul di bahu kaum lelaki tetapi juga di pundak kaum wanita. Justeru kaum wanita juga bertanggungjawab untuk melibatkan diri dengan perjuangan ini bagi menegakkan syariat dan mencegah kemungkaran. Islam tidak mengenepikan wanita dan peranan mereka dalam kehidupan, perjuangan, mempertahankan hak serta berlumba-lumba menggapai pahala dalam setiap amal kebajikan. Firman Allah :

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah At Taubah : Ayat 71)

[3]. Janganlah kaum wanita menganggap bahawa urusan perjuangan khasnya di pentas politik hanya urusan kaum lelaki sebaliknya keperluan kaum wanita menangani kerencaman politik moden hari ini sangat diperlukan. Penglibatan wanita dalam kancah politik tanahair menjadi satu kewajipan kontemporari terutama bagi mengangkat maruah kaum wanita yang sering dieksploit oleh politik Machiavelli yang tidak mempunyai sempadan dosa dan pahala.

[4]. Wanita menjadi salah satu sayap penting kepada perjuangan untuk memartabatkan maruah ummah dengan menegakkan keadilan, kebenaran dan keluhuran aqal budi manusia berpaksikan petunjuk Allah, Tuhan Yang Maha Mencipta. Wanita tidak lagi boleh terperuk di dapur tetapi bangkit menjadikan dapur mereka sebagai kilang untuk menyajikan segala keperluan ummah untuk tampil dan muncul sebagai ummat yang kuat dan terbaik sebagaimana yang telah diisytiharkan oleh Allah di dalam Al Quran :

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik."
(Surah Ali Imran : Ayat 110)

[5]. Namun penegasan penting bagi kaum wanita sebagai susuk tubuh yang dimuliakan oleh Allah, agar memelihara maruah diri apabila keluar ke medan juang. Jangan berjalan seorang diri melainkan ditemani mahram atau dalam kelompok wanita yang ramai dan selamat. Pelihara aurat wanita serta tidak melunakkan suara sehingga mencetus fitnah dalam bermuamalah dengan kaum lelaki yang bukan mahram. Sementara kaum lelaki yang bergelar suami atau ayah kepada wanita, benarkanlah mereka turun ke medan juang malah iring dan temani mereka menyertai perjuangan suci ini. Jangan "kurung"  jasad dan pemikiran mereka sehingga memberi peluang kepada musuh terus keriangan "menjarah" dan "menjajah" pemikiran ummah khasnya kaum wanita.

Nasrudin bin Hassan
Timbalan Pengerusi 1 Lajnah Dakwah PAS Pusat

Mencorak Masa Depan

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive