HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Tuesday, May 5, 2009

Hala Tuju PAS. vol 1

Apabila kita bercakap mengenai hala tuju PAS selayaknya kita melihat terlebih dahulu matlamat, objektif, misi, visi dan manhaj perjuangan yang digerakkan oleh PAS. Namun begitu, sebelum saya membawa sahabat semua jauh ke dasar dalam membincangkan hala tuju PAS ini, apakah ianya satu hala tuju yang baik, terang, nyata serta tidak meragukan atau sebaliknya, hala tuju yang pudar, kabur lagi meragukan. Maka terlebih dahulu saya menjelaskan bagaimana kedudukan diri saya dalam isu ini.

Harap sahabat dapat bersabar meneliti perbahasan yang mungkin sampai kepada lima siri atau lebih [ Hala Tuju PAS vol (1) - (2) - (3) - (4) - (5)... ], kerana saya tidak mahu menulis terlalu panjang untuk satu-satu posting di samping saya juga berdepan dengan kekangan waktu yang telah dianyam dengan pelbagai aktiviti dakwah dan jihad yang lain.

Manhaj Pemikiranku

Apabila saya menegur dan mengkritik bukan saja saya mesti bersedia untuk menerima respon balas (dalam bentuk penghujahan positif atau negatif) dari pihak yang dikritik, tetapi juga saya mestilah jujur dan benar dalam teguran dan kritikan yang dilontarkan. Malah saya jua mesti terikat dengan etika mengkritik sekalipun berhadapan dengan kemungkinan hujjah balas yang tidak beretika dan berdisiplin.

Ia tidaklah bermakna hanya saya yang benar. Berkemungkinan besar saya salah dan silap dalam mengemukakan pandangan dan setiap kali saya berbeza pendapat dengan pihak lain, apa yang saya harapkan agar Allah menunjuk jalan-Nya yang benar.

Inilah prinsip yang akan terus saya "genggam" bersama sedikit nikmat ilmu anugerah Allah.

Tidak senang sebenarnya untuk mengkritik, justeru kritikan adalah melahirkan rasa tidak setuju terhadap pihak lain yang berkemungkinan boleh mengguris perasaannya dan mungkin juga boleh mengendurkan tali persahabatan yang telah lama terjalin.

Namun begitu, selamanya saya tidak boleh berdiam diri terhadap suatu yang saya tidak bersetuju dengannya. Terutama dalam perkara yang melibatkan penyelewengan fakta, kekeliruan maklumat, tuduhan tanpa bukti, fitnah tanpa asas dan keangkuhan yang berpanjangan.

Lantaran itu, sebagaimana saya mesti tabah, terbuka dan berhati-hati dalam menatah kalimah bernada kritikan, saya juga sangat mengharapkan pihak lain (yang dikritik) tidak cepat melatah, berjiwa besar, jujur dalam menilai dan apa yang paling penting ialah, tidak menganggap kritikan itu sebagai satu peluru yang membunuh nilai persahabatan dan juga nilai keintelektualan atau kesarjanaan.

Saya percaya jika yang dikritik itu bertaraf sarjana, sebagaimana ia tidak mudah tewas hujjah begitulah seharusnya ia tidak mudah terpengaruh dengan elemen-elemen yang mengheretnya ke medan pergaduhan atau perbalahan yang menimbulkan rasa benci di hati dan kecewa di jiwa.

Sebaliknya ia mestilah sangat menghormati kritikan dan pandangan pihak lain biarpun ia menganggap kritikan itu hanyalah hujah picisan atau pandangan yang dangkal (sebab kita boleh tidak menerimanya), justeru menghormati pandangan dan kritikan pihak lain adalah suatu sikap terpuji dan selayaknya itulah penampilan seorang sarjana.
الذين يستمعون القول فيتبعون أحسنةأولئك الذين هدا هم الله و أولئك هم أولوا الألباب
Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan Yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan Yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang Yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang Yang berakal sempurna. - Surah az Zumar: Ayat 18

Sikap tidak menghormati hujjah dan kritikan pihak lain hanya mempamerkan keangkuhan dan keegoan diri yang mungkin "teruja" dengan pencapaian ilmunya atau anugerah kesarjanaannya. Soalnya, apakah hujjah dari pihak kita sahaja menepati ciri-ciri ilmiyyah sedang hujjah dari pihak lain dinilai picisan biarpun sarat dengan hujjah dan dalil ?

Saya suka membawa pendekatan para sarjana agong dalam sejarah peradaban Islam. Ternyata mereka sangat tinggi disiplin dalam menangani khilaf dalam apa jua isu, terutama dalam isu-isu yang tidak menjejaskan aqidah.

Ilmu dan tawadhu' (merendah diri) menjadi asas disiplin tersebut disamping mereka mengetengahkan adab-adab ikhtilaf yang cukup wibawa dan berkualiti.

Lihat sahaja bagaimana imam-imam mazhab mengendalikan khilaf dikalangan mereka. Biarpun mereka menafikan sekeras-kerasnya hujjah pihak lain, tidak sedikit pun mencalarkan penghormatannya terhadap orang yang mereka kritik apatah lagi meremehkan hujjah pihak lain. Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata terhadap imam As-Syafii;
كانَ أفْقَهُ النَّاسُ فِىْ كِتابِ اللهِ وَ سُنَّةِ رَسُوْلِهِ
Beliau (Imam As-Syafii) adalah manusia yang paling faqih (paling faham) tentang Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya [Lihat : Tarikh at-Tasyri’ al-Islami. hlmn 312. Karangan As-Subki, As-Sais dan Al-Barbari, di ta’liq oleh Dr ‘Alauddin Za’tari]

Imam Ahmad bin Hanbal juga ada menyebut;
ما عرفتُ ناسِخَ اْلحَدِيْثِ مِنْ مَنْسُوْخِهِ حَتَّى جَالَسْتُ الشَّافِعِى
Aku tidak mengetahui nasikh hadis daripada mansukhnya melainkan aku duduk bersama as-Syafii. [Lihat : Tarikh at-Tasyri’ al-Islami. hlmn 312. Karangan As-Subki, As-Sais dan Al-Barbari, di ta’liq oleh Dr ‘Alauddin Za’tari]

Mereka berkhilaf di atas pentas ilmu yang dihiasi dengan keikhlasan dan ketaqwaan bukan semangat menegakkan benang basah dan bersikap prejudis terhadap pihak lain. Wajarnya disiplin mereka dalam menangani medan perbahasan dan penghujjahan ini diterima pakai dalam setiap pertikaian antara kita dewasa kini.

Saya akur, bahawa khilaf tidak mungkin boleh dihapuskan. Terlalu banyak punca dan sebab yang menghela ke arah khilaf. Perbedaan latar belakang menuntut ilmu sudah cukup meletakkan para ilmuan ini berkhilaf antara mereka. Tahap pencapaian ilmu, perbedaan manhaj dan method, jurang usia, perbedaan zuruf (suasana), perbedaan kefahaman dan (maslahah) kepentingan turut menjadi penyumbang penting berlakunya khilaf.

Kita tidak perlu sempit dada dan sesak nafas dengan fenomena ini. Ianya sihat malah terlalu sihat andainya para ilmuan Islam ini dapat menanganinya dengan disiplin khilaf yang tinggi dan baik.

Manhaj Perjuanganku

Sepanjang saya melibatkan diri dengan Parti Islam SeMalaysia PAS, bersama pengalaman gerak kerjanya mendepani segala cabaran dan isu ummah menjadikan saya sangat sayang terhadap perjuangan islam yang suci ini.

Walaupun PAS adalah sebuah parti politik, pada saya ia adalah sebuah gerakan Islam yang melaksanakan tanggungjawab kearah mendaulatkan syariah Ilahi di atas tanahair ini. Justeru itu, hingga saat ini saya tidak pernah merasakan saya orang politik.

Sebaliknya saya hanya seorang anggota sebuah gerakan Islam yang menjalankan tugas untuk mendaulatkan syariat Allah, memartabatkan ummah, berdakwah memahamkan masyarakat dan gerakkerja politik adalah sebahagian dari tugas yang wajib saya laksanakan.

Dasar perjuangan PAS sangat jelas, segalanya untuk Islam. Saya antara yang diamanahkan untuk memimpin dan mentarbiyyah anggota parti, bukan sahaja bertanggungjawab ke atasnya tetapi sangat masak terhadap perjalanan parti ini.

Modul dan manhaj yang digunakan adalah untuk melahirkan anggota atau jundi yang ikhlas berjuang dan faham tanggungjawab serta amanah melaksanakan tugas sebagai pejuang islam atau ansarullah.

Saya sangat pasti akan ketulenan sumber dan keaslian maraji’ (tempat dan bahan rujuk) perjuangan Islam bersama PAS yang saya dokong ini bahawa ia bersih dari segala penyimpangan aqidah dan penyelewengan fikrah yang membawanya keluar dari manhaj ahli Sunnah wal Jamaah.

Saya tidak dapat nafikan, dalam jumlah keanggotaan yang mencecah setengah juta ahli, tentu sahaja ada anggota parti yang “kebal tarbiyyah” dan “tidak makan saman”, namun mereka masih menjalani proses pengambilan skema tarbiyyah secara berperingkat. Biarpun tidak secara rasmi, tetapi ia akan banyak mempelajari selok belok perjuangan melalui keistiqamahannya bersama perjuangan ini.

PAS sangat tegas terhadap sebarang penyelewengan dan penyimpangan yang merosakkan prinsip perjuangan Islam dokongannya. Pemimpin atau ahli parti yang terlibat akan dikenakan tindakan melalui proses tata tertib dan disiplin parti.

Lantaran itu, bukti sangat diperlukan dalam apa jua tuduhan dan prasangka bahawa PAS dan anggotanya menyeleweng dari perjuangan Islam dan manhaj ahli sunnah wal jamaah. Sebagai contoh, tuduhan atau tanggapan bahawa hala tuju PAS tidak jelas dan meragukan . Melemparkan tanggapan negatif dan memasang prasangka tanpa asas bukti adalah suatu yang sangat mengecewakan dan pasti mengguris perasaan saya.

Apalagi menuduh PAS akan bersekongkol dengan UMNO dan BN atau menuduh Dato' Seri Tuan Guru Presiden mengadakan hubungan sulit dan ingin membawa PAS masuk UMNO. Secara prinsipnya saya melihat tuduhan itu sangat tidak benar dan tidak pula mempunyai asas kecuali dilihat sebagai “melepas geram” terhadap kepimpinan Dato' Seri Tuan Guru Presiden.

Persoalannya, apakah wajar rasa tidak senang umum terhadap individu dalam parti lalu menjustifikasikan parti. Boleh menuduh, tetapi disiplinnya menuntut bukti dan saksi.

Nasihat saya untuk diri saya dan buat rakan-rakan seperjuangan jua mereka yang memimpin saya dalam parti ini agar konsistan dengan amal Islami bersama akhlak murni yang menjadi asas keperibadian seorang pejuang.

Kita pejuang bukan pemberontak. Kita pendakwah bukan penghukum. Responsif terhadap isu ummah tetapi tidak melatah terhadap provokasi pihak yang tidak bertanggungjawab. Hulurkan tangan “membimbing” biarpun lidah tegas menentang dan menegur kezaliman. Yang hak dikata hak dan yang batil dikata batil.

Sampaikan salam perjuangan dan persahabatan kita buat madu’u serta bukalah pintu enggagement kita buat semua. Namun pintu harus ditutup buat pengkhianat yang mengkhianati perjuangan suci ini. Tegurlah saya andai saya silap, bimbinglah saya andai saya tersasar dan bantulah saya andai saya benar. Apa yang saya cari, ialah damai buat ummat ini.
Post a Comment

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 018 590 8890
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Follow by Email

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive