Media Baru Antara Fitnah dan Dakwah
Media
baharu telah menjadi sebahagian dari kehidupan masyarakat moden pada
hari ini. Ia tidak boleh berpisah terutamanya di kalangan generasi muda
kerana ia bukan sahaja alat komunikasi tetapi boleh dianggap sebagai
keperluan hidup. Malahan, berdasarkan kepada trend penggunaannya pada
masa kini, media baharu boleh dianggap sebagai tuhan lantaran ia yang
mencorakkan kehidupan masyarakat pada hari ini. Penggunaan media ini
selain dari memberikan kebaikan dan memudahkan kehidupan manusia, tetapi
atas sifatnya sebagai sebuah teknologi, ia memberikan fitnah kepada
manusia secara minda bawah sedar. Kesan minda bawah sedar ini sangat
penting kerana ia berlaku secara tidak langsung tanpa disedari oleh
manusia. Ramai yang menyebut bahawa “penggunaan teknologi ini kalau
digunakan untuk kebaikan, maka ia akan jadi baik. Manakala, kalau
sebaliknya, ia akan jadi tidak baik”. Ini adalah kesan langsung dan ia
adalah di bawah kawalan minda sedar. Artikel ini akan membincangkan
aspek fitnah media baharu terhadap pemikiran secara minda bawah sedar
yang memberikan cabaran yang besar kepada dakwah. Semua pihak perlu
memahami dan berwaspada dengan fitnah yang tersembunyi di sebalik media
baharu dan impak negatifnya kepada masyarakat. Ia mungkin tidak disedari
kerana ia merupakan dimensi yang tidak nampak tetapi ia telah pun
merubah struktur masyarakat yang ada pada hari ini.
Maksud Fitnah
Perkataan
Fitnah di dalam al-Quran membawa beberapa maksud yang secara umumnya
merujuk kepada perkara yang buruk dan kebinasaan. Dari sudut bahasa,
fitnah membawa maksud ujian (الإختبار) dan cubaan (الإبتلاء).
Walau bagaimanapun, di dalam minda rata-ratanya orang Melayu, apabila
disebut perkataan fitnah, ia membawa maksud tuduhan dusta atau palsu ke
atas seseorang. Walaupun ia tidaklah salah sepenuhnya, tetapi ia telah
menyempitkan makna fitnah itu sendiri. Di dalam al-Quran terdapat
beberapa maksud fitnah yang lebih luas lagi dari itu seperti yang
terdapat dalam beberapa ayat berikut:
- Syirik (Surah al-Baqarah: 191, 193 & 217)
- Ujian dan cubaan (Surah Toha: 40 & al-Ankabut: 3)
- Seksa (Surah al-Ankabut: 10, al-Dhariyat: 14 & al-Nahl: 110)
- Dosa (Surah at-Taubah: 49)
- Kekufuran (Surah al-Taubah: 48)
- Pembunuhan dan kebinasaan (Surah al-Nisa’: 101)
- Berpaling dari jalan kebenaran (Surah al-Ma’idah: 49 & al-Isra’: 73)
- Sesat (Surah al-Ma’idah: 41)
- Alasan (Surah al-An’am: 23)
- Gila (Surah al-Qalam: 6)
Di
dalam Hadis Rasulullah pula, Fitnah membawa maksud perselisihan,
peperangan, ujian, cubaan, kelalaian, pembunuhan, penyeksaan,
kemungkaran, maksiat, kufur, berpaling dari agama. Sekiranya diamati
maksud fitnah itu dan dikaitkan dengan media baharu, ia membawa maksud
keburukan dan impak negatif dari sudut agama terhadap manusia. Untuk
memahami fitnah yang dibawa oleh media baharu, kertas ini akan
membincangkan dari ciri media baharu dan enam fitnah media baharu.
Menurut Lister et al (2007), media baharu mempunyai empat ciri yang menjadikannya dinamik iaitu:
- Digitality merujuk kepada proses mengubah bentuk data kepada bentuk digit dan nombor yang dihilangkan bentuk fizikalnya. Setelah diubah, data tersebut dapat diubah, diakses dan disebarkan dengan cara yang mudah.
- Interactivity merujuk kepada kemungkinan medium ini yang boleh untuk memberikan tindak balas kepada apa yang mereka baca dan lihat.
- Hypertextuality merujuk kepada hasil kerja yang terdiri daripada unit-unit berasingan yang masing-masing menyumbang kepada pembentukan unit yang lain.
- Virtuality merujuk kepada teknologi yang membolehkan pengguna bertindak balas tentang sesuatu perkara dan berinteraksi persekitarannya.
Ke empat-empat elemen ini telah menjadikan media baharu dinamik yang dapat diperhatikan dalam lima dimensi iaitu:
- Identiti bergerak (identity fluidity)
- Anti-hierarki (anti hierarchical)
- Anonimiti (anonymity)
- Kuasa ekstrim di tangan individu (extreme power at individual)
- Bersifat antarabangsa (internationalism)
Fitnah Media Baharu
Media
baharu memang memberikan impak yang baik kepada masyarakat, tetapi ia
juga turut membawa fitnah iaitu kesan yang buruk terhadap masyarakat.
Antara aspek fitnah yang dibawa oleh media baharu ialah fitnah dari
sudut pemikiran yang melibatkan ‘minda bawah sedar’ dan memberikan impak
secara tidak sedar di dalam diri pengguna terutamanya generasi Y dan Z.
Fitnah ini tidak boleh dipandang mudah kerana ia akan menjauhkan
manusia daripada tuhan secara tidak langsung. Ada yang mengatakan “kalau
media itu digunakan untuk perkara baik, maka kesannya baik, manakala
kalau digunakan untuk perkara yang buruk, maka kesannya buruk”.
Pandangan sebegini terlalu simplistik dengan media baharu dan
menggambarkan ketidakfahaman tentang konsep, falsafah dan kandungan yang
terdapat dalam media baharu. Walaupun pengguna itu menggunakannya
secara baik pun, ia turut boleh membawa kesan buruk secara tidak
langsung sekiranya dia tidak memahami hakikat media baharu. Berikut
adalah enam fitnah yang dibawa oleh media baharu dari sudut pemikiran
kepada masyarakat; nilai kehidupan yang individualistik, nilai aneh dan
pelik untuk populariti, bahasa digital yang objektif, nilai kebebasan
dan hak asasi, komunikasi tanpa hierarki dan nilai pluralisme dan
kesamarataan. Berikut adalah huraian pada setiap satu daripada fitnah
berkenaan.
1. Media baharu mengajar nilai kehidupan yang individualistik
Internet
dan media baharu telah menjadi sebahagian dari kehidupan masyarakat
pada hari ini. Kehidupan mereka yang bergantung dengan teknologi telah
menyemai sikap individualistik dan menjauhi masyarakat. Hal ini
bertambah rumit dengan kedudukan ekonomi dan tahap status sosial mereka
menyebabkan pergantungan dengan masyarakat semakin kurang. Sifat mereka
yang agak individualistik ini menyebabkan mereka berasa tidak lagi
bergantung dengan masyarakat dan tidak kisah dengan apa pun tanggapan
masyarakat terhadap mereka. Ini berbeza dengan masyarakat tradisional
yang hidup susah dan banyak bergantung dengan orang lain. Mereka cukup
khuatir dengan persepsi dan respon negatif masyarakat terhadap diri dan
keluarga mereka. Antara ungkapan yang penting di kalangan mereka ialah
“apa orang kata” kerana sekiranya ada perkara salah yang mereka lakukan
dari perspektif masyarakat, ia akan memberi kesan kepada mereka. Namun,
dalam masyarakat moden yang individualistik, ungkapan yang kita sering
dengar ialah “ada aku kisah” dan “ikut suka aku” biarpun pelik dan
bercanggah dengan nilai masyarakat.
Kehidupan
yang bergantung penuh dengan media baharu menjadikan masyarakat itu
tidak mempedulikan hal orang lain dan berasa janggal apabila masyarakat
masuk campur dalam urusan peribadinya. Amalan gotong royong dan semangat
tolong menolong semakin lemah dalam masyarakat moden termasuklah sikap
hormat-menghormati sesama jiran. Begitu juga dengan amalan tegur menegur
yang semakin dipinggirkan kerana dianggap sebagai masuk campur urusan
orang lain. Bukan yang ditegur itu salah, tetapi yang menegur itu pula
yang salah. Ini merupakan suatu cabaran kepada usaha dakwah kerana
dakwah bergantung kepada konsep kemasyarakatan. Hakikatnya dakwah memang
perlu cakna tentang hal orang lain, bukan sekadar menegur tetapi
mengajak dan membimbing sasaran dakwah kepada kebaikan.
2. Media baharu mengajar nilai aneh dan pelik untuk populariti
Fenomena
masyarakat masa kini yang bergantung dengan teknologi menyebabkan
kehidupan mereka bersandarkan kepada teknologi sepenuhnya. yang penting
ialah mereka memperoleh kebahagiaan dan hanyut dengan dunia mereka.
Malahan, mereka sengaja mencari keunikan dan kejanggalan. Oleh sebab
itu, kecenderungan berselfie yang menjadi trend di dalam masyarakat
moden kerana gambar itu akan dishare di dalam Whatsapp, Facebook,
instagram dll untuk memberikan keterujaan kepada orang lain. Jarang
sekali, gambar selfie simpan sahaja di dalam memory handpone atau
external hard disk. Nature komunikasi dalam dunia Facebook memerlukan
elemen keunikan, kelainan, kepelikan dan kejanggalan untuk mendapat
like, komen dan share yang tinggi. Facebooker memastikan posting mereka
mempunyai semua elemen ini untuk meraih populariti, biarpun ia
berlawanan dengan kelaziman atau menongkah arus. Ungkapan yang sering
disebut di kalangan mereka ialah “Ini baru rare”. Ringkasnya, ia
merupakan frasa yang menggambarkan suatu bentuk pemikiran generasi Y
yang berbangga dengan kejanggalan dan keanehan dalam aktiviti yang
mereka lakukan.
Fenomena
di atas merupakan fenomena masyarakat “post modernism” yang mengkritik
perkara yang menjadi amalan kebiasaaan dan mengambil sikap berlainan
dengan tradisi. Bagi mereka, kejanggalan dengan masyarakat bukan sesuatu
yang perlu dimalukan dan tidak semestinya salah, malah dalam sesetengah
keadaan mungkin ia perlu dibanggakan. Oleh sebab itu, slogan “Ustaz,
ini baharu rare” yang terpacul keluar dari mulut mereka. Pada asasnya,
pemikiran kejanggalan adalah baik, malah ia boleh menggalakkan sebuah
inovasi dan kreativiti yang mungkin sahaja mendatangkan ciptaan dan
penemuan baharu. Sebagai contoh, peniaga jubah dan tudung memerlukan
keunikan design jubah dan tudung untuk memperoleh jualan yang tinggi.
Sesungguhnya inovasi dan kreativiti dalam berfikir amat dituntut bagi
menghasilkan penemuan baharu yang berimpak tinggi dan mencapai sebuah
tamadun yang hebat. Namun, apa yang menjadi masalah ialah apabila
kejanggalan itu melibatkan soal pemikiran yang menganggap mereka benar
biarpun menyalahi syariat agama dan menyongsang dengan nilai budaya.
Berbekalkan
sedikit ilmu yang mereka pelajari di sekolah, malah di universiti, dan
berbekalkan sedikit pembacaan yang mereka lakukan, mereka sudah berasa
cukup bijak untuk berbeza dengan pandangan yang sudah diterima umum.
Mereka mengkritik pandangan umum dan mengemukakan pandangan mereka
biarpun berlawanan kerana bagi mereka pandangan minoriti itu tidak
semestinya betul. Contohnya mereka mengkritik sistem pendidikan di IPT
yang bagi mereka tidak releven, menolak sistem beraja dan kesultanan
Melayu yang tidak releven dan mengkritik ahli agama yang bagi mereka
perlu berpenampilan sederhana, tidak boleh bermewah-mewah.
3. Media baharu mengajar bahasa digital yang objektif
Internet
dan media baharu menggunakan bahasa digital yang sifatnya objektif.
Laras bahasa ini mengajar erti ketepatan dalam membuat penilaian, bukan
berteraskan kepada nilaian yang subjektif. Ini berlainan dengan nilai
kemanusiaan yang banyak memerlukan kepada banyak pertimbangan
berteraskan kepada akal kerana manusia tidak sama antara satu sama lain.
Nilai hormat menghormati, kesusilaan, kebertanggungjawaban dan
sebagainya merupakan nilai yang hanya boleh dilakukan oleh manusia,
bukan komputer. Sebagai contoh, bermain game akan menyemai sifat kurang
belas kasihan kerana dalam alam realiti, nyawa hanya satu dan ia sangat
berharga. Namun dalam game, ia boleh membunuh orang yang sama
berkali-kali tanpa rasa belas kasihan. Apabila laras bahasa ini
digunakan oleh generasi masa kini, maka ia secara tidak langsung
melemahkan pertimbangan kemanusiaan. Oleh sebab itu, ramai orang
sekarang merungut tentang anak-anak sekolah yang tidak lagi menghormati
orang yang lebih tua dan bersifat kurang ajar berbanding dengan
kanak-kanak dahulu. Sebenarnya, ini adalah hasil daripada anak-anak
sekarang yang menggunakan laras bahasa digital yang bersifat objektif.
Penilaian
yang objektif sangat baik untuk membawa kepada kemajuan kerana sains
itu sendiri antara lain bercirikan objektif. Ia akan mengajar erti
ketepatan namun dalam masa yang sama kelemahan yang ketara ialah apabila
ia menghilangkan nilai kemanusiaan. Tinggal lagi kekuatan nilai adat
dan budaya setempat yang dididik di dalam rumah, namun tidak semua
berjaya kerana pengaruh bahasa ini.
4. Media baharu mengajar komunikasi tanpa hierarki
Komunikasi
tanpa hierarki ini muncul sejak media berada di tangan masing-masing.
Mereka boleh mengkritik dan bercakap apa sahaja yang mereka mahu tetapi
masalahnya bertanggungjawabkah mereka? Memberikan kritikan ini memang
mudah dan kadangkala ada memang berasas. Namun, kadang-kadang pula gaya
pengkritik itu yang berjiwa kecil persis anak-anak menampakkan bahawa
kritikan itu hanyalah didasari semata-mata oleh semangat dan emosi.
Bukan tidak boleh mengkritik, tetapi kritik yang tidak bertanggungjawab
itulah yang menjadi masalah. Ramai yang boleh bercakap, tetapi tidak
ramai yang ingin menyelesaikan masalah. Hal ini penting di dalam
kehidupan bermasyarakat kerana kalau semua memegang ‘lajnah pengkritik’,
maka siapakah yang akan menjadi pelaksana. Oleh sebab itu, ramai yang
suka memberikan kritikan di dalam whatsapp tetapi apabila diminta
berdepan, tidak ramai yang berani tampil dan bertanggungjawab. Ini bukan
bermakna kita menolak sebarang kritikan dan membela pihak pelaksana dan
autoriti, tetapi perlu ada keseimbangan.
Sejajar
dengan komunikasi tanpa hierarki ini ialah kemunculan sikap yang tidak
boleh dikongkong dan menolak autoriti. Internet mengajar dan menyemai
erti kebebasan serta tidak/ kurang mahu memberikan komitmen pada
satu-satu perkara. Komitmen melahirkan sebuah tanggungjawab, dan ini
adalah perkara yang mereka kurang mahu. Oleh sebab itu, perjuangan yang
berteraskan agama dan juga bangsa tidak mendapat tempat dalam pemikiran
mereka dan mereka lebih komited dengan apa yang mereka fikirkan betul
dan bercakap mengikut keinginan mulut mereka. Sebagai contoh, adakah
graf perceraian yang semakin meningkat dan fenomena lambat berkahwin di
kalangan generasi muda hari ini antara lain disebabkan oleh sifat “less
responsibility” di kalangan mereka?
5. Media baharu mengajar nilai kebebasan dan hak asasi
Media
baharu telah menyediakan bank maklumat yang sangat besar lagi
interaktif. Ia boleh dianggap sebagai ikon yang membawa simbol kebebasan
kerana ia menyediakan segala macam maklumat yang diperlukan. Kalau
dahulu, kita dibelenggu dengan kejahilan, tetapi kini kejahilan itu
boleh dihapuskan dengan media baharu yang sedia mendedahkan pelbagai
maklumat. Tiada lagi halangan dari sudut maklumat kerana semua itu boleh
dicari dengan media yang ada di tangan masing-masing. Secara tidak
langsung, media baharu mengajar erti kebebasan, biarpun ia merupakan
kebebasan maklumat, tetapi ia merupakan kebebasan yang sangat bererti
dalam kehidupan manusia.
Kebebasan
itu bukan sekadar dari sudut maklumat yang mereka boleh peroleh dalam
media baharu, tetapi ia juga menyediakan medium yang sangat untuk
mengungkapkan apa yang mereka inginkan dan apa yang mereka rasa betul.
Sejak media berada di tangan masing-masing, semua ingin bercakap tentang
diri mereka dan juga tentang hal orang lain. Antara tajuk yang selalu
diungkapkan tentang keinginan mereka dan juga tentang hak mereka kerana
media baharu mengajar erti kebebasan dan hak asasi. Mereka rasa ada
kekuatan untuk mengungkapkan apa yang mereka rasa betul kerana mereka
juga mendapat sokongan rakan dan kenalan yang sama aliran pemikiran
dengan mereka.
6. Media baharu mengajar erti, pluralisme dan samarata
Di
dalam alam maya, hidup bagaikan berada dalam komuniti yang sangat
besar. Apabila sudah terlalu luas, komuniti mereka akan terbentuk dari
kalangan mereka yang sama aliran pemikiran dengan mereka. Ia tidak lagi
berada dalam komuniti traditional yang terikat dengan aspek fizikal dan
kedudukan geografi tetapi diikat dengan ciri persamaan yang sepunya.
Dengan kepelbagai jenis masyarakat yang wujud, ia dinamakan dengan
plurality. Ia tidak dapat dielakkan kerana lagi maju manusia, lagi
saling manusia memerlukan antara satu sama lain. Namun, apa yang menjadi
masalah ialah kehilangan dimensi agama akan menyebabkan nilai jati diri
semakin hilang dan akan membawa kepada idea kesamarataan antara agama.
Ketidak kemampuan mereka untuk bercakap dan berhujah dari sudut agama
yang memerlukan paduan antara nas dan lojik menyebabkan ramai mereka
yang lebih selesa untuk tidak memperkatakannya dari perspektif Islam.
Lanjutan daripada kebebasan yang hampir mutlak di dalam media baru dan
kepelbagai jenis masyarakat, mereka lebih selesa bercakap dari sudut
keadilan dan kesamarataan yang difikirkan dari sudut pemikiran mereka
sahaja.
Media Baharu Untuk dakwah
Sifat
teknologi ialah untuk memudahkan urusan manusia, tetapi yang perlu
dibincangkan ialah adakah teknologi itu membawa kebahagiaan kepada
mereka atau sebaliknya? Berdasarkan kepada senario di atas, teknologi
media baharu memberikan pro and cont kepada aspek kemanusiaan yang
merupakan pengguna kepada teknologi itu. Ia adalah salah satu bentuk
kemajuan dan pencapaian yang terhasil dari perahan akal, idea dan usaha.
Terdapat dua perkara di dalam perbincangan tentang teknologi
termasuklah teknologi komunikasi; aspek material iaitu tentang teknologi
itu sendiri dan juga aspek kesan pemikiran iaitu falsafah di sebalik
teknologi itu sendiri.
Aspek
material atau pun kemodenan adalah topik perbincangan saintis dan
teknokrat tetapi aspek pemikiran adalah topik perbincangan ahli agama
dan ahli sains sosial yang berbincang sejauh manakah sesuatu teknologi
itu membawa kesan yang baik kepada masyarakat. Aspek kedua yang turut
dikenali sebagai modernism. (Nota: Ia mempunyai pelbagai maksud dan
tafsiran. Di dalam tulisan ini ia merujuk kepada pemikiran yang
menganggap bahawa kemajuan material adalah asas kepada kebahagiaan
manusia). merupakan nilai perlu menjadi perhatian para pendakwah pada era ini.
Terdapat tiga pendekatan yang perlu diambil kita oleh pendakwah iaitu:
(1). Kefahaman tentang tuhan baru yang membawa kesesatan
Perkara
utama yang perlu difahami oleh pendakwah ialah konsep teknologi sebagai
tuhan baru kepada manusia zaman moden. Kesesatan pada zaman dahulu
antara lain disebabkan oleh isu yang berkaitan dengan ketuhanan. Namun,
pada masa kini kesesatan berpunca daripada kesesatan dalam mencari
keselesaan dalam kehidupan. Tuhan tidak lagi penting bagi mereka kerana
aspek ketuhanan tidak memberikan keselesaan kepada manusia, malah
menyusahkan manusia dengan pelbagai tanggunghjawab. Mereka tidak perlu
kepada agama, dan keperluan mereka ialah kepada keselesaan kepada
kehidupan. Memahami trend semasa merupakan sebahagian daripada cara
penyelesaian terhadap permasalahan yang berlaku.
(2). Pengajaran agama yang berteraskan kepada nas dan dikukuhkan dengan lojik
Pengajaran
agama pada zaman ini memerlukan paduan yang bijak antara nas dan lojik.
Nas perlu menjadi teras manakala lojik digunakan untuk menguatkan nas.
Generasi baru ini diajar dengan pendekatan berfikir aras tinggi dan
dilatih untuk berfikir secara lojik dan rasional atas nama inovasi dan
kreatif. Begitu juga, dengan kemajuan teknologi yang ada pada masa kini
telah menanam nilai rasional yang kuat pada mereka. Kegagalan pendakwah
dan tenaga pengajar memberikan jawapan yang sesuai dengan laras rasional
mereka, ajaran agama itu akan dipinggirkan. Pendakwah perlu bantu
mereka membentuk cara berfikir yang betul kerana itu akan memandu mereka
dalam kehidupan.
(3). Mengajar perbandingan agama
Sesuatu
itu akan dilihat bernilai apabila dibuat perbandingan. Kadang-kadang
kita tidak menghargai agama Islam yang hebat kerana kita pernah
membandingkannya dengan agama lain. Pengajian dan perbincangan tentang
perbandingan agama perlu ditingkatkan terutamanya di dalam masyarakat
yang pluralistik pada hari ini. Ia perlu untuk dibincangkan secara
tertutup dan terbuka untuk menonjolkan aspek kebaikan dan aspek
kelemahan dalam semua agama dari sudut pemikiran, amalan dan ritual.
Malahan, menerusi cara perbandingan agama ini, orang Islam akan lebih
memahami Islam itu sendiri.
Penutup
Media
baharu membawa kesan yang sangat dalam kepada masyarakat terutamanya
kepada generasi Y dan Z. Para pendakwah hendaklah berperanan untuk
mengolah minda mereka dan memandu mereka agar mempunyai cara dan gaya
berfikir dengan betul. Kesesatan yang timbul hasil dari media baharu ini
perlu digarap di Ilmu tauhid yang dinamakan dengan ilmu Tauhid
Kontemporari. Ilmu Tauhid bukan sekadar membicarakan tentang kehidupan,
tetapi membicarakan tentang cara berfikir manusia yang betul terhadap
realiti kehidupan termasuk jugalah aspek ketuhanan. Ia seharusnya juga
menumpukan kepada memandu manusia daripada terjebak dengan pemikiran
yang sesat hasil daripada interaksi dengan kehidupan. Peranan dan tugas
pendakwah semakin besar dan banyak kerana jalan kesesatan dan jalan yang
boleh melemahkan akidah semakin banyak. Fitnah yang dibawa oleh media
baharu ini perlu dicermati dengan baik untuk memastikan bahawa kesan
negatifnya dapat diminimumkan.
0 comments:
Post a Comment