HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Sunday, March 8, 2009

Tindakan Polis Ala Yahudi. vol 1

Himpunan 100 ribu rakyat membantah
Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik
dalam Bahasa Inggeris.

Tepat jam 2.00 petang saya berada di Kompleks Sogo dan kemudian bergerak ke Masjid Negara untuk menyertai Himpunan 100 ribu rakyat bagi turut membantah PPSMI

Sejurus saya sampai ke Masjid Negara , seingat saya lebih 10 kali gas pemedih mata ke kawasan Masjid Negara . Keadaan menjadi kucar kacir akibat serangan polis ala Yahudi tersebut .

Saya yakin dan percaya , perhimpunan ini akan berlangsung secara aman dan tenteram tanpa gangguan dan provokasi dari pihak polis atau FRU .

Anggota Unit Amal sememangnya konsisten malah telah dikenali bagaimana disiplin mereka mengendalikan perhimpunan biarpun sebesar 100 ribu . Pengalaman Unit Amal yang sangat cemerlang sewaktu mengendali himpunan BERSIH diiktiraf oleh dunia .

Malang apabila pihak polis , yang saya percaya mereka bertindak pula atas arahan "orang atasan" bertindak bodoh dan ganas tanpa belas simpati menyimbah air asid dan menembak gas pemedih mata ke arah peserta himpunan yang awalnya berhimpun dan berarak secara aman penuh disiplin .

Andai pihak polis memberi kerjasama , memorundum dapat diserah dengan cara baik dan aman , perarakan berlalu dalam masa yang singkat dengan aman tanpa sebarang insiden yang mengancam keselamatan sesiapa .

Yang mencetus keganasan dan keadaan kucar kacir ialah pihak polis yang gagal memahami suara hati rakyat dalam isu PPSMI ini .

Sedang FRU adalah anggota keselamatan bagi mencegah rusuhan berlaku . Malangnya mereka pula yang mencetuskan situasi yang tidak selamat dan lebih parah mereka pula yang merusuh bukan rakyat .

Peserta tidak membawa senjata bahkan tidak membawa apa jua yang mengancam keselamatan awam atau harta benda . Kecuali mereka datang dengan hasrat nurani yang tulus mengiringi tokoh - tokoh dan pejuang bahasa bersama memeorundum membantah PPSMI yang ingin dipersembahkan kepada Tuanku Yang dipertuan Agong .

Persoalannya kenapa mereka tidak mahu mendengar suara hati rakyat dan kenapa mereka tidak layan rakyat mereka dengan baik ?

Ada orang berkata , kenapa perlu buat demonstrasi ?

jawabnya , apalagi yang boleh rakyat lakukan ? setelah sekian lama rakyat menegur dan membantah tetapi kerajaan pekak badak ini enggan mendengar suara rakyat !

Mereka hanya mahu mengadu pula kepada Yang diPertuan Agong . Himpunan 100 ribu rakyat ini menandakan bantahan ini bukan mewakili kelompok kecil dari rakyat sehingga suara mereka hanya layak diketepikan . Sebaliknya ini suara besar dari rakyat terbanyak .

Lebih menarik untuk dikaji ialah penglibatan tokoh - tokoh pejuang bahasa yang mendapat anugerah dari kerajaan sendiri sebelum ini . Kenapa suara mereka juga dipinggirkan ? kenapa bantahan mereka dipandang sepi ? mereka pakar bahasa dan pejuang bahasa , kemahiran mereka telah diiktiraf oleh kerajaan . Tetapi apabila mereka menegur kerajaan dalam isu PPSMI , apa yang membuatkan kerajaan degil dan angkuh ? .

Timbul pula tuduhan kononnya pakar bahasa ini diperalatkan oleh pembangkang . Isunya , apakah manusia secerdik pakar - pakar bahasa yang berderet dengan pelbagai anugerah dan gelaran seperti Prof Emeritus , Doktor Falsafah , Sasterawan Negara dan pelbagai anugerah nobel tiba - tiba menjadi bodoh lalu diperalat oleh pembangkang ?

Bagaimana pula sewaktu mereka berada bersama kerajaan dan bertugas pula di university dan lainnya , apakah mereka pada waktu itu diperalatkan oleh kerajaan pula ?

Mereka selayaknya tidak memperbodohkan tokoh - tokoh bahasa dengan segala kepakaran yang mereka miliki , sebaliknya kerajaan UMNO dan BN mesti mengakui kebodohan mereka sendiri .

Tragedi malang yang menimpa sistem demokrasi negara malah menimpa nasib rakyat dalam tanahair sendiri apabila kekasaran digunakan keatas rakyat marhain yang rata - ratanya lemah malah tidak bersenjata pun .

Al Fadhil Ustaz Ghani Abdul Rahman seperti dihujung nyawa apabila diserang air asid dan gas pemedih mata oleh pihak FRU . Sedang beliau hanya seorang ulamak yang hadhir dengan tangan kosong untuk memberi sokongan kepada pejuang bahasa . Bahasa kita !

Dato Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi turut mengalami penderitaan akibat serangan "membuta babi" oleh pihak FRU .

Mengalami nasib serupa ialah Yb. Salahudin Ayub Ahli Parlimen Kubang Kerian yang juga turun untuk menyatakan sokongan bagi memperjuangkan bahasa dan mempertahankannya agar ia terus menjadi bahasa ibunda yang dihormati dan diberi kepercayaan sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu . kenapa tidak ?

Peristiwa ala Yahudi menyerang Gazzah ini telah menimbulkan rasa marah , benci , kecewa dan putus harap rakyat terhadap kerajaan UMNO dan BN yang memerintah hari ini .

Perdana Menteri semalam akhirnya mengakui bahawa perlunya isu PPSMI ini diselesaikan segera agar tidak bangkit penentangan yang lebih besar dari pihak Ngo terhadap kerajaan .

Harapan saya , pihak kementerian mengambil serius padangan Perdana Menteri dan segera mengambil kira bantahan rakyat .

Tidak berbangkit kenapa selepas 6 tahun barulah rakyat bangkit membantah . Kerana bantahan ini telah dibuat sejak awal dulu oleh pelbagai pihak termasuk parti politik . Tetapi dikala itu kerajaan tidak memperdulikannya. Kini kesabaran rakyat telah berada ditahap sempadan akhir untuk mereka bertindak .


Kalau demontsrasi bukan cara untuk menyelesaikan masaalah sebagaimana yang dibangkitkan oleh ketua polis dan kerajaan , soalnya apakah keganasan pula cara yang sesuai untuk menyelesaikan masaalah ?

Mereka menghayun cota , melepaskan gas dan air asid kepada rakyat mereka sendiri tanpa sedikit pun simpati .

menambah kejam dan biadabnya mereka apabila rakyat yang berlindung di dalam Masjid Negara turut dibedil dengan gas pemedih mata .

Kemuliaan masjid tidak dipedulikan lagi oleh mereka yang tidak berperikemanusiaan ini .

Gerakan Mansuhkan PPSMI turut disokong oleh bangsa selain melayu . Mereka menyokong berasaskan ianya adalah bahasa ibunda

Tak kan melayu tidak tersentuh jiwa dan hati kecil mereka , apabila bahasa ibunda mereka diperlekeh sedang bahasa melayu adalah bahasa besar di dunia yang berpotensi untuk menjadi bahasa ilmu dan membawa kemajuan kepada negara .


Keranda bahasa ! apakah ini juga simbolik bahawa bahasa ibunda kita akan terkubur 10 ke 20 tahun akan datang .

Hari ini ajar sains dan matematik dalam bahasa inggeris . Kemudian satu masa kelak , geografi dan sejarah dunia pula perlu dibelajar dalam bahasa inggeris .

Alasannya tak kan kita nak maju dalam sains dan matematik sahaja ? kenapa tidak geografi juga ?

Tidak mustahil idea gila ini boleh dikemukakan kelak supaya mata pelajaran agama juga mesti dipelajari dalam bahasa inggeris atas nama kemajuan dan ingin bersaing dengan dunia luar .

Kenapa kita tidak berbangga dengan bahasa kita ? kenapa mesti bahasa inggeris ? tidak cukup lagi mata pelajaran bahasa inggeris tu sendiri ?

Bahasa jiwa bangsa !

Friday, March 6, 2009

Isu Penggunaan Kalimah Allah


Pengguna Kalimah Allah oleh Non Muslim .

Akhir - akhir ini isu penggunaan kalimah Allah semakin sensasi dan mencetus kontraversi malah turut mendapat ruang perbahasan di dalam parlimen . Hari ini pun , sejurus saya selesai menyampaikan kuliah Hadis di Akademi Ar Rasyidin , soalan yang sama ditimbulkan oleh salah seorang pelajar saya .

Bagi saya dan sesiapa sahaja yang pernah tinggal di negara arab seperti Mesir , Syria dan Jordan tentunya menjadi perkara biasa mendengar penganut agama kristian menyebut kalimah Allah swt . Bahkan mereka turut bersumpah dengan menggunakan kalimah Allah swt . Maksud saya penggunaan istilah atau kalimah Allah tidaklah menjadi polemik dikalangan ummat Islam di sana .

Mungkin kelihatan ganjil apabila ada beberapa pihak non muslim di negara ini mahu menggunakan kalimah Allah swt dalam penerbitan mereka , katalog mahupun signboard .

Saya pernah memasuki sebuah restoran di Tanta Mesir yang tertulis di dinding kedainya perkataan Allahu Yarhamuk atau maknanya Semoga Allah merahmatimu . Pada mulanya mati - mati saya sangka itu kedai muslim sehinggalah saya dimaklumkan oleh seorang sahabat arab yang belajar sekelas dengan saya bahawa kedai tempat saya makan itu adalah kedai milik seorang nasrani [ kristian ] .

Sepanjang masa saya berada di Mesir , tidak pula saya perasan wujud perbahasan mengenai penggunaan kalimah Allah dikalangan kristian meskipun Mesir adalah antara negara yang mempunyai ramai ulama' yang hebat dan tersohor .

Hukum Menggunakan Kalimah Allah oleh Non Muslim

Bagi menjelaskan perkara ini , saya melihat isu ini dari 2 sudut . Pertama dari sudut hukumnya secara tekstual sementara sudut kedua ialah dari aspek kemaslahatan yang perlu dilihat dari implikasi kepenggunaan kalimah Allah oleh Non Muslim dalam negara kita Malaysia .

Sudut pertama : Prinsip Hukum

Allah swt adalah Tuhan sekelian Alam . Tuhan kepada semua makhluk malah dialah Tuhan yang Mencipta segala suatu . Tuhan yang Maha Esa dan Memelihara makhluknya . Saya percaya perkara ini turut diyakini oleh mereka non muslim dalam negara ini terutama bekas agama samawi seperti kristian .

Malah hal ini diakui oleh al Quran apabila Allah swt berfirman dengan maksudnya :

Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid)

(Surah al-Ankabut ayat 63).

Dilihat daripada ayat di atas , jelas mereka juga mengaku bahawa Allah swt adalah Tuhan yang mencipta dan memelihara alam ini dengan segala isinya . Bahkan Allah swt tidak melarang atau membantah golongan non muslim ini menggunakan kalimah Allah swt sebaliknya menyuruh Nabi Muhammad saw bersyukur ekoran pengakuan tersebut .

Lalu saya berpendapat bahawa menggunakan Kalimah Allah swt sebagai tuhan yang mencipta oleh golongan non muslim tidaklah menjadi kesalahan .

Sebenarnya yang menjadi perbahasan sejak dulu oleh para ulamak bukan terhenti di atas penggunaan kalimah Allah swt tetapi bagaimana mereka menanggapi Allah swt . Ertinya yang dilarang ialah perbuatan mereka mensyirikkan Allah swt .

Menyebut dan menggunakan nama Allah swt pada tempat dan perkara yang tidak wajar dan tidak layak bagi Allah seperti mensyirikkannya maka ianya diharamkan . Sebagai contoh , Firman Allah swt yang bermaksud :

“Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa..

(Surah al-Maidah ayat 73).

Perkara yang terlarang berkait penggunaan kalimah Allah swt ialah perbuatan atau perkataan yang mensyirikkan Allah swt . Jika mereka menggunakan nama atau kalimah Allah dengan mengakui bahawa Allah adalah Tuhan yang berkuasa maka tiada salahnya meskipun dia seorang non - muslim .

Samalah isunya seperti Gobala Krishnan dan beberapa pemimpin cina DAP yang membaca ayat al Quran dalam ucapan mereka . Jika mereka membacanya dengan niat ingin memetik kebenaran yang terkandung di dalam ayat tersebut , kenapa kita mesti melarang atau menolak ? kecualilah dibaca dengan maksud menghina atau mempersenda . Jelas hukumnya haram dan kita wajib menegah siapa sahaja yang berbuat demikian meskipun ia seorang muslim , justeru menghina itu adalah salah [ dosa ] dan ditegah [ haram ] .

Sudut Kedua : Maslahah

Perkara yang berkait dengan kemaslahatan adalah suatu yang perlu disiasat oleh pihak berkuasa agama seperti Majlis Agama Islam , JAKIM , IKIM , Majlis Fatwa dan lain - lain badan berauthority . Sejauh mana penggunaan kalimah Allah itu mencetus keresahan dan mengundang polemik dikalangan rakyat yang berbilang kaum agar tidak tercetus perang yang tidak diingini .

Juga perlu dilihat kepada kesesuaian dan keperluan menggunakan kalimah Allah tersebut sebelum kita menjatuhkan hukum , apakah ia membawa maksud yang berbeza dari prinsip tauhid sehingga membawa maksud atau nilai yang salah terhadap KeEsaan Allah swt dan segala kesuciaannya .

Jika hasil siasatan memperlihatkan bahawa kepenggunaan nama Allah swt adalah kerana mahu turut sama menyebut bahawa Allah swt adalah tuhan yang sebenar dan Tuhan yang layak disembah maka tidak mengapa mereka menggunakannya . Namun jika hasil kajian dan siasatannya menunjukkan sikap yang jelas ingin mencetuskan kegelisahan atau keresahan dikalangan ummat Islam maka saya kira ianya wajar dihentikan . Apatah lagi membawa maksud mahu menghina agama Islam.

Kesimpulan

Hukum penggunaan kalimah Allah dilihat kepada bagaimana ia digunakan . Jika penggunaannya hanya bertujuan untuk merendah dan mempersenda agama Islam , maka ianya haram dan wajib ditentang habis - habisan sekalipun dilakukan oleh seorang muslim .

Sementara penggunaan yang positif untuk memberi pengiktirafan bahawa Allah adalah tuhan yang mencipta sebagaimana yang disebut oleh Allah swt di dalam al Quran maka ia dibenarkan oleh syara' sekalipun digunakan oleh non muslim .

Thursday, March 5, 2009

LIQO Minuman Alternatif :

Liqo Minuman Alternatif :
100 % Produk Muslim



Minuman berasaskan coklat menampilkan Liqo sebagai alternatif kepada minuman coklat lain justeru ia adalah 100 % produk muslim . Pastinya dijamin bersih , suci dan halal .

Kebanyakkan minuman berasaskan coklat yang berada dipasaran , samaada tidak mempunyai jaminan halal atau pun ia termasuk dalam senarai barangan yang diboikot seperti nestle kerana memulangkan keuntungan kepada Yahudi Alaihi laknatullah .

Harga runcit yang hanya ditawarkan dengar harga RM 15 bagi satu pek seberat 1 kilogram adalah merupakan tawaran harga yang sangat berpatutan .

Kepada sahabat yang mementingkan kesucian dan kebersiahan serta halal , maka Liqo ini adalah pilihan yang tepat . Bekalannya boleh didapati dan dibeli di Akademi Ar Rasyidin sambil saudara menderma kepada Akademi Ar Rasyidin bagi membiayai pengajian agama yang diadakan di situ .

Kebetulan kelmarin , Tuan Guru Dato Tuan Ibrahim Tuan Man singgah beristerehat di Akademi Ar Rasyidin sejurus pulang dari Balai Polis Kuantan untuk membuat Laporan Polis terhadap Felda yang telah menahan sawit dan menginaya peneroka .

Waktu Isterehat al Fadhil Tuan Guru Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man , beliau telah dihidangkan Minuman Alternatif Liqo yang dibancuh tanpa gula untuk dinikmati . Ternyata Tuan Guru memuji mutu rasa dan kelazatan Liqo .

Saya juga sangat teruja dengan rasa Liqo berperisa coklat asli jika diminum atau dibancuh tanpa gula . Sahabat yang belum merasainya boleh mencuba kemudian nikmati kelazatannya dan bersedialah untuk terus meninggalkan produk yang telah diboikot lantaran produk tersebut memberi keuntungan kepada Yahudi alaihi laknatullah , bangsa yang bertanggungjawab membunuh ummat Islam di Palestine .

Wednesday, March 4, 2009

Tidak Sama PAS dengan UMNO

Tidak sama Perjuangan
PAS dengan UMNO


Sempena Dialog dan Pentas Pemuda anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krau kelmarin membawa tetamu undangan dari Kelantan al Fadhil Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz .

Saya berkesempatan untuk turut serta mengiringi Al Fadhil Ustaz Nik Abduh menyampaikan amanah beliau kepada saf kepimpinan pemuda kawasan Kuala Krau .

Saya tertarik kepada beberapa nokhtah yang digariskan oleh Al Fadhil Ustaz Nik Mohd Abduh ketika membezakan perjuangan PAS dan UMNO sekali gus menjawab tanggapan kononnya PAS dan UMNO serupa dan sama - sama memburu kuasa dan takhta politik . Ketika mengulas perkara ini , Al Fadhil Ustaz Nik Mohd Abduh berhujjah dengan surah Faathir . Ayat : 22 :

و ما يستوى الأعمى و البصير
dan tidak sama orang yang buta berbanding orang yang celik .

Perbedaan orang buta dengan orang yang celik pasti sahaja jauh bezanya . Bukan sahaja dilihat pada jurang penguasaan pancaindera tetapi juga dilihat pada pengaruh dan kesannya. Penafsiran orang yang buta berbanding orang yang celik dalam sesuatu perkara tentulah menatijahkan kesimpulan yang berbeza .

Sebagai seorang muslim , kecelikan bukan terhad di sempadan dunia semata - mata pula tidaklah hanya menggunakan pancaindera mata untuk melihat sebaliknya tahap kecelikannya menjangkau sempadan akhirat dan turut melihat dengan mata hati yang dianugerahkan oleh Allah swt berasaskan petunjuk wahyu bagi membezakan antara yang hak dan yang bathil .

Mereka yang gagal membezakan antara yang hak dan yang bathil , taat dan maksiat , islam dan jahiliyah , iman dan kufur adalah mereka yang buta . Buta mata hati walau mata zahirnya celik . Apalagi kebenaran yang telah terbentang di depan mata dengan segala fakta dan figure yang tepat , namun masih tidak nampak . Golongan ini samaada benar - benar buta atau buat - buat buta , jelasnya golongan ini mesti dipimpin oleh orang yang celik mata dan mata hatinya .


و لا الظلمات و لا النور
dan juga tidaklah sama kegelapan berbanding cahaya

Mereka yang berada di dalam kegelapan pastinya gagal mencari arah perjalanan yang betul dan pasti pula ia teraba - raba mencari arah . Lebih parah apabila suasana gelap menyukarkan mereka berhadapan dengan apa jua kemungkinan dan fenomena ini menimbulkan risiko kepada diri mereka sendiri .

Kegelapan bererti dunia tanpa hidayah justeru hidayah adalah cahaya yang memandu mereka melandasi jalan yang lurus bagi mendapatkan redha Allah swt . Hidup dalam kegelapan ialah hidup bergelumang maksiat dan mungkar . Hidup yang tidak mengenal dosa pahala apalagi syurga neraka . Mereka yang terperangkap dalam kegelapan ini akan melakukan apa sahaja tanpa menilai dari aspek hukum dan implikasinya . Tanpa cahaya hidayah , panduan mereka ialah nafsu dan aqal yang terpisah dari wahyu Allah swt .


و لا الظل و لا الحرور
dan tidaklah sama tempat teduh berbanding tempat panas .

Teduh memberi keselesaan malah nikmat kepada siapa sahaja yang mampu bernaung di bawah teduhan tersebut . Jiwa tenang dan emosi terkawal berbanding mereka yang berjemur di tengah panas yang pastinya menimbulkan keresahan dan gangguan emosi .

Akhirat kelak , mereka yang berada di bawah teduhan arasy ialah mereka yang telah dipilih oleh Allah swt . Antaranya ialah pemuda yang hatinya bergantung dengan rumah Allah swt [ masjid ] sementara mereka yang terpaksa berjemur dibawah terik matahari yang hanya sejengkal dari kepalanya ialah mereka yang derhaka kepada Allah swt. Meninggalakan tanggungjawab dan amanah Allah swt untuk mengurus kehidupan didunia berdasarkan syariat yang telah diwahyu .


و ما يستوى الأحياء و لا الأموات
dan tidak juga sama orang yang hidup berbanding orang yang mati .

Tentu sahaja terdapat perbezaan yang tiada siapa mampu menyangkalnya antara orang hidup dengan orang yang telah mati . Orang yang mati terputuslah hubungan dengan segalanya kecuali sedekah jariah , anak soleh yang mendoakannya dan ilmu yang bermanafaat . Ada pun orang hidup masih mempunyai ruang dan peluang untuk berbakti kepada Allah swt dan melaksanakan tanggungjawab di atas muka bumi .

Begitulah jua orang yang hidup tetapi mati jiwanya . Tidak sama dengan orang yang jiwanya hidup dan senantiasa mengingati Allah swt lalu mengawal diri dari terjebak dalam kancah politik yang tidak amanah , rasuah , penyelewengan dan salah guna kuasa .

Orang yang jiwanya mati tidak dapat memahami bahkan tidak mengerti apa - apa . Tidak tahu nilai kebenaran apalagi mahu membezakannya dengan kebathilan . Baginya hidup hanya untuk makan dan minum , puaskan nafsu syahwat dan melakukan apa sahaja yang didorong oleh nafsu . Jiwa yang mati tiada perhitungan dan perkiraan .

akhirnya al Fadhil ustaz Nik Mohd Abduh membawakan sepotong ayat dari surah al Hasyr . Ayat 20 :

لا يستوى أصحاب النار و أصحاب الجنة أصجاب الجنة هم الفائزون
Tidak sama penghuni neraka berbanding penghuni syurga . Penghuni syurga adalah mereka yang beroleh kemenangan .

Penghuni syurga ialah mereka yang mendapat redha Allah lantaran hidup mereka berpaksi agama benar yang diwahyukan Allah swt . Mereka yang berjaya menunaikan perintah Allah dengan penuh taat dan tanggungjawab . Mengorbankan diri menempuh cabaran demi menegakkan agama Allah dan mendaulatkan syariatnya .

Berbeza ahli neraka yang hidup dibawah pengaruh maksiat dan mungkar . Menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah swt . Mengabaikan amanah dan perintah Allah kerana mementingkan nafsu yang buas dan syahwah yang tidak pernah puas

Sebagaimana wujudnya perbezaan ketara antara buta dan celik , gelap dan cerah , teduh dan panas , hidup dan mati demikianlah bezanya ahli syurga dan ahli neraka . Tiada siapa yang boleh menganggap serupa melainkan golongan yang jahil lagi bodoh yang tidak tahu membezakan .

Demikianlah ketaranya perbezaan antara perjuangan PAS dan UMNO . Mana boleh dianggap sama . Jauh langit bumi apabila PAS berjuang untuk mendaulatkan syariat Allah swt di atas tanahair ini sementara UMNO masih setia bersama fahaman kebangsaan dan sehingga kini memusuhi PAS dan enggan menerima tawaran PAS untuk menjadikan Malaysia ini sebagai sebuah negara yang mendaulatkan syariat Allah swt .



Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive