HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Tuesday, May 28, 2013

Mengurus dan Menangani Kritikan

Ramai pihak termasuk wartawan menghubungi saya untuk mendapatkan pandangan saya mengenai kritikan yang dilemparkan kepada PAS mutaakhir ini, khasnya kepada batang tubuh Presidennya. Saya dimaklumkan berlaku berbalas kenyataan dan kononnya ini adalah “tunas perpecahan” yang sedang menimpa Pakatan Rakyat. Sedang realitinya ini bukanlah polemik yang pertama kali berlaku kepada PAS yang telah berusia lebih separuh abad. Malah sering berlaku kepada Pakatan Rakyat sepanjang usianya.

Sejarah membuktikan tidak semestinya yang dikritik itu salah lalu ia wajib memenjarakan lidah dan mulutnya dari menjawab balas kritikan tersebut, sebagaimana pengkritik tidak selamanya benar sehingga ia bebas melemparkan kritikan sesedap rasa pada semua orang, keadaan dan masa.

Asasnya, sebagai sebuah Gerakan Islam, kami sentiasa terbuka dan sedia untuk dikritik dan diaudit serta meletakkan kami pada situasi sebagaimana yang diajar oleh Allah iaitu bersedia mendengar apa jua perkataan lalu mengikut apa yang terbaik daripadanya.

Namun terbuka dan bersedia menerima kritikan bukan bermakna kami mesti diam membatu atau bungkam membisu dalam menerima kritikan tersebut. Memberi jawab balas, menangkis serta membuat pencerahan semula terhadap kritikan adalah sebahagian dari kaedah mengurus dan menangani kritikan yang normal dan dibenarkan sebagaimana uslub biasa digunakan oleh al-Quran al-Karim sewaktu menjawab kritikan pelbagai pihak terhadap Islam dan syariat yang dibawa oleh Rasul utusan Allah.
Ramai menyangka maksud menerima kritikan ialah “zip” mulut dan mendengar apa jua hamburan kata yang ditujukan kepadanya sehingga kadangkala kita boleh dianggap dungu dan naif. Pada saya itu adalah satu keadaan yang boleh dipilih, sementara menjawab serta menangkis kritikan pula satu keadaan lain yang dibenarkan malah tidak menghilangkan rasa hormat kita kepada pihak pengkritik. Bahkan keadaan kedua ini lebih menarik untuk mencetus pencerahan dan percambahan fikir kiranya ia diurus dan ditanggap dengan positif.
Sebagaimana pihak pertama ada hak untuk mengkritik, kenapa pula kita mesti nafi dan hilangkan hak pihak kedua menjawab kritikan yang dilemparkan. Budaya nasihat-menasihat, tegur-menegur dan kritik-mengkritik adalah budaya positif yang tidak perlu kita resah dan menaruh kebimbangan melampau apabila ia berlaku. Selayaknya pihak pengkritik, mesti bersedia menghadapi kritikan balas bagi menilai potensi kritikannya. Adakah ia berasas atau tidak. Adakah kritikan tersebut berpaksikan hujjah atau fitnah. Adakah kritikan itu dengan tujuan membina atau meruntuhkan.

Sistem nilai ini hanya wujud apabila ada timbal balas pada kritikan yang dilemparkan. Justeru berapa banyak di luar sana jumlah kritikan yang hanya merupakan fitnah dan tohmahan demikian juga kritikan yang dirancang untuk menjatuh dan meruntuhkan. Maka untuk menilainya perlu ada jawapan atau pencerahan pada kritikan yang dikemukakan.

Apatah lagi jika sesuatu kritikan itu dibuat secara terbuka. Ia boleh mencipta prasangka dan mencetus persepsi masyarakat awam, justeru itu mahu atau tidak, jawap balas mesti dikemukakan terhadap kritikan tersebut bagi meluruskan persepsi dan memurnikan prasangka. Contoh apabila pelbagai tuduhan yang tidak berasas dilemparkan kepada Presiden PAS, sememangnya menjadi tanggungjawab pemimpin dan ahli PAS membuat pencerahan dan mempertahankannya.

Namun saya sangat setuju bahawa setiap kritikan mesti dinilai dengan jujur dan benar. Jika kritikan tersebut ada asas dan hujjah yang jelas, selayaknya kita akur dan bersyukur lantaran kritikan itu membuka jalan bagi berubah ke arah yang lebih baik.

Saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia menyambut dan menerima apa jua kritikan yang dilemparkan. Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang memberi perhatian kepada PAS lantas sudi mengkritik PAS dan pemimpinnya. Kalian semua secara tidak langsung adalah agen yang membangun dan mendewasakan PAS dengan kritikan dan teguran yang dihulurkan.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

1 comments:

Anonymous said...

Salam... saya setuju dengan pandangan tuan... cuma satu yang saya pohon supaya di dalam muktamar nanti cuba highlight kan isu "Terlalu Ramai JURUCAKAP" di dalam parti yang sentiasa gatal mulut apabila bertemu pemberita. Kadang-kadang kalah Mursyidul Am atau Presiden di dalam isu ini. Kalau yang dicakapkan itu merupakan pendirian parti atau SEIA DAN SEKATA setiap pemimpin tak apalah.... tapi apa yang berlaku JELAS bercanggah antara satu sama lain... oleh itu PAS PERLU teliti lagi di dalam fiqh amal jamaiyy. Sebagai contoh, kenyataan akhbar Ketua Dewan Ulamak bercanggah dengan kebanyakan pimpinan Pas di dalam isu himpunan blackout 505... apa sudah jadi... ahli di bawah bingung!

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive