HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Friday, March 13, 2015

Sekali Serban di Lilit. Siri 06

Sekali Serban di Lilit. Siri 06

Sokong Membawa Berkah

Oleh : Pendekar Sakti
www.perjuanganku.com


1. Terkini, ada pihak yang gigih pertikai kewajaran mengekalkan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS. Cadangan Tuan Guru al Mursyidul Am PAS agar Tuan Guru Hj Abdul Hadi dikekalkan sebagai Presiden PAS pun ditempelak kononnya tidak menepati perlembagaan parti. Sememangnya perlembagaan parti membenarkan pertandingan jawatan disemua peringkat. Begitulah kedudukan perlembagaan. Persoalannya bukan salah untuk bertanding dan mencabar jawatan Presiden PAS, tetapi isu besar disini ialah siapa yang mahu mencabar ? Siapa yang mahu menandingi ? Siapa yang mahu ganti Tuan Guru Hj Abdul Hadi ?

2. Tanpa menafikan semua manusia hatta Tuan Guru Hj Abdul Hadi sendiri pun mempunyai kelemahan dan kesilapan manusiawi. Sebab kita semua bukanlah insan yang maksum. Bahkan tiada siapa yang memaksumkan Tuan Guru Hj Abdul Hadi. Malah yang keras mempertikai kelemahan itu pun jauh lebih lemah berbanding orang yang dipertikaikannya. Hanya kerana gatal mulut dan suka mempertikaikan orang lain tanpa menyedari diri sendiri jauh ketinggalan dibelakang. Kata orang kampung, inilah perangai ayam bapak, berkokok bising serata ceruk kampung seperti mahu mengisytiharkan bahawa dialah jaguh dan hebat, tetapi malang tahi yang bergelumang diekor sendiri gagal disembunyikan.

3. Langkah menyokong dan mempertahankan Tuan Guru Hj Abdul Hadi sebagai Presiden PAS bukanlah kerana didorong oleh sikap taasub, jauh sekali memaksumkan beliau. Ia juga bukan sokongan untuk merebahkan beliau sebaliknya ia adalah sokongan untuk menggamit berkah buat perjuangan suci ini. Pastinya keberkatan ada pada pemimpin yang layak lantaran itu yang diajar oleh Nabi saw. Andai kepimpinan diserah pada yang tidak layak maka tunggulah kebinasaannya. Sebagaimana sabda Nabi saw dari Abi Hurairah Rha :

إِذَا ضُيِّعَتِ الأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ " , قَالَ : كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ قَالَ : " إِذَا أُسْنِدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ " .

Apabila berlaku pengabaian amanah maka tunggulah detik kebinasaan. Sahabat bertanya : bagaimana pengabaian itu berlaku Ya Rasulallah ? Jawab Rasulullah saw : apabila diserahkan urusan kepada orang yang bukan berkelayakan maka tunggulah detik kebinasaannya.

Riwayat Imam Bukhari

4. Sokongan diberi kepada Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang agar kekal sebagai Presiden PAS kerana beliau yang terbaik dan paling layak pada masa ini. Saya percaya, mereka yang mempertikai Tuan Guru Hj Abdul Hadi begitu dan begini pun tidak mempunyai calon yang lebih baik daripada Tuan Guru Hj Abdul Hadi. Sekadar mereka nak melepaskan geram dan menunjuk sikap tidak puas hati. Pemimpin mana pun diatas muka bumi ini tidak akan mampu membuatkan semua orang berpuas hati dengannya. Apa yang layak dan wajar, sebagai anggota dan pemimpin parti ialah mendokong, menyokong dan mengukuhkan kepimpinan Tuan Guru Hj Abdul Hadi serta memperbaiki kesilapan jika ada dan memperkuatkan apa yang lemah untuk membentuk saf kepimpinan yang utuh dan jamaah yang kuat.

5. Jamaah dan kepimpinan ini akan kuat dan kukuh jika semua lapisan anggotanya memberikan wala' dan taat yang tidak berbelah bahagi kepada jamaah dan pucuk pimpinan. Sebagaimana kita tidak mahu sokong membawa rebah maka janganlah kita merebahkan beliau tanpa memberi sokongan. Saya lihat apa yang berlaku ialah mereka mahu melemahkan Tuan Guru Hj Abdul Hadi bukan memperbaiki kelemahan.  Sedang pengamatan saya, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang antara pemimpin yang banyak membuka ruang agar dirinya ditegur dan sangat mudah untuk menegur beliau. Malah sememangnya beliau telah menerima teguran dalam pelbagai aspek samaada secara dalaman mahupun dimajlis terbuka dan didada media. Begitulah sikap dan sifat yang menjadikan beliau sangat layak sebagai pemimpin utama Gerakan Islam ini.

Sekian.

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive