HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Tuesday, May 5, 2009

PAS Tidak tanding di Penanti

Setelah berlarutan isu apakah PAS akan meletak calon di DUN Penanti setelah menerima desakan dari PAS Penang agar pimpinan PAKATAN kembali mengkaji kedudukan siapa yang berhak ke atas kerusi di DUN tersebut .

Hari ini , Alhamdulillah Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi telah membuat penegasan buat kesekian kalinya bahawa kerusi itu tetap milik PKR dan PAS tidak akan meletakkan calonnya disitu .

Saya sangat memahami apabila Tok Guru Presiden membuat penegasan sedemikian ertinya itu adalah keputusan yang muktamad . Sementara Al Mursyidul Am Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz pula turut menegaskan agar ahli PAS tidak mengganggu kerusi yang menjadi milik PKR .

Cukuplah dengan dua penegasan tersebut , saya mengharapkan semua pihak , terutama PAS Penang bersedia untuk akur kepada keputusan pucuk pimpinan . Mungkin sukar untuk ditelan kerana saya juga percaya dan yakin sahabat - sahabat di Penang mempunyai alasan dan hujjah yang tersendiri untuk memohon dan mendesak agar pimpinan membuat kajian semula kedudukan kerusi tersebut .

Namun , apa yang selalu kita belajar dalam usrah dan juga program - program tarbiyah kita selama ini bahawa ketaatan kita kepada pimpinan ialah dalam keadaan kita suka atau tidak . Sabda Rasulullah saw :

على المرء المسلم السمع و الطاعة فيما أحب و كره ما لم يؤمر بمعصية فإذا أمر بمعصية فلا سمع و لا طاعة

Wajib dengar dan taat bagi setiap individu muslim dalam perkara yang ia suka mahupun tidak [ benci ] selama mana ia tidak diperintah melakukan maksiat , apabila ia diperintah melakukan maksiat maka tiada dengar dan tiada taat .

Riwayat Imam Muslim .


Dengan ini , saya sebagai seorang sahabat merayu agar sahabat - sahabat PAS Penang memahami situasi ini terutamanya rakan - rakan daripada Dewan Pemuda PAS Penang agar menerima dengan lapang dada akan keputusan dan penegasan yang telah dibuat oleh Tuan Guru Presiden parti .

Andai saya juga berada di tempat kalian saya juga akan merasakan kesukarannya tetapi saya yakin ilmu yang saudara miliki akan memandu saudara untuk bertindak sebaiknya . Sebelum ini saya sendiri mencadangkan agar pimpinan terlebih dahulu berbincang dan mendengar penjelasan dari PAS Penang . [ Bahkan saya sendiri juga berhasrat untuk pergi ke Penang tetapi malang buat seminggu dua ini saya agak kesempitan kewangan , namun saya mendoakan agar perkara ini dapat diputuskan dengan baik dan harmoni . ]

Kini pimpinan telah menegaskan keputusan mereka , apa pilihan yang ada kepada kita ialah mentaati mereka . Saya percaya segala apa yang berlaku ini tersimpan sejuta hikmah yang hanya Allah swt Maha Mengetahuinya .

Saya juga yakin , setelah mendengar penegasan Tuan Guru Presiden buat kali yang kedua dan penegasan al Mursyidul Am Tuan Guru Nik Abdul Aziz , sahabat - sahabat Penang sedia akur sebagaimana saya sedia akur dan kita semua akur .

Keputusan yang dibuat oleh Tuan Guru Presiden bukanlah kerana mahu membelakangi suara akar umbi dan ahli di Penang tetapi kerana mengambil kira janji setia kita dengan rakan - rakan Tahaaluf dalam PAKATAN Rakyat .

Kita mendengar suara dari akar umbi namun dalam masa yang sama kita ada perjanjian yang perlu dihormati . Sebagaimana sukarnya ahli menerima maka begitulah sukarnya pimpinan membuat keputusan . Sabarlah semoga Allah swt bersama dengan kita .

Mungkin hari ini , apa yang kita ingin tidak tercapai , asal sahaja kita ikhlas dengan perjuangan Islam ini saya yakin dan percaya Allah swt pasti akan bersama dengan kita .

Teringat saya satu kisah bagaimana selepas peperangan Nabi saw membahagikan harta rampasan secara tidak sama rata kepada para sahabat . Sahabat dar Makkah dapat banyak berlipat ganda sementara sahabat dari madinah hanya sedikit ada yang tidak mendapat apa - apa . Timbul rasa tidak puas hati dan mempertikaikan cara Nabi membuat keputusan dalam pembahagian sedang itu hak mereka .

Lalu Nabi saw kata : mereka dapat harta lalu pulang ke Makkah sedang kamu pulang dengan tangan kosong tetapi aku bersama kamu , Sekarang , mana yang kamu mahu ? lalu sahabat tertunduk dan redha , walau mereka tidak dapat apa yang mereka mahu walau itu hak mereka tetapi mereka dapat Nabi saw dan tiada yang lebih besar daripada itu .

Hari ini , Nabi saw telah tiada , maka para ulama' adalah pewaris Nabi saw. Sahabatku , marilah kita bersama dengan Tuan Guru Presiden biarpun keputusannya dirasakan sukar buat kita . Saya percaya begitulah pula sukar Tuan Guru Presiden sebagai pimpinan dan juga sebagai bapa kepada kita semua , mahu membuat keputusan .

Ketika saya menghubungi setiausaha politik Tuan Guru Presiden sebentar tadi , beliau menjelaskan bahawa asas utama penegasan Tuan Guru Presiden tersebut ialah semangat Tahaaluf dan setia kepada janji . Perkukuhkan PAKATAN Rakyat tetap menjadi agendanya sementara Tahaaluf masih terpakai .

Petang tadi , saudara Zulfikar [ setiausaha Angkatan Muda Keadilan ] telah menghubungi saya untuk menetapkan satu tarikh pelancaran jentera Pemuda PAKATAN di DUN Penanti . Insyaallah saya akan berikan komitmen untuk sama - sama turun membantu jentera PAKATAN bagi mengalahkan UMNO dan BN jika sekiranya mereka meletakkan calon .

Semoga Allah merestui perjuangan kita dan segala kekhilafan terungkai dengan semangat dan akhlak Islami yang tinggi dikalangan kita . Saya jua mendoakan agar sahabat - sahabat Pemuda PAS Penang akan terus menjadi pemangkin suara Islam di Penang berasaskan kewibawaan dan keikhlasan mereka buat perjuangan ini .
Post a Comment

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 018 590 8890
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Follow by Email

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive