HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Tuesday, May 12, 2009

Nasihat Buat Yang Kalah, Wasiat Buat Yang Menang

Salam sahabat-sahabat pimpinan yang dikasihi, bacalah sebuah nasihat yang berguna untuk yang menang dan yang kalah oleh Ustaz Tuan Ibrahim bin Tuan Man. Semalam yang berbahagia ustaz telah email karya ini kepada saya.

Suka Duka MAT

MAT (Mesyuarat Agung Tahunan), Mesyuarat Agung Kawasan dan Dewan-Dewan baru berlalu, kini seluruh tumpuan dihalakan kepada pemilihan dalam muktamar PAS Pusat. Pelbagai cerita suka duka, tawa dan tangis didengar dalam keriuhan suasana mesra jamaah.

Itulah keindahan perjuangan Islam. Kita membina ukhuwah Islamiyah dalam jamaah mengatasi kepentingan peribadi. Kemanisan perjuangan ini tentulah tidak lahir secara spontan, Bahkan ianya lahir melalui tarbiyah samada secara formal atau informal.

Semua kita sangat sayangkan suasana ukhuwwah ini, kerana kita yang bersama dalam perjuangan di dunia mengharapkan agar Allah mengumpulkan kita dalam majlis yang diredhai-Nya di akhirat.

Hakikat Pencalonan


Kita menyedari bahawa kita bukanlah insan terbaik dalam jamaah, kita bukanlah ahli yang hebat dengan keilmuan sehingga mampu menerangi cahaya bagi menyuluh jalan agar Allah redha kepada kita, kita bukanlah ahli ibadah yang hebat, mampu menangis di hadapan Allah setiap malam dikala manusia lain sedang nyenyak tidur, dan kita juga bukanlah pemimpin terbaik.

Kita hanya menawar diri itupun setelah ada orang lain mencalonkan kita; terkadang kita malu dengan pencalonan itu, kerana kita mengetahui kelemahan diri kita, namun apa daya kerana kita tidak mampu menjawab hisaban di akhirat bilamana mengecewakan harapan jamaah.

Lantaran ianya hanya tawaran diri, tentulah kita tidak akan kecewa bilamana kita tidak dipilih. Apa yang nak ditangisi dan disesali diri, kalau ianya adalah satu keringanan hisaban di akhirat?

Apa yang nak dikecewakan bilamana ahli tidak memilih kita, kerana apa yang berlaku dengan kehendak Allah semuanya, tangannya hanya memilih apa yang telah digerakkan hatinya oleh Allah?


Ingatlah, andainya kita tahu betapa gembiranya nanti bilamana kita dihadapkan di hadapan Allah, tentulah kita tidak sedih, kecewa dan apatah lagi menyimpan dendam pada yang tidak memilih kita, bahkan ucaplah terima kasih kerana meringankan bebanan diakhirat, sedangkan bebanan dosa diri sendiripun kita dah tak mampu untuk menjawabnya. Ya Allah ampunilah dosa-dosaku yang banyak ini. Andainya kita rasa sedih di atas kekalahan kita, cuba tanya;

Apakah ianya lahir dari rasa hebat kita berbanding orang lain?

Atau lekeh sangatkah orang yang berjaya bilamana ramai perwakilan memilih mereka?


Aku sangat khuatir andainya ia lahir dari bisikan syaitan agar rasa kecewa, merajuk kemudian menyepi diri dari jamaah dan akhirnya gugur dari medan dakwah. Kerana inilah matlamat syaitan dan inilah yang menggembirakan musuh, dan inilah juga yang mengecewakan kita di akhirat.

Perjuangan dan Bekalan

Ketewasan dalam merebut jawatan dalam parti, bukanlah berakhirnya sumbangan kepada kemenangan Islam dan lebih-lebih lagi bilamana kita rasa bahawa jamaah akan susah dengan ketiadaan kita. Perjuangan Islam terus berjalan, dan usia kita semakin hampir. Apa rasa andainya kita yang telah menghabiskan usia dalam perjuangan yang sangat panjang, tiba-tiba berakhir dengan kita tiada dalam kelompok yang memperjuangkan Islam.

Aku sangat bimbang akan diriku dalam hal ini. Semoga Allah lindung kita bersama. Lantaran itu, teruskan perjuangan, kerana usia kita semakin hampir bertemu Allah, sedangkan perjuangan ini masih jauh. Inilah nasihat kepada yang ditipu oleh nafsu dan pujukan syaitan yang merasa kecewa dengan pemilihan yang kecil di dunia, agar kita tidak tewas dalam ‘pemilhan’ yang besar di hadapan Allah di akhirat.

Wasiat Kepada Yang Berjaya

Andainya kita tahu apa yang menanti kita di akhirat, tentulah kemenangan akan disambut dengan tangisan dan dukacita, kerana itulah wasiat Rasulullah saw mafhumnya, “Sesungguhnya jawatan ini adalah amanah, dan ianya di akhirat adalah dukacita dan penyesalan”. Kalaulah tidak kerana perjuangan Islam yang dijanjikan kemenangan di akhirat, tentulah tiada siapa yang teringin akan jawatan ini.

Kepada yang berjaya memenangi apa jua jawatan, berbanggalah di hadapan Aallah andainya kita dapat melaksanakan amanah, mengangkat martabat Islam, memperjuangkan syariat Allah dan berada di hadapan di dunia untuk terus dipilih oleh Allah agar terus berada di hadapan di akhirat. Ingatlah “ debu-debu yang melekat di kaki mereka yang memperjuangkan Islam, menyebabkan ia tidak akan disentuh oleh api neraka di akhirat.

Allahumma masukkan kami dalam kelompok tersebut. Keindahan perjuangan Islam lahir dari dokongan semua pihak, perjuangan tidak akan bertemu dengan kerehatan dan keselesaan. Perjuangan adalah pengorbanan untuk Allah dan Rasul. Mencari redha Allah bukanlah dapat dicapai dengan merasa hebat dengan jawatan yang disandang dan juga bukanlah merasakan akulah yang layak, berbanding orang lain.

Perjuangan bagi mendaulatkan Islam tidak akan berhasil andainya kita yang memegang jawatan ini jauh dari Allah, merasa kagum dengan kebolehan diri dan merasakan bahawa apa yang kita capai hasil kebijaksanaan kita dan kitalah penentu kepada kemenagan ini. Lantaran itu, kita dikuasai oleh nafsu merasa kehebatan diri sendiri dan memandang lekeh kepada orang lain.

Pimpinan yang berjaya bukanlah mengumpulkan manusia yang hebat sekelilingnya dan merasakann dirinyalah yang hebat dikalangan yang hebat, tetapi pemimpin hebat ialah yang menghargai semua sumbangan, membaiki yang rosak, rawat yang terluka, memberi harapan bagi yang kecewa, agar semuanya terus memberi sumbangan kepada perjuangan ini. Jazakallah.

5 comments:

Tulang Besi said...

Nak tanya satu soalan:

Adakah semua ulama dalam PAS dikira sebagai "maksum"?

Kalau tidak, ia bererti Kepimpinan Ulama tidak menjamin kepimpinan yang bebas dari kesilapan dan kepincangan.

Sedangkan Ijtihad sendiri pun ada yang betul dan ada yang tidak?

Adakah ini bermaksud kepimpinan ulama itu satu yang wajib dari segi Islam?

Unknown said...

dear tulang besi,

Ulama' bukanlah seorang yang maksum kerana ulama' juga adalah manusia biasa.

Namun ulama' dan kepimpinan ulama' menggunakan ilmu Islam untuk berijtihad dan ruang lingkup ijtihadnya adalah dalam ruang yang penuh dengan mau'idzah Islam.

memanglah ijtihad tersebut ada salah dan betulnya, namun ianya bergantung kepada hujjah yang digunakan. dan ulama' itu sendiri masih lagi memerlukan jamaah untuk memandu diri mereka supaya tidak lari dari batas Islam atau syok sendiri.

Kepimpinan ulama' adalah kepimpinan yang berdasarkan kepada wahyu Allah dan sunnah nabi SAW. Kemudian merujuk kepada qias serta ijma' ulama' yang muktabar. Di dalam PAS, kepimpinan merujuk kepada sumber2 ini bagi membuat sesuatu keputusan, dan bukannya berdasarkan kepada ilmu aqal semata2.

Kepimpinan ulama' sendiri boleh dianggap menggunakan konsep ijma' ulama' dalam sesuatu hal. Kepimpinan ulama' juga bukanlah ulama' muktabar, tapi dengan keberkatan syura jamaei, ianya akan membuahkan satu keputusan yang didalamnya semoga mendapat keberkatan dari Allah walaupun manusia menolaknya.

Kan tangan Allah di atas tangan jamaah. Jamaah yang mana menepati ciri2 jamaah Islam dan di dalam lembayung rahmat Allah. Ianya memerlukan golongan pemimpin yang berpegang teguh pada ilmu Allah dan beramal dengannya, bukannya sekadar strategi semata2 tanpa menggunakan hujjah ilmu sebagai sandarannya

Sama ada kepimpinan Ulama' itu wajib dari segi Islam, itu kena berdasarkan kepada definisi kepimpinan ulama' yang saudara maksudkan. Hukum sama ada wajib atau tidak saya tidak berani katakan kerana ada juga beberapa khalifah yang lampau yang sentiasa membuat maksiat dan juga diperturunkan kepimpinan Islam kepada keturunannya, tiada pula larangan di dalam kes ini. Wallahu a'lam

namun dalam konteks PAS, saya merasakan kepimpinan Ulama' ini wajib dengan mengambil hujjah kepimpinan rasulullah dan kepimpinan khulafa' arrasyidin yang mana mereka semua adalah dari golongan ulama' yang mendalami selok belok agama.

wallahu a'lam

abukhalis said...

salam,

Selain dari bijak mengurus kemenangan, kita yang berada dalam perjuangan juga perlu bijak mengurus kekalahan. (Meskipun pada hakikatnya dalam pertandingan mengisi amanah kepimpinan dalam perjuangan sebenarnya tidak ada yang kalah.) Tidak sedikit sebenarnya di kalangan 'amilin yang dilanda penyakit kecil hati, putus asa, dendam dan dengki, apabila mereka tewas dalam pengundian jawatan. Penyakit ini akhirnya membawa mereka rebah dalam perjuangan. Dalam menangani tragedi seperti ini, jamaah sewajarnya merangka tindakan yang bijak dan proaktif. Hati-hati yang terguris perlu segera diubati dan kerengganan yang terjadi perlu segera dipertautkan kembali. Pertautkan mereka yang tewas dengan jamaah serapat mungkin, kerana pastinya mereka juga mempunyai keupayaan yang akan menguntungkan jamaah. Jangan abaikan kepakaran mereka hanya kerana sedikit khilaf yang sebenarnya diizinkan syara'. Beri peluang untuk mereka terus berpartisipasi dalam jamaah di sudut di mana kemahiran mereka dapat terus dimanfaatkan. Jangan biar mereka menjauh diri dan akhirnya kita seolah gembira bila mereka hilang langsung dari perjuangan. wal Lahhu 'alam.

achoksabah said...

persoalan kepimpinan bukan kah sepatutnya diberikan kepada ahlinya??seperti juga org yg sakit, maka kita akan suruh doktor yg ubati,kalau bangunan engineer yg baiki,kalau masalah agama,kita minta pandangan ustaz..

bagaimana pula dengan masalah kepimpinan???apakah golongan uztaz sahaja yg dikira sebagai ahli yg pakar dalam pimpinan??atau doktor sahaja kah yg layak menjadi pimpinan??ataupun engineer lagi layak???

bagi aku, untuk menjadi seorang pemimpin,perkara paling asas yg perlu adalah adil dan amanah,disamping performance yg baik bukanya sekadar mempunyai degree medic, degree engineer ataupun degree pgajian islam..

Anonymous said...

http://www.facebook.com/pages/Kami-Menyokong-Husam-Sebagai-Timbalan-Presiden-PAS/124793147599520?sk=wall

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive