HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Wednesday, March 4, 2009

Pemuda Kebanggaan Rasul saw.



Nabi saw pernah bersabda :


حالفني الشباب و خالفني الشيوخ

Aku didokong oleh para pemuda sementara Aku sering dicanggah oleh orang - orang tua .

Ungkapan Baginda saw jelas mengiktiraf fungsi pemuda dalam mendokong perjuangan yang diasaskan oleh Baginda saw.

Pemuda yang dimaksudkan pastinya pemuda yang beriman , bertaqwa dan berjihad untuk menegakkan syariat dan meninggikan syiar agama Allah swt . Pemuda yang mewaqafkan diri dan bersedia untuk mengorbankan segala kepentingan diri dan duniawi demi memastikan syariat dan sunnah berjaya di daulatkan di atas tanahair ini khasnya dan di atas muka bumi ini amnya .

Pemuda yang berjiwa besar , mampu dan sanggup menggalas beban amanah pula mendepani mehnah guna melunaskan tanggungjawab dakwah dan tarbiyah . Pemuda yang memiliki aqidah yang benar , fikrah yang jelas dan menghiaskan diri dengan akhlak Islami yang indah .

Pemuda yang tentu tidak pernah mengaku kalah dengan segala ancaman atau tahaddiyat yang digerakkan oleh musuh untuk menghalang hasrat dan perjuangan murni mendaulatkan syariat dan sunnah .

Inilah pemuda harapan dan sandaran ummah bagi mengembalikan semula kegemilangan agama suci ini setelah sekian lama ia diinjak oleh musuh dan lebih malang ianya kini dipersiakan oleh penganutnya sendiri .

Inilah pemuda kebanggaan Rasulullah saw yang berani mencagarkan kebebasan hidup semata - mata ingin mengabadikan diri kepada perjuangan suci memartabatkan kembali izzah ummah setelah sekian lama ianya tercalar angkara kejahilan dan kebejadan .

Ringkasnya , pemuda seperti inilah yang diperlukan oleh PAS untuk memacu perjuangan di bumi bertuah ini agar Islam kembali bertapak dan cahaya keadilannya kembali menerangi ummah setelah berlalu tempoh kegelapan yang panjang menyelubungi kehidupan ummah .

Pemuda PAS sewajarnya menjadi duta penyelamat dan kasih sayang , membebaskan insan yang derita di sangkar jahiliyah . Biarpun diri terkorban justeru itulah sunnatullah bagi mujahid yang mendokong cita - cita besar perjuangan Islam .

Pemuda yang tidak mengenal istilah kalah melainkan menang atau syahid . Menang mendaulatkan syariat Allah swt atau menang mengatasi desahan nafsu yang memujuk agar meninggalkan perjuangan . Jika tidak , syahid di medan jihad fi sabilillah menjadi impian yang ingin dicapai .

Pemuda PAS sekali lagi ditegaskan , mestilah mempunyai keupayaan malah kesungguhan untuk mendalami urusan agama agar tahu dan faham berkait dengan "produk" [ Islam ] yang ingin di"pasar" [ dakwah ] kepada masyarakat .

Semangat semata - mata , jelas tidak memadai untuk memimpin perubahan dan membimbing kesedaran masyarakat hari ini yang rata - ratanya inginkan perubahan kepada keadaan yang lebih baik setelah lama terperangkap dalam kebodohan sistem yang mengasingkan dunia dan akhirat .

Era yang kita hadapi hari ini memerlukan kita selangkah lebih jauh ke depan berbanding kelicikan musuh yang tidak pernah rehat mengatur strategi dan konspirasi untuk memadam cahaya hidayah Allah swt . Malah kita mestilah selangkah lebih cepat bertindak berbanding musuh yang pintar dan menguasai pelbagai sarana penerangan bagi mengelirukan minda masyarakat .

Kesimpulannya , pemuda mestilah senantiasa dalam keadaan bersiap siaga . Bersedia bila diperlukan , hadhir bila dipanggil , bertindak bila diarah dan responsif terhadap situasi sekeliling terutama berhubung dengan keperluan parti [ jamaah ] dan tuntutan ummah tanpa lengah dan alasan yang tidak wajar dan layak .

Monday, March 2, 2009

Al Faatihah

Ibu kepada Hj. Khairil [ setiausaha DPP Wilayah Persekutuan dan juga AJK Akademi Kepimpinan Pemuda DPP Pusat ] telah kembali kerahmatillah pada jam 1 tengahari tadi di Ipoh .


Seluruh warga DPP Pusat , DPP Wilayah Persekutuan dan AJK Akademi Kepimpinan Pemuda merakamkan ucapan takziah kepada Hj. Khairil sekeluarga dan berdoa agar ruh al marhumah ditempatkan dalam golongan hamba - hamba Allah yang solehah .

Al Faatihah


Unity Government

Kerajaan Perpaduan :
Merentas Kepentingan Politik Kepartian


حدثنا أبو نُعَيْمٍ حدثنا زَكَرِيَّاءُ قال سمعت عَامِرًا يقول سمعت النُّعْمَانَ بن بَشِيرٍ رضي الله عنهما عن النبي قال مَثَلُ الْقَائِمِ على حُدُودِ اللَّهِ وَالْوَاقِعِ فيها كَمَثَلِ قَوْمٍ اسْتَهَمُوا على سَفِينَةٍ فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلَاهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا فَكَانَ الَّذِينَ في أَسْفَلِهَا إذا اسْتَقَوْا من الْمَاءِ مَرُّوا على من فَوْقَهُمْ فَقَالُوا لو أَنَّا خَرَقْنَا في نَصِيبِنَا خَرْقًا ولم نُؤْذِ من فَوْقَنَا فَإِنْ يَتْرُكُوهُمْ وما أَرَادُوا هَلَكُوا جميعا وَإِنْ أَخَذُوا على أَيْدِيهِمْ نَجَوْا وَنَجَوْا جميعا


Perumpamaan orang-orang yang menjaga batas-batas agama Allah SWT dengan mereka yang melanggarnya, bagaikan satu kaum yang menaiki sebuah bahtera. Sebahagian mendapat tempat di atas dan sebahagian lagi di bawah . Mereka yang berada di bawah , jika ingin mendapatkan air (terpaksa) melewati orang-orang yang berada di atas, akhirnya mereka berkata, "Seandainya kita menebuk lubang di bahagian bawah bahtera ini untuk mendapatkan air, tentu kita tidak lagi mengganggu orang-orang yang berada di atas." Jika orang yang berada diatas membiarkan tindakan mereka yang berada di bawah bagi mendapatkan apa yang mereka mahu , tentu semuanya akan binasa. Jika mereka menghalanginya, mereka akan selamat malah semuanya akan selamat "


Hadis Riwayat Imam Bukhari
Fathul Baari : Kitab Asy Syarikah . Bab ke 6 . Hadis ke 2493


Negara bagaikan sebuah bahtera yang sedang berlayar di tengah lautan luas yang pastinya berdepan dengan badai yang ganas dan gelombang yang besar serta gelora yang buas . Demi keselamatan bahtera dan seluruh penumpangnya , bukan sahaja kemahiran dan kepakaran laksamana atau nakhodanya diperlukan tetapi juga sikap dan rasa tanggungjawab semua penumpang bahtera sangat besar malah penting peranannya .

Situasi dan ekspresi yang sama mestilah dimuat turun ke pentas politik tanahair kita dewasa kini yang juga saya lihat bagai sebuah bahtera yang sedang dilanda badai dan dihentam gelombang .

Badai ekonomi yang parah , gelora politik yang getir dan gelombang sosial yang berisiko bagi mewujudkan sebuah negara aman , makmur , adil dan stabil hari ini memerlukan pemimpin dan rakyat yang berjiwa besar , sanggup berkorban dan melupakan perseteruan politik dengan pihak yang berbeda saingan dan fahaman politiknya .

Bertolak ansur , meminimakan jurang pertelingkahan dan saling menumbuhkan nilai persefahaman antara parti - parti politik dan juga ngo - ngo dalam negara adalah elemen positif ke arah mewujudkan sebuah kerajaan solidariti dan sekaligus memberikan ruang serta peluang kepada semua pihak memainkan peranan dengan penuh amanah dan tanggungjawab bagi masa depan rakyat dan negara .

Kerajaan Perpaduan : Idea yang Bertanggungjawab .

Saya melihat idea besar telah dilontarkan dengan penuh tanggungjawab oleh Datuk Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang [ Presiden PAS ] untuk menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan dengan melibatkan semua parti politik diberi peranan membangunkan negara sekaligus menyelamatkan negara dari perangkap politik sempit dan kemelut ekonomi yang menjunam .

Bermula dengan understanding politic dan politik damai , idea ini boleh diorak dengan cermat dan teliti tanpa sikap yang prejudis terhadap ruang dan peluang yang beri atau digalas oleh mana - mana parti politik dalam pentadbiran dan kepimpinan negara selama mana ia tidak memberi kesan buruk dan pulangan negatif kepada rakyat dan negara .

Saya sangat tertarik dengan idea Kerajaan tanpa Pembangkang , antara terma yang dilontar oleh Al Fadhil Tuan Guru Presiden .

Kerajaan Tanpa Pembangkang : Bukan PAS Masuk UMNO

Namun perlu ditegaskan bahawa ini bukan idea membawa masuk PAS ke dalam UMNO atau BN tetapi mewujudkan sebuah kerajaan yang melibatkan semua parti politik [ Barisan Nasional + Pakatan Rakyat ] berperanan memimpin , mentadbir dan mengurus negara demi kepentingan agama , rakyat dan negara itu sendiri .

Tiada lagi masa yang dibazirkan untuk bertelagah dan bertembung antara satu sama lain semata - mata didorong perbedaan ideologi politik . Sebaliknya masa itu dimanafaatkan sepenuhnya untuk duduk bersama , berbincang , mencari titik persamaan , bertolak ansur dalam perbedaan , menyelesaikan masaalah yang dihadapi oleh rakyat , cari strategi berkesan membina negara agar mampu menyaingi kuasa luar yang sering mengeksploitasi kelemahan kita .

Saya kira kini kita telah terlalu matang berpolitik setelah lebih 50 tahun negara kita merdeka . Terlalu banyak pengalaman yang boleh kita pungut sepanjang tempoh itu dan terlalu banyak pengajaran yang boleh kita teladani sejauh perjalanan itu .

Kini tibalah masanya untuk sebuah Kerajaan tanpa Pembangkang atau Kerajaan Perpaduan ini diwujudkan dalam negara kita . Sebelumnya Indonesia di zaman kepimpinan Habibie telah menunjuk model Kerajaan Perpaduan di Nusantara dan terbaru Kerajaan Perpaduan dicapai kata sepakat ke arah penubuhannya antara Hamas dan Fatah yang sekian lama bertelagah dan berperang antara satu sama lain .

PAKATAN dan BARISAN belum sampai ke peringkat berperang dan berbunuhan antara satu sama lain . Saya percaya , andai keegoan boleh ditundukkan dan kepentingan rakyat serta negara diutamakan , semua pihak mesti sedia menerima idea penubuhan Kerajaan Perpaduan ini , khasnya BARISAN sebagai parti pemerintah hari ini .

Biarpun agak sukar mendapat laluan , idea Kerajaan Perpaduan yang terlebih awal dilontarkan oleh al Fadhil Tuan Guru Presiden , seketika dulu ditenggelamkan oleh isu muqabalah UMNO dan PAS kini mula mendapat reaksi pelbagai pihak .

Politik damai cetusan al Fadhil Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz , seketika dulu juga terpinggir sebelum siasah hari ini mengangkatnya menjadi head line keluaran terbarunya .

Saya kira , suasana dan latar belakang politik dan ekonomi hari ini membuatkan idea Tuan Guru Presiden dilihat tepat pada masanya . Tinggal lagi semua pihak sewajarnya melihat idea ini dengan rasional tanpa sangsi .

Kerajaan Perpaduan memberi hak dan tanggungjawab yang sama kepada pembangkang untuk berperanan memimpin , mengurus dan mentadbir negara . Pembangkang tidak lagi dengan imej membangkang atau hanya tahu membangkang tetapi memberi segala upaya untuk membangunkan negara secara efektif .

Andai ia menjadi kenyataan , ia akan membentuk satu fenomena yang positif dimana negara akan pesat membangun pula secara seimbang spiritual , material dan fizikalnya apabila ia didokong bersama oleh semua pihak .

Tentu sahaja kepentingan agama , rakyat dan negara dapat difikirkan bersama dengan semangat perpaduan .

Sunday, March 1, 2009

Golongan Yang Celaka



فأنذرتكم نارا تلظى لا يصلها إلا الأشقى الذي كذب و تولى


Maka Aku telah memberikan peringatan [ sesudah memberi petunjuk ] kepada kamu mengenai api neraka yang panas membakar lagi menjulang . Tidak [ menderita diseksa ] oleh bakaran api neraka itu kecuali orang - orang yang sangat celaka . iaitu orang - orang yang dusta [ menolak kebenaran ] dan orang - orang yang berpaling [ daripada kebenaran ]

Surah Al Lail : Ayat 14 - 16

Akhir - akhir ini kalimah celaka menarik perhatian media bahkan mencetus perbalahan di Parlimen berikutan kalimah celaka .

Baru - baru ini Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS telah menganggap golongan yang mempertahankan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris [ PPMSI ] sebagai golongan celaka !

Manakan tidak , mereka bukan sahaja mementingkan bahasa inggeris berbanding bahasa ibunda atau bahasa kebangsaan malah mereka telah memperbodohkan rakyat dan anak bangsa sendiri apabila mereka menurunkan kadar peratusan untuk lulus dalam pengajian sains dan matematik semata - mata bagi mengelabui mata rakyat kononnya PPMSI membawa kejayaan dengan statistik pelajar yang lulus tinggi berbanding sebelumnya .

Ini satu penipuan dan pengkhianatan . Benar pelajar kita lulus tetapi mereka lulus dengan tahap ilmu dan kepandaian mereka yang sangat rendah kerana peratusan lulus direndahkan .

Lebih memalukan , apabila mereka mempertahankan dasar PPMSI ini menganggap bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu . Maka apalah nilai bahasa ibunda ?

Sedang dunia tahu bagaimana Jepun sebuah negara yang tidak menjadikan bahasa inggeris sebagai bahasa ilmu mencapai kemajuan bertaraf dunia . Demikian Korea , Russia bahkan kuasa baru dunia yang meningkat naik dalam pencapaian teknologi hari ini ialah Iran berbangga dengan bahasa Parsinya .

Kita bukanlah bersikap prejudis terhadap bahasa asing termasuk inggeris , tetapi jangan lah kita menggadaikan masa depan anak bangsa kita . Apa kena mengena sains dan matematik dengan bahasa inggeris ? Jika alasan mereka ingin memantapkan bahasa inggeris , mereka perlu meningkatkan mutu pengajian dan pembelajaran bahasa inggeris bukannya mengorbankan subjek lain .

Apabila pelbagai pihak termasuk tokoh bahasa memberi peringatan dan tunjuk ajar dalam perkara ini , mereka keras kepala . Degil dan pekak badak ! Setelah kebenarannya terbentang dihadapan mereka bahawa apa yang mereka lakukan ini salah dan tidak menguntungkan anak bangsa sendiri , mereka masih sombong dan angkuh ! inilah golongan celaka !

Khianat kepada anak bangsa sendiri . kalau penentangan ini hanya datang dari parti politik seperti PAS dan lainnya , mereka kata puak pembangkang hanya tahu membangkang !

Kini penentangan itu datang dari tokoh - tokoh bahasa seperti Prof Emeritus Dato' Nik Safiah Karim , Dato' Dr. Ahmad Hassan , Dato' A Samad Said , Dato' Baha Zain , Prof Emeritus Abdullah Hassan Dr. Shaharil Mohamad Zain dan ramai lagi aktivis bahasa dalam negara yang mereka sebelumnya mendapat pengiktirafan kerajaan dengan pelbagai gelaran atas jasa mereka terhadap bahasa , bangsa dan negara .

Kenapa kini nasihat dan tunjuk ajar mereka diketepikan ? Apa yang sedang dipertahankan oleh Kerajaan ini kalau tidak hanya ego dan keras kepalanya ?

Kini rakyat bangkit atas kesedaran untuk mempertahankan bahasa kebangsaan mereka . Melalui Gerakan Mansuhkan PPMSI dengan himpunan 100 ribu rakyat yang akan bergerak ke Istana Negara bagi membawa memorundum kepada Tuanku yang dipertuan Agong .

Saya sendiri berharap agar pemuda khasnya di seluruh negara bangkit dan menggerakkan rakyat lantas memimpin kesedaran mereka menuntut agar PPMSI segera dimansuhkan . Kemuncaknya pada 7 Mac 2009 ini akan menyaksikan gelombang kebangkitan rakyat untuk meruntuhkan benteng keangkuhan Kerajaan UMNO dan BN .

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive