HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Saturday, November 1, 2014

Memelihara Ketulenan Manhaj Perjuangan PAS

Perjuangan tidak hanya berasaskan semangat malah penglibatan kita bersama PAS sebagai sebuah parti politik juga bukan kerana memenuhi tuntutan demokrasi. Sebaliknya penglibatan (intima’) kita adalah berpaksi kepada Iman dan Islam. Apa yang kita mahu tegakkan ialah Iman dan apa yang kita mahu daulatkan ialah Islam. Inilah cita-cita murni yang sekali-kali tidak boleh kita benarkan ianya dipengaruhi oleh nafsu dan dikuasai oleh aqal yang terpisah dari wahyu. Justeru cita-cita ini terlalu suci untuk dipengaruhi selain Iman yang tidak berbelah bahagi dan Islam sebagai risalah samawi.

Malang sungguh apabila perjuangan ini dicampur-aduk dengan desakan nafsu yang memburu ruang untuk menyerlah populariti dan publisiti malah membina indentiti diri tanpa mempeduli ketulenan manhaj Rabbani. Barangkali kita akan ketemui apa yang diburu biarpun hanya mengatas-namakan perjuangan Islam ini. Persoalannya, berbaloikah perjudian itu? Siang malam bergelut menghadapi ancaman. Saban waktu pula meredah rintangan. Bersama perjuangan ini dengan mengambil pelbagai risiko yang mungkin membinasakan diri, hanya semata-mata untuk menggapai cita-cita peribadi yang berpaksi kepuasan naluri.

Keabsahan Perjuangan

Perjuangan yang disertai ini adalah untuk sebuah kembara mencari kedaulatan buat Islam. Laksana pengembaraan Nabi sallallahu’alaihi wasallam bersama para sahabatnya membelah alam jahiliyyah memacu hijrah membina sebuah daulah. Segala rintangan dan halangan dihadapi dengan tabah. Sengsara dan deritanya didepani dengan sabar. Perit jerih atas segalanya menjadi ibadah yang ditekuni tanpa mengalah.

Malang 1001 kali malang andai perjuangan ini tidak ubah seperti batu loncatan untuk memenuhi cita-cita politik. Mencari pengaruh, jawatan dan gelaran. Sukar kita memelihara ketulenan perjuangan yang didokong ini jika kita gagal membebaskan diri sepenuhnya dari pengaruh nafsu dan kepentingan duniawi. Keabsahan atau ketulenan manhaj perjuangan mesti dipelihara dari anasir yang merosakkannya. Semua anggota jamaah mesti peka dalam menilai antara manhaj perjuangan yang tulen berasaskan sirah perjalanan nabi kita Muhammad sallallahu’alaihi wasallam atau manhaj perjuangan palsu yang meniti di atas jalur kepentingan politik dan peribadi.

Ketulenan manhaj perjuangan dapat dikenal pasti melalui pengambilan skema amal tarbawi yang mantap melalui silibus am tinggalan Baginda Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam dan diperkemas kini oleh ulama al-a’milin al-mujahidin yang memimpin ummah. Satu pencabulan terhadap manhaj perjuangan andai ia dipimpin atau digerakkan oleh individu atau mereka yang bukan sahaja jahil terhadap manhaj perjuangan al-nabawi tetapi juga bersikap negatif terhadap amal tarbawi. Lebih malang apabila perjuangan ini dipacu berlandaskan teori politik untuk mencapai matlamat tanpa berteraskan akhlak Islami.

Demi memburu kemenangan dalam pilihanraya sebagai contoh, walaupun tiada siapa menafikan kemenangan itu penting namun sekali-kali kita tidak boleh meminggirkan akhlak Islami dalam percaturan politik. Tentu sahaja perjuangan Islam tidak sama dengan gerakan nasionalis atau lainnya yang tidak memiliki kamus dosa dan pahala dalam teori politik mahupun perjuangan mereka. Justeru itu kita jangan terjebak atau terpedaya dengan cara dan gaya mereka berpolitik.

Politik Islam kaya dengan akhlak, moral dan prinsip yang tidak memungkin ianya dibeli apalagi dirasuah lantaran paksinya ialah Iman dan Islam. Ketulenan manhaj perjuangan jua tidaklah dinilai semata-mata dipentas politik pilihanraya tetapi juga melihat bagaimana kita membuat keputusan jamaah, bagaimana kita memimpin jamaah dan menangani ahli, bagaimana kita beraksi di medan dakwah, bagaimana kita mendepani musuh, bagaimana kita bertahaaluf dan sebagainya. Pasti sahaja adab dan akhlak berjamaah seperti syura, dengar dan taat, thiqah, istiqamah, wala’, ukhuwwah, ikhlas dan lainnya mewarnai diri, sikap dan aksi kita sebagai seorang pejuang.

Kita adalah Sebuah Gerakan Islam. Ini satu realiti yang mesti direalisasikan terutama kepada mereka yang diamanahkan sebagai pemimpin jamaah walau dimana posisinya. Bahkan apa pun kepentingan yang kita mahu capai dalam strategi berpolitik dan bergerak memimpin perjuangan ini, kita tidak boleh mencairkan nilai atau standard value bagi sebuah Gerakan Islam. Pembinaan strategi itu benar dan wajar sebagaimana berpolitik itu adalah hak dan amanah perjuangan. Tetapi saya tegaskan sekali lagi, ketulenan manhaj perjuangan mesti dipelihara. Jangan kita abaikan ketulenannya semata-mata mahu melihat strategi kita berjaya dan politik kita menang.
Ingat! Menang tidak bererti benar dan kalah tidak bermakna salah. Justeru itu awas jangan palsukan manhaj perjuangan suci ini. Pemalsuan manhaj perjuangan adalah satu jenayah!
Bagaimana PAS Berjuang?

Masih ada mereka yang gagal memahami, bagaimana PAS berjuang sehingga masih kedengaran suara yang mengatakan perjuangan PAS salah, bida’ah, sesat, tidak mengikut sunnah, bercanggah dengan syariat, hanya mementingkan politik, meragukan dan 1001 tohmahan dilemparkan kepada PAS.

Terlebih dahulu saya akui bahawa PAS tidak sunyi dari kelemahan dan kesilapan sebagai sebuah organisasi yang dipimpin oleh manusia. Namun kesilapan dan kelemahan itu tidaklah membawa PAS terbabas ke ‘gaung dalam’ yang membunuh aqidah dan mencederakan syakhsiyyah sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan Islam. Sebaliknya kelemahan dan kesilapan yang berlaku, bukan sahaja masih boleh diperbaiki dan disempurnakan tetapi nyata PAS mempunyai cara dan kaedah yang cukup baik untuk terus memantau perjalanan organisasinya agar menepati objektif dan ghayahnya (matlamat). Organisasi PAS juga mempunyai pelbagai medium untuk memastikan segala misi dan visi perjuangannya berjalan berasaskan syara’.

Kepimpinan Ulama’, Jawatan Kuasa Disiplin Parti, Muktamar Tahunan, Majlis Syura Ulama’, Mesyuarat Dewan Harian, Mesyuarat Bulanan, Mesyuarat Khas , Liqa’ Fikri, Tamrin, Mukhayyam, Kuliah Haraki, Usrah Mingguan, Konvensyen PAS Negeri, Ijtimak Pilihanraya, Kuliah Agama dan banyak lagi cara dan kaedah untuk PAS mengawal organisasinya berjalan melandasi syariat Ilahi dan Sunnah Nabawi.

Jika terdapat perbezaan dalam “approach” atau method perjuangan PAS berbanding kumpulan Islam yang lain, ini tidak bermakna PAS salah dan bercanggah dengan syariat dan Sunnah. Secara umumnya, wajar saya tegaskan bahawa PAS bergerak dalam ruang orientasi yang saya pecahkan secara kasar kepada 3 ruang utama iaitu;
  1. Tarbiyah (pembinaan dan pembentukan)
  2. Dakwah (penerangan)
  3. Siasah (politik)
Tarbiyah dan Pengkaderan

Aset penting yang meletakkan PAS terus istiqamah dan komited dengan perjuangan ialah agenda tarbiyah dan pengkaderan yang menjadi nadi kepada pergerakkan PAS. Tarbiyah digerak dan diaktifkan untuk membina;
  1. Aqidah yang benar berasaskan manhaj Ahli Sunnah wa al-Jamaah
  2. Fikrah yang syumul sebagaimana syumulnya ajaran Islam itu sendiri
  3. Syakhsiyyah yang solehah berasaskan akhlak mahmudah bimbingan Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam.
Sementara pengkaderan pula berfungsi untuk membina;
  1. Kepimpinan yang berkarisma dan berwibawa
  2. Organisasi yang mantap dan hebat
  3. Tindakan yang strategik dan berkesan
Memastikan perkara ini berlaku dalam PAS, Lajnah Tarbiyyah dibentuk pada semua peringkat organisasi PAS, bermula dari peringkat Pusat, Negeri, Kawasan bahkan cawangan. Begitu juga di peringkat dewan-dewan seperti Dewan Ulama’, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat turut meletakkan Lajnah Tarbiyyah antara Lajnah kanan yang diberi tumpuan utama.

Aktiviti asas bagi melaksanakan cita-cita tarbiyyah banyak tertumpu kepada pembentukkan usrah dipelbagai peringkat (kepimpinan atau ahli), tamrin, liqa’ fikri dan pelbagai program atau aktiviti semasa yang dilihat perlu dari masa ke semasa dengan berbagai wajah yang menghormati kepentingan kepelbagaian approach.

Kini PAS melalui Dewan Pemudanya pula menubuhkan Akademi Kepimpinan Pemuda yang akan berfungsi bersama pelbagai modulnya untuk mengkaderkan kepimpinan pelapis yang berwibawa menepati karisma seorang pemimpin Islam yang soleh.

Dakwah Menyeru Kepada Jalan Allah

Berlandaskan perintah Allah yang mewajibkan setiap individu Muslim menyampai dan menyebarkan Islam, dakwah telah menjadi aktiviti asas yang sangat principal sifatnya. Biarpun PAS menghadapi aneka halangan dan ancaman dari pelbagai pihak termasuk polis/ FRU yang sering digunakan oleh musuh-musuh Islam yang menghalang kemaraan dakwah Islam ke tengah masyarakat, dakwah untuk menginsafkan ummah agar kembali kepangkuan Islam serta berjuang mendaulatkannya tetap diteruskan.

Ada di kalangan pemimpin PAS yang dibunuh, dipenjara, dibuang daerah dan dikenakan pelbagai tindakan kerana dakwah mereka. Namun segalanya tidak menghalang PAS dari terus melaksanakan amanah besar ini sebagai sebuah Gerakan Islam yang pastinya bertanggungjawab terhadap masa depan ummah. Tugas dakwah ini digalas oleh semua, dari Presiden hinggalah ahli biasa dengan peranan masing-masing berasaskan keupayaan atau kemahiran mereka malah turut menghormati tahap keupayaan masing-masing.

Maudhu’ (kandungan) dakwah PAS sangat jelas, menepati apa yang diajar oleh Allah. PAS mendekati semua lapisan masyarakat. Bermula dengan masyarakat yang tertindas hinggalah pemimpin yang menindas dan umat yang lesu hinggalah ulama’ yang bisu. Pelbagai pendekatan diketengahkan dalam membawa mesej perjuangan.

Pendekatan dakwah PAS melengkapi dua kategori utama;
  1. Dakwah ‘Ammah (umum) - Kuliah agama, forum, seminar, ceramah umum, muzakarah, debat, program motivasi, demonstrasi, penerbitan buku, tulisan di blog dan akhbar, edaran VCD atau video yang dimuat naik, edaran risalah, talk show, dialog dan lain-lain lagi.
  2. Dakwah Fardiyyah (khas) - Pertemuan tertutup, ziarah dan dakwah serta aktiviti-aktiviti amal kebajikan.
Dakwah PAS tidak bermusim dan tidak juga tertakluk kepada kepentingan pengaruh individu dan politik. Biarpun sehari selepas tamatnya pilihanraya, PAS telah memulakan aktiviti dakwahnya kepada masyarakat, demikian juga sehari selepas dibebaskan dari penjara pimpinan PAS terus melangsungkan dakwahnya. Sekalipun dakwah yang dibawa oleh PAS tidak popular malah menerima tentangan sengit dari pelbagai pihak seperti hukuman hudud, PAS tetap menunaikan tanggungjawab dakwahnya dengan memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai peri pentingnya Negara kita melaksanakan undang-undang dan peraturan Islam itu.

Biarlah kita kehilangan undi popular dan sokongan ramai yang membawa kita kalah dalam pilihanraya, namun dakwah untuk membawa Islam kesetiap pintu hati manusia tetap diteruskan.

Pendekatan Siasah

Islam adalah agama yang syumul, merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuklah politik. Mengasingkan politik dari perjuangan Islam ertinya mengurangkan sukatan perjuangan Islam yang telah diperjuangkan oleh Nabi. Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan adalah kewajiban umat Islam. Kata Imam Ghazali dalam Ihya’ Ulumiddin;
الدين أصل والسلطان جارس، فما لا أصل له فمهدوم و ما لا حارس له فضائع
“Agama adalah tapak dan pemerintah ( kedaulatan ) adalah pengawal, suatu yang tiada tapak pasti runtuh dan suatu yang tiada pengawal pasti hilang.”

PAS meletakkan politik sebahagian dari tanggungjawab perjuangan yang mesti diperjuangkan. Kini kuasa politik berada ditangan UMNO dan BN yang enggan melaksanakan syariat meskipun berbuih mulut mereka mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam. Malah UMNO dan BN telah menyuburkan bumi Malaysia ini dengan pelbagai maksiat dan mungkar yang telah dihalalkan melalui mazhab hadhari-nya.

PAS berkewajiban mengambil tampuk kuasa politik dari golongan yang enggan melaksanakan syariat Islam dan PAS telah berijtihad untuk menggunakan pendekatan aman dan damai tanpa peperangan dan pertumpahan darah, dalam usaha PAS mahu mengambil alih kuasa politik tersebut. Realiti ini membawa PAS mendaftarkan organisasinya di bawah Pendaftar Pertubuhan dan ianya sah untuk bergerak di sisi undang-undang Negara waktu ini. Semua orang boleh mengakui bahawa Islam tidak boleh dilaksana tanpa kuasa politik. Justeru itu, penglibatan di bidang politik (siasah) adalah kewajiban besar untuk kembali mengangkat Islam ini ke tempat yang selayaknya sebagai agama suci.

Kesimpulan

Saya tidak nampak alasan yang munasabah bagi pihak yang menolak dam meragui hala tuju perjuangan PAS. Mereka barangkali boleh untuk tidak menyertai PAS, tetapi untuk mereka menolak dan menafikan perjuangan PAS adalah suatu yang sangat tidak adil.  Kelemahan dan kesilapan boleh diperbaiki jika ada. Menolak dan menafikan atau meragui perjuangan sucinya yang diasaskan sejak tahun 51 yang lalu memerlukan alasan yang konkrit dan dalil yang pasti, bukan beralaskan emosi dan sentimen perbezaan kumpulan.

Saya selalu menegaskan kepada umum, jika terdapat suatu yang dilakukan oleh PAS bercanggah dengan syariat dan Sunnah, sila nyatakan! Jika ia berbentuk dakwaan, sila kemukan bukti!

Kita mencari kebenaran. Andai benar atau ada, PAS melakukan perkara yang bercanggah dengan syariat atau terkeluar dari manhaj perjuangan Islam sehingga menimbulkan keraguan, saya dan seluruh ahli PAS yang ikhlas terhadap perjuangan pasti akan menyanggahinya. Namun begitu, janganlah tuduhan melulu tanpa lampiran bukti, dakwaan palsu tanpa kepastian dalil dan emosi berprasangka tanpa berlaku adil.

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive