HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Saturday, April 30, 2016

Bagaimana PAS Berjuang?

Menjawab persoalan ini, terlebih dahulu kita kena kenali PAS melalui objektif, hala tuju, dasar dan matlamat penubuhan serta perjuangannya.

Objektif penubuhan PAS termaktub dalam Perlembagaan PAS Fasal ke 5 di bawah tajuk “Tujuan PAS” ialah :-
  1. “Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah”
  2. “Mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara”

Hala tuju PAS atau arah mana PAS bergerak bagi mencapai matlamat perjuangan ini boleh difahami dan dihayati melalui usaha-usaha amal Islami yang dilakukan oleh PAS sebagaimana yang tertera dalam Fasal ke 6 Perlembagaan PAS di bawah tajuk “Usaha-Usaha PAS” :-
  1. Menyeru umat manusia kepada Syari’at Allah dan Sunnah Rasul-Nya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.
  2. Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari’at serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keIslaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.
  3. Memupuk dan memperkuatkan ukhuwah Islamiyah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.
  4. Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup Islam.
  5. Menyediakan rencana-rencana dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik, keadilan ekonomi dan negara, untuk membela kepentingan umat Islam dan rakyat seluruhnya.
  6. Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bilamana dan selama ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.
  7. Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya di samping berusaha mengembangkan bahasa al-Quran.
  8. Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam.
  9. Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.
  10. Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta menghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.
  11. Melakukan apa-apa jua usaha dan tindakan dalam batas-batas Perlembagaan dan Undang-Undang negara bagi mencapai semua tujuan-tujuan PAS ke dalam dan ke luar.
PAS tegak di atas dasar perjuangan yang jelas dan bersifat qate’i. Ia tidak akan diubah atau dipinda lagi. Ubah dasar ertinya tiadalah lagi erti perjuangan Islam yang dilaungkan oleh PAS selama ini. Justeru itu dasar ini bukan sahaja diperjuangkan malah wajib dipertahankan. 
Rujuk Perlembagaan PAS Fasal ke 3 :-

“Dasar PAS ialah Islam”

Matlamat PAS pula terbahagi kepada dua. Pertama ialah matlamat semasa atau matlamat jangka pendek. Matlamat semasa ini juga boleh disebut sebagai objektif iaitu suatu yang menjadi jawapan kepada “kenapa” dan “mengapa” PAS berjuang? Menjawab persoalan “kenapa” dan “mengapa” tersebut, ia telah dimuktamadkan oleh Perlembagaan PAS melalui Fasal ke 5 di bawah tajuk tujuan-tujuan PAS. Sementara bahagian kedua ialah matlamat akhir atau matlamat jangka panjang. Ia adalah matlamat yang bersifat abadi dan kekal. Matlamat jangka panjang ini adalah manifestasi dari apa yang disebut sebagai seruan PAS sepertimana yang ditintakan dalam Fasal ke 4 Perlembagaan PAS iaitu “Seruan PAS ialah Allahu Akbar”.
“Allahu Akbar” ertinya Allah Yang Maha Besar, Yang Maha Agung dan Yang Maha Berkuasa mengatasi segalanya. Justeru itu, hidup mati kita sebagai manusia amnya dan sebagai muslim khasnya mestilah kembali kepada Allah. Kembali dengan redha Allah bukan kembali dengan murka Allah. Membesarkan hak-hak Allah dalam erti kata memperjuangkan risalah-Nya.

Kesimpulan mudah, matlamat akhir kita hidup di bumi fana’ ini ialah mencari atau mendapatkan Mardhatillah (Keredhaan Allah). Justeru itu salah satu dari lima slogan pejuang Islam sepanjang zaman telah memuktamadkan matlamat akhir sebagai “Allahu Ghaayatuna” bermaksud “Keredhaan Allah Matlamat Kami”. Slogan ini bukan sahaja menjadi lafaz yang diungkap pada bibir tetapi wajib mendarah-daging di dalam jiwa setiap para pejuang Islam. Lima slogan tersebut ialah;
الله غايتنا
“(Keredhaan) Allah Matlamat Kami”

القرآن دستورنا
“Al-Quran Perlembagaan Kami”

الرسول قدوتنا
“Rasul Ikutan Kami”

الجهاد سبيلنا
“Jihad Jalan Kami”

الموت في سبيل الله أسمى أماننا
“Mati Di Jalan Allah Cita-Cita Tinggi Kami”

PAS Adalah Gerakan Islam

PAS tentu sahaja berbeza dengan parti-parti politik yang lain. Justeru PAS adalah sebuah badan, jamaah atau gerakan yang ditubuhkan untuk melestarikan perjuangan Islam di bumi bertuah ini. Para alim ulama’ PAS terdahulu lantas berijtihad dengan mengambil pendekatan atau langkah berjuang secara aman dan damai. Iaitu “Muwaajahah Silmiyah” (berdepan dengan pihak lawan secara aman), bukan secara perang, revolusi atau subversif.

Bermula dari situ, PAS akhirnya didaftarkan sebagai sebuah parti politik bagi membolehkan ia berjuang jauh ke hadapan mengambil lunas demokrasi lalu menyertai pilihanraya untuk bersaing secara aman dan sihat ke arah mendapatkan kuasa dan mandat rakyat.

Memahami asal usul PAS, jelas kepada kita bahawa PAS tidak terhenti orientasinya sebagai sebuah parti politik semata-mata sebagaimana parti politik yang lain. Sebaliknya PAS melunaskan kesyumulan perjuangan Islam secara seimbang dan sepadu dengan tiga aplikasi yang telah menjadi identiti PAS.

Anggota PAS sama ada pemimpin mahupun ahli biasa bertanggungjawab menggerakkan wadah perjuangan Islam ini menerusi tiga aplikasi tersebut secara seimbang dan sepadu melalui portfolio yang telah ditetapkan dalam organisasi PAS. Dasar, matlamat, objektif, halatuju dan aktiviti PAS diterjemahkan secara bijak dengan tiga aplikasi perjuangannya :-
  1. Tarbiyah
  2. Dakwah
  3. Siasah
Intima’ atau penyertaan ahli PAS akan diisi dengan pentarbiyahan berasaskan silibus yang telah ditetapkan oleh Lajnah Tarbiyah PAS Pusat. Tarbiyah secara langsung direalisasikan melalui aktiviti seperti usrah, tamrin, liqa’ fikri, mukhayyam, kuliah, ceramah, ziarah dan taklimat khas. Tarbiyah PAS juga boleh dikecapi secara tidak langsung melalui ujian atau tribulasi yang dihadapkan kepada PAS tanpa henti di sepanjang tempoh perjuangannya. Bunuh, buang daerah, penjara, jauh perjalanan dan cabaran getir semasa berjuang menjadi sunnah atau tabiat perjuangan yang terpaksa didepani dengan tabah dan sabar oleh semua anggota PAS.

Tabiat atau sunnah perjuangan ini telah ditatah oleh Allah di dalam wahyunya. Tiga daripadanya (penjara, bunuh dan buang daerah) termaktub di dalam firman Allah;
وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّهُ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
“Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir merancang untuk menahanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka merancang dan Allah juga merancang dan Allah sebaik-baik perancang.”

Sementara dua daripada tabiat perjuangan tersebut (jauh dan sukar) terdapat di dalam firman Allah;
لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَّاتَّبَعُوكَ وَلَٰكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ
“Jika perjuangan ini suatu destinasi yang dekat dan satu perjalanan yang hampir, nescaya mereka akan mengikutmu (wahai Muhammad saw) tetapi ianya jauh dan terlalu sukar dirasakan oleh mereka.”

Sebagai sebuah Gerakan Islam, dakwah juga menjadi prioriti kepada PAS. Memahamkan rakyat mengenai Islam dan memposisikan Islam pada tempat yang selayaknya adalah urusan PAS yang utama. Mementaskan dakwah di arena politik bukan suatu yang mudah bahkan sentiasa berdepan dengan fitnah. Namun ia adalah satu kewajipan dan perjuangan yang mesti direalisasikan dengan penuh hikmah, tegas dan tabah mendepani cabaran semasa.

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat (pengajaran) yang baik, dan berbahaslah dengan cara yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah (petunjuk).”

Justeru itu, PAS tidak memisahkan orientasi politiknya daripada kerja-kerja dakwah. Malah dakwah adalah sarana dan mekanisme utama PAS dalam menggerakkan agenda penyelesaian dan perubahan yang total menepati perintah Allah dan Rasul-Nya. Prinsip dakwah adalah menggamit madu’u (sasaran dakwah) dan bimbing mereka ke jalan yang benar agar selamat dari murka Allah. Ia mengatasi sempadan warna kulit, bahasa lidah dan fahaman politik. Realiti ini membuatkan cabaran sentiasa sukar dan realiti sentiasa rumit buat PAS.

Sebagaimana dakwah kepada non-Muslim untuk memahamkan mereka mengenai Islam yang sebenar adalah suatu yang sukar justeru ia di luar sempadan Muslim, maka begitulah dakwah rentas sempadan parti politik bagi memahamkan mereka bagaimana Islam mengemukakan “solution” yang betul dalam pergolakan politik tanahair, adalah sukar dan penuh cabaran. Inilah perjuangan. Malah perlembagaan PAS turut menggariskan tugasan murni ini sebagai usaha yang mesti dilakukan oleh PAS, rujuk: (Fasal ke 6 Perlembagaan PAS).

PAS mesti menemui semua orang dan berusaha menyampaikan risalah perjuangannya kepada seberapa ramai manusia yang boleh dan seberapa banyak ruang yang mampu dengan pelbagai variasi penampilan dan kaedah pendekatan. Bersikap matang, berjiwa besar dan berlapang dada antara spirit yang mesti dimiliki oleh seluruh kepimpinan dan ahli PAS bagi menjayakan aplikasi dakwah di pentas politik yang mempunyai 1001 sudut ancaman dari musuh politiknya.

Manakala politik atau siasah adalah sebahagian daripada Islam sementara Islam adalah dasar perjuangan PAS. Justeru itu PAS mengambil pendekatan untuk menyertai pilihanraya bagi memanfaatkan ruang demokrasi yang ada bagi membolehkan Islam dapat didaulatkan di bumi bertuah ini. Namun, tiada siapa yang dapat menafikan bahawa sistem demokrasi dan pilihanraya yang berlangsung di Malaysia ini juga bukanlah diamalkan secara patuh syariat 100%. Walaupun begitu, ini satu-satunya ruang untuk perolehan kuasa politik secara aman.

Melalui ijtihad politik para alim ulama’ terdahulu, untuk memimpin kebangkitan dan gerakan perubahan rakyat secara “muwajahah silmiyah” iaitu berdepan secara aman, maka PAS mengambil keputusan menyertai pilihanraya untuk manfaatkan ruang yang masih ada guna mengembangkan risalah perjuangan Islam. Tanggungjawab PAS sangat mencabar. Bukan sahaja untuk memenangkan perjuangan Islam tetapi terpaksa jua mengislahkan sistem politik negara agar bebas dari politik kotor dan jahiliyah.

Budaya Politik Matang dan Sejahtera

Bertolak dari noktah ini, PAS membudayakan seni politik matang dan sejahtera ke arah membina mindset baru di pentas politik Malaysia. Satu budaya politik yang bersendikan syariat dan akhlak Islami. Sekaligus memulihkan iklim politik tanahair dari jerebu politik wang, politik fitnah, politik emosi, politik dendam, politik maki hamun, politik benci, politik perkauman, politik kesat dan kasar kepada mengamalkan politik kasih sayang, politik fakta, politik realiti, politik bestari, politik harmoni, politik taqwa, politik akhlak, politik dakwah, politik kebenaran, politik matang dan sejahtera.

Cabaran ini tidak mudah untuk direntas oleh PAS. Selain daripada masyarakat awam dan pihak lawan politik, PAS juga mesti berdepan dengan usaha mematangkan ahli dan penyokong sendiri agar menghayati malah mempraktiskan budaya politik matang dan sejahtera bersendikan syariat dan akhlak Islami ini. Matlamat jangka panjang perjuangan PAS (ghayah) ialah menggapai Mardhatillah “keredhaan Allah”. Ertinya politik PAS mestilah menjurus kepada redha Allah. Kita tidak mahu sekali-kali terjebak dalam politik mungkar yang memulangkan kemurkaan Allah kepada kita. Lantaran itu kita wajib menjauhkan diri dari politik maki-hamun, fitnah dan sebagainya kerana ia adalah mungkar.

Berdiri di atas tunjang ini juga, politik PAS ditegakkan atas prinsip Islam yang kukuh. Kita sekali-kali tidak akan meninggalkan Islam semata-mata mencongak kemenangan sementara di dunia. Maksudnya PAS tidak hanya memburu kemenangan di Putrajaya tetapi juga PAS mahu menang di Akhiratjaya. Matlamat jangka pendek perjuangan PAS (hadaf) ialah memenangi setiap pilihanraya yang disertai agar dapat membentuk kerajaan ataupun paling tidak, PAS boleh membawa suara Islam ke Dewan Rakyat, Dewan Negeri juga Dewan Negara.

PAS juga mempunyai dasar tersendiri mengenai hubungan dengan pihak non-muslim dan juga pergerakkan atau pertubuhan yang tidak berteraskan Islam dalam apa jua pendekatan (Tahaaluf, Ta’awun dan Tafahum Siasi) .

Tahaaluf Siasi (kerjasama politik yang diikat dengan terma syarat dan janji sepakat yang tertentu), Ta’awun Siasi (kerjasama politik berasaskan kesepakatan tertentu dalam hala tuju yang sama) atau Tafahum Siasi (persefahaman politik yang dijalin secara mesra saingan tanpa sebarang terma syarat) antara ijtihad politik PAS yang boleh diaplikasi mengikut kesesuaian semasa.

Penglibatan PAS di pentas politik tidak menjarakkan PAS daripada “enggagement” dengan pelbagai pihak. Tidak sahaja parti-parti politik, PAS juga mengambil sikap mesra ngo dan tokoh-tokoh seperti ahli akademik, pejuang bahasa, aktivis sosial dan lainnya.

Pendekatan terbaru PAS dalam mengemudi politik tanahair ialah membentuk Blok Ketiga dan ianya menjadikan lanskap politik Malaysia kian menarik setelah meletakkan rakyat lebih selesa untuk memilih. Mereka tidak lagi terhad untuk memilih salah satu antara dua. Bahkan PAS kini menjadi bahan perhatian yang “terlajak laris” untuk diperkata dan diberi perhatian oleh semua pihak kawan dan lawan. Situasi ini meletakkan PAS lebih strategik dalam menentu iklim politik negara selepas hujan politik yang lebat kembali reda.

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive