HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Thursday, December 2, 2010

PM dan TPM : Menurut Perspektif Islam

Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri
Menurut Perspektif Islam
Muqaddimah
                Malaysia yang kita kenali merupakan sebuah negara yang mengangkat Islam sebagai agama rasminya sekaligus mengertikannya sebagai sebuah negara ummat Islam. Bermula dari zaman Kesultanan Melayu Melaka sehingga kini, Islam masih menjadi tunggak asas walaupun imejnya masih samar-samar dewasa ini. Selepas penjajahan Barat ke atas Tanah Melayu, struktur kepimpinan dalam negara berubah secara total. Dahulunya, kuasa Sultan adalah yang utama di dalam negara pemerintahannya. Kini, kuasa Sultan dihadkan dalam hal ehwal yang berkait dengan soal-soal keagamaan sahaja. Adapun kuasa-kuasa yang melibatkan hal ehwal pengurusan negara diserahkan kepada Jemaah Menteri untuk menguruskannya. 

Rentetan dari itu, ketua yang mengepalai Jemaah Menteri juga mestilah individu yang Islam agamanya dan mengetahui hal ehwal agama. Di dalam Islam sendiri, perbahasan Wazir al-Tanfiz dan Wazir al-Tafwidh telah dijelaskan oleh ulamak-ulamak secara panjang lebar. Oleh kerana Malaysia adalah sebuah negara yang berpaksikan kepada Islam maka agama pemerintahnya juga mestilah Islam. Bagaimana seseorang Islam boleh menyerahkan urusan pemerintahannya kepada seorang yang bukan dari agama Islam. ? Firman Allah swt di dalam Surah Ali ‘Imran ayat 28

لا يَتَّخِذْ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَلَيْسَ مِنْ اللَّهِ فِي شَيْءٍ إِلاَّ أَنْ تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً وَيُحَذِّرُكُمْ اللَّهُ نَفْسَهُ وَإِلَى اللَّهِ الْمَصِيرُ

“ Janganlah orang-orang Yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat Dengan meninggalkan orang-orang Yang beriman. dan sesiapa Yang melakukan (larangan) Yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah Dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya Yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan dirinya (menyeksa kamu). dan kepada Allah jualah tempat kembali.”

Sesungguhnya nas ini tersangatlah jelas buat umat Islam yang hidup di dalam sebuah negara Islam untuk tidak menyerahkan urusan kehidupannya kepada seorang yang tidak beriman dengan Allah swt.

Wizarah al-Tafwidh dan Wazirah al-Tanfiz

Umumnya di dalam sistem pemerintahan Islam, kedua-dua jenis kementerian ini amat terkenal sehingga ianya dibahaskan di dalam kitab-kitab feqh yang besar. Terlebih dahulu, kita perlu mengenali apakah dia definisi bagi kedua-dua kementerian ini supaya kita dapat mengqiaskannya di dalam negara kita.

1-      Wizarah al-Tafwidh

Ia juga dikenali dengan nama معون التفويض atau وزراء التفويض atau سلطة القضائية . Ianya bermaksud individu yang diangkat oleh Khalifah supaya menjadi pembantu kepada Khalifah untuk membantunya dalam mengembang tanggungjawab dan melaksanakan tugas-tugas pemerintahan. Mereka yang dipilih oleh Khalifah di dalam wizarah ini berpeluang menguruskan dan melaksanakan urusannya menurut pendapatnya atau ijtihad dirinya. Dengan kata lain, Khalifah telah memberinya bidang kuasa secara umum dan juga kedudukan untuk mewakili Khalifah.Sabda Nabi saw menurut riwayat Imam al-Tarmizi ra yang berbunyi

عن أبي سعيد الخدري قال: قال رسول الله - صلى الله عليه وسلم-: (ما من نبي إلا له وزيران من أهل السماء ووزيرين من أهل الأرض، فأما وزيراي من أهل السماء فجبريل وميكائيل، وأما وزيراي من أهل الأرض فأبو بكر وعمر)[1]

Daripada Abi Sa’id al-Khudri ra berkata : Telah bersabda Rasulullah saw “ Tiadalah daripada para nabi melainkan bagi diri mereka itu dua orang pembantu daripada penghuni langit dan dua pembantu daripada penghuni bumi, adapun pembantuku daripada penghuni langit adalah Jibril as dan Mikail as, dan adapun pembantuku daripada penghuni bumi adalah Abu Bakar ra dan Umar ra “.
Perkataan wazir dalam hadis ini adalah bermakna pembantu dan penolong. Ia bersifat mutlak dan mencakupi semua bentuk bantuan dan pertolongan dalam semua urusan. Dari hadis ini juga dapat difahami bahawa (bilangan) mu’awin boleh lebih dari seorang.

Saidina Abu Bakar ra setelah diangkat sebagai Khalifah, juga telah mengangkat Saidina Umar al-Khattab ra sebagai wazirnya di mana peranan Saidina Umar ra sebagai wazir sangat menonjol. Setelah Saidina Umar ra dilantik dan memegang jawatan Khalifah, Saidina ‘Uthman bin Affan ra dan Saidina Ali bin Abi Thalib ra menjadi dua orang mu’awinnya. Begitu jualah yang berlaku kepada khalifah-khalifah selepasnya. Saidatina Aishah ra pernah mengatakan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda :

عن عائشة  قالت : قال رسول الله - صلى الله عليه وسلم - : إذا أراد الله بالأمير خيرا ; جعل له وزير صدق إن نسي ذكره ، وإن ذكر أعانه ، وإذا أراد به غير ذلك ، جعل له وزير سوء ; إن نسي لم يذكره ، وإن ذكر لم يعنه[2]

Daripada Saidatina A’isyah ra berkata : Telah bersabda Rasulullah saw “Jika Allah menghendaki kebaikan terhadap seorang amir (Imam/Khalifah), Allah akan jadikan baginya seorang pembantu (wazir) yang jujur dan benar; jika ia lupa wazir itu akan mengingatkannya, dan jika ia ingat, wazir itu akan membantunya. Jika Allah menghendaki terhadap amir itu selain yang demikian, Allah akan jadikan baginya wazir yang jahat/buruk; jika ia lupa wazir itu tidak akan mengingatkannya, dan jika ia ingat, wazir itu tidak akan membantunya”.
2-       
Wizarah al-Tanfiz

Ia juga boleh disebut dengan معون التنفيذ ataupun سلطة التنفيذية  yang bermaksud pembantu yang dilantik oleh Khalifah untuk urusan-urusan pentadbiran. Ianya berfungsi untuk menghubungkan Khalifah dengan struktur dan sistem dalaman negara. Selain itu, ia juga berfungsi untuk menghubungkan Khalifah dengan rakyat dan juga negara luar. Kementerian ini bertanggungjawab untuk membawa polisi Khalifah dan juga membawa informasi daripada rakyat kepada Khalifah.

Wazir al-tanfiz diangkat sebagai pembantu Khalifah dalam hal pelaksanaan dan jua pelbagai urusan. Tugasnya hanyalah tugas administrasi, bukan tugas pemerintahan. Jabatannya merupakan lembaga pelaksana yang melaksanakan pelbagai polisi yang dikeluarkan oleh Khalifah kepada instansi-instansi (perwakilan) dalam negeri dan juga luar negeri, di samping menyampaikan informasi dari berbagai-bagai instansi tersebut kepada Khalifah

Dalam bidang seperti di atas kuasa bagi Wazir al-Tanfiz adalah terbatas dan dikehendaki merujuk kepada khalifah sebagai penentu dasar. Sekiranya di dalam wazir al-Tafwidh diberikan hak di dalam urusan pemerintahan dan boleh menguruskan dengan bergantung kepada pandangan dan keputusan dari dirinya maka, wazir al-Tanfiz pula adalah satu jawatan yang ruang kerjanya lebih kecil dan dia hanya bertindak dengan apa yang telah diputuskan oleh Khalifah.

Siapa Perdana Menteri

Kita melihat bahawasanya Perdana Menteri seolah-olah tenaga utama yang menggerakkan bahtera pentadbiran di dalam negara kita. Akan tetapi, apa yang kita lihat bukanlah realitis sehingga kita boleh mengqiaskan Perdana Menteri itu sebagai Khalifah. Sekiranya, terdapat golongan yang mengatakan Perdana Menteri Malaysia itu umpama Khalifah maka, ketahuilah bahawasanya syarat bagi khalifah itu adalah Islam.
Menurut saya, Perdana Menteri umpama wazir al-Tafwidh yang menjalankan urusan kepimpinan oleh Ketua Negara iaitu Yang di Pertuan Agong. Kita dapat lihat di sini, Perdana Menteri boleh bertindak dengan keputusan yang dibuat oleh dirinya tanpa merujuk kepada Sultan di dalam urusan pentadbirannya. Jadi, sekiranya Perdana Menteri itu adalah wazir al-Tafwidh maka timbul pertanyaan di dalam diri kita iaitu; Adakah disyaratkan untuk memegang wazir al-Tafwidh  itu mestilah dia seorang Muslim ?.

Syarat-syarat melantik wazir al-Tafwidh

Imam al-Mawardi[3] menetapkan antara syarat-syarat yang perlu untuk melantik seseorang di dalam jawatan ini mestilah dia :
1-     
Islam
2-      Baligh
3-      Beraqal
4-      Merdeka
5-      Lelaki
6-      Adil
7-      Mestilah dia orang yang mengetahui hukum-hukum syara’ dan usul feqh
8-      Sihat dan sejahtera tubuh badan

Sebagai maklumat tambahan, syarat- syarat di atas merupakan syarat-syarat yang disepakati dan tiada khilaf padanya di dalam wizarah al-Tafwidh walaupun terdapat sedikit perbincangan yang dibincangkan oleh para ulamak dan rasanya ianya tidak perlu untuk diperbahaskan di sini kerana takut ianya akan lebih terperinci sehingga menjadi panjang penulisan ini. Fokus utama di dalam wazir ini adalah Islam yang menjadi syarat pertama dan juga yang terutama.

Adapun di dalam wizarah al-Tanfiz, syarat-syarat yang diperbincangkan oleh ulamak tidaklah sama dengan syarat di dalam wizarah al-Tafwidh. Di dalam wizarah al-Tanfiz, perempuan dan orang bukan Islam boleh memegang jawatan tersebut. Ini kerana ianya adalah melibatkan pentadbiran bukannya bertugas selaku pemerintah. Adapun syarat yang ditetapkan oleh para ulamak untuk wizarah al-Tanfiz adalah seperti berikut:

1-      . Amanah, supaya dia tidak mengkhianati amanah dan tanggungjawab yang diberi.
2-     .  Jujur tidak berbohong , supaya dipercayai apa yaug hendak disampai dan dilaksanakan,
3-      . Tidak tamak, supaya tidak melakukan rasuah, dan pecahamanah,
4-      . Tidak ada hubungan buruk atau permusuhan dengan orang ramai, supaya apa yang hendak dilaksanakan      dapat diterima oleh rakyat.
5-      . Bijak dan pintar, marnpu memahami realiti dan keutamaan sesuatu perkara sebelum dilaksanakan.
6-     .  Tidak mengikut hawa nafsu, supaya tidak ditukar kebenaran dengan kebatilan.
7-      . Lelaki, kerana dianya bertanggungjawab secara langsung kepada khalifah (seorang lelaki), dan layak menjadi saksi kepada khalifah dalam laporannya.
8-      . Berpengalaman, supaya melakukan sesuatu berasaskan realiti dan penilaian yang teliti tentang kesan-kesan baik dan buruk terhadap sesuatu perkara.

Di sini saya ingin menjelaskan bahawasanya Islam tidak menjadi syarat untuk jawatan ini. Perlantikan wanita juga tidak berlaku masalah kerana padanya ada pendapat yang membenarkan wanita untuk memegang jawatan di dalam wizarah ini.

Rasional Perdana Menteri mestilah seorang Muslim

Diwujudkan sistem al-Sultah al-Qadhaiyyah di dalam Islam adalah bertujuan untuk menjalankan hukum-hukum syara’ dan meperincikan ceraian-ceraiannya di atas muka bumi ini. Selain itu, ianya adalah supaya denda-denda atau hukuman-hukuman yang disepakati di dalam Islam boleh direalisasikan.
Justeru, disediakan oleh Islam syarat-syarat asas yang utama dan tertentu di dalam Kementerian ini. Oleh kerana, kementerian ini merupakan satu bidang tugas yang besar maka Islam memandang ia sebagai satu tanggungjawab yang besar sehingga syarat-syaratnya juga khusus dan menghimpunkan motif kementerian ini iaitu memastikan hukum Allah swt tertegak di dalam wilayah pemerintahan Islam.

Menurut Ibnu Khaldun[4] Khalifah pertama yang menggunakan sistem ini adalah Saidina Umar ra berikutan meluasnya wilayah Islam dan perlunya ada wakil khalifah lagi mujtahid sebagai sumber rujukan di dalam wilayah-wilayah tersebut.

Oleh kerana motif daripada wizarah al-Tafwidh ini adalah berkaitan dengan menegakkan hukum Allah swt, bagaimana pula diharapkan oleh umat Islam orang bukan Islam yang menjadi pemimpin di dalam urusan ini ?. Bahkan perlu kita tahu bahawasanya Islam telah melarang keras perlantikan orang bukan Islam sebagai pemerintah bagi orang Islam di dalam urusan mereka sendiri (urusan orang Islam).

Dalil dari al-Quran

wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang Yang bukan dari kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. mereka sukakan apa Yang menyusahkan kamu. telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa Yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.
Surah Ali ‘Imran ayat 118 -     
Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat Dengan meninggalkan orang-orang Yang beriman. Adakah kamu hendak mengadakan alasan Yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu?
Surah al-Nisaa’ ayat 144

Janganlah orang-orang Yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat Dengan meninggalkan orang-orang Yang beriman. dan sesiapa Yang melakukan (larangan) Yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah Dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya Yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan dirinya (menyeksa kamu). dan kepada Allah jualah tempat kembali.
Surah Ali ‘Imran ayat 28

Dalil Hadith

Nabi saw pernah bersabda dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud:

”Sekiranya amanah itu disia-siakan, maka tunggulah kehancuran”. Lalu para sahabat baginda bertanya tentang bagaimanakah yang dikatakan bahawa amanah itu disia-siakan? Lalu nabi saw menjawab: ”(Amanah itu disia-siakan) apabila kamu menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang tidak layak memikulnya, maka tunggulah akan kehancuran!”.

Dalam hadis nabi saw yang lain yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, baginda bersabda yang bermaksud:

”Setiap kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab kepada setiap perkara yang berada di bawah kepimpinan kamu, seorang imam (pemerintah) merupakan pemimpin, maka dia bertanggungjawab kepada sesiapa pun yang berada di bawah kepimpinannya…”.

Kesimpulan

Larangan-larang tersebut jelas melarang Umat Islam mengambil orang bukan Islam sebagai pemimpin di dalam urusannya secara umum. Ketahuilah bahwasanya dengan melantik orang bukan Islam sebagai Perdana Menteri atau timbalannya seolah-olah menyerahkan urusan umat Islam kepada orang yang bukan daripada umat Islam.

Simbol pemerintahan Islam turut digadaikan dengan perlantikan orang bukan Islam sebagai pemimpin utama Negara Malaysia. Kita tidak menolak sekiranya kedapatan orang Islam dari bangsa lain yang menjadi Perdana Menteri atau timbalannya akan tetapi syaratnya mestilah dia Islam. Ini kerana di dalam Islam itu sudah lengkap dan tiada yang lebih tinggi melainkan Islam.

Nasrudin bin Hassan at Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia .


[1] Sahih al-Tarmizi 5/579 cetakan دار الكتب العلمية. Adapun riwayat yang datang daripada al-Hakim dengan isnad yang sahih menurutnya berbunyi :
وعن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه قال: قال رسول الله - صلى الله عليه وسلم-: (وزيراي من السماء جبريل وميكائيل ومن أهل الأرض أبوبكر وعمر)
[2] Hadith Riwayat Imam Ahmad dan Imam al-Nasaie. Kitab مرقاة المفاتيح شرح مشكاة المصابيح di dalam كتاب الإمارة والقضاء hadith 3707.
[3] الأحكام السلطانية karya Imam al-Mawardi ra halaman 88
[4] مقدمة ابن خلدون 2/567

15 comments:

Anonymous said...

Tok Guru Nik Aziz kata boleh lantik Lim Kit Siang sgb TPM? Takkan Tok Guru tak tau kut nas-nas Al-Qur'an dan Hadith?

Shabab said...

Assalamualaikum ustaz..
saya ada sedikit pembetulan untuk dibuat pada artikel ustaz ni..

Bagaimana seseorang Islam boleh menyerahkan urusan pemerintahannya kepada seorang yang bukan dari agama Islam.

Untuk ayat ini,ustaz perlu letak tanda soal'?'..

"Bagaimana seseorang Islam boleh menyerahkan urusan pemerintahannya kepada seorang yang bukan dari agama Islam?"

jika tidak,seperti macam ayat tu mengiakan bahawa boleh seseorang non-muslim pegang pemerintahan..
takut nanti ada salah faham kepada pembaca..

terima kasih ustaz..

tungkaran hati said...

Perjuangan PAS lebih bermaruah tanpa PKR dan DAP.
Keujudan PAS dalam PR hanya sebagai Babi tunggangan sahaja.
Tak percaya? Tanyalah sama Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

Anonymous said...

bising bising pasal jawatan

hakikatnya belum kemana lagi.

berdakwah pun tidak

berpolitik pulak pendek pandangan

apa nak jadi dgn PAS.

Anonymous said...

Siasah apa ni?

mamat said...

Penang macam mana?. Yang Pas sokong pasal apa?

Anonymous said...

perhatian kpd anonymous kt atas tu, baca n paham betul2 apa yang ditulis oleh ust din di atas sebelum membidas k.. baca dgn niat inginkan ilmu bukan nak cari kesalahan.. ikhlaskan niat..

tok malim said...

Isu pokok ketika ini ialah kenaikan harga barang sedangkan isu ketuanan melayu dan siapa tpm boleh dianggap mainan media.
janganlah kita terlalu mengikut rentak yang dimainkan media sekalipun hujah kita benar tapi penerimaan orang ramai belum tentu senada dengan kita.
kita semua tahu parti yang banyak menang kerusi parlimen layak dapat jawatan pm atau tm
x sepatutnya kita berbicara soal siapa jadi pm atau tpm sedangkan pru belum bermula
elok ditumpukan kepada gerakerja parti
jika x diperhalusi dibimbangi kita kehilangan undi bukan melayu

PejuangPas said...

Tok guru kata kalu lim kit siang masuk Islam..jgn belit fakta nnti terbelit lidah tu nnti..

wahai org2 totok umno..sudah2 le dalm kejahilan sekular..umno dah nk ranap,sbb tu main isu tpm..pastu PM nya sape?

dah tentu pakatan rakyat jugak..korgg ni bukn bolh tgk Islam dijulang tinggi tapi permainkn Islam dan hina Islam tapi mengku Islam..

boleh pakai ka org mcm ni???

Anonymous said...

Ustaz Din Tantawi;
Di Sudan Timbalan Presiden negara itu beragama kristian sedangkan negara Sudan merupakan sebuah negara Islam yang menetapkan perundangan syariat Islam secara syumul. Cuba fikir masalah ini....

Anonymous said...

to anonymous..
kat sudan tu takpe la tpm dia kristian sbb negara dia sudah menetapkan perundangan syariat Islam secara syumul.pusing kot mana pon keputusan pentadbiran tetap berlandas islam.tapi di negara kita perundangan islam bukan perundangan dasar bagi negara..jadi kalu tpm @ pm bukan islam, maka kemungkinan keputusan dalam urusan pentadbiran tidak akan berlandas islam..tu yang bahaya!ada faham?? (awangganu)

WUZARA said...

Salam...

Ayat-ayat yang dikemukan, ada yang sebijik saya baca dari penulisan Hizbut Tahrir sebelum ini. Tetapi pandangan HT, wazir adalah pembantu kepada khalifah.

Soalan saya, pandangan yang mengkiaskan wazir tafwidh dan wazir tanfidz kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ini adakah pandangan peribadi Ustaz sendiri atau Pandangan rasmi PAS?

Minta diperjelaskan.

nas said...

Mungkin tak perlu ditekankan/fokus kepada Islamnya seseorang itu untuk jadi PM atau TPM

Sebab zaman sekarang ini, pemimpin yang beragama Islam dilihat sebagai zalim

Elok ditekankan pendapat ulamak tentang PM atau TPM perlu kepada seseorang yang adil dan menjaga kebajikan rakyat

Tiada guna jika PM itu Islam tetapi zalim, korupsi dsb

Lebih baik sokong non-Muslim yang dengar dan ikut nilai-nilai Islam yang universal

Sekadar memberi pandangan, tidak menolak satu pun hukum/artikel ustaz ini

WUZARA said...

Kedua jawatan Wazir Tafwidh dan Wazir Tanfidz adalah merupakan aqad wikalah yang diserahkan oleh Khalifah. Khalifah pula mendapat kuasa yang sah di sisi syara' melalui bai'at. Sedangkan, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri adalah aqad pekerjaan yang dipilih dari parti yang memenangi pilihanraya. Skop kuasa kementerian sama sekali berbeza dengan bidang kuasa Wazir yang mendapat kuasa secara wikalah. Ia sama sekali berbeza. Ini jelas adalah penyelewengan hukum syara' yang wajar diperbetul, ia sungguh mendukacitakan.

bukan bodoh said...

bodoh ketua pemuda pas ini. idea tak universal langsung. katakanlah 55% rakyat malaysia bukan islam, dan mereka nak lantik bukan islam sbg PM, maka apa PAS nak kata?

kalau nak bagi idea tuh, tengok realitilah. Malaysia ini 60& muslim. tapi Islam yang muslim amalkan mungkin 10% saja. islam bukan pada kuantiti, tapi pada kualiti. jadi sesiapa yg jadi PM pun tak kesah, asalkan semangat universal Islam terus tersemi.

elok Nasrudin pergi ngaji agama balik aah!

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive