HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Tuesday, May 26, 2015

Risalah Dakwah. Siri 115 - Jangan Tinggalkan PAS

  • Sebaik sahaja kaki melangkah masuk menyertai PAS dan memberikan intima' (menggabungkan diri) yang jitu kepadanya, kita sayugianya telah bersedia mengorbankan segala kepentingan diri, masa, tenaga bahkan perasaan untuk diwakafkan kepada perjuangan Islam ini. Tiada apa yang ingin kita cari dengan PAS melainkan redha Allah swt dan kemenangan buat perjuangan Islam yang didokong.
  • Menyertai PAS adalah satu pengorbanan yang pasti, sedang kita mempunyai pilihan lain untuk tidak menyertai PAS.  Menyertai PAS  ertinya kita menolak segala habuan duniawi yang luas terbentang kepada kita di luar sana. Menyertai PAS adalah mendedahkan diri kepada 1001 kepayahan dan kesukaran.  Kita faham dan sedar  realiti ini sebelum menyertai PAS kerana PAS tiada Janji Manis yang diberikan selain redha Allah swt buat pejuang yang ikhlas dan istiqamah.
  • Kedegilan apa yang membuatkan kita tetap menyertai PAS? Tentunya tidak berbaloi jika hanya berdegil untuk mencari kemasyhuran kerana tiada apa yang mahu dimasyhurkan dalam PAS. Malah rugi besar mencari suatu yang lain dari Mardhatillah (keredhaan Allah swt) tatkala kita berjuang bersama PAS. Dunia tak dapat dan akhirat pula terlepas.
  • Pastinya kedegilan itu adalah hanya kerana kita mahu menempatkan diri dalam kelompok pejuang yang diiktiraf oleh Allah swt dan RasulNya saw sebagai pejuang Fi Sabilillah. Mari kita lihat apa kata Rasulullah saw mengenai pejuang Fisabilillah ini ?
عن أَبي مُوسَى الْأَشْعَرِيُّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ؛ قَالَ أَعْرَابِيٌّ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُذْكَرَ وَيُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ مَنْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَقَالَ مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
  • Dari Abi Musa Al Asy'ari Rha telah berkata : Telah bertanya A'raabi (arab pendalaman) kepada Nabi saw : seorang tokoh berjuang untuk mendapatkan habuan dan seorang tokoh yang lain berjuang supaya namanya disebut-sebut dan seorang tokoh yang lain pula berjuang supaya dirinya dilihat berketerampilan. Siapakah (dari kalangan mereka) yang berjuang di Jalan Allah? Maka jawab Rasulullah saw: siapa yang berjuang bagi meletakkan Kalimah Allah swt itu tinggi (mengatasi segalanya termasuk ideologi yang dicipta oleh manusia) maka dia lah pejuang Fi Sabilillah (pejuang di Jalan Allah) - Riwayat Imam Bukhari
  • Justeru itu, nasihat saya kepada diri saya sendiri dan juga kepada semua agar jangan tinggalkan PAS. Kemana destinasi anda jika mahu meninggalkan PAS? Mahu menyendiri tanpa jamaah? Apa yang anda mahu capai dalam hidup ini? Adakah anda mahu kembali menyertai UMNO? Bukankah anda begitu marah apabila tersebar fitnah kononnya terdapat pimpinan PAS yang mahu menyertai UMNO?
  • Teruslah beristiqamah. Sabarlah menanti kemenangan sebagai satu nikmat (anugerah bersama redha Allah swt) yang dijanjikan oleh Allah swt. Jangan mendesak dan mengharapkan sebuah kemenangan yang belum masak dan matang. Kalau kita perolehi kemenangan itu, ia adalah istidraj (pemberian tanpa redha Allah swt) yang bakal menjadi fitnah dan kebinasaan kepada diri kita.
Sekian .

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive