Keluarga Haraki Asas Kekuatan Gerakan Islam
Seorang muslim yang berjuang untuk
menegakkan agamanya pasti mempunyai kesedaran dan kefahaman yang jelas
bahawa perjuangan ini mempunyai maratib (peringkat-peringkat) amal
Islami yang mesti diselesaikan oleh setiap individu pejuang Islam.
Peringkat yang paling asas kepada perjuangan ini ialah pembentukan
peribadi atau syakhsiah yang solehah. Subjek utama dalam pembentukan
peribadi pejuang ini pula berpaksi pada 3 noktah :-
- Pembentukan aqidah yang benar
- Pembentukan fikrah Islam yang jelas
- Pembentukan akhlak yang soleh
Peribadi
yang lahir dari acuan aqidah Islam yang benar, fikrah Islam yang jelas
dan akhlak Islam yang soleh inilah yang akan mewarnai kehidupan yang
sejahtera di dunia dan terpelihara di akhirat.
Justeru
peribadi-peribadi yang soleh dan solehah ini akan berpasangan membina
rumahtanga dan kemudiannya akan lahirlah keluarga yang besar seterusnya
membentuk sebuah masyarakat yang bertamadun. Masyarakat ini pula akan
menegakkan sebuah negara yang mempunyai sistem pentadbiran dan
pemerintahan guna menyelia dan mengendali sebuah kehidupan bermasyarakat
pada skala yang lebih besar dan luas peradabannya.
Pembentukan Rumahtangga Pejuang
Mendirikan
rumahtangga adalah impian semua orang. Namun bagi seorang pejuang
Islam, ia bukan sekadar impian apatah lagi sekadar melempiaskan sebuah
keinginan sebaliknya ia adalah untuk merealisasikan sunnah Rasulillah
sallallahu’alaihi wasallam dan berusaha untuk memberi kegembiraan kepada
baginda Rasulillah sallallahu’alaihi wasallam. Sabda Rasulullah
sallallahu’alaihi wasallam dari Anas bin Malik telah berkata :-
جَاءَ
ثَلَاثَةُ رَهْطٍ إِلَى بُيُوتِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْأَلُونَ عَنْ عِبَادَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا أُخْبِرُوا كَأَنَّهُمْ تَقَالُّوهَا
فَقَالُوا وَأَيْنَ نَحْنُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ قَدْ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ
قَالَ أَحَدُهُمْ أَمَّا أَنَا فَإِنِّي أُصَلِّي اللَّيْلَ أَبَدًا
وَقَالَ آخَرُ أَنَا أَصُومُ الدَّهْرَ وَلَا أُفْطِرُ وَقَالَ آخَرُ أَنَا
أَعْتَزِلُ النِّسَاءَ فَلَا أَتَزَوَّجُ أَبَدًا فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِمْ فَقَالَ أَنْتُمْ الَّذِينَ
قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ
وَأَتْقَاكُمْ لَهُ لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ
وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي
“Telah
datang 3 orang lelaki ke rumah isteri Rasulullah sallallahu’alaihi
wasallam dan mereka bertanya mengenai ibadat Nabi sallallahu’alaihi
wasallam. Tatkala diberitahu mengenai ibadat Rasulullah
sallallahu’alaihi wasallam, keadaan mereka seperti tertanya-tanya apalah
kedudukan kami berbanding Nabi sallallahu’alaihi wasallam sehingga Nabi
sallallahu’alaihi wasallam diampunkan dosanya yang terdahulu dan
kemudian. Telah berkatalah salah seorang dari mereka berazam sembahyang
malam sepanjang masa. Berkata yang lainnya, aku berpuasa dan tidak
berbuka sepanjang hari, berkata sebahagian yang lain pula, aku
meninggalkan perempuan, aku tidak berkahwin selamanya. Maka datang
Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam lantas berkata : adakah kamu yang
berkata begitu dan begini? Adapun demi Allah sesungguhnya aku orang yang
paling takut kepada Allah dari kalangan kamu dan yang paling bertaqwa
kepada Allah, akan tetapi aku berpuasa kemudian aku berbuka, aku
sembahyang kemudian aku tidur dan aku mengahwini perempuan, maka
barangsiapa yang berpaling daripada sunnahku maka dia bukan dari
kalanganku.” (Riwayat al-Bukhari, 5063 dan Muslim, 1401)
Dari Ma’qil bin Yaasar berkata, Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam pernah bersabda :-
تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمْ الأُمَمَ
“Kahwinilah wanita yang penyayang dan melahirkan maka sesungguhnya aku bergembira dengan ramainya ummat.” (Riwayat Abi Daud)
Rasulullah
sallallahu’alaihi wasallam turut menggariskan pedoman asas pembentukan
sebuah rumahtangga yang diredhai dan diberkati oleh Allah :-
تُنْكحُ الْمَرْأَةُ لأرْبَعٍ: لمالها ولِحَسَبها ولِجَمَالها وَلدينها: فَاظْفَرْ بذاتِ الدِّينِ تَربَتْ يَدَاكَ
“Dikahwini
perempuan itu kerana empat perkara: kerana hartanya, kedudukannya,
kecantikannya dan kerana agamanya, maka pilihlah kerana agama lantaran
ia akan membahagiakanmu.” (Muttafaqun A’laihi)
Rumahtangga
yang dibina bertiangkan taqwa kepada Allah, berlantaikan syariat,
beratapkan ilmu, berdindingkan syiar dan bertanggakan akhlak Islam
adalah sebuah rumahtangga yang menepati piawaian yang dikehendaki oleh
Nabi sallallahu’alaihi wasallam. Perabot utama kepada rumahtangga
pejuang Islam ialah kepercayaan antara satu sama lain, kasih sayang yang
sentiasa mekar dan bersemi cinta kerana Allah. Motto pembentukan
rumahtangga pejuang ialah “Sakinah” (tenang), “Mawaddah” (cinta) dan
“Rahmah” (kasih) berasaskan firman Allah :-
وَمِنْ
آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا
إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَٰلِكَ
لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
“Dan
di antara tanda-tanda yang membuktikan keagungan-Nya, bahawa Ia
menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya
kamu tenang hati dengannya dan Ia menjadikan di antara kamu perasaan
cinta dan kasih. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan
(yang menimbulkan kesedaran) bagi golongan yang berfikir.” (Surah al-Ruum : ayat 21)
Jangan Bina Rumahtangga di Lembah Dosa
Seorang
pejuang jangan sekali-kali terjebak dalam perkara dosa sewaktu berusaha
membina rumahtangga. Tidak kira pasangan muda-mudi yang belum berkahwin
atau orang dewasa yang merancang perkahwinan kedua. Mereka mesti
mengetahui batas-batas syariat dalam pergaulan dan hubungan yang
melibatkan lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
Harus
disedari bahawa Islam bukan sahaja mengharamkan perbuatan berdua-duaan
tetapi juga mengharamkan perbuatan, tulisan, perkataan yang
membangkitkan nafsu liar diluar batas perkahwinan. Demikian juga Islam
tidak hanya membataskan aurat anggota badan pada kaum wanita dan lelaki
tetapi Islam juga menghadkan keperluan interaksi serta komunikasi yang
melibatkan lelaki dan perempuan yang bukan mahram justeru ia mencetus
fitnah.
Feqh
pelaksanaan amal Islami dalam kehidupan seorang pejuang Islam sudah
tentu berbeza dengan orang awam apatah lagi berbanding dengan manusia
fasiq yang sering bergelumang dalam dosa dan noda. Usahkan pada hukum
yang jelas maksiat dan mungkar, hanya pada perkara biasa seperti minum
berdiri di khalayak dengan lagak seorang samseng dan bengis sudah tentu
amat tidak wajar dilakukan oleh seorang pejuang Islam yang telah dihiasi
dengan akhlak Islam.
Rumahtangga
yang terbina di tebing noda dan lembah dosa tentu sahaja tidak berkat
dan tiada rahmat dari Allah. Rumahtangga sedemikian tidak akan mencapai
ketenangan dan cinta kasih yang diharapkan. Malah ia berpotensi menjadi
igauan ngeri bagi pasangan rumahtangga tersebut. Impian Rumahku Syurgaku
hanya tinggal kenangan sebaliknya rumah mereka akan dirundung malang
yang bertimpa-timpa.
Rumahtangga Sebagai Markaz Dakwah
Pejuang
Islam tentunya akan mewaqafkan diri dan rumahtangganya untuk Islam.
Bahkan pembinaan rumahtangganya juga adalah sebahagian daripada usaha
para pejuang untuk menyempurnakan perjuangan Islam yang didukung.
Lantaran Islam tidak menggalakkan pembujangan, sebaliknya pemuda-pemudi
Islam digesa berkahwin untuk menyempurnakan urusan hidup, ibadah dan
perjuangan mereka. Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam telah bersabda
:-
يا
مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ البَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ،
فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ، وَأَحْصَنُ لِلْفَرجِ، وَمَنْ لَمْ
يَسْتَطِيعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ، فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
“Wahai
pemuda! Barangsiapa yang mampu dari kalangan kamu maka hendaklah ia
berkahwin maka sesungguhnya perkahwinan menundukkan pandangan dan
memelihara faraj. Barangsiapa yang tidak mampu berkahwin, maka hendaklah
ia berpuasa" sesungguhnya puasa itu adalah perisai.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Rumahtangga
yang dibina adalah menjadi markaz pertama para pejuang untuk menyusun
langkah dan mengendali kehidupan dengan lebih teratur dan sistematik
berbekalkan ketenangan jiwa yang dianugerahkan oleh Allah melalui
institusi perkahwinan tersebut. Markaz pertama ini berfungsi untuk
menyediakan persiapan awal para pejuang sebelum turun ke medan dakwah
sekaligus melahirkan tunas-tunas pejuang yang soleh guna mewarisi
perjuangan Islam agar terus berkesinambungan disepanjang zaman.
Persiapan
awal yang dimaksudkan adalah melibatkan persediaan ruhiyah (spiritual),
fikriyah (mental) dan syakhsiyah (jatidiri) seorang pejuang itu
sendiri. Malah turut melibatkan persediaan dari aspek disiplin dan
pengurusan hidup.
Rumahku Syurgaku
Kita
biasa mendengar ungkapan “Baiti Jannati” atau “Rumahku Syurgaku” yang
pastinya menjadi idaman setiap insan. Namun ianya tidak mudah dipraktis
melainkan kita mempunyai kesungguhan, kekuatan dan kesabaran yang tinggi
bermodalkan kefahaman dan ilmu Islam yang mantap.
Rumahku
Syurgaku mempunyai objektif tersendiri. Kejayaan membina Rumahku
Syurgaku adalah diukur sejauh mana kita mencapai objektifnya. Objektif
ini pula adalah manifestasi daripada tiga (3) matlamat utama pembentukan
institusi rumahtangga yang telah digariskan oleh Allah dalam surah
al-Ruum ayat 21, iaitu :-
- Sakinah / سكينة (tenang)
- Mawaddah / مودّة (cinta)
- Rahmah / رحمة (kasih)
Objektif “Rumahku Syurgaku” adalah sebagaimana butiran berikut :-
- Mendirikan rumahtangga atas dasar taqwa dan kesinambungan perjuangan serta dakwah Islamiyah. Jangan bina atas kepentingan lain seperti harta, pengaruh, rupa paras, nafsu syahwat dan kedudukan duniawi.
- Menghiasi rumahtangga dengan bi’ah (persekitaran) Islamiyah. Jangan izinkan maksiat dan mungkar bersarang dalam rumahtangga yang dibina.
- Mengisi rumahtangga dengan pengisian ruhiyah (spiritual), fikriyah (pemikiran) dan syakhsiyah (akhlak) berteraskan Islam yang syumul. Jangan jadikan rumahtangga seperti kubur yang sunyi tanpa aktiviti amal Islami.
- Rumahtangga sebagai Markaz Dakwah yang merencana orientasi dan gerakkerja melalui perbincangan dan penglibatan bersama seisi keluarga di arena dakwah sekaligus mengkaderkan anak-anak supaya menjadi pejuang. Jangan benarkan seorang pun anggota keluarga memisah diri dari suasana perjuangan.
- Mewujudkan budaya Tanasuh (nasihat menasihati) dan Tafahum (saling memahami) dalam mendepani apa jua situasi rumahtangga. Jangan terlalu emosi apatah lagi menggunakan kekerasan seperti memukul isteri dan mengherdik menggunakan bahasa yang kasar dan kesat.
- Melaksanakan tanggungjawab dan menunaikan hak isi keluarga (suami, isteri dan anak). Jangan abaikan tanggungjawab seperti nafkah zahir dan batin jua jangan rampas hak yang wajib ditunai terhadap keluarga seperti hak mendapat perhatian, kasih sayang dan perlindungan.
- Menangani permasalahan rumahtangga yang melanda secara matang dan harmoni. Jangan buat keputusan terburu-buru dan emosi seperti cepat menjatuhkan talak atau suka meminta cerai.
- Menghindari 1001 anasir negatif seperti buruk sangka, fitnah dan sebagainya. Jangan izinkan anasir yang merosakkan kedamaian rumahtangga seperti hilang thiqah (kepercayaan) kepada pasangan tumbuh dan berbunga di laman rumahtangga kita.
- Pengurusan ekonomi yang stabil dan kreatif menambah sumber kewangan untuk keluarga dan dakwah Islam. Jangan malas berdikari untuk mencari rezeki pula malas berfikir untuk merancang kebahagiaan masa depan keluarga.
- Melibatkan diri dengan Amal Jamaei (aktiviti berjamaah) dan Amal Ijtimaei (aktiviti bermasyarakat). Jangan jadi kera sumbang tanpa penglibatan aktif dalam amal Jamaei seperti menghadiri usrah, tamrin, liqa fikri, dakwah fardiah, majlis ilmu dan sebagainya.
Keluarga Sakinah
Ketenangan
atau sakinah dalam rumahtangga banyak bergantung kepada keharmonian dan
kebahagiaan yang berjaya dicipta. Sementara keharmonian dan kebahagiaan
itu pula terhasil dari pasangan yang saling percaya mempercayai, cinta
mencintai dan faham memahami antara satu sama lain. Kekayaan dan
kemewahan tidak boleh menjamin kebahagiaan. Kebahagiaan bukan nilai
tukaran semasa dengan material. Kebahagiaan adalah anugerah Allah yang
dikurnia kepada mereka yang menepati objektif “Rumahku Syurgaku”.
Seorang
pejuang yang hebat adalah pejuang yang memiliki keluarga sakinah.
Keluarganya menjadi markaz atau pusat tarbiyah yang akan membekalkan
“energy” dan motivasi perjuangan. Ia akan lebih bertenaga dan hebat di
medan juang. Benarlah kata hukama’, “Mujahid yang hebat di medan, di belakangnya Mujahidah yang gigih berperanan...”
Para
pejuang Islam mesti menginsafi betapa perlunya keluarga sakinah dalam
kehidupan mereka. Setelah lesu anggota beraksi dan tepu otak berfikir,
maka keluarga sakinah ini akan menjadi destinasi berlabuh. Ia bagai
sebuah dermaga damai dan indah untuk mengumpul kembali tenaga dan daya
fikir. Isteri penyayang menanti di pintu rumah dengan penuh beradab dan
menyambut kepulangan seorang pejuang dengan penuh rindu. Ia menjadi
protokol rutin keluarga sakinah. Anak-anak riang lantas menerpa ke arah
ayahnya sang pejuang dengan kegembiraan yang bukan kepalang.
Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam pernah ditanya, bagaimana isteri yang solehah?
Jawab Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam :-
التي تَسُرُّهُ إذا نَظَرَ و تُطِيْعُهُ إذا أَمَرَ و لا تُخاَلِفُه فيما يَكْرَهُ في نَفْسِها و مَالِهِ
“(Isteri)
yang menyenangkan dia apabila memandang (kepada isterinya) dan yang
mentaatinya apabila dia menyuruh (isterinya) dan dia tidak menyanggahi
suaminya dengan melakukan perkara yang dibenci di dalam dirinya (isteri)
dan harta suaminya.” (Riwayat Imam Ahmad)
Saban
hari suami ke medan juang, perginya diiringi doa munajat penuh redha
dan percaya, sementara pulangnya disambut dengan peluk cium penuh kasih
dari isteri yang solehah demi berkongsi pahala perjuangan. Isteri
seorang pejuang bagai “the first secretaries” tanpa jemu dan lelah
membantu mengurus keceriaan di rumah, menyelenggara pembesaran dan
pendidikan anak-anak serta mengendali amanah keluarga dengan penuh
tanggungjawab dan dedikasi.
Suami
pula tidak mempersia-siakan keadaan. Fokus memacu perjuangan Islam
dengan penuh optimis dan semangat. Menghargai kepercayaan isteri dan
pengorbanannya. Berhari-hari bahkan berminggu-minggu di tengah medan
perjuangan, biarpun sibuk dan sukar bagaimana sekalipun, tanggungjawab
dan keperihatinan terhadap anak dan isteri dirumah tidak pernah
dialpakan. Memanafaatkan teknologi komunikasi untuk bertanya khabar anak
isteri dan melepaskan kerinduan mereka di rumah, tika jauh musafir ke
tengah medan dakwah lalu menitipkan buah tangan biarpun tidak seberapa
buat anak dan isteri tika menjengah pulang.
Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam telah bersabda :-
أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا , وَخِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنِسَائِكُم
“Orang
beriman yang paling sempurna imannya ialah orang yang paling baik
akhlaknya dari kalangan mereka dan orang yang paling baik dari kalangan
kamu ialah orang yang paling baik melayani isteri mereka.” (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Hibban)
Virus Perosak Keluarga Sakinah
Ketenangan
dan kedamaian keluarga pejuang boleh bergoncang dan mungkin retak lalu
berakhir dengan belah dan pecah apabila virus perosak berjaya menembusi
dinding rumahnya. Justeru itu, sangat wajar buat sang pejuang memasang
“firewall” pada keluarganya serta mampu untuk “detect” dan “remove”
virus perosak yang menyerang. Jenis-jenis virus itu antaranya ialah :-
- Hilang Kepercayaan
- Benih Maksiat dan Mungkar
- Tiada Tolak Ansur
Hilang
kepercayaan adalah virus yang paling merbahaya. Sukar dikesan dan
sangat cepat merosakkan sel-sel kebahagian rumahtangga kita. Tanpa
cegahan awal, struktur utama rumahtangga boleh lumpuh dan runtuh.
Justeru selayaknya seorang pejuang mengemudi bahtera kehidupan
berkeluarga ini dengan bijak dan matang. Pastikan keluarga pejuang
dibentengi kebahagiaan dan keharmoniannya dengan “firewall” yang
berkesan :
- Kenali pasangan secara mendalam
- Amalkan sikap berterus terang
- Selidik maklumat yang diterima
- Jangan layan fitnah liar
- Berlapang dada
- Banyak berbincang
- Suburkan kasih sayang
- Jangan khianati kepercayaan
Keluarga
seorang pejuang mesti bebas daripada sebarang benih maksiat dan
mungkar. Andai tumbuh benih-benih maksiat dan mungkar di dalam
rumahtangganya, maka hilanglah keberkatan dan redha Allah. Bukan sahaja
pasangan dan anak-anak tetapi juga mesti bermula dari diri sendiri.
Jadikan rumahtangga yang dibina laksana sebuah masjid yang di-imarah
dengan pelbagai aktiviti amal Islami yang mendekatkan diri kepada Allah.
Selayaknya
rumahtangga seorang pejuang tidak dijadikan seperti kelab malam untuk
berhibur sepanjang masa dengan hiburan yang bertentangan dengan syariat,
bertukar ganti pasangan, rumah menjadi tempat singgah sekadar
melepaskan nafsu tanpa tanggungjawab.
Struktur
Keluarga Haraki tidak boleh menjadikan isteri seolah-olah “perempuan
simpanan” sebagaimana suami pula seolah-olah “sugar daddy”. Keluarga
Haraki adalah sebuah institusi yang diperkukuh dengan syariat Islam dan
diperkaya dengan syiar Islam yang mulia dan terpuji.
Virus
seterusnya ialah hilang tolak ansur. Lagikan lidah tergigit, inikan
pula suami isteri. Khilaf, berbeza pandangan, salah faham dan sebagainya
mungkin boleh berlaku pada bila-bila masa. Penting bagi pasangan suami
isteri untuk bertolak ansur dalam menghadapi karenah hidup
berumahtangga.
Terima
kelemahan pasangan kita sebagaimana kita menerima kelebihan yang ada
padanya. Sentiasa fikir positif mengenainya dan mudah memaafkan
kesalahan yang dilakukan terutama pada kesalahan kecil dan tidak
disengajakan. Jangan mudah memperbesarkan perkara kecil dan jangan
mendedahkan masaalah rumahtangga kecuali pada pihak yang berkenaan untuk
tujuan penyelesaian.
Ketua
keluarga berstatus suami, pula seorang pejuang selayaknya melayani
isteri dengan sebaiknya. Tidaklah hebat seorang suami menyelesaikan
masalah dengan memukul isterinya sedang ia seorang perempuan yang lemah.
Sebaliknya suami sebegitu adalah lelaki pengecut dan tidak
bertanggungjawab. Justeru tanggungjawab suami ialah melindungi isteri
bukan menyakitinya. Sabda Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam :-
تُطْعِمُها إذا أَكَلْتَ و تَكْسُوْها إذا اكْتَسَبْتَ و لا تَضْرِبِ الْوَجْهَ و لا تُقَبِّحْ و لا تَهْجُرْ إِلّاَ في الْبَيْتِ
“Engkau
berilah makan kepadanya (isteri) apabila engkau makan dan berikan
pakaian kepadanya apabila engkau berpakaian dan jangan engkau pukul
wajahnya dan jangan engkau perlekehkannya dan jangan engkau menjauhinya
melainkan di dalam rumah (jika berlaku nusyuz).” (Riwayat Ahmad, Abi Daud dan al-Nasa’ie
Isteri
sebagai sumber sakinah (ketenangan) dengan layanan mesra dan
mendamaikan suami setelah penat dan lelah berjuang di medan. Jangan
sekali-kali meninggikan suara dihadapan suami, menghilangkan seri
rumahtangga dengan bebelan dan mencemek wajah yang meresahkan hati
suami. Sabda Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam :-
خَيْرُ
النِّسَاءِ إِذَا نَظَرْتَ إِلَيْهَا سَرَّتْكَ وَإِذَا أَمَرْتَهَا
أَطَاعَتْكَ، وَإِذَا غِبْتَ عَنْهَا حَفِظَتْكَ فِي مَالِكَ وَنَفْسِهَا
“Sebaik-baik
wanita ialah apabila engkau memandang ke arahnya, ia menyenangkanmu dan
jika engkau menyuruhnya ia mentaatimu dan jika engkau tinggalkannya ia
menjaga hartamu dan dirinya.” (Riwayat Abi Daud)
Aktif di Medan Amal Islami
Keluarga
Haraki ialah sebuah keluarga yang seluruh anggotanya berjuang dan aktif
melaksanakan aktiviti amal Islami bersama gerakan Islam. Malah
sebagaimana yang telah ditegaskan pada awalnya bahawa rumahtangga atau
keluarga haraki adalah markaz pertama untuk mengkaderkan tenaga juang
yang soleh peribadi, mantap fikrah dan kental aqidahnya.
Firman Allah :-
وَالْمُؤْمِنُونَ
وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ
بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ
وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَٰئِكَ
سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
“Dan
orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagiannya menjadi
penolong bagi sebahagian yang lain; mereka berjuang menegakkan yang
makruf (syariat) dan mencegah kemungkaran; dan mereka mendirikan
sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya.
Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana.” (surah al-Taubah : ayat 71)
Ertinya
suami, isteri dan anak-anak mesti mempunyai penglibatan dengan gerakan
Islam berasaskan feqh perjuangan (jihad) yang telah ditetapkan oleh
Islam. Jangan hanya encik suami sahaja ke hulu dan ke hilir berdakwah
dan berjuang untuk menegakkan Islam, sementara puan isteri diperap dalam
rumah dan berteleku di hadapan skrin tv melayani agenda astro dengan
pelbagai channelnya.
Puan
Isteri jua sedemikian. Jangan lincah di medan tetapi encik suami pula
dipacak dalam rumah bagai menara pemancar yang kemudiannya di-remote
control pada jarak jauh.
Anak-anak
pejuang pula mesti dilatih penyertaan mereka bersama amal Islami.
Bebaskan mereka dari pengaruh gajet dan aneka game yang memenjara mereka
tanpa interaksi dengan dunia luar. Sebaliknya bina fikrah dan dedahkan
mereka agar terlibat di lapangan dakwah dan perjuangan Islam yang mulia
ini.
Paling
penting dalam mengurus keluarga haraki agar aktif berjuang ialah
pengurusan masa dan jadual penglibatan. Memahami bahawa urusan dalaman
rumahtangga perlu diselia dengan baik dan sempurna maka schedule
penglibatan di pentas perjuangan mestilah disusun dengan teratur dan
seimbang. Jangan pula keaktifan kita di medan juang membuatkan
tanggungjawab dan perhatian pada rumahtangga terabai atau tidak
sempurna. Begitu jua sebaliknya, jangan sampai kita tidak memperuntukan
masa bagi bersama dengan jamaah dan berbakti kepada ummah serta memimpin
dan mendidik mereka bersama Islam dan syariatnya.
Tidak
dinafikan betapa ia adalah suatu yang sukar namun inilah cabaran yang
terpaksa ditangani oleh pejuang. Rumahtangga pejuang mesti menjadi
qudwah dan uswah (teladan) kepada pihak lain. Malah sayugia diamati oleh
pejuang agar rumahtangganya tidak menjadi fitnah kepada diri, jamaah
dan agama.
Tatkala
kita mewaqafkan diri dan keluarga untuk perjuangan Islam. Maka diri dan
keluarga bukan lagi milik kita, sebaliknya ia adalah milik Islam.
Anggota keluarga haraki mesti siap sedia pada bila-bila masa untuk
memenuhi tuntutan dan melengkapkan keperluan gerakan Islam tanpa syarat.
Tugas
ini berat namun menjadi ringan apabila semua pihak saling memahami.
Encik suami mesti faham bahawa, adakalanya ia terpaksa membantu tugasan
di rumah, mengurus anak dan menghantar puan isteri ke medan juang
sebagaimana puan isteri sentiasa sabar menahan rindu, menanggung beban
kerja rumah dan memahami kerapnya ketiadaan encik suami di sisi kerana
tanggungjawab perjuangan di medan.
Memahami Feqh Perjuangan Satu Kewajipan
Setiap
individu muslim wajib berjuang bagi mempertahankan Islam dan
mendaulatkannya di atas tanahair tercinta ini. Firman Allah :-
انفِرُوا
خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي
سَبِيلِ اللَّهِ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Berangkatlah
kamu (untuk berjuang pada jalan Allah), sama ada dalam keadaan ringan
(mudah) ataupun dalam keadaan berat (sukar); dan berjihadlah dengan
harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam).
Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” (surah al-Taubah : ayat 41)
Keluarga
haraki sayugianya mempraktiskan perintah Allah dengan penuh
tanggungjawab dan kesedaran. Tiada lagi alasan dan helah melepaskan diri
dari kewajipan perjuangan. Semua komponen keluarga haraki yang terdiri
daripada suami, isteri dan anak mesti memberi intima’ (penglibatan)
kepada gerakan Islam. Namun pada masa yang sama, perjuangan ini mestilah
diurus dengan ilmu dan feqhnya yang betul.
Noktah
pertama, kita mesti bertolak dengan ilmu yang mantap supaya kita tidak
melakukan sesuatu dengan cara yang tidak betul termasuklah perjuangan.
Perjuangan juga mempunyai feqhnya yang tersendiri. Lantaran itu kaedah
yang kita guna pakai dalam perjuangan Islam ini antaranya ialah :-
الغَايَةُ لا تُبَرِّرُ الْوَسيلَة
“Matlamat tidak menghalalkan cara.”
Sebagai
contoh, seorang pejuang yang meninggalkan keluarganya untuk turun ke
medan juang mestilah terlebih dahulu meninggalkan nafqah atau
perbelanjaan yang mencukupi bagi sepanjang tempoh ia berada di medan.
Jangan sampai anak isteri terpaksa menadah tangan mengemis ke sana
kemari untuk mencari sesuap nasi, sedang suaminya berjihad di medan.
Termasuklah soal keselamatan. Pejuang mesti memastikan terlebih dahulu
keadaan isteri dan anak dalam keadaan selamat sebelum ditinggal pergi.
Meskipun perginya seorang pejuang ke medan adalah urusan jihad, namun ia
tidak boleh mengabaikan keselamatan isteri dan anaknya.
Setelah langkah ikhtiar diambil sebaik mungkin, maka barulah bertawakkal kepada Allah. Firman Allah :-
فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ
“Apabila engkau telah berazam (dengan segala ikhtiar yang dilakukan) maka bertawakkal lah kepada Allah...” (surah Aali-Imran : ayat 159)
Seperkara
lagi, suami juga tidak boleh terlalu lama meninggalkan isteri kesepian
di rumah meskipun atas urusan jihad. Diriwayatkan dari Zaid bin Aslam
dari Umar al-Khattab bahawa ketika beliau meronda negerinya di waktu
malam, beliau terdengar rintihan seorang perempuan :-
تَطَاوَلَ هَذَا اللَّيْلُ وَاسْوَدَّ جَانِبُهْ
وَطَالَ عَلَى أَلاَّ خَلِيلَ أُلاَعِبُهْ
فَوَاللهِ لَوْلاَ خَشْيَةُ اللهِ وَحْدَهُ
لَحُرِّكَ مِنْ هَذَا السَّرِيرِ جَوَانِبُهْ
وَطَالَ عَلَى أَلاَّ خَلِيلَ أُلاَعِبُهْ
فَوَاللهِ لَوْلاَ خَشْيَةُ اللهِ وَحْدَهُ
لَحُرِّكَ مِنْ هَذَا السَّرِيرِ جَوَانِبُهْ
“Malam
ini benar benar terasa panjang dan sebahagiannya telah berlalu begitu
saja. Kesepian tiada kekasih untuk bercanda ria. Demi Allah, jika tidak
kerana takut kepada Allah yang Maha Esa. Nescaya tepian ranjang ini akan
bergegar...”
Lalu
Saidina Umar menghampiri wanita seraya bertanya kemanakah suamimu?
Lantas ia menjawab, “...ia telah lama pergi berperang di jalan Allah.”
Saidina
Umar pulang ke rumah dan bertanya kepada puterinya Saydatina Hafsah,
“berapa lamakah seorang perempuan boleh menahan dirinya dari melakukan
hubungan asmara (setubuh) dengan suaminya?”
Hafsah menjawab, “4 bulan, lebih daripada itu kesabarannya akan berakhir atau hanya tinggal sedikit...”
Sejak
itu, Saidina Umar sebagai ketua negara menetapkan peraturan bahawa
seorang pejuang hanya boleh berpergian ke medan jihad tidak melebih 4
bulan. Kemudiannya pejuang itu wajib pulang mendapatkan isterinya yang
kesepian dan memerlukan sentuhan suaminya yang dicintai.
Justeru
keluarga haraki mesti bijak mengurus dan merencana antara urusan
perjuangan, dakwah dan aktiviti amal Islami di medan dengan rumahtangga
dan ahli keluarga. Jangan sampai kita sibuk berdakwah ke hulu dan ke
hilir mengajak masyarakat kembali kepada Islam, rumahtangga sendiri
hilang seri, huru hara dan terabai. Pendidikan anak-anak terabai lalu
pelajarannya merosot dan gagal. Rumah bagaikan tongkang pecah, seluar
dan baju dalam tersidai di kerusi ruang tamu, pinggan gelas berselerak
tidak ubah seperti stor barang terpakai. Kononnya sibuk berjuang dan
mengurus urusan ummah, malangnya urusan rumah sendiri failed. Situasi
ini menjadi fitnah kepada jamaah dan perjuangan Islam.
Islam
mementingkan disiplin. Begitulah selayaknya pejuang Islam. Mempunyai
disiplin yang tinggi. Utamakan kebersihan, kekemasan, keceriaan,
ketenangan dan kebahagiaan rumahtangga, nescaya kelak ia akan
membekalkan energy dalaman buat seorang pejuang untuk beraksi di medan.
Ceria di rumah maka bersemangatlah ia di medan juang. Kusut di rumah
jawabnya sugul lah ia di medan juang. Akhirnya, sentuhan perjuangan
menjadi hambar, strategi perjuangannya tumpul malah tindakannya serba
tidak menjadi.
Bagi
mujahidah (pejuang wanita) pula terdapat feqh perjuangan tersendiri
yang mesti dipatuhi. Antaranya, seorang isteri sebelum siap turun ke
medan juang sedang ia terpaksa keluar dari rumahnya, maka pada asasnya
terlebih dahulu ia perlu mendapatkan izin dari suaminya (kecuali dalam
keadaan yang sangat mendesak di mana tenaga muslimah sangat diperlukan
pada waktu itu untuk kesinambungan perjuangan Islam atau suasana yang
kritikal dan huru hara seperti negara sedang diserang oleh musuh).
Selayaknya
pula, encik suami mengizinkan isterinya melibatkan diri dengan
perjuangan Islam dan aktiviti amal Islami justeru telah dipertegaskan
berulangkali bahawa perjuangan adalah satu kewajipan yang mesti ditunai
oleh semua. Sabda Nabi sallallahu’alaihi wasallam :-
إذَا اسْتَأْذَنَكُم نِسَاؤُكُمْ بِاللّيْلِ إلَى الْمَسْجِدِ فَأْذَنُوْا لَهُنَّ
“Apabila isteri kamu meminta izin kepada kamu pada malam hari untuk pergi ke masjid, maka izinkanlah mereka.” (Riwayat al-Bukhari)
Al-Hafiz
Ibnu Hajar rahimahullah telah menaqalkan ucapan Imam Nawawi
rahimahullah, “berdasarkan hadis ini, diambil dalil bahawa isteri tidak
boleh keluar dari rumah suaminya kecuali dengan izin suami, kerana
perintah untuk memberi izin tersebut ditujukan kepada para suami.”
(Rujuk Fathul Bari, 3/266)
Inilah
asas kenapa kita menegaskan bahawa pembentukan rumahtangga haraki
mementingkan pasangan yang saling memahami dan memiliki fikrah Islam
yang syumul. Ia adalah supaya kerja Amal Islami ini tidak tergendala.
Mahram Sebagai Pengiring
Seorang
muslimah pasti mengetahui betapa tingginya nilai maruah dan kehormatan
mereka sebagai seorang pejuang. Tidak mungkin Islam membiarkan para
mujahidahnya turun ke medan yang ganas dan berisiko tinggi tanpa
memelihara maruah dan kemuliaan dirinya. Islam mensyariatkan mahram bagi
menemani dan mengiringi mujahidah beraksi.
Sejurus
mendapat izin dari encik suami yang memahami betapa perjuangan ini
memerlukan penyertaan dan pengorbanan isterinya, maka mujahidah ini
mesti merancang siapakah mahram yang perlu dibawa untuk mengiringinya ke
medan. Terlebih afdhal ia diiringi oleh encik suami, namun jika encik
suami berhalangan, maka penyertaan mahram yang lain diperlukan. Nabi
sallallahu’alaihi wasallam berkhutbah :-
لا
يَخْلُونَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إلاَّ وَمَعَهَا ذُوْ مَحْرَمٍ، ولا
تُسَافِر ُالْمَرْأَةُ إلاَّ مَعَ ذِيْ مَحْرَمٍ. فقام رجلٌ فقال : يا
رسولَ اللهِ إنَّ امْرَأَتِي خَرَجَتْ حَاجَّة، وأنِّي اكْتُتِبْتُ في
غَزْوَةِ كذا وكذا. قال : اِنْطَلِقْ فَحُجَّ مَعَ امْرَأَتِك
“Janganlah
berdua-duaan lelaki dan perempuan kecuali bersamanya mahram, jangan
bermusafir seorang wanita kecuali ditemani mahramnya. Lalu bangun
seorang lelaki lantas bertanya, Ya Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam
sesungguhnya isteriku telah keluar untuk mengerjakan ibadah haji sedang
aku telah disenaraikan di medan perang begitu dan begini. Rasulullah
sallallahu’alaihi wasallam bersabda : berangkatlah kamu dan tunaikan
ibadah haji bersama isterimu.” (Muttafaqun Alaihi)
Andai
tiada mahram dari kalangan lelaki, maka sekurang-kurangnya 2 orang
muslimah diperlukan bagi menggantikan tempat mahram lelaki. Bagi
muslimah yang terlibat aktif dengan gerakan Islam, tidak selayaknya
menganggap ini sebagai kesukaran. Sebagaimana kita boleh mengatur
jentera muslimah turun ke berdakwah dan menjalankan gerak kerja amal
jamaei, kenapa sukar bagi mujahidah mencari team atau pasukan yang sedia
membantunya turun ke medan.
Amal
Nisa’, Skuad Khas Muslimah atau Briged Amal Muslimah atau apa jua nama
boleh dibentuk dalam sayap perjuangan muslimah bagi mengatasi masalah
mahram kepada pejuang-pejuang muslimah yang turun ke medan. Sangat tidak
manis, malah terdedah kepada fitnah dan bahaya yang tidak dijangka bagi
muslimah yang ke hulu dan ke hilir berjuang berseorangan tanpa mahram
menempuh perjalanan yang jauh dan kadangkala terpaksa meredah gelap
malam. Tambahan mutaakhir ini, situasi negara kita sangat terdedah
kepada jenayah dan mungkar. Perjalanannya bukan sahaja tidak selamat,
bahkan dalam situasi begini, ianya tidak direstui syariat.
Berbeza
situasi yang hanya melibatkan perjalanan yang dekat, pula diyakini
selamat seperti menghadiri markaz dalam kampung yang jaraknya hanya
berselang 4 atau 5 buah rumah, maka tidaklah syariat Islam mengetatkan
hukum mahram ke atas mujahidah yang mahu menjalankan tanggungjawab
perjuangannya. Namun, izin suami tetap diperlukan kerana bimbang ketika
itu, isteri diperlukan oleh suami sementelah suami baru pulang dari
musafir yang jauh. Usahkan keluar dari rumah, berpuasa sahaja perlu
mendapatkan izin dari suaminya. Sabda Rasulullah sallallahu’alaihi
wasallam :-
لا يَحِلُّ لِلْمَرْأَةِ أَنْ تَصُومَ وَزَوْجُهَا شَاهِدٌ إِلا بِإِذْنِهِ
“Tidak halal bagi wanita berpuasa (puasa sunat) sedang suami ada bersamanya melainkan dengan izin suami.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Keluarga Haraki Asas Kekuatan Gerakan Islam
Kekuatan
sebuah gerakan Islam banyak bergantung kepada kualiti anggotanya. Sama
ada pemimpin atau ahli biasa, mereka adalah anggota yang
bertanggungjawab untuk memastikan gerakan Islam ini mempunyai energy
yang tinggi mendepani ganasnya cabaran yang dihadapkan oleh musuh Islam
dan bonekanya.
Anggota
gerakan Islam juga bertanggungjawab penuh bagi mengukuhkan benteng
dalamannya dari pelbagai rupa virus yang boleh melumpuhkan organ dalaman
perjuangan ini. Selain daripada aneka aktiviti dalaman gerakan Islam
untuk mentarbiyah dan membentuk anggotanya, keluarga haraki bagaikan
kilang yang melahirkan tunas-tunas baru perjuangan. Berfungsi sebagai
mata rantai perjuangan dan meneruskan kesinambungannya
“Rumahtangga Haraki” sangat berbeza “pattern”nya
dengan rumahtangga biasa. Lagi bertambah jauh dengan rumahtangga yang
huru-hara dan tunggang terbalik atau kacau bilau dengan pertelagahan,
curiga mencurigai antara satu sama lain, pukul sana, maki sini, menjerit
jerit saban ketika dan sebagainya.
Rumahtangga
haraki adalah sebuah rumah bertanggakan perjuangan Islam. Orientasinya
adalah perjuangan Islam. Persekitarannya juga adalah perjuangan Islam.
Justeru itu, matlamat pembentukan keluarga haraki, objektif dan hala
tujunya juga adalah berpaksikan perjuangan Islam.
Perjuangan
Islam memerlukan pejuang yang faham, ikhlas, berilmu, sanggup berkorban
untuk Islam, kental mendepani cabaran, fizikal yang mampu
merealisasikan aktiviti amal Islami, aktif dan mempunyai wibawa
kepimpinan yang hebat. Ertinya, keluarga haraki mesti memenuhi kriteria
tersebut.
0 comments:
Post a Comment