HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Saturday, May 23, 2015

Membawa RMK 11 Ke Sempadan Akhirat

Negara masih memburu capaian yang mahu disasar pada KDNK 5% - 6%. Perancangan terus dirangka untuk menyemai pertumbuhan ekonomi negara sekaligus menanam cita cita mahu menjadikan negara tercinta ini bertaraf negara maju. Ia kelihatan menarik dan sungguh mengujakan apabila billion demi bilion ringgit Malaysia diperuntukkan untuk membangunkan negara dalam RMK 11.

Ini adalah RMK 11. Ertinya sebelum ini sudah ada 10 Rancangan Malaysia yang telah memaksimakan penggunaan hasil negara untuk tujuan pembangunan. Saya tidaklah bersikap prejudis terhadap kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan dalam 10 Rancangan Malaysia sebelum ini. Tetapi saya mempunyai sudut pandang tersendiri namun menyedari bahawa saya bukanlah berkepakaran dalam bidang ekonomi untuk membilang angka berbilion dan menyusun nombornya.

Suka saya tegaskan bahawa sebuah rancangan yang sebegini besar dan penting berkait dengan rencana pembangunan sebuah negara dan pula mempertaruhkan segala hasil mahsulnya demi masa depan rakyat yang menghuni negara ini, mestilah diiringi dengan sebuah komitmen sepadu antara elemen material dan spiritual dari perancang dan pelaksana RMK 11 ini.
Ramai pihak tidak melihat aspek spiritual sebagai suatu yang “economic” dalam sesuatu perancangan dan pembangunan ekonomi negara. Mereka sering memisahkan elemen spiritual ini bagi membolehkan mereka bertindak rakus tanpa batas sempadan atas nama kemajuan dan pembangunan.
Asal sahaja mereka boleh memburu keuntungan, kekayaan, kemewahan dan kemajuan maka tiada lagi istilah halal dan haram, adil dan zalim, jimat dan membazir dalam kamus perancangan dan perlaksanaan ekonomi mereka.

Fenomena ini bukan sahaja bercanggah dengan aturan Tuhan Yang Maha Mencipta tetapi juga membawa kesan buruk kepada negara dan tamadunnya. Akhirnya negara juga terpaksa mengalami kerugian teruk ekoran kesan tersebut. Contoh yang boleh saya ungkapkan di sini apabila perancangan dan pembangunan negara kita kurang menekankan aspek spiritual maka indeks rasuah terus meningkat, ketirisan makin menjadi-jadi, penyelewengan berleluasa, penipuan menjadi rutin dan sebahagian dari urus rancang pembangunan.

Maka natijahnya, kita boleh bangunkan batu dengan susunan yang tinggi sehingga lahir bangunan tertinggi, jambatan terpanjang, landasan terbesar dan sebagainya kemudian secara tidak langsung kita juga lahirkan tangan yang akan “meruntuh, meletup dan membakar” segalanya. Demikian adalah manifestasi dari rasuah, ketirisan dan penyelewengan yang masih gagal dibendung dan tiada keseriusan membendungnya.

Islam telah mengemukakan plan strategik dan economik untuk sebuah perancangan dan pembangunan manusia dan tamadunnya. Hayati  Firman Allah;
 فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Kemudian setelah selesai solat (rukuk dan sujud kepada Allah), maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).” (surah al-Jumuah: ayat 10)

Ayat di atas ini menggariskan tiga prinsip besar : -
  1. Selesaikan urusan Allah terlebih dahulu dengan maksud letakkan diri sebagai manusia yang tunduk, patuh dan taat kepada perintah Allah sebelum mengurus sesuatu amanah dan laksanakan sesuatu tanggungjawab.
  2. Sesudah itu, tiada lagi halangan malah dianjurkan supaya manusia terus merancang, mengurus dan mengendali hasil mahsul kurniaan Allah untuk dijana menjadi sebuah kekayaan dan kemajuan. 
  3. Sementara merancang, mengurus dan melaksanakan sesuatu pembangunan dan kemajuan dari hasil mahsul kurniaan Allah, jangan sekali-kali lupakan-Nya dengan maksud jangan sampai terlanjur melakukan perkara di luar batas syarak seperti rasuah, penipuan, penyalahgunaan, ketirisan dan sebagainya. Ingat Allah sebanyaknya.
Bertunjang pada tiga prinsip besar ini lah, kejayaan ditempa dalam rancangan hidup ini (sama ada secara individu atau bernegara) di dunia dan berjaya jua di akhirat. Justeru saya yakin, formula untuk menjayakan RMK 11 juga mestilah bertunjang pada 3 prinsip ini. Kejayaannya akan melepasi sempadan akhirat.

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive