HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Wednesday, April 29, 2009

Tatalaku dan Disiplin

TataLaku dan Disiplin
Menurut Perspektif Islam

Muqaddimah

Islam diutuskan oleh Allah swt. sebagai petunjuk dan pedoman bagi manusia agar mereka mencapai sebuah kehidupan yang baik dan bahagia di dunia jua akhirat .

Malah suatu yang diketahui umum bahawa Islam tidak terhenti sebagai agama yang menghubungkan spiritual hamba dengan tuhannya semata mata malah Islam juga adalah satu cara hidup yang syumul merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia .

Lantaran itu , Islam meletakkan sistem hubungan manusia dengan tuhannya , hubungan manusia dengan manusia yang lain dan pengurusan manusia terhadap dirinya sendiri .

TataLaku dan disiplin hidup seorang insan adalah tertakluk di bawah kurikulum pengurusan dan hubungan manusia dengan manusia yang lain malah pengurusan manusia terhadap dirinya sendiri .

Islam , Disiplin dan TataLaku .

Rasulullah saw. pernah bersabda :

إِنَّمَا بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ مَكَارِمَ اْلأَخْلاَق

( Riwayat Imam malik fi Muwatta’ )

Maksudnya : Sesungguhnya aku diutuskan ( oleh Allah ) bagi menyempurnakan kemuliaan tataLaku .

Diriwayatkan dari At Tarmizi , dari Abi Darda’ rha. bahawa nabi saw. bersabda :

ما مِن شئٍ أَثْقَلَ في مِيْزَانِ اْلمُؤْمِنِ يَوْمَ اْلقِيَامَةِ مِن حُسْنِ اْلخُلْقِ وَ إنَّ اللهَ تعالى لَيَبْغَضُ اْلفَاحِشَ اْلبَذِيْء

Maksudnya : Tiadalah sesuatu yang paling memberati timbangan seorang mukmin pada hari qiamat kelak selain daripada kemuliaan tataLaku dan sesungguhnya Allah swt. teramat murka tataLaku yang keji ( menyeleweng ) lagi hina .

Disiplin adalah pengurusan tataLaku agar ianya tidak semata – mata terhenti diatas nilainya yang baik dan mulia tetapi kebaikan dan kemulian tataLaku itu ditadbir agar menepati ketetapan , arahan dan peraturan yang baik pula .

Asas Pembentukan TataLaku dalam Manhaj Deenul Islam.

Manhaj 1 : (10 asas pembentukan dari Surah Al Furqan . Ayat 63 – 76 )

63. Dan hamba-hamba Allah (tuhan yg bersifat Ar rahman), ialah mereka Yang berjalan di bumi dengan merendah diri, dan apabila orang-orang Yang berkelakuan kurang adab menghadapkan kata-kata kepada mereka, lalu mereka menjawab dengan perkataan Yang baik dan sejahtera .

64. Dan mereka adalah orang yang tekun mengerjakan Ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri

65. Dan juga mereka Yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, hindarkanlah azab neraka jahannam dari kami, Sesungguhnya azab seksaNya itu adalah kebinasaan yang kekal .

66. Sesungguhnya neraka jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal Yang amat buruk ,

67. Dan juga mereka adalah orang Yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut , dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.

68. Dan juga mereka adalah orang Yang tidak menyembah sesuatu Yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa Yang diharamkan Allah , kecuali dengan jalan Yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina , dan sesiapa melakukan Yang demikian, akan mendapat balasan dosanya

69. Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan

70. Kecuali orang Yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal Yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

71. Dan sesiapa Yang bertaubat serta beramal soleh, maka Sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat

72. Dan mereka juga adalah orang Yang tidak memberikan kesaksian palsu , dan apabila mereka bertembung dengan orang yang melakukan perbuatan yang sia-sia dan tidak berfaedah , mereka berlalu dengan menjaga kehormatan dirinya.

73. Dan juga mereka adalah orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidak mereka bersikap seperti orang yang pekak dan buta .

74. Dan juga mereka adalah orang yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, anugerahlah kepada kami pasangan hidup dan zuriat keturunan kami: sebagai penenang jiwa kami, dan Jadikanlah Kami Imam ikutan bagi orang-orang Yang bertaqwa.

75. Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat Yang tinggi di syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan Selamat di dalamnya

76. Mereka kekal di dalam syurga itu , sedang ia adalah sebaik – baik tempat menetap dan tempat tinggal .

Manhaj 2 : ( 4 asas pembentukan dari Surah Al Asr . Ayat 1 – 3 )

1. Demi Masa ! 2. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian 3. Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.

4 Asas tersebut :

AL ImaanubiLLah ( Yakin kepada Allah )
Amal Soleh
Berpesan – pesan dengan prinsip kebenaran
Berpesan – pesan dengan kesabaran ( dalam menghadapi dugaan )

4 Asas tersebut membentuk kategori perlaksanaan .

Kategori 1 : ( AL Imaanubillah & AL A’malussooleh )

Adunan Iman dan Amal Soleh dalam kehidupan insan melahirkan Itqanul A’mal ( kerja yang tekun dan bersungguh – sungguh ) . Ini akan melahirkan peningkatan prestasi dan kualiti tugas serta tanggungjawab yang dilaksanakan .

Pengaruh Iman dan Amal Soleh yang menguasai peribadi insan akan menjadikan mereka komited dan pro aktif dengan segala amanah dan tanggungjawab yang digalaskan kepada mereka .

Kawalan Iman dan Amal Soleh yang membalut naluri dan sanubari insan , meletakkan mereka dalam satu benteng yang kukuh , menyelamatkan mereka dari serangan virus mazmumah dan fitnah material yang membinasakan mereka .

Kategori 2 : ( At Tawasau bil Haqqi & At Tawasau bissobri )

Kategori yang kedua ini berorientasi untuk mengislahkan ( memulihara ) individu dan masyarakat seterusnya membina Daulatul Faadhilah ( negeri yang penuh kemuliaan justeru mendapat ganjaran material dan keampunan Ilahi ) dan Ummatus Soolehah ( ummat yang terbaik dengan mewujudkan 3 elemen terpenting sebagaimana yang telah digariskan oleh Allah dalam surah Ali Imraan Ayat 110 .)

110. Aali Imraan : Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik.

3 elemen tersebut ialah :

Al Amrubil ma’ruf ( menguatkuasakan syariat )
An Nahyu anil Mungkar ( mencegah kemungkaran )
Al Imaanubillah ( beriman/yakin kepada Allah )

Penegasan terhadap Pembentukan TataLaku dan Disiplin yang Soleh .

Penegasan 1 : ( Bersihkan diri dgn taqwa dan hindarkan diri dari maksiat )

Dari surah Asy Syams Ayat : 7 - 10

7. Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan Yang sesuai dengan keadaannya)

8. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan Yang membawanya kepada kejahatan, dan Yang membawanya kepada ketaqwaan

9. Sesungguhnya berjayalah orang Yang menjadikan dirinya – Yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan)

10. Dan Sesungguhnya hampalah orang Yang menjadikan dirinya – Yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

Penegasan 2 : ( Hati yang murni dan tulus ikhlas dlm melaksanakan tugas )

Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abi Hurairah rha. katanya Rasulullah saw bersabda :

إِنَّ اللهَ تعالى لاَ يَنْظُرُ إِلىَ أَجْسَامِكُمْ وَ لاَ إِلىَ صُوَرِكُمْ وَ لكِنْ يَنْظُرُ إِلىَ قُلُوْبِكُمْ

Maksudnya : Sesungguhnya Allah taala tidak memandang kepada penampilan tubuh badan kamu dan tidak juga kepada penampilan zahir kamu akan tetapi Allah swt memandang kepada hati kamu .

Penegasan 3 : ( Positif dalam melakukan kebaikan dan menjadi contoh )

مَنْ سَنَّ في اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَ أَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَىْءٌ وَ مَنْ سَنَّ في اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَ وِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَىْءٌ .

Maksudnya : Sesiapa yang memulai membuat sunnah dalam Islam berupa amalan yang baik , maka ia beroleh pahala dirinya sendiri dan juga pahala orang yang mengerjakannya selepas itu tanpa dikurangi sedikit pun pahala mereka yang mencontohinya dan barangsiapa yang membuat sunnah dalam Islam berupa amalan buruk , maka ia beroleh dosa dirinya sendiri dan juga dosa orang yang mengerjakannya selepas itu tanpa dikurangi sedikit pun dari dosa mereka yang mencontohinya.

Riwayat Imam Muslim dari Abi Amr Jarir bin Abdullah rha.
Hadith yang pertama dari Bab 19 Kitab Riadhus Solehin .

Tuesday, April 28, 2009

Penjelasan Ustaz Nik Abduh


Respon Saya Terhadap
Penjelasan Ustaz Nik Mohd Abduh

Seminggu dua ini saya terpaksa berehat . Rehat terpanjang dalam sejarah saya menyertai gerakan Islam PAS ini .

Saya mengalami masaalah gangguan ketara di bahagian peti suara sehingga menyukarkan saya untuk bercakap dan saya dinasihatkan supaya tidak menyampaikan ceramah atau kuliah dalam tempoh sebulan ini .

Banyaklah program saya terpaksa dibatalkan dan saya memohon berbanyak maaf atas kesulitan yang dialami oleh pihak penganjur ekoran pembatalan tersebut . Saya berjanji saya akan ganti dengan tarikh yang lain insyaallah .

Rehat membuatkan masa saya banyak terluang dan saya manafaatkan sepenuhnya untuk bersama keluarga setelah sekian lama mereka menanggung beban rindu lantaran sering berjauhan . Alhamdulillah , saya juga dapat menumpukan banyak masa untuk membaca kitab dan menulis kerana keduanya adalah kegemaran saya yang sering terabai kerana kesibukan di medan juang .

Sungguh saya rasakan keperitan apabila terpaksa gantung 'microfon' dalam tempoh yang panjang , namun saya yakin akan hikmah di atas ketentuan Allah swt dan saya terimanya sebagai ujian ke atas diri yang memerlukan saya insaf dan menganalisa diri .

Kesempatan ini saya ingin mengulas kenyataan atau tilisan sahabat saya Al Fadhil Ustaz Nik Mohd Abduh setelah saya perhatikan betapa tulisan beliau mendapat liputan luas bukan sahaja dikalangan blogger tetapi juga media cetak sehingga beberapa akhbar meletakkan tulisan Ustaz Nik Mohd Abduh di muka hadapan akhbar mereka .

Sebentar tadi Ustaz Nik Mohd Abduh telah membuat penjelasan lanjut setelah menerima hampir 200 komentar [ pro dan kontra ] dari blog beliau dan saudara boleh membacanya disini :

Saya tidak hanya membaca tulisan beliau bahkan saya segera menghubungi beliau sendiri untuk mendengar penjelasan langsung dan detail dari beliau berkait apa yang beliau tuliskan dalam blognya . 2 siri tulisan beliau dengan tajuk yang sama telah menaikkan suhu politik tanahair . Pihak blogger dan media cetak cepat mengulas dan mengambil manafaat dari tulisan Ustaz Nik Abduh .

Cara dan kaedah pengambilan manafaat yang saya maksudkan tadi juga mempunyai berbagai keadaan . Ada yang memancing , ada yang menceduk , ada yang tahan bubu dan ada yang menuba dari blog Ustaz Nik Mohd Abduh . Saya juga membaca komentar yang pelbagai . Ada yang pro lalu memuji tindakan Ustaz Nik Abduh dan ada yang kontra lalu menemplak tulisannya.

Saya berkawan lama dengan Ustaz Nik Mohd Abduh . Sejak tahun 94' melalui perkenalan pertama apabila beliau mengunjungi saya di rumah 10 Madinah An Nasr Kota Kaherah Mesir . Ketika itu beliau baru sampai ke Kaherah untuk menyambung pengajiannya setelah tamat pengajian di India .

Saya memahami bagaimana sikap , akhlak dan tahap penguasaan ilmunya dan agak rapat dengan beliau berbanding adik beradiknya yang lain walaupun sama - sama belajar di Mesir . Tentunya saya menyedari bahawa tidak mudah untuk Ustaz Nik Mohd Abduh membuat kenyataan seperti apa yang termaktub di dalam blog beliau .

Dalam situasi sebegini , saya berpandangan agar siapa jua yang mahu mengulas atau memberi komentar terhadap tulisan beliau tidaklah menambah rencah atau ajinomoto yang akhirnya akan mengubah rasa dari menu asalnya. Ada juga yang lebih - lebih menambah lada dan tak pasal - pasal rasa bertukar pedas dan hangat lalu mengganggu tumpuan cita rasa sebenar .

Siapa jua yang ingin membaca dan mengambil iktibar daripadanya hendaklah secara direct merujuk kepada tulisan beliau di blognya bukan membuat nilaian melalui kupasan dan ulasan pihak kedua atau ketiga . Kerana saya percaya , membaca dari tulisan asal pastinya tidak sama roh atau semangat yang diperolehi berbanding kita membaca dari sumbernya yang asal .

Tambahan pula saya melihat style media dan sebahagian blogger mengulas dengan cara melompat - lompat point serta mengulas kalimah tertentu tidak kepada seluruh kandungan tulisan beliau seperti memilih untuk mengulas perkataan 'mee celup' secara terpisah dari semangat perbahasan asal yang terdapat dalam tulisan tersebut . [ sehingga perbahasan 'mee celup' mengalih topik asal perbahasan sedang ia bukanlah fokusnya ]

Bagi penulis atau blogger yang ada tuhan dan beriman kepada tuhannya , ia sewajarnya bertanggungjawab atas setiap kalimah yang ditulis tambahan pula tulisan itu dipapar kepada umum . Bukan sahaja manusia atau masyarakat pembaca akan menilai tetapi juga Allah swt dan para malaikatNya turut menilai apa yang ditulis . Saya yakin Ustaz Nik Mohd Abduh sebagai manusia yang berada langsung dibawah tarbiyah ayahnya seorang ulama' tersohor tanahair lebih memahami prinsip ini .

Saya dapat merasakan betapa tulisannya yang terbaru [ kerja - kerja bodoh dalam PAS - vol 2 ] ditulis dengan begitu cermat dan berani . Saya telah mengingatkannya akan rasa kebertanggungjawaban terhadap tulisannya , dengan yakin beliau menegaskan bahawa beliau sangat sedar dan bertanggungjawab terhadap apa yang beliau tulis .Saya juga menekan soal pembuktian sebagai peringatan kepada beliau dan beliau nyata bersedia untuk mengambil tanggungjawab penuh atas tulisannya .

Isu pokok yang mesti difahami dan dihayati oleh semua pembaca dari tulisan beliau ialah tiada sebarang persengketaan antara dua tokoh ulama' terbilang itu dan wujudnya pihak yang mahu melihat berlakunya pertembungan antara keduanya .

Soal wujudnya pihak yang cuba melaga - lagakan 2 tok guru ini memang tiada siapa yang boleh menafikannya dan ianya diketahui oleh semua kerana ia diterjemah melalui tulisan , kenyataan dan perbahasan samaada dalam media cetak mahupun media baru [ blog dan web site ] .

Kalau saudara melayari blog dan web site [ tanpa perlu saya menyebut nama blog atau tuan empunya web site terbabit ] , nescaya saudara akan ketemui unsur - unsur ini secara jelas dan ketara sehingga saya sendiri berasa tidak sedap duduk walaupun kedua - dua tok guru ini bukan lah ayah saya . Kalau mereka ayah saya , rasanya mungkin saya akan "mengamuk" lebih hebat dari Ustaz Nik Mohd Abduh , wallahua'lam .

Ustaz Nik Mohd Abduh mungkin tertekan atau kecewa melihat ayahnya diperlagakan secara langsung atau tidak langsung dengan Presiden PAS [ sedang kedua - duanya adalah Tok Guru kesayangan ummah ] .

2 siri tulisan beliau adalah berasaskan motif ini , iaitu merungkai kekeliruan ahli PAS mengenai wujudnya fenomena yang menimbulkan krisis antara dua tokoh pimpinan PAS ini .

Ada orang tegur , kenapa Ustaz Nik Abduh dedah secara terbuka , kenapa tidak sebut dalam mesyuarat atau kemukakan direct kepada orang terlibat .

Saya melihat perkara ini dari step pertama dan saya selalu pastikan agar rakan - rakan blogger terutama dari pemuda tidak membawa perkara yang tidak sepatutnya ke muka umum . Tetapi dalam isu ini suka saya sebut bahawa bukan Ustaz Nik Abduh yang membuka gelanggang dan juga bukan beliau mengheret isu ini kepada umum .

Sebaliknya beliau hanya tampil untuk memberi penjelasan setelah gelanggang dibuka begitu luas melewati sempadan cyber sementara al Mursyidul Am dan Presiden PAS diperlakukan seperti ayam sabung yang di adu laga ditengah gelanggang tersebut . Sehingga ia menjadi tatapan umum dan mengelirukan ahli parti .

Sekian lama dibiarkan para blogger [ sebahagiannya dari blogger yang mengaku ahli PAS ]mengadu domba , entah mereka mengambil upah dari siapa atau berperanan untuk siapa , juga atas maksud dan motif apa mereka tergamak mencetus suasana keruh antara dua tok guru ini sehingga menimbulkan prasangka umum bahawa 2 tok guru ini memang bersengketa .

Orang bertanya pula , Ustaz ! apakah perkara ini hendak dibiarkan begitu sahaja ? sekian lama saya menjawab , sabarlah akhi ! suatu masa Allah akan mendedahkan perkara yang tidak betul ini . Sampai bila nak biarkan ustaz ? Ustaz boleh tengok ker Tok Guru kita difitnah dan diadu domba ?

Saya sendiri entah berapa kali menitis air mata melihat dan mendengar kata - kata kesat dilemparkan oleh ahli parti sendiri [ yang terpedaya dengan mainan kotor pihak tertentu yang saya sendiri pun tidak tahu siapa ] kepada kedua - dua tok guru tercinta . Saya bertahan sekian lama , tidak tahu apa yang patut saya buat kerana bimbang tersilap langkah .

Pernah saya dengar sendiri individu tertentu memperkecil Tok Guru Presiden sambil membandingnya dengan Tok Guru Murdyid Am dan al Marhum ustaz Fadhil Noor , sedang dia barulah setahun jagung menyertai perjuangan ini malah tidak pernah melalui jatuh bangun berjuang bersama kedua - dua Tok Guru ini .

Isu yang sering ditimbulkan masih lagi berkisar isu muqabalah dan terbaru unity goverment . Sentimen yang dibawa bersama pula ialah Tok Guru Hj. Hadi nak bawa masuk PAS ke dalam UMNO dan BN lalu mereka lagakan pula dengan kenyataan Tok Guru Mursyid Am yang menyatakan sikap tidak setuju terhadap kedua - dua isu tersebut dengan membawa sentimen bahawa Tok Guru Mursyid Am murka kepada Tok Guru Presiden .

Biarpun berapa kali dinafi oleh Tok Guru Presiden , bahawa tidak pernah berbangkit isu PAS masuk BN , namun penafian itu tidak pernah berkesan . [ Mereka cuba menunjuk rasa kasih kepada parti seolah - olah Tok Guru tidak sayang kepada parti kecuali mereka ] Seolah - olah mereka sengaja buat tidak faham , makin dinafi makin kuat fitnah mengatakan Tok Guru nak bawa PAS masuk BN dan tentu sekali mereka tidak tinggal kenyataan balas dari Tok Guru Mursyid Am untuk membidas Tok Guru Presiden bagi menampakkan pertembungan , lalu tercetus polemik dan kekeliruan yang disengajakan kepada anggota parti .

Inilah realitinya sebelum ustaz Nik Mohd Abduh tampil membuat penjelasan yang berisiko . Jika beliau benar , beliau mesti berani ambil risiko . Harapannya , dapat meredakan ketegangan dan kekeliruan dikalangan anggota . Mungkin sebahagiannya tidak dapat diredakan dengan kenyataan Ustaz Nik Mohd Abduh , apa boleh buat ! hanya bersabar dan memohon pertolongan dari Allah swt dengan solat saudara .

Sungguhpun begitu , saya percaya ramai dikalangan anggota parti yang terperangkap dalam kekeliruan yang dicipta ini akan menarik nafas lega dengan penjelasan dari Ustaz Nik Mohd Abduh .

Adapun berkait dengan dakwaan balas dari Ustaz Nik Mohd Abduh adalah dituju kepada pihak tertentu . Kepada yang tidak terlibat , usahlah rasa resah dan panas tidak semena - mena . Pendedahan atau penjelasan ustaz Nik Mohd Abduh bukan untuk saudara . Ustaz Nik Abduh mesti bertanggungjawab atas dakwaannya . Jika benar , ertinya beliau telah menegakkan yang hak dan Allah swt tahu ganjaran apa untuk beliau , demikianlah sebaliknya jika beliau salah dan sengaja mereka cerita dan dakwaan maka Allah swt pasti tidak lalai dan terpengaruh dengan setiap kalimah indah dari tulisan beliau . Tentu sahaja beliau pula akan menerima azabnya .

Namun saya secara peribadi , setelah menilai isu yang dibawa dan dilihat kepada suasana dan keadaan yang dihadapi kini , pula mengukur maklumat yang ada pada saya dari pelbagai sumber , saya percaya Ustaz Nik Mohd Abduh berada di pihak yang benar dan saya berdoa agar beliau berada di pihak yang benar .

Harapan saya segala kekeliruan kini telah tersingkap dan pintu penyelesaian kini ditemui.

Akademi Fantasia Kian Hanyut

Saya menerima beberapa e mail dari rakan - rakan yang melahirkan rasa tidak puas hati terhadap satu program realiti TV yang semakin hanyut jauh ke kancah maksiat .

Terdapat beberapa adegan berpeluk - pelukan antara pelajar lelaki dan guru perempuan sebaik sahaja peserta lelaki tersebut diisytihar keluar dari akademi tersebut .

Rangkul peluk dan bercium pipi ustaz ! begitulah ayat kawan saya lewat e mail yang dihantar .

Saya bukanlah anti hiburan justeru hiburan dibenarkan oleh syara' . Apa yang jadi masaalah ialah apabila hiburan dicemari oleh adegan dan aksi yang mengundang murka Allah swt .

Saya difahamkan ada pengkritik konsert akademi fantasia ini menyebut Alhamdulillah , syukur awak telah berjaya menyampaikan lagu ini dengan baik sekali dan Alhamdulillah tarian awak juga cukup menghiburkan ! .........[ sedang penyanyi itu berpakaian seksi habis dan menari pula dengan gaya liuk lintuk mengiurkan ]

Saya hanya tersenyum membaca celoteh geram seorang kawan mengenai perkembangan Akademi Fantasia ini . Saya tidak sempat untuk mengikuti perkembangan akademi fantasia kecuali sekali semasa era Mawi menyertai akademi fantasia . Aura Mawi berjaya menarik perhatian saya untuk sesekali menonton persembahannya jika berkesempatan .

Sejak dulu lagi , Akademi fantasia telah ditegur oleh pihak Dewan Pemuda PAS Pusat agar tidak menampilkan aksi yang mengundang keruntuhan moral , juga teguran terhadap adegan pelajar dan guru berpelukan serta pergaulan bebas di dalam apartment akademi dan juga perlakuan di atas pentas .

Berhibur dan berseronok tidak salah tetapi mestilah mematuhi batasan agar tidak mengundang dosa dan murka Allah swt .

Seronoklah buat seketika di atas pentas . Tenggelam dibawah silau cahaya lampu dan hanyut dibuai fantasi serta teruja dek sorakan penonton yang menyokong . tapi .... bagaimana dengan pemerhatian Allah swt ? Saya tahu , sebahagian besar peserta akademi fantasia ini adalah beragama Islam malah sebahagiannya bertudung . Saya yakin mereka faham maksud saya apabila saya bercakap soal dosa dan batasan pergaulan serta penampilan dalam hiburan .

Mestikah untuk menjadi seorang penghibur maka mesti berpakaian seksi , dedah dan berpakaian ketat ? Mestikah juga membuat tarian menggiurkan sehingga merangsang syahwah penonton ? Mestikah lelaki dan perempuan bergaul sebebas itu sehingga berpelukan dan bersilang tangan untuk bergelar bintang pujaan ?

Penghibur yang baik mestilah mempunyai kreativiti tinggi untuk menghiburkan penonton tanpa perlu menjaja maruah dengan pendedahan aurat dan mempertaruhkan moral dengan pergaulan bebas lelaki dan perempuan serta melampaui batas yang dibenarkan oleh syara' .

Penghibur seperti ini sebenarnya bukan penghibur tetapi pemusnah masa depan diri dan masyarakat dengan menjerumuskan mereka ke lembah maksiat dan murka Allah swt .

Saya benar - benar yakin , bahawa rakan - rakan artis yang beragama Islam khasnya sangat tahu nilai moral , akhlak dan batasan dosa dan pahala . Malang mereka gagal mengawal diri agar tidak terjebak . Mereka biar diri mereka menjadi korban nafsu yang hanya menanti azab kelak di akhirat .

Inilah masaalah kepada dunia artis . Dunia yang sangat jauh dan asing dengan ilmu agama dan petunjuk Allah swt . Mereka mempunyai dunia dan planet mereka sendiri yang sukar diselaraskan dengan kehendak agama .

Saya masih yakin , jika kerajaan ini adalah kerajaan Islam atau paling tidak kerajaan yang bermoral dan mesra agama , dunia hiburan negara masih boleh diselamatkan agar tidak keterlaluan meniru gaya dunia artis dari barat yang tidak bertuhan .

Sebagai contoh di akademi fantasia , penganjur boleh adakan slot solat berjamaah setiap waktu dan setiap kali selepas solat atau paling tidak selepas subuh dan maghrib adakan siri tazkirah dan kuliah agama oleh ustaz - ustaz yang berilmu . Agar lahir seorang penghibur atau penyanyi yang bukan sahaja tahu batas dosa pahala tetapi benar - benar memahami tanggungjawab mereka seorang muslim .

Sekurang - kurangnya , melalui tazkirah agama menjadikan mereka benar - benar bertanggungjawab dalam bidang hiburan bukan untuk menambah dosa dan memerangkap manusia dalam kepungan mungkar .

Memang kedengaran pelik untuk adakan tazkirah dan solat berjamaah di akademi fantasia , tetapi boleh dilakukan bahkan wajar dilaksanakan . Hebat manapun artis dan setinggi mana ia mendapat pujaan dan anugerah ia tetap makhluk Allah yang mesti solat mengabdikan diri kepada Allah swt . Sementara tazkirah itu satu peringatan agar tidak leka dan alpa sehingga melakukan sesuatu yang keterlaluan dan mengundang murka atau bala Allah swt .

Peraturan dan ketetapan boleh dibuat oleh pihak berkuasa dan ia mesti dipatuhi . Masaalah yang kita hadapi ialah pihak berkuasa sendiri tidak memiliki kesedaran yang dimaksudkan sebalik turut menggalakkan maksiat dan mungkar . Benarlah kata hukama' Manusia berada di atas cara hidup pemimpin mereka .

Hari ini ramai orang menganggap agama sebagai penghalang dan ini adalah salah sangka yang sengaja ditiupkan oleh musuh Islam dan golongan orientalis untuk menimbulkan fitnah dan rasa jelek masyarakat terhadap Islam . Padahal Islam tidak datang untuk menghalang tetapi mengislah atau memperbaiki keadaan agar menjadi baik .

Sebagai contoh , umum mengetahui betapa manusia perlukan hidup berpasangan . lelaki perlukan perempuan maka demikian sebaliknya . Maka kedatangan Islam bukan menghalang fitrah ini tetapi mengislahkannya dengan sedikit peraturan seperti ijab qabul agar tidak berlaku perlakuan zina , sumbang mahram , rogol , lesbian , homoseks dan pergaulan bebas kerana ia merosakkan jiwa dan membinasakan nasab keturunan .

Demikianlah jua dengan hiburan . islam datang tidak menghalang hiburan kerana memahami manusia perlukan hiburan. Tetapi Islam memulihkan keadaan hiburan agar tidak cemari oleh arak , dadah , pil ectasy , pergaulan bebas , pengabaian terhadap solat dan pendedahan aurat termasuklah lirik lagu yang tidak memuja nafsu atau mendorong ke arah penguasaan nafsu . Selebihnya berhiburlah dan ia dibenarkan oleh syara' .

Kalau kita dengar ucapan penyanyi sewaktu menerima anugerah atau pujian orang terhadap persembahan mereka , spontan mereka menjawab syukur alhamdulillah ! tanpa izin Allah , saya tidak akan sampai ke tahap ini ! .....[ biarpun sedang ia berucap dengan kalimah demikian , pakaiannya mendedahkan separuh dada dan kainnya terbelah ke paras pangkal paha dan bersilang tangan dengan teman lelaki .]

Ertinya mereka keliru dan masih memiliki aqidah biarpun sekelumit dan saya percaya mereka masih ada harapan untuk dididik dan diselamatkan . Cuma kerajaan atau pihak berwajib mesti adakan program kesedaran dan motivasi keagamaan yang berkesan dan bertyerusan untuk mereka .

Jangan hanya mereka tahu menyebut kalimah Alhamdulillah tetapi mereka mesti kenal siapa Allah swt dan bagaimana untuk bersyukur di atas nikmat yang dikur niakan Allah swt .

Monday, April 27, 2009

Keadilan Pecat 16 orang Ahli

KEADILAN PECAT 16 ORANG AHLI

Mesyuarat Majlis Pimpinan Rakyat (MPT) Parti Keadilan Rakyat, dalam mesyuaratnya pada hari Ahad 26hb April 2009 telah mengambil keputusan sebulat suara untuk memecat, 16 orang ahli Parti.

Pemecatan berkuatkuasa serta merta mulai tarikh pemecatan dilakukan.

Mereka ini bertanding sebagai calon menentang calon Parti, menyokong calon yang menentang calon Parti, mengkritik Parti melalui media dan mengisytiharkan diri keluar dari Parti dalam ceramah atau melalui media.

Mereka melakukan kesalahan-kesalahan tersebut dalam Pilihanraya Kecil Bukit Selambau dan Batang Ai baru-baru ini.Nama serta Bahagian mereka adalah seperti berikut:

1. Moganakumar a/l Subramaniam Bahagian Merbok, Kedah
2. Jayagopal a/l Andaikalam Bahagian Pokok Sena, Kedah
3. Abdul Hamid Othman Bahagian Padang Serai, Kedah
4. Roslan A. Hamid Bahagian Padang Serai, Kedah
5. Abu Bakar Din Bahagian Baling, Kedah
6. Abdul Wahab Mat Isa Bahagian Sik, Kedah
7. Mustafa Hassan Bahagian Sik, Kedah
8. Kalai Vanar a/l Bala Sundram Bahagian Jerai, Kedah
9. Deivanai a/p Krishnan Bahagian Jerai, Kedah
10. Abu Bakar Hamid Bahagian Penaja Pendang, Kedah
11. Ahmad bin Ayub Bahagian Penaja Pendang, Kedah
12. Azhar Ahmad Bahagian Penaja Jerlun, Kedah
13. Dr Ambrose Labang Bahagian Julau, Sarawak
14. Wong Kee Kai Bahagian Julau, Sarawak
15. Rajang Anak Unau Bahagian Julau, Sarawak
16. Kudik Untung Bahagian Julau, Sarawak.

Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat

Dua Tok Guru Kesayangan Ummah

Akhir-akhir ini agak keterlaluan sikap sesetengah dikalangan kita.

Melalui blog, kenyataan akhbar, ucapan di tempat awam, meeting tidak rasmi kedai kopi dan sebagainya jelas kedengaran mereka mengutuk salah seorang daripada dua orang Tok Guru kesayangan ummah ini, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kalau pihak musuh yang berbuat demikian, tidaklah menghairankan saya tetapi sangat malang dan cukup menyedihkan apabila ia dilakukan oleh mereka yang mendakwa kononnya mereka juga anggota Gerakan Islam.

Ucapan mereka biadab, tingkah laku mereka kurang ajar, tanggapan mereka jahat, lidah mereka lancang dan perbincangan mereka langsung tidak beradab, dengan hilai tawa mereka perlekehkan ulama kita. Saya sungguh sedih dengan perkembangan sebegini (bukanlah bermakna ulama itu tidak boleh dikritik, tetapi Islam adalah agama yang kaya dengan adab susila atau disiplin yang mesti dipatuhi).

Tetapi, apabila saya mengamati susur galur penglibatan mereka dengan Gerakan Islam ini ternyata mereka adalah seorang yang tidak komited dengan Amal Islami, mereka gagal mengambil sepenuhnya skema pentarbiyyahan daripada manhaj perjuangan parti ini.  
Mungkin sebahagian mereka adalah pimpinan tetapi mereka memanjat tangga kepimpinan parti ini melalui populariti peribadi atau kelicikan politik, tidak melalui proses pentarbiyyahan fikrah dan spiritual yang mantap. Biasanya mereka ini sangat memandang jelek kepada aktiviti-aktiviti tarbiyah dan rimas untuk turut sama menyertai gerakkerja kerohanian parti.
Kesannya ialah kepada sikap dan akhlak mereka berjamaah. Mereka menyertai Gerakan Islam ini dalam keadaan separa sedar. Antara keinginan untuk berjuang dengan membawa masaalah atau beban kepada jamaah.
Mereka juga gagal memahami disiplin berjamaah dan adab ikhtilaf. Tidak hairanlah apabila berlaku perbezaan pandangan antara dua orang tok guru ini, mereka segera berpuak dan menganggapnya sebagai satu perbalahan. Walhal bagi mereka yang berilmu dan bertaqwa, khilaf adalah perkara yang telah berlaku sejak zaman para sahabat dan mereka tanganinya dengan disiplin yang sangat tinggi tanpa meretakkan rasa hormat mereka kepada siapa jua yang berkhilaf dengan mereka.
Jika kita selalu membaca kitab-kitab fekah mahupun kitab-kitab genre tayyarat fikriyah, kita akan dapati khilaf yang begitu banyak dikalangan ulama, tetapi mereka lalui pengalaman khilaf ini dengan aman berpaksi kepada nilai ilmiah yang bertanggungjawab dan amanah. Malah kita akan temui bagaimana antara satu sama lain mengungkap rasa kagum mereka terhadap ilmu dan taqwa orang yang berkhilaf dengan mereka.

Tiada cemuhan dan celaan melampau kecuali dalam sempadan akhlak dan disiplin yang dibenarkan seperti perbahasan dalam ilmu tajrih wa ta‘dil.

Kejahilan turut menyumbang kepada fenomena ini. Biarpun mereka adalah anggota Gerakan Islam, tetapi matlamat mereka adalah kemenangan politik semata-mata. Kejahilan ini akan mengheret mereka terjerumus dalam kancah perlecehan akhlak dan sikap sedemikian. Justeru, kejahilan dalam apa jua keadaan sekalipun mestilah dibasmi. Kita tidak boleh menerima pemimpin dan anggota Gerakan Islam dibiarkan kekal dalam kejahilan. Pada saya kejahilanlah ibu kepada segala masalah yang timbul.

Tuan Guru Nik Aziz Yang Saya Kenali

Apa pun isu yang timbul, sepatutnya kita bersabar dan tidak segera menari dengan paluan gendang musuh untuk melaga-laga antara kita terutama dua orang Tok Guru kesayangan ummah ini.

Dua orang Tok Guru ini adalah permata yang tiada tara nilainya kepada ummah. Sewajarnya kita menyokong perjuangan mereka, bukan melaga-laga dan menjatuhkan mereka. Sebelum ini saya telah menceritakan sepintas lalu pengalaman juang bersama Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang yang cukup padu bagi memperlihatkan kepada kita betapa sikap sebagai anggota Gerakan Islam ini, mestilah jangan terburu-buru atau berprasangka terhadapnya.

Tiada bezanya nilai yang dimiliki oleh Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sejak awal sewaktu menuntut di Madrasah Ad Diniah Al Bakriah Pasir Tumboh, saya selalu ke kelas Tok Guru Nik Aziz atau lebih mesra dengan panggilan Ayah Ziq di Pulau Melaka dan juga di Dewan Zul (Pejabat PAS), Kota Bharu.

Saya membesar dengan didikan dan curahan ilmu Ayah Ziq selain guru-guru kesayangan saya yang lain seperti al-Marhum Tuan Guru Atiqullah, Tok Guru Ayah Shim, Ustaz Bakar dan Ustaz Rahim di pondok.

Ayah Ziq memang seorang sangat genius dan istemewa. Hujjah dan ilmunya cukup menarik dalam setiap ulasan dan kupasan yang dipersembahkan kepada murid-muridnya. Selain dari hidupnya diabadikan kepada kepada ilmu Ayah Ziq juga mewaqafkan diri kepada perjuangan Islam dan kukuh keiltizamannya sehingga kini.

Pernah sewaktu saya mengunjungi rumah Ayah Ziq seketika dahulu, Ayah Ziq menceritakan pengalamannya sebagai ahli parlimen, seorang diri memandu jauh ke Kuala Lumpur dan seorang diri pula mewakili PAS dalam parlimen ketika itu. Ayah Ziq menghadapi segala fitnah dan tohmahan Barisan Nasional berseorangan di parlimen berbanding hari ini lebih 80 ahli parlimen yang siap menggempur UMNO dan BN.

Ayah Ziq kata, kadang-kadang ana menangis seorang diri ketika memandu mengenangkan penatnya badan dan letihnya jasad mengharungi perjuangan yang sukar dan getir ini. Sampai di rumah lewat-lewat malam atau awal pagi selepas memenuhi undangan ceramah di serata negara.
Dulu pastinya tidak seperti sekarang. Apabila kita sampai ke tempat ceramah, kita akan disambut meriah bagai hero atau wira serta laungan takbir. Dulu kata Ayah Ziq, terkadang orang tak jamu nasi pun, lepas ceramah balik sampai ke rumah lewat malam, isteri pun sudah tidur, masuk ke dapur tidak ada makanan lalu tidur dengan perut lapar dan mengalir air mata sementara ia belum lelap.
Begitulah antara cebisan cerita Ayah Ziq kepada saya yang masih segar dan mekar dalam ingatan, iaitu semasa saya mengunjungi Ayah Ziq di rumahnya lebih 18 tahun yang lalu.

Saya cukup menghayati kisah itu kerana saya yang dhaif ini pun cuba meletakkan diri di landasan perjuangan seperti Ayah Ziq dan saya mula aktif bersama PAS malah mula berceramah sejak usia saya 18 tahun.

Ayah Ziq seorang pejuang yang warak dan zuhud pula sangat menekuni ibadah. Memandang wajahnya dalam-dalam, membuatkan jiwa kita hidup dan segera insaf atas kealpaan diri. Betapa kalau Ayah Ziq mengungkap kata-kata. Cukup indah dan tinggi nilai hikmahnya. Peribadi Ayah Ziq membuatkan UMNO dan BN lumpuh khas di Kelantan.

Ayah Ziq juga suka menyantuni tok-tok guru yang lain termasuk Ayah Chik yang dianggap tok guru sezaman dengannya. Ayah Ziq pernah menempelak mereka yang memperkecilkan Ayah Chik. Ayah Chik disebut sebagai seorang ulama besar , lidahnya fasih dan ilmunya tinggi, nak cari seorang sepertinya di Malaysia hari ini tak akan kita temui. Demikianlah kata Ayah Ziq yang masih saya ingat.

Saya percaya, dua orang Tok Guru ini sangat ikhlas dalam perjuangan mereka bahkan antara mereka berdua sangat rapat dan saling memahami manhaj perjuangan yang didokong. Tidak mungkin mereka boleh bertelagah dan berpatah arang. Khilaf mereka dalam pendapat yang bertunjangkan hujjah. Mereka bukan berkelahi atau bergaduh seperti sesetengah orang kita yang bertembung sampai tidak tahu batas akhlak dan hilang nilai persahabatan atau ukhuwah Islamiyah.

Khilaf ilmi dan hujjah menjadi satu keajaiban para ulama yang tidak mungkin difahami oleh orang yang jahil. Khilaf menjadi cambahan ilmu yang positif bagi ulama tetapi sering dibaca pergaduhan dan perbalahan oleh sang juhalak. Akhirnya timbullah para munafik yang akan mengapi-apikan suasana untuk memanaskan lagi suasana dan kekeliruan bagi masyarakat.

Akhirnya dalam ruang yang terhad ini, suka saya pesan agar jangan sekali-kali kita memberi ruang kepada para juhalak ini membuat onar dalam jamaah. Sebolehnya kita bimbing mereka, jika tidak berkesan, tindakan disiplin perlu dikenakan kepada mereka yang sering menghuru harakan jamaah dengan tindakan mereka yang tidak thiqah kepada pimpinan jauh sekali untuk beradab dengan para ulama.

Agama Anak dan Hak Penjagaannya

PENENTUAN AGAMA ANAK DAN
HAK PENJAGAAN IBU/BAPA
YANG BELUM ISLAM

Islam adalah agama a'dalah [ yang adil ] dan rahmah [ kasih sayang ] . Ertinya ia bukan agama yang kasar , keras dan memutuskan hubungan kekeluargaan . Malah Islam juga tidak boleh memaksa sesiapa jua untuk menganutnya .

Andai wujud individu atau keluarga yang menganut ajaran Islam secara sukarela , maka Islam menerima kehadhirannya dengan penuh kasih sayang dan rasa mahabbah terhadap saudara baru . Lantaran itu ahli keluarganya yang lain [ yang belum Islam ] tidak perlu bimbang kerana dua sebab .

a - Ia akan diterima sebagai saudara baru dan diberikan segala haknya sebagai insan yang mulia kerana aqidahnya.

b - Keselamatan dan kebahagiaannya terpelihara tanpa mereka dipisahkan dari keluarga asal [ ibubapa atau anak ] biarpun mereka tidak turut menganut ajaran Islam .

Saya yakin dunia jelas menerima hak ibu dan bapa yang memeluk ajaran Islam ke atas anaknya dan tidak timbul permasaalahan seperti merebut hak penjagaan dan beragama kerana mereka [ suami isteri / ibubapa ] berdua telah memeluk ajaran Islam secara rela . Secara automatiknya anak akan mengikut kedua - dua ibu dan bapanya tanpa siapa berhak untuk menghalang .

Namun apabila saya membaca ketetapan yang dikemukakan oleh kabinet dalam hal ini , jelas saya lihat ia tidak berlaku adil secara menyeluruh pada semua keadaan . Asal sahaja umur anak itu bawah daripada 18 tahun maka ia mestilah mengikut ugama asal . Inilah adalah ketetapan yang salah , terburu - buru dan merugikan ummat Islam .

Sekalipun pihak kerajaan mahu menjaga sentimen golongan non muslim , ketetapan tidak boleh di buat sedemikian rupa sebaliknya budi bicara , rundingan dan semangat toleransi masih boleh digunakan untuk menyelesaikan masaalah sukar dan sensitif begini .

Tambahan pula ketetapan yang diputuskan oleh kabinet adalah dengan tidak memperdulikan Jabatan Mufti serta tokoh - tokoh agama yang berselerak dalam negara ini untuk mendapatkan pandangan mereka sebelum bertindak membuat keputusan . Tindakan kabinet tidak mesra ulama' dan tidak mesra agama .

Saya juga percaya , andai kita membuat penjelasan dan pendetailan hukum yang berkaitan tanpa disulam rasa jengkel atau permusuhan terhadap mereka [ non muslim ] nescaya mereka boleh menerima dengan lapang dada kerana kini mereka telah sedia memahami kebaikan dan keadilan islam sebagai cara hidup masyarakat .

Kedudukan agama anak

Imam al-Bukhari di dalam Sohehnya menaqalkan dari Hasan al-Basri, Syuraih, Ibrahim dan Qatadah yang berkata; jika telah Islam salah seorang dari dua ibu-bapa, maka anak hendaklah bersama ibu/bapanya yang Islam.

Ibnu ‘Abbas (semasa kecilnya) tinggal bersama ibunya (yang Islam) berserta golongan mustadh’afin (yang menganut Islam) dan beliau tidak tinggal bersama bapanya yang masih menganut agama kaumnya (yakni agama musyrik). Dan beliau (yakni Ibnu ‘Abbas) menegaskan; “Islam adalah tinggi dan tidak ada yang boleh mengatasi ketinggian Islam”.

(Soheh al-Bukhari, kitab al-Janaiz, bab Iza Aslama as-Sobiyyi Fa Ma-ta..).

Imam al-Khattabi menjelas; “Anak yang masih kecil jika ia berada di antara seorang muslim dan seorang bukan Islam , maka yang muslim lebih berhak terhadapnya”

(Ibanatul-Ahkam Syarah Bulughul-Maram, jil. 3, kitab al-Hadhonah, hlm. 467).

Dalam membahaskan; adakah harus hak penjagaan (hadhonah) diberikan kepada ibu atau bapa yang tidak Islam jika salah seorang dari suami atau isteri memeluk Islam dan pasangannya tidak mahu memeluk Islam, para ulamak berbeza pandangan;

1. Menurut jumhur ulamak; hak penjaaan anak (hadhonah) tidak harus diberikan kepada ibu/bapa yang tidak Islam kerana hadhonah adalah wilayah (penguasaan) dan Allah tidak membenarkan penguasaan orang tidak Islam ke atas orang beriman (yakni orang beriman tidak harus perjalanan hidupnya dikuasai atau ditentukan oleh orang bukan islam ). Ini sebagaimana firman Allah;

“Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang bukan Islam untuk membinasakan orang-orang yang beriman. (an-Nisa’; 141).

Ia sama seperti larangan wanita muslim dikahwini lelaki bukan Islam kerana perkahwinan tersebut menyebabkan wanita muslim berada di bawah penguasaan orang bukan Islam .

Menyerahkan anak untuk dijaga dan diasuh oleh orang bukan Islam akan menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan agama anak terbabit kerana ibu atau bapa yang bukan Islam sudah tentu cenderung untuk mendidik anak itu agar mengikut agamanya apabila besar nanti.

Dalam hadis Rasulullah s.a.w. bersabda;

“Setiap anak yang lahir adalah lahir dalam fitrah. Dua ibu-bapanyalah yang menjadikannya yahudi atau nasrani atau majusi”.

(Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

Maksud fitrah di dalam hadis di atas menurut ulamak ialah Islam. Hadis ini menjelaskan bahawa bayi yang lahir asalnya adalah Islam, cuma dengan pengaruh ibu/bapanya maka ia berubah mengikut agama ibu/bapanya. Maka jika ibu/bapanya memeluk Islam, maka ia otomatik akan kembali kepada fitrahnya (Islam) dengan mengikuti ibu/bapanya yang memeluk Islam.

Hadis di atas juga menjelaskan pengaruh ibu/bapa ke atas anak. Oleh itu, tidak harus mana-mana individu menyerahkan anaknya untuk diasuh oleh isteri/suaminya yang bukan Islam kerana nanti anaknya itu akan dipengaruhi untuk menganut agama bukan Islam. Ia wajib memelihara masa depan agama anaknya dan kewajipan ini termasuk dalam arahan Allah;

Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari neraka” (at-Tahrim; 6)

2. Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; hak penjagaan (hadhonah) harus diberikan kepada ibu yang masih belum Islam sehingga anak mencapai tujuh tahun. Namun keharusan tersebut terikat dengan syarat-syarat berikut;

a) Kekufuran ibu itu bukan kerana murtad (yakni ia adalah asal tidak Islam)
b) Tidak dibimbangi ia akan menjejaskan agama anak tersebut ( iaitu islamnya).
c) Tidak dibimbangi ia akan memberi makan makanan yang haram kepada anak

Jika ada kebimbangan tersebut, maka hak penjagaan tidak harus diberikan kepada ibu yang tidak Islam itu atau ditarik balik jika hak itu telah diberikan.

Apa yang jelas ialah Islam tidaklah menghalang secara mutlak akan hak penjagaan ibu atau bapa non muslim terhadap anak apabila salah seorang dari mereka memeluk ajaran Islam , melainkan meletakkan syarat yang ketat demi menjamin agama dan kesejahteraan insaniah mamnusia itu sendiri .

Rujukan;

1. al-Fiqh al-Wadhih, Syeikh Dr. Muhammad Bakr Ismail, jil. 2, hlm. 164, bab al-Hadhanah.
2. al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, jil. 3, hlm. 226, maudhu’; al-Hadhanah.
3. Fiqh as-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, hlm. 220, maudhu’; al-Hadhanah.
4. Soheh al-Bukhari, Imam al-Bukhari, kitab al-Janaiz, bab Iza Aslama as-Sobiyyi Fa Ma-ta...
5. Ibanatul-Ahkam Syarah Bulughul-Maram, Syeikh Abi Abdillah Abdissalam ‘Allawish, jil. 3, hlm. 467, kitab al-Hadhonah.
6. Ahkam al-Aulad Fi al-Islam, Syeikh Zakariya Ahmad al-Barri, hlm. 43.
7. Anakku Anakmu (Siri Undang-Undang dan Masyarakat), Siti Zalikhah Md. Nor, hlm. 126-129.

Sunday, April 26, 2009

Ada 2 Team dalam PAS ? - vol 2

Jauh saya meneliti ragam dan karenah dalaman organisasi , segera saya mengesan betapa wujudnya satu lagi team yang menjadi liabiliti kepada parti .

Agak lama team ini bertapak dalam parti yang memperjuangkan Islam biarpun pelbagai mekasnime untuk menangani mahupun membasminya telah dilakukan .

Team inilah yang sering membawa masaalah kepada perjuangan malah melemahkan parti dalam mendepani cabaran . Mereka bukan sahaja tidak membantu parti sebaliknya sering mengundang sengketa sehingga banyak aktiviti parti tergendala angkara mereka .

Saya secara terus terang sangat terguris hati dengan golongan atau team ini . Allah swt telah menegaskan di dalam al quran mengenai kemunculan golongan ini . Firman Allah swt di dalam surah an Nisa' ayat 95' :

Tidaklah sama antara mukmin yang duduk [ Qaai'dun ] (yang tidak ikut berjuang) tanpa mempunyai ke'uzuran dengan orang-orang yang berjihad [ mujaahidun ] di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk [ qaai'dun ] satu derajat. Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (surga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang duduk dengan pahala yang besar .

Team Al Qaai'dun

Kumpulan yang saya maksudkan kali ini kumpulan Al Qaai'dun iaitu kumpulan yang hanya berpeluk tubuh dan berat papan punggung mereka untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka .

1001 alasan dikemuka untuk tidak menunaikan amanah . Pandai cakap pulak tu ! Ada - ada sahaja alasan yang dikemukakan melalui lidah mereka yang tidak bertulang . Seringkali hujjahnya berjaya menarik simpati orang untuk memaafkan mereka .

Kerja yang diamanahkan mereka tidak pernah selesai . Malangnya team ini cukup pandai menyembunyikan kelemahan mereka . Mereka suka mempersoal hasil kerja orang lain dan mengkritik tindakan orang . Secara umumnya seolah - olah ia seorang yang hebat kerana bijak menganalisa mutu kerja orang lain , padahal mereka sedang menyembunyikan kelemahan dan kegagalan mereka menyiapkan tugasan mereka sendiri .

Kalau dia kritik memang pedas dan berbisa sehingga terkadang hilang rasa hormatnya kepada orang yang mereka kritik sekalipun orang itu adalah pemimpin mereka sendiri . Mereka kritik layaknya hanya mereka yang tahu segala , hanya mereka yang benar dan hanya mereka yang boleh melakukan . Kasar bahasanya dan kesat lidahnya dalam menutur kalimah ketika mengkritik .

Kononnya mereka yang paling sayang kepada parti , maka sedikit langkah orang lain yang menimbulkan kekeliruan bagi dirinya segera ditanggap sebagai khianat kepada parti walhal orang yang dituduh khianat itu terlebih dahulu merentas perit jerih perjuangan dan melalui proses jatuh bangun bersama perkembangan serta kemajuan parti sejak awal , sementara pengkritiknya pada waktu masih budak hingusan yang belum mengerti erti perjuangan .

Sementara pemimpin atau siapa sahaja yang menjadi mangsa kritikan pedas dan geram golongan Qaai'dun ini berhempas pulas berdepan cabaran dan halangan perjuangan pula bersabung nyawa di medan , [ Jika tidak pun mengorbankan masa , tenaga dan harta , ] mereka [ al Qaai'dun ] hanya bergoyang kaki sambil menulis dengan emosi , mengutip maklumat yang diperolehi melalui meeting kedai kopi mereka untuk pendedahan sensasi yang bakal meletupkan suasana panas berpolitik .

Begitulah keadaan atau fenomena biasa bagi team al Qaai'dun ini . Mereka hanya berpeluk tubuh dan duduk bersahaja . Puas dan bosan dalam keadaan demikian mereka mencari pasal dengan sesiapa sahaja termasuk rakan sejamaah untuk wujudkan pertembungan .

Mereka suka cari salah dan silap jamaah dan rakan - rakan sejamaah . Mereka gembira kalau berjaya mendedahkannya kepada umum malah mereka jadikan kesilapan ini sebagai turning point untuk jatuhkan sesama sendiri . Golongan ini tidak kerja dalam parti . Bukan kerja tidak ada ! bahkan kerja terlalu banyak , tetapi dasar golongan qaai'dun suka berpeleseran dan menganggur dalam parti . Akhirnya pengangguran ini membawa gejala yang tidak harmoni dalam parti iaitu suka kritik orang sedang mereka ljupa akan diri mereka sendiri yang cukup banyak kelemahan .

Saya ingatkan mereka ini dengan firman Allah swt dari surah at Taubah ayat : 38 -39 yang bermaksud :

Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: "Berangkatlah (untuk berjuang) pada jalan Allah" kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) diakhirat hanyalah sedikit.

Jika kamu tidak berangkat untuk berjuang, niscaya Allah menyiksa kamu dengan siksa yang pedih dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudharatan kepada-Nya sedikitpun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Ayat ini menjanjikan azab atau murka Allah swt kepada golongan al Qaai'dun atau golongan yang hanya suka berpeluk tubuh enggan untuk berjuang tetapi hanya pandai mengkritik dari luar gelanggang .

Selamat berjuang agar kita tidak termasuk dalam team al Qaai'dun [ berpeluk tubuh / duduk bersahaja dalam parti ] sebalik kita masuk team al Mujaahidun [ golongan yang aktif berjuang ] .

Isu Status Agama Anak Bawah 18th

DRAF CADANGAN PENYELESAIAN
ISU MOHD RIDZUAN ABDULLAH
DAN KELUARGA

1. PENDAHULUAN

Isu pengislaman Saudara Mohd Ridzuan Abdullah atau K Patmanathan, 40, bekas penganut Hindu, telah menimbulkan satu polemik yang perlu dinilai dari sudut Syarak terhadap beberapa isu. Isu yang akan dibincangkan di sini adalah

a- Status agama tiga orang anak beliau [ iaitu Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun). ]

b- Hak penjagaan anak.

c- Status perkahwinan selepas pengislaman.

2. STATUS AGAMA ANAK-ANAK SELEPAS SALAH SEORANG PASANGAN SUAMI ISTERI MEMELUK AGAMA ISLAM

2.1 - Pandangan Islam Terhadap Status Anak Apabila Hanya Salah Seorang Ibu Bapa Memeluk Islam.

Dalam menjelaskan status anak-anak selepas salah seorang ibu bapa memeluk Islam sedangkan pihak yang kedua tetap berada dalam agama asal, para fuqaha Islam telah berselisih pandangan kepada beberapa pandangan:

Pandangan Pertama:

Anak-anak adalah mengikut agama Islam sama ada yang memeluk Islam adalah bapa ataupun ibu.

Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh kebanyakan para fuqaha Islam daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Syafi`iyyah dan al-Hanabilah[1].

Maka berdasarkan kes yang berlaku, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

Hujah pandangan pertama ini adalah hadith Rasulullah yang berbunyi:

عَنْ عَائِذِ بْنِ عَمْرٍو الْمُزَنِيِّ عَنِ النَّبِيِّ  قَالَ : (( الإسْلاَمُ يَعْلُوْ وَلاَ يُعْلَى )) . رواه البيهقي والدارقطني والروياني .

Daripada A'idz bin Amr Almuzani, daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Islam tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya."

Pandangan Kedua:

Anak-anak adalah mengikut agama Islam apabila yang memeluk Islam adalah bapa. Sekiranya yang memeluk Islam adalah ibu, anak-anak tidak dianggap beragama Islam. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam Malik.

Hujah yang dipegang oleh al-Imam Malik adalah seseorang anak adalah dinasabkan kepada si ayah dan bukannya dinasabkan kepada si ibu. Maka kerana itulah keislaman si ayah sahaja yang akan menyebabkan si anak turut beragama Islam sebagai mengikut agama si ayah[2].

Maka berdasarkan kes di atas, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah tetap diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

2.2 - Cadangan Terhadap Penyelesaian Isu Ini

Berdasarkan kajian ringkas di atas, dapatlah disimpulkan bahawa anak-anak kepada saudara Mohd Ridzuan Abdullah adalah beragama Islam kerana mengikut agama Islam yang telah dianuti oleh beliau.

Namun disebabkan pihak isteri beliau masih beragama Hindu yang berkeras untuk menjaga anak-anaknya dan membesarkannya dalam agama Hindu, semestinya kenyataan kita untuk mengekalkan status ketiga-tiga anak mereka berdua sebagai beragama Islam akan menimbulkan satu ketegangan antara masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam secara umumnya.

Atas dasar ingin mencari jalan yang paling baik dengan meraikan pandangan-pandangan para ulama, kami mencadangkan perkara-perkara di bawah:

a) Menerangkan kepada masyarakat di Malaysia bahawa maksud anak-anak tersebut berstatuskan agama Islam adalah mereka bertiga dianggap sebagai seorang Islam sepanjang tempoh mereka belum lagi mencapai umur baligh. Status keislaman mereka sebelum tempoh baligh akan berkait rapat dengan pembahagian harta pusaka khususnya[3].

b) Apabila anak-anak tersebut telah mencapai umur baligh, mereka akan diberikan hak untuk memilih sama ada ingin memeluk agama Islam ataupun memeluk agama Hindu. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam al-Thauriyy ( الثوري ) .[4]

c) Kami tidak mendapati sebarang masalah sekiranya nama ketiga-tiga anak saudara Mohd Ridzuan Abdullah dikekalkan dengan nama asal melainkan sekiranya makna nama mereka mengandungi unsur-unsur syirik dan makna-makna yang buruk.

3. HAK PENJAGAAN ANAK

3.1 - Pendapat Ulamak

Para ulama di dalam keempat-empat mazhab membincangkan tentang perkara ini . Para ulama bermazhab Syafie dan Hanbali rahimahumullah meletakkan bahawa hak penjagaan mestilah kepada seorang Islam. Orang bukan Islam tidak layak untuk mendapat hak penjagaan anak tersebut.

Manakala para ulama bermazhab Hanafi dan sebahagian ulama Maliki rahimahumullah tidak meletakkan Islam sebagai syarat untuk penjagaan. Ini bermakna jika penjaga tersebut (ibu atau bapa) salah seorang daripada mereka masih di dalam agama asal (non muslim) maka mereka masih boleh mempunyai hak untuk menjaga.

Ini berdasarkan kepada hadis Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud , al-Nasa'ie , Ibn Majah , Ahmad bin Hambal , al-Baihaqi , al-Hakim Naisaburi, Ibn Abi Syaibah rahimahumullah dan para ulama hadis yang lain . Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam membenarkan untuk budak tersebut memilih dengan siapakah dia ingin tinggal, sama ada dengan ayahnya yang Muslim atau Ibunya yang Non-Muslimah. Ini kerana hak penjagaan adalah atas rasa belas kasihan dan ianya tidak menjadi masalah walaupun berbeza agama. Nas hadis tersebut adalah seperti berikut:

حدثنا عبد اللَّهِ حدثني أبي ثنا هُشَيْمٌ ثنا عُثْمَانُ أبو عَمْرٍو البتي عن عبد الْحَمِيدِ بن سَلَمَةَ أَنَّ جَدَّهُ أَسْلَمَ في عَهْدِ رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ولم تُسْلِمْ جَدَّتُهُ وَلَهُ منها بن فَاخْتَصَمَا إلى رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فقال لَهُمَا رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ان شِئْتُمَا خَيَّرْتُمَا الْغُلاَمَ قال وَأَجْلَسَ الأَبَ في نَاحِيَةٍ وَالأُمَّ نَاحِيَةً فَخَيَّرَهُ فَانْطَلَقَ نحو أُمِّهِ فقال رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم اللهم اهْدِهِ قال فَرَجَعَ إلى أبيه[5]

Maksud: Diriwayatkan daripada Saidina Abdul Humaid bin Salamah radhiyallahu anhuma bahawa datuknya telah memeluk Islam pada zaman Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam, tetapi neneknya enggan. Hasil perkahwinan mereka, dikurniakan seorang anak. Mereka berdua datang mengadu kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam (berkenaan hak penjagaan terhadap budak tersebut).

Sabda Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam kepada mereka berdua : Jika kamu berdua mahu, budak tersebut akan diberikan pilihan untuk memilih kamu berdua. Kata Abdul Humaid bin Salamah : Si ayah diletakkan di suatu sudut, dan si ibu juga diletakkan di suatu sudut, maka budak tadi diberi pilihan . Didapati budak tersebut bergerak ke arah ibunya.Maka Baginda sallallahu alaihi wasallam berdoa: Ya Allah berikanlah hidayah kepadanya. Kata Abdul Humaid bin Salamah :Maka budak tersebut kembali kepada ayahnya (mengikut ayahnya).

Tetapi para ulama di dalam mazhab Hanafiyah dan Malikiyah berbeza pendapat pula berapa lamakah tempoh budak tersebut perlu berada di bawah penjaganya yang bukan Islam:

1) Ulama Hanafiyah berpendapat : Kanak-kanak tersebut boleh berada di bawah jagaan penjaga yang bukan Islam sehinggalah dia mampu berfikir tentang keagamaan(iaitu setelah mencapai umur 7 tahun). Hak penjagaan juga akan tamat jika budak tersebut tidak terjamin keselamatan agamanya jika berada bersama penjaga tersebut(seperti dibawa ke tempat ibadah mereka, budak tersebut mempelajari perkara berkaitan agama penjaga tersebut, diberi minum arak atau memakan makanan yang haram)

2) Ulama Malikiyah berpendapat: Kanak-kanak tersebut boleh berada di bawah jagaan penjaga yang bukan Islam tersebut sehinggalah tamat waktu hak penjagaan[6]. Tetapi penjaga tersebut perlu menjaga hak-hak penjagaan terhadap budak tersebut seperti tidak memberi makanan yang haram dan memberi minum arak kepadanya. Tetapi jika dikhuatiri akan berlaku perkara tersebut maka hak penjagaan tersebut perlulah diberikan kepada golongan Muslimin demi menjaga budak tersebut daripada kesesatan[7].

3.2 - Cadangan Terhadap Kes Yang Berlaku

1) Berdasarkan pendapat para ulama yang kita telah bincangkan, anak kepada Mohd Ridzuan bin Abdullah @ K Patmanathan, 40 tahun iaitu Tevi Darsiny (12 tahun) dan Karen Danish ( 11 tahun ) tidaklah dibenarkan untuk berada dibawah penjagaan si isteri yang enggan memeluk Islam. Ini kerana, keadaan kedua-dua anak mereka jika berada di bawah jagaan ibu sahaja dibimbangi persekitaran yang tidak baik akan mempengaruhi mereka.

2) Manakala anak yang ketiga iaitu Prasana Diksa (1 tahun), dibenarkan untuk berada di bawah jagaan si ibu (dengan syarat diadakan giliran antara ibu dan bapa) berdasarkan pendapat yang disebutkan oleh Mazhab Hanafiyah dan Malikiyah. Ini kerana Prasana Diksa masih kecil dan belum mencapai umur yang memungkinkan untuknya berfikir tentang keagamaan. Ini juga menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang bersikap kuku besi yang menghalang secara semberono hak individu.

4. STATUS PERKAHWINAN SELEPAS PENGISLAMAN SALAH SEORANG SUAMI ISTERI

4.1 - Pendapat Para Ulama

Syariah Islam menetapkan, apabila seorang suami memeluk Islam, maka si isteri juga perlu diminta untuk memeluk Islam. Jika si isteri memeluk Islam di dalam tempoh ‘iddahnya, maka perkahwinan tersebut boleh diteruskan seperti biasa(tanpa perlu diperbaharui akad nikahnya).

Islam bukanlah satu agama yang memecah belahkan institusi kekeluargaan, bahkan Islam itu sendiri mengajar ummatnya untuk membina sebuah keluarga yang bahagia. Perbezaan agama antara suami dan isteri bukanlah penghalang kepada ikatan pernikahan mereka, tetapi keengganan si isteri untuk berbuat demikian menyebabkan berlakunya perpisahan [8].

Keempat-empat mazhab Islam iaitu Hanafi, Maliki, Syafie, dan Hambali menetapkan perkahwinan mereka berdua akan terfasakh[9]. Para ulamak hanya berselisih pendapat dari sudut bilakah waktu fasakh itu berlaku, samaada daripada saat pengIslaman suami atau saat isteri enggan memeluk Islam. Perpisahan tersebut akan berlaku melalui kuasa qadhi[10].

Fasakh atau perpisahan tersebut bukan bermakna si suami meninggalkan tanggungjawabnya ke atas isteri dan anak-anaknya dari sudut nafkah dan perbelanjaan. Islam sangat menjaga hak setiap manusia samaada Muslim atau Non Muslim. Perpisahan yang berlaku di antara pasangan suami isteri disebabkan perbezaan agama tidak menggugurkan kewajipan suami kepada isterinya dan anak-anaknya.

4.2 - Hak Pemberian Nafkah[11]

a - Nafkah kepada anak

Si ayah wajib memberikan nafkah dan keperluan kepada anak-anaknya selagi mana mereka masih kecil sehingga mampu berdikari sendiri jika anak tersebut adalah anak lelaki. Manakala bagi anak perempuan, bapa perlu memberi nafkah kepadanya sehingga anak tersebut berkahwin sahaja.

b - Nafkah kepada isteri

Suami wajib memberi nafkah kepada isteri tersebut selama mana di dalam tempoh ‘iddah sahaja.

Ini jelas menunjukkan hujah yang mengatakan bertukar agama adalah satu cara untuk lari daripada tanggungjawab adalah hujah yang amat dangkal. Ini kerana Islam sama sekali tidak memberikan ruang kepada penganutnya untuk lari atau cuai menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Disediakan oleh :
Fellow MANHAL PMRAM 2009
Hasil kajian:
1. Al Fadhil Ustaz Syed Abdul Qadir Al-Jofree
2. Al Fadhil Ustaz Abd Rahman Mohd Tharin
3. Al Fadhil Ustaz Mohd Nazrul Abd Nasir
4. Al Fadhil Ustaz Hairul Nizam Mat Husain

[1] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/270.
[2] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/270.
[3] Sebagaimana yang dimaklumi, apabila anak-anak tersebut berstatuskan Islam, mereka berhak mewarisi harta saudara Mohd Ridzuan Abdullah kerana persamaan agama antara pihak ayah dan anak-anak. Walau bagaimanapun sekiranya anak-anak tersebut meninggal dunia sebelum mereka mencapai umur baligh, maka berdasarkan pandangan Islam jenazah mereka akan diuruskan sebagai seorang Muslim. Ini dijangka akan menimbulkan satu lagi masalah perebutan jenazah antara si isteri yang beragama Hindu dan si ayah yang beragama Islam.
[4] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/271. Para pembaca perlu menyedari bahawa pandangan yang kami pilih ini bukanlah pandangan majoriti ulama Islam.
Adapun pandangan majoriti ulama Islam, anak-anak tersebut secara automatik akan menjadi seorang muslim sebaik sahaja si ayah memeluk agama Islam. Sekiranya anak-anak tersebut setelah baligh memilih untuk tidak beragama Islam, berdasarkan pandangan majoriti ulama, mereka akan menjadi murtad.
Pandangan al-Thauri yang kami pilih ini adalah semata-mata memikirkan situasi masyarakat non Muslim di Malaysia yang mungkin tidak akan dapat menerima keputusan bahawa kesemua anak-anak terbabit hendaklah beragama Islam. Sekurang-kurangnya dengan berpegang pandangan al-Thauri, masyarakat non Muslim dapat menerima keputusan kerana hak untuk memilih agama diserahkan kepada anak-anak tersebut selepas mereka baligh.
[5] Musnad al-Imam Ahmad bin Hambal, hadis 23807 jilid 5 mukasurat 446 Darul Nasyr, Muassasah Qurtubah
[6] Bagi budak perempuan, hak penjagaan terhadapnya ialah sehingga dia berkahwin, manakala bagi budak lelaki pula hak penjagaan terhadapnya ialah sehingga dia baligh.
[7] Fiqh al-Islami wa Adillatuhu jilid 7 mukasurat 727-728 cetakan Darul Fikr Cetakan Kedua 1985
[8] Bada'ie Sana'ie, Imam al-Kasani, m.s 1558 jilid 3.
[9] Mughniyul Muhtaj, Khotib as-Syarbini, m.s 244 jilid 3.
[10] Fiqhul Islami Wa Adilatuh, Dr. Wahbah Az-Zuhaili, m.s 7163 jilid 9.
[11] Al-Mughni, Imam Ibn Qudamah, m.s 402 - 409, jilid 7.

Nantikan ulasan lanjut berkait isu ini . Akan terbit Isnin nanti !

Friday, April 24, 2009

Ada 2 Team dalam PAS ?

Saya tidak boleh nafikan bahawa sememangnya manusia senantiasa akan terpecah kepada beberapa golongan . Ada manusia baik dan ada manusia jahat , ada manusia yang bertaqwa dan ada pula manusia yang fujur , ada yang mahu ke kanan dan ada pula yang memilih ke kiri , ada golongan yang bahagia dan ada golongan yang celaka , ada yang akan ke Syurga dan ada yang akan ke neraka .

Saya lihat golongan ini ada di mana - mana dan tiada siapa yang boleh claim dirinya selamat atau terlepas dari golongan - golongan ini termasuk ahli - ahli PAS , demikian juga kita tidak boleh blame orang lain menjadi ahli neraka . Namun secara mata kasarnya , saya lihat kini di dalam PAS juga terdedah kepada kemungkinan wujudnya golongan - golongan ini . Paling tidak tergolong kepada 2 team . Team pertama ialah Team As Saadah dan kedua ialah Team Asy Syaqaawah . Firman Allah swt :

Surah Hud : 106 - 108
106 . Adapun orang-orang yang celaka [ team Syaqaawah ] , maka (tempatnya) di dalam neraka, di dalamnya mereka mengeluarkan dan menarik nafas (dengan merintih)
107. mereka kekal di dalamnya selama ada langit dan bumi , kecuali jika Tuhanmu menghendaki (yang lain). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Pelaksana terhadap apa yang Dia kehendaki.
108. Adapun orang-orang yang berbahagia [ team Saadah ] , maka tempatnya di dalam syurga, mereka kekal di dalamnya selama ada langit dan bumi, kecuali jika Tuhanmu menghendaki (yang lain); sebagai karunia yang tiada putus-putusnya.

Team Saadah

Team ini juga dikenali sebagai team Al Maimanah sebagaimana yang Allah sebut di dalam surah Al Balad : ayat : 18 . Team ini mempunyai ciri - cirinya yang tersendiri , antaranya ialah :

Memiliki aqidah perjuangan yang tulen .
Sabar dalam tindakan dan sabar jua menerima tekanan .
Toleransi dalam komunikasi dan menjalin erat silaturrahim .

Memiliki tiga kriteria asas ini meletakkan team ini sangat disayangi oleh Allah swt sehingga Allah swt juga sebut mereka adalah golongan yang akan beroleh kebahagiaan [ saadah ] dan mereka jugalah golongan kanan [ maimanah ] . Sepertinya mereka ini adalah orang kanan Allah swt .

Manakan tidak , golongan ini adalah golongan yang sangat kental menjunjung dan mendokong keabsahan manhaj dan kesohihan sumber perjuangan . Apa pun ketika dan di mana jua berada , sikap mereka konsisten dalam mempertahankan prinsip - prinsip perjuangan yang bersifat fundamental . Jelas dalam mendokong visi perjuangan dan tabah sewaktu melaksanakan misinya .

Sekalipun berdepan dengan pelbagai tohmahan dan fitnah ke atas diri mereka , sabar sungguh jiwa mereka . Tidak terburu - buru dalam tindakan mahupun kenyataan . Malah sering berpesan kepada anak buah dan sahabat taulan agar tidak melakukan sesuatu yang salah dan bertentangan dengan adab berjamaah dan akhlak berjuang .

Kenal siapa musuh dan arif siapa kawan . Kalaupun berunding dengan musuh , mereka berada dalam siap siaga dan waspada agar Islam dan perjuangannya tidak tergadai . Sesekali timbul khilaf sesama anggota parti , mereka sering tawadhu' dan segera duduk berbincang agar segera terungkai segala yang bersilang .

Memelihara rahsia parti dan senantiasa membina ukhuwwah fillah demi memastikan keutuhan jamaah yang memperjuangkan cita - cita Islam ini .

Team Asy Syaqaawah

Golongan ini pula secara mudahnya berlawanan sifat dan sikapnya dengan golongan yang pertama tadi iaitu golongan As Saadah . Mereka ini suka sangat menabur fitnah dan gembira melihat orang lain derita dengan fitnah yang ditabur . Tergamak mencetus suasana dan menimbulkan sengketa bagi melaga - lagakan pimpinan yang ikhlas dengan perjuangan . Lantas mereka senyum melihat pimpinan bertembung antara satu sama lain .

Pantang dapat maklumat , kalau tidak pun mereka akan memasang dengar untuk mengetahui maklumat yang tidak sepatutnya mereka tahu bahkan mereka bijak memperdaya individu tertentu untuk mengorek maklumat parti lalu mereka segera mendedahkan maklumat tersebut kepada umum . Suka sangat mereka apabila semua rakyat tahu maklumat tersebut .

Tambah - tambah zaman sekarang ni ramai blogger yang sedia untuk mensensasikan maklumat - maklumat yang dirisik oleh James Bond dalam parti .

Lebih malang sikap mereka terhadap pimpinan cukup tidak beradab . Tiada rasa hormat kerana rasa diri lebih hebat . Memperlekehkan ulama' jadi sendaan rutin mereka . Tidak memiliki adab dalam berjamaah , jika mereka hadhir mesyuarat kemudian mereka akan iringkan dengan mesyuarat kedua untuk menasakhkan mesyuarat yang pertama .

Thiqah dan wala' kepada pimpinan telah tidak lagi dijaga dan dihormati malah mereka memandang serong dan curiga kepada pimpinan mereka sendiri . Lebih menghairankan , mudah sahaja mereka merasa takjub kepada karektor dan figure tertentu sedang pimpinan mereka sendiri , wala' mereka berbelah bahagi dan hanya pandang sebelah mata .

Gaya kehidupan dan style kepimpinan tidak jelas menampakkan mereka memimpin gerakan Islam . Bahasa lidah pun bercampur campur bahasa sampai sukar untuk difahami . Nak kata melayu tak melayu , nak kata orang putih pun , kata orang ada bau tempe . Bantah PPSMI bagai nak rak tapi bahasa sendiri sudah jadi berselerak .

[ dengan mohon maaf - selingan - : saya sendiri memang rasa sangat bosan dengan orang berlagak cakap inggeris dan selang seli dengan bahasa melayu serentak . Sekarang sudah jadi bahasa rojak . Berbahasa ni ikut keperluanlah , kalau perlu guna bahasa inggeris maka silakan , kalau perlu bahasa melayu demikianlah juga halnya , atau kalau perlu sesekali mengungkap istilah bahasa inggeris dalam percakapan tidaklah mengapa .
Apa yang saya maksudkan ialah sengaja nak berbahasa inggeris konon , kemudian selepas beberapa kalimah , cakap melayu semula beberapa patah dan sambung pula dalam bahasa melayu .... akhirnya jadi bahasa rojak , dari asalnya saya faham sikit sikit bahasa inggeris jadi tak faham langsung . Rosak bahasa jadinya . Saya cadangkan , kalau nak cakap bahasa inggeris , cakap bahasa inggeris sampai ke akhirnya dan begitulah sebaliknya . campur - campur bahasa ni , jadi pening .]

Lebih malang , nak cakap Islam pun tidak gamak kalau - kalau ia nanti boleh menyinggung perasaan non muslim . Ulama' yang membuat draf negara Islam dan mengisytiharkannya kepada umum teruk kena belasah kononnya ini punca kekalahan dan punca kepada penolakan pengundi kepada perjuangan .

Inilah golongan syaqaawah . Siapa orangnya ? saya pun tidak tahu cuma saya menyebut ciri - ciri team syaqaawah dan saya harap team syaqaawah ini tiada dalam PAS .

Semoga Allah selamatkan jamaah kita dari unsur - unsur yang melemahkan nilai dan merosakkan jati diri sebagai sebuah gerakan Islam .

Berhati - hati saudara . selepas ini , kalau saudara terbaca blog yang melaga - lagakan pucuk pimpinan kita maka itu adalah blog Syaqaawah . Kalau saudara dengar orang mengutuk mencela ulama' dan mengkritik pimpinan keterlaluan tanpa adab dan akhlak maka kenallah bahawa itu ahli team Syaqaawah . Kalau ada pimpinan yang mebocorkan rahsia mesyuarat parti kepada orang luar yang tidak berhak tahu maka itu adalah pimpinan team Syaqaawah .

Selamat berjuang dan jaga diri agar tidak terjebak dalam golongan syaqaawah.

Bacalah dengan jiwa yang tenang


Sebentar tadi , saya menerima signal dari sidebar blog saya bahawa terdapat satu artikel baru yang ditulis oleh Al Fadhil Ustaz Nik Abduh setelah sekian lama beliau tidak menulis .

Saya kurang periksa akan sebab kenapalah beliau akhir - akhir ini terlalu jarang sekali menulis . Namun apa yang saya yakin , penulisan adalah satu dari kegemaran beliau dan setiap kali beliau menulis , kandungannya cukup berkesan dan berbekas .

Saya doakan agar sahabat saya ini senantiasa dikurniakan kelapangan untuk menulis dan menyebarkan fikrah Islami yang jelas dan baik kepada ummah . Kami diluar senantiasa merinduinya .

Terkini sahabat boleh baca tulisan Al Fadhil ustaz Nik Abdul melalui link yang telah saya paparkan disini . Baca dengan tenang dan hayati setiap patah kalimah . Alfun Mabruk kepada Ustaz Nik !

Thursday, April 23, 2009

5 Nota & 10 Nokhtah : Rasmi AGM DPPK


5 Nota dan 10 Nokhtah
Perasmian Mesyuarat Agung DPP Kawasan Kuala Terengganu dan Pangkalan Chepa.


Kesihatan saya di pagi ini masih pada tahap serupa dengan semalam . Belum ada apa - apa perkembangan dan tanda - tanda untuk ia segera pulih . Ya Allah , saya sangat berharap ia pulih segera untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada saya , iaitu merasmikan mesyuarat Agung DPP Kuala Terengganu dan DPP Pangkalan Chepa esok . [ 3.00 pm dan 9.00 pm ]

Sewaktu dulu , saya pernah mengalami masaalah serupa dan lebih seminggu saya tidak boleh bercakap apalagi untuk kuliah dan ceramah . Malah keadaan semasa itu agak parah di mana sesekali saya batuk , ia akan mengeluarkan darah dan tekak berasa pedih . Saya segera bertemu doktor dan mendapat rawatan .

Cuma berbeza kali ini , saya tidak berasa apa - apa kesakitan pada tekak saya dan tidak pula batuk . Hanya suara tidak keluar dan saya bercakap seperti berbisik biarpun saya menjerit sekuat jerit . Buat masa ini saya menggunakan Madu Naqia dan Kismis Tok Guru untuk rawatan secara tradisional . Semoga doa sahabat sekelian menghasilkan keajaiban untuk sembuh segera. Amin Ya Rabbal A'lamin .

Kiranya uzur ini berlanjutan hingga ke siang esok [ jam 11 am ] ertinya tempat saya perlu diganti oleh pihak penganjur [ DPP Kuala Terengganu dan Pangkalan Chepa ] untuk merasmikan Mesyuarat Agung mereka . Gambaran awal telah saya maklumkan kepada al Fadhil ustaz Wan Shukairie dan Al Fadhil Ustaz Nik Mohd Abduh .

Justeru itu , kesempatan ini suka saya notakan beberapa nokhtah yang ingin saya sampaikan kepada semua sahabat - sahabat pemuda biarpun orang lain yang akan merasmikan mesyuarat Agung mereka nanti .

Nota Perasmian Mesyuarat Agung DPP [ Kuala Terengganu dan Pangkalan Chepa ] dari saya :

Pertama : Biar apa pun zaman dan di mana jua berada , Pemuda tetap menjadi skuad kebanggaan Nabi saw. dan sandaran Baginda untuk menyambung risalah perjuangannya ke arah mendaulatkan syariat Allah swt. di atas muka bumi ini . Justeru itu , janganlah kalian semua menghampakan harapan Baginda Rasul saw. dan lebih malang menjatuhkan "air muka" Baginda saw. dengan kegagalan pemuda beraksi selayaknya mendokong dan memacu perjuangan ini .

Kedua : Pemuda mestilah mempersiapkan diri dari segenap aspek , bermula dari 10 noktah :

Spiritual yang mantap dengan taqarrub diri kepada Allah swt .
Fikrah yang jelas melalui pembacaan yang komited terhadap surah & khibrah .
Aqidah yang tulen tanpa dipengaruhi oleh elemen syirik dan khurafat .
Karisma kepimpinan yang taqwa , thiqah dan berpengaruh .
Syakhsiyyah yang soleh , ikraamul al akh (mesra anggota) dan turun ke medan.
Ilmu yang menguasai tuntutan dan keperluan perjuangan secara individu atau kolektif .
Fizikal yang kuat memikul amanah perjuangan dan menyerap tekanan .
Kebijakan aqal dalam mengatur strategi mendepani cabaran .
Ketenangan jiwa semasa mengurus karenah ahli dan mengurai kekusutan dalaman .
Kolektif yang berpakat tanpa retak biar sejalur cuma .

Ketiga : Aktif menggerakkan jentera perjuangan tanpa siapa dikalangan pemuda berpeluk tubuh . Lebih mengaibkan jika ada yang berat papan punggungnya untuk bangun melaksanakan amanah yang terpikul di atas pundaknya sebagai pimpinan di manapun peringkat ia terpilih dan terlantik .

Pemuda PAS bukan pondan Belanda yang sering lemah dilanda fitnah , resah dihempap musibah dan longlai dipukul badai sebaliknya hebat di medan debat, perkasa menabur jasa dan gagah menentang musuh bedebah .

Pemuda PAS mestilah menjuarai isu dan senantiasa dekat di mata dan hati rakyat sebagai madu'u [ pengundi dalam bahasa pilihanrayanya ] . Senantiasa ada bila rakyat berduka dan senantiasa muncul bila rakyat sugul .

Pemuda PAS tidak boleh diperalat oleh siapa jua untuk mencapai tujuan politik individu apalagi untuk menjual agama dan menolak perjuangan suci ini . Bahkan pemuda PAS senantiasa bersedia untuk berkata : Ya ! Kami Ansorullah [ pejuang - pejuang agama Allah ] . Berfungsi di sayap utama mengembeling kekuatan dalaman dan mobilisasi kesedaran rakyat bagi menjana kemenangan dan mempertingkatkan prestasi juang serta mempertahankan kemenangan yang telah sedia tercapai .

Pemuda PAS bukan peluru sesat atau golok karat yang boleh dimanafaat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melepas amarah sesama sendiri dengan menabur peluru fitnah secara membuta tuli [ boleh dibaca - membabi buta ] dan menebas leher mencantas keting sesama anggota hanya kerana tidak bersefahaman .

Pemuda PAS adalah senjata hard target yang siap dan sedia menembusi kepala dan jantung musuh - musuh Allah swt . Tanpa gentar dan gerun melepasi benteng musuh yang penuh jerangkap berbekal strategi licik dan kemahiran yang tinggi dikalangan anggota pemuda .

Pemuda PAS adalah supporter group untuk sedia dan siap melaksanakan arahan jamaah dan pimpinannya dengan teliti dan jaya tanpa mendatangkan masaalah kepada jamaah dan pimpinan sebaliknya melancarkan gerakkerja , melicinkan misi dan menjayakan visi perjuangan suci ini .

Keempat : Mesyuarat Agung kali ini adalah pusingan anggota memilih saf kepimpinan jamaah di pelbagai peringkat dan tidak ketinggalan kita para pemuda . Terlebih dahulu kita telah diajar oleh agama agar memilih dan menyerah tugas kepimpinan kepada mereka yang layak , mampu dan beramanah .

Bukan populariti , bukan juga title yang ada pada nama dan tidak hanya dinilai pada kepetahan berpidato , sebaliknya memilih dan menyerahkan amanah kepimpinan kepada mereka yang benar - benar ikhlas , benar , berilmu , mampu melaksanakan tugas dengan baik , berakhlak , bertaqwa dan memiliki keistemewaan tertentu anugerah Allah swt. seperti susuk tubuh , penampilan diri , pengaruh peribadi , seri wajah dan seumpamanya yang melengkapkan pakej layak sebagai seorang pemegang amanah sebagai pemimpin .

Jika tiada , maka pilih yang terbaik dari kalangan kita . Namun saya percaya dan yakin bahawa kita semua layak . Pemuda PAS semuanya layak dengan keistemewaan kurniaan Allah swt pada diri masing - masing , justeru itu bertolak ansur dan berlapang dadalah lantaran kita hanya perlukan seorang driver dalam sebuah kereta meskipun semua penumpang mempunyai kelayakan dan lesen memandu .

Usah jadikan ini kesempatan untuk bersengketa tetapi jadikan ia sebagai peluang untuk merapat jurang , mengimpal retak , menjalin ukhuwwah , membina persefahaman dan menyatu fikrah . kita bentuk saf perjuangan yang satu dan padu laksana ikatan batu batan membangun menara kukuh gah dipersada juang .

Kelima : Bagi rakyat , kita adalah bahtera penyelamat yang memegang teraju gelombang perubahan ke arah membina Malaysia yang ditadbir oleh pemimpin yang soleh dan undang - undang yang adil . Mengislahkan politik dan menjana ekonomi melalui plan syariah yang terbukti benar dan berkesan .

Tinggal lagi keyakinan rakyat kepada plan ini masih belum dapat diraih sepenuhnya setelah mereka mengalami krisis keyakinan teruk terhadap undang - undang dan peraturan syariah akibat fitnah dan momokan jahat UMNO dan BN sejak mereka memerintah negara lebih 50 tahun yang lalu .

Pemuda tidak harus rasa selesa walau berada di negeri yang kita menang seperti Kelantan . Sebaliknya pemuda mesti memikir beberapa pendekatan baru dan kepelbagaian aktiviti untuk terus segar dan mekar bersama masyarakat remaja dan pemuda . Apatah lagi pemuda di negeri yang belum menang seperti Terengganu dan lainnya , kerja kuat menjadi asas untuk kembali menguasai hati dan minda rakyat khasnya pengundi muda agar mereka kian dekat dengan cara hidup Islam yang kita perjuangkan ini .

Malah pemuda mesti terus enggage dengan semua golongan dan lapisan masyarakat , turun dan mara sebagai Duta Penyelamat dan Kasih sayang . Terutama hubungan kita dengan rakan tahaaluf iaitu Angkatan Muda Keadilan dan DAPsy . Pastikan hubungan ini terus erat dan bersama menjana kemenangan demi kepentingan negara dan rakyat .

Ada pihak mempertikai hubungan kita dengan AMK dan DAPsy sebagai tidak islamik dan menggadai prinsip perjuangan asal kita .

Suka saya tegaskan disini , bahawa kita tidak pernah merubah dasar dan prinsip perjuangan dan hubungan kita dengan AMK dan DAPsy adalah hubungan tahaaluf yang diluluskan oleh syara' maka tidak timbul soal tidak syari'e atau tidak islamik .

Bukankah Islam mengajar kita menentang kezaliman seperti ISA . Bukankah Islam mengajar kita menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan seperti apa yang berlaku kepada SPR , Badan kehakiman , polis dan FRU ? Bukankah Islam mengajar kita menentang segala pembaziran seperti projek mega yang tidak menguntungkan rakyat , agihan saham hanya kepada kroni dan sebagainya .

Maka kita sepakat dalam perkara ini dengan AMK dan DAPsy lalu kita tahaaluf [ kerjasama ] , lalu apa yang tidak Islamik dalam perkara ini ? Saya harap kita tidak keliru dan syura PAS telah memutuskan perkara ini . Justeru itu kita pertahankan tahaaluf ini dengan konsep dan prinsip serta akhlak dalam bertahaaluf siasi dengan mana - mana jua pihak yang bukan dari jamaah atau parti kita . Dalam erti kata yang lain , kita perkukuhkan PAKATAN RAKYAT tanpa melupakan pemerkasaan parti kita sendiri .

Akhirnya selamat berjuang dan selamat bermesyuarat Agung dari saya .

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive