HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Saturday, April 25, 2015

PAS Yang Lebih Dinamik. Vol 2

PAS Yang Lebih Dinamik. Vol 2

Oleh : Nasrudin bin Hassan
AJK PAS Pusat

1. Masa depan senantiasa menjanjikan cabaran sengit buat perjuangan Islam. Ini adalah sunnatullah. Justeru itu kita diajar oleh Allah swt supaya membuat persiapan dengan seluruh kekuatan yang kita miliki. Firman Allah swt :

وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

Dan sediakanlah untuk menentang mereka dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.

Surah Al Anfaal : 60

2. Persiapan dan persediaan organisasi adalah antara bentuk persiapan yang penting untuk memastikan PAS senantiasa dinamis mengharungi zaman dan menongkah cabaran. Sungguhpun perjuangan yang kita dokong ini adalah suatu kebenaran, namun ia mestilah digerakkan secara munazzamah (sistematik) khasnya penyusunan organisasi yang kemas dan kepimpinan yang mantap. Kata Saidina Ali Karramallahu Wajhah :

الحق بدون النظام يغلبه الباطل بالنظام

Kebenaran (yang diperjuang) tanpa sistematik, ianya boleh dikalahkan oleh kebathilan (yang diperjuang) dengan sistematik.

3. Ahli PAS bertanggungjawab untuk memilih saf kepimpinan yang mantap guna membentuk organisasi yang kemas dan padu. Bukan pemimpin yang bercakap banyak tapi mutu kerjanya lemah. Sebaliknya parti memerlukan pemimpin yang memiliki akhlak dan disiplin berjamaah yang tinggi. Elakkan pemimpin yang :

a) bocorkan rahsia jamaah
b) lapor minit mesyuarat kepada pihak lain 
c) menubuhkan jamaah dalam jamaah
d) gemar untuk kontra dengan ketua
e) membawa idea  dan agenda peribadi
f) memperlekeh ketua dikhalayak
g) tikam jamaah dari belakang
h) lakukan serang saraf dan fitnah
i ) hilang keyakinan kepada jamaah sendiri
j ) sebelah kaki dalam PAS dan sebelah kaki dalam jamaah lain yang diberikan wala'.

4. Kepimpinan adalah unsur terpenting dalam membentuk kekuatan dalaman. Lemah kepimpinan maka lemahlah dalaman jamaah  kita. Kuat dan kukuh kepimpinan maka hebat dan utuhlah jamaah kita. Maka kepimpinan mesti terdiri dari saff yang padu dan bersatu dengan sendi ketaatan, kesetiaan, kejujuran, ukhuwwah, thiqah dan sebagainya. Secara demokrasinya, perwakilanlah yang bertanggungjawab memilih koalasi kepimpinan dan kemudiannya yang terpilih itu pula bertanggungjawab memaknakan kepercayaan ahli kepada mereka dengan makna yang betul menepati manhaj perjuangan  jamaah yang didokong.

5. Rata - rata saya lihat ahli PAS atau perwakilan menyokong kepimpinan Al Fadhil Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Awang sebagai presiden parti melalui satu sokongan yang disulam kukuh dengan kepercayaan serta keyakinan tinggi terhadap kemampuan dan keupayaan beliau memimpin. Namun satu mulaahazat (perhatian) yang perlu saya tegaskan disini bahawa sokongan itu tidak membawa impak besar kepada masa depan jamaah  jika "team kerja" beliau yang bakal dipilih oleh perwakilan tidak terdiri dari kalangan mereka yang boleh bekerja sama dan gigih membantu presiden ke arah mencapai gagasan dan wawasan perjuangan.

6. Masih segar dalam ingatan saya dan jelas terngiang - ngiang ditelinga mendengar ucapan Tuan Guru Presiden di Muktamar PAS Pusat yang berlangsung di Johor tahun lepas. Lebih kurang ucapan beliau :

 "Saya ucapkan terima kasih kepada semua pimpinan yang berucap menyatakan sedia berdiri teguh di belakang saya, tapi apa yang saya bimbang apabila saya pandang ke belakang, tidak ada orang"

Ini sebenarnya adalah suara hati Tuan Guru Presiden dan satu ingatan jelas bahawa untuk meletakkan PAS sebagai jamaah yang dinamis, beliau mahu dan perlukan team kerja yang benar - benar menepati erti "berdiri teguh dibelakang" bagai yang diucap, bukan team yang jauh duduk dibelakang atau yang suka memintas dan menghadang di depan.

7. Banyak kritikan dilemparkan kepada PAS dan sebahagiannya dituju kepada kepimpinan beliau. Namun pada pengamatan saya, sebahagian besar pada kelemahan yang dikritik itu adalah berpunca dari kegagalan team kerja yang padu. Bermula dari arahan yang gagal ditaati sehinggalah tindakan mempertikai dan menempelak beliau dikhalayak. Lebih malang, ada yang menelan bulat - bulat fitnah yang dicipta musuh untuk memburukkan peribadi dan reputasi beliau sebagai presiden parti. Antara fitnah jahat yang popular dan turut dipercayai oleh sebahagian pimpinan PAS ialah kononnya Tuan Guru Hj Abdul Hadi mahu membawa PAS bergabung dengan UMNO dan BN.

8. Kedengaran pula mutaakhir ini, pihak yang membandingkan kepimpinan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dengan kepimpinan Al Marhum Tuan Guru Hj Fadhil Noor. Kononnya di era ini bakal berlakunya perpecahan hebat, lahirnya golongan ekstrim PAS dan sebagainya. Saya teringat kisah orang bertanya kepada Saidina Ali Karramallahuwajhah, kenapa zaman kepimpinan beliau terlalu banyak perpecahan sedang tidak sedemikian di zaman Abu Bakar, Umar dan Uthman Ridhuanullah A'laihim Ajmai'n. Lalu jawab Saidina Ali Karramallahuwajhah : "kerana mereka memimpin orang seperti aku sedang aku hari ini memimpin orang seperti kamu"

9. Kisah ini secara tidak langsung menjelaskan peri pentingnya kedudukan team kerja bagi seorang ketua dalam sebuah koalasi kepimpinan. Saya masih ingat di zaman kepimpinan Al Marhum Tuan Guru Hj Fadhil Noor sebagai presiden parti, dimana Tuan Guru Hj Abdul Hadi selaku Timbalan Presiden pada waktu itu turut mendapat pencalonan yang tinggi dari perwakilan untuk kerusi Presiden. Tetapi dengan rendah diri beliau telah menarik diri dan terus berperanan sebagai pembantu yang baik kepada Al Marhum Tuan Guru Hj Fadhil Noor. 

10. Dinamika perjuangan Islam yang digalas oleh PAS mesti bermula dari noktah ini. Tanpa wujudnya satu kombinasi kepimpinan yang padu dan utuh maka siapa pun yang menjadi ketua, kelak kepimpinan itu tetap bermasaalah dan dilihat lemah. Apabila kepimpinan bermasaalah dan lemah, parti akan banyak habis masa untuk selesaikan masaalah dalaman berbanding memacu gagasan perjuangan. Justeru itu, wujudkan team kepimpinan yang padu dan mantap maka ia bagaikan dinamo yang akan meletakkan PAS sebagai sebuah perjuangan yang dinamis menggapai cita - cita Islam.

bersambung .....

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive