HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Showing posts with label Bingkisan Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Bingkisan Tazkirah. Show all posts

Monday, February 15, 2016

Perangi Budaya Fitnah-Memfitnah

Fitnah adalah perbuatan keji yang sangat dicela oleh syara’ justeru kesan radiasi fitnah jauh lebih dahsyat dari membunuh. Allah telah menegaskan perkara ini di dalam firmanNya yang berbunyi; (الفتنة أشد من القتل), bermaksud fitnah itu lebih dahsyat (kesan dan akibatnya) dari membunuh. ~ surah al-Baqarah ayat 191 ~

Fitnah adalah angkara perlakuan manusia jahat yang suka mencetuskan kekacauan, pergolakan, permusuhan, pengkhianatan, dendam, huru-hara dan 1001 kerosakan dikalangan masyarakat umat manusia. Sedang Islam yang diturunkan oleh Allah adalah agama yang harmoni, memelihara kesejahteraan bermasyarakat dan melarang sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang mencetus perpecahan dan permusuhan seperti fitnah, tohmah dan khianah.

Firman Allah;
إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ
“Sesungguhnya orang-orang yang mencetuskan bencana fitnah (untuk memesong dan memporak-perandakan) orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka jahannam (kerana perbuatan keji itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).” (surah al-Buruj ayat 10)

Sebagai insan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah Ta’ala. selayaknya kita menjauhkan diri, malah memerangi perbuatan fitnah agar ia tidak menjadi amalan yang berleluasa dikalangan masyarakat di dalam negara kita. Sebagaimana yang telah saya tegaskan tadi, bahawa fitnah adalah perbuatan yang dicetuskan oleh manusia fujur (jahat) yang dipengaruhi pemikiran dan jiwanya oleh syaihan durjana.

Umumnya objektif pelaku dan penyebar fitnah adalah untuk menolak kebenaran yang gagal disangkal dengan hujjah mereka. Fitnah menjadi senjata yang paling murah dan mudah dihasilkan untuk memerangi kebenaran. Ia juga adalah senjata yang digunakan sejak berzaman termasuk untuk menolak kebenaran yang diperjuangkan oleh Nabi sallallahu‘alaihi wasallam. 

Firman Allah;
لَقَدِ ابْتَغَوُاْ الْفِتْنَةَ مِن قَبْلُ وَقَلَّبُواْ لَكَ الأُمُورَ حَتَّى جَاءَ الْحَقُّ وَظَهَرَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَارِهُونَ
“Sesungguhnya mereka telah lakukan fitnah semenjak dahulu lagi, dan mereka merancangkan terhadapmu (wahai Muhammad) berbagai tipu daya, sehinggalah datanglah kebenaran, dan nyatalah (kemenangan) agama Allah (Islam), sedang mereka benci kepada-Nya.” (surah al-Taubah ayat 48)

Sungguhpun demikian, akan pasti ada fitnah yang menjalar di setiap zaman dan tempat. Ia dinyalakan dan ditiup agar umat manusia bertelagah dan bermusuhan. Justeru itu, kita tidak boleh berpeluk tubuh membiarkan api fitnah ini membakar kesejahteraan ummah dan membinasakan kebenaran yang diperjuangkan. Sungguhpun perit dan sengsara berdepan fitnah yang dihadapi, yakinlah bahawa Allah bersama dengan mereka yang memperjuangkan kebenaran. 
Firman Allah;
ثُمَّ إِنَّ رَبَّكَ لِلَّذِينَ هَاجَرُواْ مِن بَعْدِ مَا فُتِنُواْ ثُمَّ جَاهَدُواْ وَصَبَرُواْ إِنَّ رَبَّكَ مِن بَعْدِهَا لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ
“Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang-orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnah (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar. Sesungguhnya Tuhanmu (sesudah mereka menderita dan bersabar dalam perjuangan) adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (surah al-Nahl ayat 110)

Saya menyeru seluruh mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah agar menghindarkan diri daripada budaya fitnah dan bangkit menentang sebarang usaha melakukan fitnah lantaran inilah yang diperintah oleh Allah;
وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لاَ تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ فَإِنِ انتَهَوْا فَلاَ عُدْوَانَ إِلاَّ عَلَى الظَّالِمِينَ
“Dan perangilah mereka sehingga tiada lagi fitnah dan jadilah satu-satunya cara hidup (yang diamal) milik Allah (Islam), maka apabila ia telah berakhir maka tiada lagi permusuhan kecuali ke atas orang-orang yang zalim.” (surah al-Baqarah ayat 193)

Membiarkan fitnah berleluasa tanpa langkah berkesan diambil oleh orang-orang yang beriman dan bertaqwa untuk mencegahnya, maka tunggulah kebinasaan yang akan menimpa masyarakat ini. Kepada Allah Ta’ala kita mohon perlindungan dari kebinasaan yang tidak mampu kita hadapinya kelak. Malah apa yang lebih dibimbangi ialah murka dan azab Allah Ta’ala di akhirat ekoran sikap mendiamkan diri lalu memberi ruang kepada fitnah tersebar.
Nasihat saya jua kepada mereka yang berkuasa. Mereka yang memegang amanah untuk menjaga dan memelihara kesejahteraan rakyat sebagai pemimpin yang diberi mandat agar memberi perhatian serius terhadap perkara ini. Sekali-kali jangan membenarkan fitnah menjadi amalan dalam politik kita. Kerana politik sedemikian hanyalah politik kotor lagi jijik bahkan pula berdepan dengan kemurkaan Allah Ta’ala.
Marilah kita berdoa kepada Alllah Ta’ala agar menghindarkan diri kita daripada menjadi mangsa fitnah dan dalam masa yang sama, kita juga berdoa agar kita tidak memfitnah orang lain. Sungguhpun antara kita berbeza fahaman politik, namun berpolitiklah dalam batas yang tidak mengundang kemurkaan Allah Ta’ala. Berpolitiklah dalam suasana yang sihat dan saling berlumba untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. Berpolitiklah dengan maksud untuk membebaskan rakyat dan negara dari kemungkaran, penyelewengan, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penindasan. Berpolitiklah untuk mencari redha dari Allah Ta’ala.

Monday, December 21, 2015

Warna Itu Mengikut Sibghah-Nya

Jalan dakwah itu sangat berliku, ia menuntut kesabaran dan kecekalan yang bersangatan. PAS telah mengharunginya sekian lama, penentangan habis-habisan dari musuh politik terutama Umno sejak ia ditubuhkan sehingga kini, begitu juga dengan parti-parti lain yang tidak bersetuju dengan PAS terus menerus memberikan tekanan kepada PAS sama ada terhadap dasar perjuangan PAS sehinggalah kepada perkara “bengik”.

Hinggakan warna baju yang serupa dengan Presiden Umno, dipakai oleh Tuan Guru Presiden PAS pun menjadi sasaran politik kontra musuh PAS. Bingar satu Malaysia dengan wirid “UG”, hingga tidak mencukupi butir tasbih, dari pagi hingga malamnya, disambung lagi pada waktu tahajudnya. Begitulah cabaran perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS, sentiasa dicemburui sama ada perjuangannya mahupun penampilannya.

Dari hujung rambut hingga ke hujung jari kaki PAS cuba disakiti sejak sekian lama, namun PAS tetap bangun berdiri, tidak pernah rebah dengan kesakitan difitnah oleh musuh dari luar dan dalam. Sifat anjal dan elastik perjuangan Islam melantunkan kembali fitnah itu kepada musuhnya. Begitulah sifatnya Islam yang diturunkan oleh Allah. Fitnah orang yang membawanya hanya akan melantunkan kembali kehinaan itu kepada-Nya.

PAS sebagai sebuah parti Islam, ia mula bergerak dan bernadi melalui sebaran dakwah, lalu ia membentuk sebuah tarbiyyah atau persediaan kekuatan dalaman kepada para amilin dan pendokongnya untuk berhadapan dengan sebarang ancaman perjuangannya. Kerana itu PAS tidak rebah meskipun musuhnya masuk beramai-ramai untuk menghancurkannya atau pun beramai-ramai pula keluar dari PAS dengan tujuan untuk melemahkannya.

Dengan tarbiyyah ia melahirkan kekuatan aqidah perjuangan, kemudian lahir pula kekuatan penyatuan dari pendokongnya yang ikhlas bersatu mempertahankan dasarnya dari dirobek oleh musuhnya, ia juga mendorong untuk para amilin PAS berkorban untuk menyediakan kekuatan fizikal samaada dari sudut nyawa, tenaga dan harta benda, bersesuaian dengan firman Allah:
وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ
“Dan buatlah persediaan untuk mereka dari apa yang terdaya dari kekuatan...” (al-Anfal ayat 60)

Dari kekuatan inilah kita melihat PAS berjaya memenuhi setiap ruang bidang dakwah yang diperlukan oleh sebuah parti Islam dan masyarakat Malaysia. Dengan kekuatan ini PAS mampu melangkah ke dalam gerak kerja pelaksanaan dakwah seperti menubuhkan sekolah agama, sama ada dari peringkat pra-sekolah hingga kepada pusat pendidikan bertaraf kolej universiti, menerbitkan Harakah, membina markas, menganjurkan seminar dan pelbagai lagi gerak kerja dakwah yang tidak terhitung banyaknya bagi memenuhi tuntutan parti dan dakwah.

Ini sangat dicemburui oleh musuhnya, PAS hidup dengan Islam, PAS bekerja untuk Islam, yang beza parti lain dengan PAS ialah Islam, bukan yang lain-lain. PAS tidak rabun warna, sehinggakan tidak kenal mana satu ideologi manusia dan yang mana satu syariat Allah yang pasti akan mencorakkan berbezaan warna kehidupan manusia yang menganut dan mengikutinya. Setiap warna kehidupan dan perjuangan manusia akan mengikut “Sibghah” ataupun celupan, siapa yang mengambil “Sibghah” Allah maka Islam-lah yang akan mewarnai kehidupannya, begitulah sebaliknya.
Amilin PAS ditarbiyyah agar sentiasa merendami diri didalam “Sibghah” Allah, bagi membentuk sebuah jamaah yang didalamnya penuh dengan keberkatan, ahli PAS di Tarbiyyah jangan sekali-kali mengambil “Sibghah” yang lain, biar serupa warna bajunya, jangan sekali serupa dari sudut Aqidahnya dengan kekufuran, kerana satu masa nanti kita semuanya akan sedondon, memakai kafan yang putih, tidak mengira apa fahaman politik, tetapi yang membezakan kita nanti ialah siapa yang beriman dan siapa yang kufur.

Rosli Abdul Jabar
Pesuruhjaya PAS Pahang

Saturday, May 23, 2015

Label: Antara Benar dan Bathil

Saya tidak dapat gambarkan bagaimana sengitnya perang cyber sepanjang tempoh menghampiri detik Muktamar Agung PAS nanti. Pelbagai pihak mula mengambil bahagian dengan aneka pendekatan yang membawa misi masing-masing. Lebih menarik, DAP yang tidak ada kena mengena dengan muktamar PAS itu pun “galak gatal” mencampuri urusan dalaman PAS.

Media baru jadi meriah dengan pelbagai label dan ia bagaikan peluru M16 yang dilepaskan ke arah musuh masing - masing untuk memastikan kepala dan dada dirobek semahunya. Semuanya bertindak nekad tanpa peduli lagi kesan sampingan atau kesan langsung yang bakal berlaku.

Pihak ketiga yang paling ramai terlibat dan mereka adalah cybertrooper dan sharpshooter. Sama ada mewakili satu pihak secara sukarela atau mereka sememangnya dibayar khusus atau sememangnya mereka bermaksud mahu mengadu domba dan melagakan antara pihak yang berkonfrantasi.

Pertembungan sengit ini turut melibatkan pihak keempat. Satu pihak yang asalnya tidak terlibat langsung dengan perang cyber ini tetapi terseret secara tidak langsung kerana mereka juga adalah pengguna tegar media baru. Maklumat dan jaringan sosial mereka terpaksa melalui jalur lebar media baru tersebut. Akhirnya, mahu tidak mahu mereka turut terpalit dalam menentu sikap samaada pro dan kontra sekalipun di dalam hati mereka penuh dengan taman dan bunga.

Terlalu sedikit mereka yang benar-benar ambil sikap berkecuali melainkan kecuali mereka adalah kecuali yang berpihak jua. Jaringan gerak hidup mereka dikepong oleh whatsapp group, telegram, facebook, twitter, instagram, we chat, sms, blog dan web site. Hampir tiada jalan keluar kecuali mereka yang hanya berkurung di ceruk dapur beratap nipah.

Suka atau tidak, demikianlah situasi di pentas politik tanahair kita buat masa ini. Kalau lah label itu peluru dan bom, tentu sahaja kita bagai berada di bandar Allepo dan Hums atau di Genting Gazza yang gamat dengan bedilan senapang dan meriam. Lebih sadis, peluru tidak kenal mangsa. Ramai pula menjadi mangsa peluru “sesat” yang tidak tahu arah datangnya.

Label terdapat dua kategori sifatnya. Label yang bersifat benar dan label yang bersifat fitnah. Al Quran juga sarat dengan label tetapi pastinya penggunaan label di dalam Al Quran adalah benar. Label seperti kafir, munafiq, musyrik, toghut, sesat, khianat, bodoh, himar, boneka dan sebagainya memang terdapat dalam wahyu Allah swt dan ditujukan kepada sebahagian manusia. 

Saya ambil satu contoh firman Allah;
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَىٰ مَا أَنزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ رَأَيْتَ الْمُنَافِقِينَ يَصُدُّونَ عَنكَ صُدُودًا
“Dan apabila dikatakan kepada mereka; Marilah berhakim kepada hukum Al Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah, nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu.” (surah al-Nisa’: 61)

Ayat ini menyaksikan bagaimana Allah menyebut golongan yang tidak mahu melaksanakan hukum Allah dan Rasul-Nya sebagai golongan munafiq iaitu berpura-pura Islam. Kedudukan begini kita tidak boleh menolak dan mempertikai Al Quran kenapa melabel manusia dengan munafiq, bodoh, tolol, samseng, khianat, jahil, sesat, dan lain-lain yang sangat banyak dalam Al Quran bahkan juga Sunnah Nabi sallallahualaihi wasallam. Label kategori ini adalah label yang bersifat benar.

Sementara label yang bukan pada sasaran yang betul dan tidak mempunyai bukti atau saksi yang benar maka ia adalah label yang bersifat fitnah. Biasanya digunakan untuk membunuh karektor dan menjatuhkan imej seseorang. Label jenis ini dilarang dan tidak dibenarkan oleh Islam. Memanggil para alim ulamak dan para pejuang Islam yang mukhlisin serta insan yang soleh dengan panggilan, gelaran atau label yang buruk adalah keji dan hina.

Justeru sebagai seorang anggota Jamaah Islam, kita patut tahu perkataan yang mahu ditulis dan istilah yang mahu diungkap atau label yang mahu ditampal agar tidak terjebak dalam melepaskan “peluru” pada sasaran yang salah. Itu adalah fitnah yang keji. Bertaqwalah kepada Allah swt. Kata pada yang benar itu benar dan kata pada yang bathil itu bathil. Jangan kata pada yang benar itu bathil dan jangan kata pada yang bathil itu benar pula jangan diam dari berkata benar.

Saturday, November 1, 2014

Formasi 4 - 4 - 2 : Formasi Kemenangan

Semua perhatian tertumpu ke Final Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Bukit Jalil antara Skuad Tok Gajah vs JDT. Kalau sebelum ini saya menyebut fitnah adalah antara senjata tertua di dunia yang masih aktif berfungsi, maka bolasepak pula adalah antara sukan tertua di dunia yang masih kekal sebagai sukan yang paling disukai ramai. Terutama persaingan EPL dan LA Liga yang mendapat tempat di kalangan peminat bolasepak tempatan selain Liga Super dan Piala Malaysia. Sementara Bundesliga, Serie A dan Liga Brazil juga besar reputasinya namun kurang mendapat liputan melalui media dinegara kita.

Permainan bolasepak terkenal dengan corak permainan secara berjamaah dan sekali - kali tiada permainan bolasepak dilakukan secara individu. Tanpa menafikan skil individu itu juga penting dan menyumbang kepada kemenangan pasukan seperti nama - nama besar dalam sukan ini, Pele, Maradona, Ronaldo Brazil, Zidane, Messi, Ronaldo Portugal dan lain-lain, kehebatan sesebuah pasukan sebenarnya banyak bergantung kepada kekuatan atau kekentalan formasi yang dipersembahkan dan pastinya secara kolektif. Bukti mudah, Ronaldo dianggap mesin gol bagi Real Madrid tetapi tidak mencapai reputasi serupa sewaktu mewakili pasukan negaranya Portugal.

Pahang biasanya menggunakan formasi 4 - 4 - 2 bagi mencipta kemenangan bergaya. Namun pasukan JDT juga mempunyai formasi tersendiri bagi memburu kejayaan yang mereka idamkan. Masing - masing telah buat persiapan rapi. Hanya kesilapan dan kegagalan bertindak secara jama’ie (kolektif) membuat mereka kecundang. Kita boleh saksikan malam ini. Kelalaian dan kealpaan berperanan di posisi masing-masing akan membawa padah kepada pasukan. Hilang fokus pada amanah yang disandang juga faktor kepincangan yang menghancurkan harapan pasukan dan penyokong mereka. Begitulah perjuangan kita dengan jamaah ini. Jangan leka dan jangan hilang fokus. Tunai amanah sebaik mungkin. 

Jangan tinggal posisi yang diamanah. Ingat pesan Allah;
وَدَّ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْ تَغْفُلُونَ عَنْ أَسْلِحَتِكُمْ وَأَمْتِعَتِكُمْ فَيَمِيلُونَ عَلَيْكُم مَّيْلَةً وَاحِدَةً
“Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan barangan amanah kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak (dan kamu tewas tergadah).” (surah al-Nisa’ : 102)

Tuesday, May 28, 2013

Mengurus dan Menangani Kritikan

Ramai pihak termasuk wartawan menghubungi saya untuk mendapatkan pandangan saya mengenai kritikan yang dilemparkan kepada PAS mutaakhir ini, khasnya kepada batang tubuh Presidennya. Saya dimaklumkan berlaku berbalas kenyataan dan kononnya ini adalah “tunas perpecahan” yang sedang menimpa Pakatan Rakyat. Sedang realitinya ini bukanlah polemik yang pertama kali berlaku kepada PAS yang telah berusia lebih separuh abad. Malah sering berlaku kepada Pakatan Rakyat sepanjang usianya.

Sejarah membuktikan tidak semestinya yang dikritik itu salah lalu ia wajib memenjarakan lidah dan mulutnya dari menjawab balas kritikan tersebut, sebagaimana pengkritik tidak selamanya benar sehingga ia bebas melemparkan kritikan sesedap rasa pada semua orang, keadaan dan masa.

Asasnya, sebagai sebuah Gerakan Islam, kami sentiasa terbuka dan sedia untuk dikritik dan diaudit serta meletakkan kami pada situasi sebagaimana yang diajar oleh Allah iaitu bersedia mendengar apa jua perkataan lalu mengikut apa yang terbaik daripadanya.

Namun terbuka dan bersedia menerima kritikan bukan bermakna kami mesti diam membatu atau bungkam membisu dalam menerima kritikan tersebut. Memberi jawab balas, menangkis serta membuat pencerahan semula terhadap kritikan adalah sebahagian dari kaedah mengurus dan menangani kritikan yang normal dan dibenarkan sebagaimana uslub biasa digunakan oleh al-Quran al-Karim sewaktu menjawab kritikan pelbagai pihak terhadap Islam dan syariat yang dibawa oleh Rasul utusan Allah.
Ramai menyangka maksud menerima kritikan ialah “zip” mulut dan mendengar apa jua hamburan kata yang ditujukan kepadanya sehingga kadangkala kita boleh dianggap dungu dan naif. Pada saya itu adalah satu keadaan yang boleh dipilih, sementara menjawab serta menangkis kritikan pula satu keadaan lain yang dibenarkan malah tidak menghilangkan rasa hormat kita kepada pihak pengkritik. Bahkan keadaan kedua ini lebih menarik untuk mencetus pencerahan dan percambahan fikir kiranya ia diurus dan ditanggap dengan positif.
Sebagaimana pihak pertama ada hak untuk mengkritik, kenapa pula kita mesti nafi dan hilangkan hak pihak kedua menjawab kritikan yang dilemparkan. Budaya nasihat-menasihat, tegur-menegur dan kritik-mengkritik adalah budaya positif yang tidak perlu kita resah dan menaruh kebimbangan melampau apabila ia berlaku. Selayaknya pihak pengkritik, mesti bersedia menghadapi kritikan balas bagi menilai potensi kritikannya. Adakah ia berasas atau tidak. Adakah kritikan tersebut berpaksikan hujjah atau fitnah. Adakah kritikan itu dengan tujuan membina atau meruntuhkan.

Sistem nilai ini hanya wujud apabila ada timbal balas pada kritikan yang dilemparkan. Justeru berapa banyak di luar sana jumlah kritikan yang hanya merupakan fitnah dan tohmahan demikian juga kritikan yang dirancang untuk menjatuh dan meruntuhkan. Maka untuk menilainya perlu ada jawapan atau pencerahan pada kritikan yang dikemukakan.

Apatah lagi jika sesuatu kritikan itu dibuat secara terbuka. Ia boleh mencipta prasangka dan mencetus persepsi masyarakat awam, justeru itu mahu atau tidak, jawap balas mesti dikemukakan terhadap kritikan tersebut bagi meluruskan persepsi dan memurnikan prasangka. Contoh apabila pelbagai tuduhan yang tidak berasas dilemparkan kepada Presiden PAS, sememangnya menjadi tanggungjawab pemimpin dan ahli PAS membuat pencerahan dan mempertahankannya.

Namun saya sangat setuju bahawa setiap kritikan mesti dinilai dengan jujur dan benar. Jika kritikan tersebut ada asas dan hujjah yang jelas, selayaknya kita akur dan bersyukur lantaran kritikan itu membuka jalan bagi berubah ke arah yang lebih baik.

Saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia menyambut dan menerima apa jua kritikan yang dilemparkan. Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang memberi perhatian kepada PAS lantas sudi mengkritik PAS dan pemimpinnya. Kalian semua secara tidak langsung adalah agen yang membangun dan mendewasakan PAS dengan kritikan dan teguran yang dihulurkan.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tuesday, May 31, 2011

Fitnah Ancaman Ummah Akhir Zaman

1. Alhamdulillah, siang tadi kami baru selesai menghadhiri wacana Fitnah Ancaman Ummah Akhir Zaman di Auditorium Krangkraf Shah Alam yang mempertemukan saya dengan Dr Asri Zainal Abidin dan Yb Khairy Jamaludin . Satu program yang menarik dan menjadi lembaran baru dalam perkembangan intelektual yang mempertemukan pemimpin dari dua parti yang berlainan ideologi biar hanya di peringkat pemuda. Ia menjadi permulaan yang baik dan positif untuk terus menyuburkan budaya intelektual. Tahniah saya ucapkan kepada pihak Sinar Harian, Pengurus dan warga Karangkraf yang bertindak selaku penganjur.

2. Sekitar tajuk yang diwacanakan hari ini, semua pihak bersetuju agar fitnah diperangi, fitnah ditolak dan fitnah tidak wajar disuburkan dalam sosial, ekonomi dan politik tanahair kita. Kita mahu menuju ke alam politik yang yang matang dan dewasa pemikiran para politikusnya. Politik yang telus dan tulus. Politik yang berakhlak dan beradab. Politik hujjah dan fakta bukan politik lucah dan fitnah, politik jijik dan keji.

3. Jika kesemua pihak tidak mengira PAS atau UMNO menjauhi politik kotor dan cemar ini, insyaallah negara akan lahir sebagai sebuah negara sejahtera dan harmoni serta rakyatnya bestari dan damai. Iklim politik baru yang diharapkan ini tidak akan tercapai hanya dengan satu pihak bertindak, sebaliknya semua pihak termasuk ngo mestilah akur dan tunduk kepada prinsip politik yang berasas kehendak pencipta iaitu Allah Azza wa Jalla.

4. Sebijak mana kita, parti mana yang kita wakili dan seramai mana pengaruh kita, sekali - kali kita tidak berhak untuk mengenepikan landasan syariat untuk kita menggerakkan agenda politik kita. tergelincir dari landasan wahyu Allah itulah meletakkan kita dalam jerangkap fitnah yang tidak berkesudahan.

5. Insyaallah bagi pihak saya, segigihnya saya mahu membina para pemuda PAS agar mewarnai perjuangan suci untuk menegakkan Islam di atas tanahair ini dengan membentuk medan politik yang disinari hidayah atau petunjuk Allah Azza wa Jalla. Sebagaimana kita tidak mahu orang lain memfitnah maka demikianlah kita tidak mahu kita turut terjebak dalam budaya fitnah. Justeru kita mesti mulakan dari diri kita dan parti kita.

6. Namun tidak bermakna PAS dan para pemudanya akan diam membenarkan segala kemungkaran dan kefasadan yang berlaku di pentas politik tanahair. Membongkar penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh kerajaan yang memerintah selaku pemegang amanah rakyat mestilah dilaksanakan asal sahaja ianya bertunjangkan bukti yang kukuh, maka ia bukan fitnah malah ia adalah satu kewajipan.

7. Ketika saya memberikan penegasan bahawa saya akan berusaha untuk memastikan  budaya fitnah ini tidak berlaku bagi pihak PAS khasnya pemuda, Yb Khairy Jamaludin berkata bahawa beliau akan pegang kata - kata saya. Ya ! saya konsisten akan memastikan ianya tidak berlaku dan sehingga kini rekod kita terkawal dan saya juga mengharapkan pemuda UMNO dipastikan tidak terjebak dalam budaya fitnah. Kedua - dua pihak mesti meletak azam yang sama dan kemudian melunaskannya dalam tindakan politik seharian.

8. Pemuda PAS dan Pemuda UMNO boleh bersaing dipentas politik secara sihat tanpa perlu menggunakan fitnah sebagai senjata untuk menjatuhkan antara satu sama lain. Sertai pilihanraya secara adil dan telus dengan membekalkan peluang dan ruang yang sama rata. Kemukakan polisi untuk meyakinkan rakyat dalm mencari sokongan jangan kemukakan polis untuk memaksa dan mendesak rakyat menyokong kita.

9. Insyaallah, semoga budaya intelektual sebegini akan terus subur sehingga meletakkan kita semua sebati dengan tindakan berasaskan hujjah dan fakta bukan fitnah dan tohmah. Jika ada pertuduhan, silakan namun lampirkan bukti yang benar. Sejurus bukti dikemukakan , pihak berwajib bertindaklah sewajarnya, jangan membuat pendakwaan terpilih berasaskan kecenderungan dan kepentingan pihak tertentu.

10. Ayuh pemudaku, kita bangun dan mara untuk memulakan langkah berhemah memimpin politik negara berteraskan akhlak Islami. Biarpun tindakan kita tidak popular dan berdepan pula dengan 1001 kesukaran, namun sunnah seorang pejuang, sunnah seorang muslih [ pengislah ] dan sunnah rijaaluttaghyir [ tokoh perubah ] terpaksa mengharungi sahara yang luas lagi panas sebelum tiba kedestinasi yang menepati objektif dan matlamat perjuangan suci ini.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Monday, March 28, 2011

Fitnah: Senjata Tertua di Dunia

1. Meskipun senjata ini adalah senjata yang paling tua dan klasik, namun ia adalah senjata yang bahaya dan berbisa malah kesan radiasinya lebih dahsyat membawa kemusnahan berbanding letupan loji nuklear. Ia bukan sahaja mampu membunuh jasad manusia bahkan fitnah adalah senjata yang mampu membunuh jiwa manusia dan peradabannya. Firman Allah swt :

و الفتنة أكبر من  القتل و لا يزالون يقاتلونكم حتى يردوكم عن دينكم إن استطاعوا

dan fitnah itu adalah suatu yang sangat besar [ dahsyat dosa dan akibatnya ] dari membunuh dan senantiasalah mereka memerangi kamu sehingga mereka boleh memalingkan kamu dari agama kamu jika sekiranya mereka mampu melakukannya.

Surah Al Baqarah Ayat : 217

2. Bermula dari zaman pertarungan antara Qabil dan Habil yang bermula dengan api fitnah merebut seorang perempuan untuk dicintai akhirnya meletus satu kesan radiasi yang membawa kepada berlakunya pembunuhan dan itu adalah pembunuhan manusia pertama direkodkan di atas muka bumi dan ianya bermula dari fitnah serta dendam. [boleh rujuk kisahnya di dalam surah al Maaidah ayat 27 hingga 32].

3. Nabi Yusuf as terpaksa meringkuk di dalam penjara angkara fitnah. Nabi Yusuf as dituduh bermukah dengan Zulaikha, isteri kepada seorang pembesar istana. Plot dan drama fitnah itu dirancang selicik mungkin oleh orang - orang dalam istana yang bermula dari api fitnah Zulaikha akhirnya Nabi Yusuf as diseret ke penjara sementara Nabi Yusuf as sedia ke penjara demi mempertahankan maruah dan kesucian dirinya. Firman Allah : [boleh rujuk kisahnya di dalam surah Yusuf ayat 21 - 36]

قال رب السجن أحب إلي مما يدعونني إليه

Ia [ nabi Yusuf as ] telah berkata : Tuhanku , Penjara lebih aku suka berbanding apa yang mereka suruh aku lakukanya

Surah Yusuf. Ayat 33

4. Senjata fitnah sebagai senjata yang tiada nombor siri ini terus digunakan secara berleluasa di sepanjang zaman sehinggalah ke zaman Nabi kita Muhammad saw. Apabila Isteri Nabi saw, Aisyah rha. difitnah dan dituduh berzina dengan Sofwan bin Mua'attal al Sulami. Plot cerita yang disusun rancang oleh Abdullah bin Ubai bin Salul cukup meyakinkan sehingga sebahagian sahabat Rasulullah saw mencadangkan agar Nabi saw menceraikan sahaja Aisyah rha sementara sebahagian yang lain mempertahankannya. Malah Nabi saw diam tidak terkata, tambahan pula wahyu terhenti kira - kira sebulan lamanya. Sehinggalah akhirnya turun wahyu membebaskan keluarga Rasulullah saw dari belenggu fitnah yang direka.

5. Allah swt berfirman di dalam surah an Nuur ayat 11, bermaksud :

Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu.

6. Melalui sejarah tamadun moden hari ini juga dapat disaksikan bagaimana kuasa manusia di dunia ini, biarpun mereka telah memiliki peluru berpandu, jet pejuang, kereta perisai, bom nuklear dan 1001 jenis senjata canggih termasuk pesawat tanpa pemandu, namun mereka tetap menggunakan senjata tanpa nombor siri [fitnah] ini untuk menjatuhkan lawan mereka samaada musuh mereka dalam persaingan ekonomi atau musuh mereka dalam pergolakan politik.

7. Malah kuasa besar dunia sekalipun lengkap dengan segala kekuatan tentera dan senjata, demi menjayakan misi penaklukan mereka ke atas negara - negara lain turut menggunakan fitnah bagi mencetus huru hara dan perang saudara serta pergolakan politik dalaman sebelum mereka menjadi "super hero" yang datang kononnya untuk misi menyelamat dan damai.

8. Dunia disepanjang zaman diletakkan dalam persaingan dan pertarungan fitnah. Manusia walaupun baik, lebih - lebih lagi manusia buruk memang berpotensi untuk menjadi mangsa senjata fitnah ini. Namun kebiasaannya manusia yang jahat [faajir] akan menggunakan senjata ini untuk diacu kepada lawannya. Justeru manusia yang baik [soleh] sekali - kali tidak akan bermain dengan senjata tanpa tuan ini.

9. Bukan sahaja individu akan derita sebaik sahaja terkena kesan radiasi fitnah ini, malah rumahtangga akan runtuh, masyarakat akan huru hara, negara akan binasa malah dunia hilang pertimbangan. Jika dunia mengutuk sekeras - kerasnya mana - mana negara yang membina dan menggunakan senjata nuklear kerana menyedari kesan buruknya, maka saya kira dunia wajar mengutuk berganda kali penggunaan senjata fitnah yang membawa kesan buruk dan dahsyat berlipat ganda.

10. Bagi kita ummat Islam malah juga perlu diambil iktibar [pengajaran] oleh non muslim akan nasihat dan panduan nabi kita Muhammad saw dalam menghadapi zaman penuh fitnah, krisis dan konflik ini. Terutama kepada mereka yang sering menjadi mangsa fitnah tanpa mengira apa tujuan atau objektifnya, wajar sekali menghayati wasiat dan pedoman Rasulullah saw. Sabda Rasulullah saw :

أوصيكم بتقوى الله عزوجل و السمع و الطاعة و إن تأمر عليكم عبد فأنه من يعش منكم فسيرى اختلافا كثيرا فعليكم بسنتي و سنة الخلفاء الراشدين المهديين عضوا عليها بالنواجذ و أياكم و محدثات الأمور فإن كل بدعة ضلالة

Maksudnya : Aku berwasiat kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah swt dan dengar serta taat sekalipun yang dilantik pemimpin ke atas kamu hanyalah seorang hamba. maka sesungguhnya, sesiapa yang masih hidup dari kalangan kamu, nescaya ia akan melihat berlakunya ikhtilaf [ krisis, konflik dan fitnah ] yang begitu berleluasa , maka wajiblah ke atas kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah khulafa' ar Rasyidin yang mendapat petunjuk dari Allah swt dan hendaklah genggam sunnah itu seerat - eratnya dengan geraham kamu. Waspadalah akan perkara yang direka cipta maka sesungguhnya setiap perkara baru yang direka cipta [ dalam urusan agama kamu ] adalah sesat.

Hadis riwayat : Abu Dawud dan at Turmuzi dan katanya Hadis ini Hasanun Sohih.

Penutup : Hanya taqwa serta keiltizaman kita kepada syariat dan sunnah Rasulullah saw akan menjadi perisai berkesan dalam menghadapi peluru fitnah dan kesan radiasinya. Meskipun fitnah itu melanda diri dan keluarga kita, insyaallah ketaqwaan akan menjadikan kita mendapat lindungan Allah swt dan kita berjaya mengatasinya dengan jaya.

Bersabarlah insan yang terfitnah dan semoga mereka yang menabur fitnah mendapat petunjuk Allah swt untuk kembali ke jalan yang benar, memohon ampun dan diredhai Allah swt.

Salam dari Lembah Multazam
Masjidil Haram Makkah Al Mukarramah.

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Monday, July 12, 2010

Pemimpin PAS Selayaknya Sederhana

Pemimpin PAS :
Ambillah Gaya Hidup
Yang Sederhana


1. Sebaik - baik perkara ialah pertengahannya [ sederhana ]
خير الأمور أوسطها.
Tidak melampau [ ifrat ] dan tidak terlalu bermudah - mudah . [ tafrit ] .

2. Sederhana adalah lambang keutuhan dan kemuliaan peribadi . Pemimpin yang hidup dalam kesederhanaan adalah pemimpin yang berjiwa besar justeru ia tidak dipengaruhi oleh nafsu tamak dan gelojoh .

3. Pemimpin yang mengambil gaya dan cara hidup secara sederhana juga merupakan pemimpin yang hebat justeru ia tidak terpedaya dengan bujukan nafsu dan syaithan untuk bermudah - mudah atau meringan - ringankan amanah dan tanggungjawab sebagai seorang hamba terhadap tuhannya .

4. Kini rata - rata pemimpin PAS menang pilihanraya menjadi wakil rakyat samaada diperingkat DUN atau parlimen malah ada yang bergelar Menteri Besar dan exco kerajaan negeri . Alhamdulillah , ianya satu penghormatan dan kepercayaan rakyat kepada PAS . Namun berwaspadalah , agar lifestyle kalian masih kekal utuh dalam frame seorang pemimpin yang beriman , bertaqwa , berakhlak dan sederhana .

5. Usah terpedaya dan terpengaruh dengan cara hidup orang lain apatah lagi musuh . Sekalipun kalian memang layak dan memiliki kekayaan melalui cara yang benar dan halal , namun ambil lah hukum wara' atau zuhud dalam kepimpinan dan penampilan kalian . Usah bermewah dengan harta yang dimiliki tetapi tidaklah sampai kelihatan selekeh , lusuh dan tidak ceria . Sederhanalah dalam segalanya .

6. Wara' bukan bermaksud berjalan tunduk tanpa mendongak wajah dan zuhud pula bukan bermakna selekeh tanpa set pakaian yang baru dan kemas . Tetapi wara' dengan maksud tidak berlebih - lebih menggunakan nikmat kekayaan halal yang kita miliki sementara zuhud pula ialah menggunakan nikmat kekayaan yang dimiliki tanpa hati terpengaruh dan terpaut padanya.

7. Gerakan Islam seperti PAS selayaknya mendokong feqh wasatiah [ kesederhanaan ] ini dalam usaha mendapatkan tempat di sisi Allah swt dan menarik sokongan rakyat kepada perjuangan suci yang didokong . Rata -rata manusia tidak senang dan muak dengan manusia yang berlebih - lebihan dalam penampilan gaya hidup serta menunjuk kaya dan mewah mereka.

8. Feqh wasatiah bukan hanya dipakai dalam aliran pemikiran dan prinsip hidup tetapi juga dalam penampilan , cara dan gaya hidup [ lifestyle ] . Janganlah setahun dua jadi wakil rakyat , perubahan ketara dan mendadak berlaku dalam hidupnya seperti membina rumah besar , memiliki kenderaan baru dan mahal .

9. Bukanlah salah memiliki rumah luas dan kenderaan yang baik , tetapi bersederhanalah . Jika tidak , pemimpin PAS akan kehilangan haibah [ kehebatan ] dan quwwah [ kredebiliti ]. Sifat dan amalan sederhana mendekatkan pemimpin PAS dengan rakyat marhain. Mudahnya amalan bersederhana ini ialah mengambil sesuatu seperlunya . Jika ia perlukan rumah 5 bilik dengan jumlah keluarganya yang ramai maka milikilah , ia menepati keperluan . Demikianlah kenderaan , jika perlukan kenderaan yang baik kerana keperluannya berjalan jauh saban hari mengambil undangan amal islami yang diperjuangkan , maka ambillah justeru ia menepati keperluan . Apa yang tidak disenangi ialah berlebih - lebihan dari had keperluan dan bermewah - mewah .

10. Kita tidak mahu menjadi pemimpin parti yang petah mengungkap serta meriwayat contoh zuhud dan wara'nya Tuan Guru Hj Nik Abd Aziz , Tuan Guru Hj Abd Hadi dan Ust Azizan Razak , walau mereka dipuncak kuasa tetapi tetap :

  • tinggal di kediaman asal yang serba sederhana ,
  • nilai pakaian mereka seperti rakyat awam ,
  • mereka mengamalkan jimat cermat dalam kehidupan sehariannya ,
  • keraian mereka tidak mewah
  • elaun mereka dikembalikan kekantung pembendaharaan negeri
tetapi malang , jika kita sendiri gagal untuk mencontohinya .


Wednesday, July 7, 2010

Ibtila' di Jalan Dakwah

1. Perjuangan Islam ini sememangnya telah dijanjikan ibtila' [ ujian\onak duri ] yang bakal merintang disepanjang jalannya. Perit , jerit dan penat lelah dalam menggalas beban amanah perjuangan menjadi sunnah.

2. Cumanya , sebagai insan yang serba dhaif ini terkadang seperti mahu mengaku kalah . Hanya aqidah perjuangan yang dibina sekian lama masih teguh membentengi diri .

3. Lebih menarik , tekanan dan halangan luaran tidaklah menjadikan diri kita lemah , tetapi apabila berdepan dengan ujian dalaman terutama atas apa yang berlaku pada diri kita sendiri sementara orang lain pastinya tidak mengetahui penderitaan yang sedang kita alami .

4. Terkadang hati pejuang ini akan menangis sendirian melepaskan berat beban yang menindih guna mencari nafas baru dan saki baki kekuatan diri . Mungkin cara ini berkesan untuk meringankan beban perasaan bila berdepan dengan susah sukar perjuangan . Saya masih ingat bagaimana bicara Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz seketika dulu semasa saya mengunjungi beliau dirumahnya .

5. Tuan Guru menceritakan pengalaman sewaktu beliau seorang diri menjadi wakil rakyat di Parlimen mewakili PAS . " Terkadang memandu seorang diri ke Kuala Lumpur untuk menghadhiri sidang parlimen dengan keadaan permukaan jalan tidaklah sebaik apa yang kita nikmati hari ini . Demikian juga ke hulu dan ke hilir memenuhi undangan ceramah seorang diri memandu kereta , balik jauh jauh malam . Menangis saya sambil memandu seorang diri , peritnya nak bawa Islam pada masyarakat melayu ketika itu . Sampai di rumah pula , buka saji , makanan tak ada dan isteri sudah nyenyak tidur .."

6. Kala terasa penat seharian dilapangan , saya segera mengingati cerita Tok Guru , terasa nyaman jiwa dan kembali segar seperti kembali dari satu sessi motivasi . Inilah juga yang diajar oleh Nabi saw : [ dalam satu hadis yang dikeluarkan oleh As Samarqandi dalam musnadnya dari Ato' bin Abi Ribah ]

إذا أصاب أحدكم مصيبة فليذكر مصابه بي فإنها من أعظم المصائب

Apabila seseorang kamu ditimpa musibah maka ingatlah musibah yang turut menimpaku kerana sesungguhnya ia adalah sebesar - besar musibah .

7. Pastinya jauh langit dan bumi jika dibanding tahap tekanan dan bebanan yang kita hadapi pada hari ini dengan apa yang dihadapi oleh Rasulullah saw sebagai Rasul ulul A'zmi . Namun jelas , tatkala membaca sirah Rasulullah saw , bagai satu tamparan terhadap diri sendiri betapa tidak layak pun kita nak mengeluh dengan sedikit ujian yang kita hadapi .

8. Jamaludin Al Afghani pernah menganggap ujian seperti buang daerah laksana melancung , penjara seperti istirehat dan dibunuh pula merupakan jalan pintas untuk menemui Allah swt sebagai kekasih yang dirindui . Sungguh dahsyat ibarat ini . Siapakah gerangannya yang mampu menganggap penjara sebagai tempat istirehat dan buang daerah sebagai pakej pelancungan jika ia bukan terdiri dari pejuang - pejuang Islam yang tinggi pergantungannya kepada Allah swt .

9. Manisnya berjuang apabila kita merasai keperitannya . Seperti lazatnya orang berpuasa setelah ia melalui detik lapar dan dahaga kemudian ia berbuka dihujung hari . Indahnya hidup orang yang mendapat sijil pengajian setelah berpenat lelah saban tahun mencari ilmu . Begitulah manisnya berjuang biar difitnah dan ditohmah . Biar penat dan lelah segala anggota namun dikala ada kesempatan bertelingkuh bermunajat ke hadhrat Ilahi , terasa diri cukup bertuah .

10. Selamat berjuang buat semua biarpun payah .

Sunday, October 25, 2009

Jangan Nyalakan Api Fitnah

1. Fitnah adalah satu malapetaka yang membinasakan . Sememangnya Islam memberi perhatian serius terhadap bahaya fitnah sehingga disebut implikasinya lebih buruk dari membunuh .

2. Fitnah secara umumnya adalah pencetus sengketa justeru ia sering membabitkan tuduhan tanpa bukti , pra sangka tanpa asas dan persepsi yang salah . Malah fitnah sering beriringan dengan dendam atau sekurang - kurangnya rasa tidak puas hati terhadap pihak yang lain .

3. Ia juga seperti harimau yang sedang tidur . Sesiapa sahaja yang mengejutkannya dari tidur yang nyenyak hanya membuatkan harimau itu bingkas dan menerkam . Sedikit sahaja percubaan meniup api fitnah , ia akan menyala dan menyambar .

4. Fitnah jua boleh tercetus dalam pelbagai situasi juga dari aneka posisi . Lantaran itu , berhati - hatilah kerana fitnah adalah agenda syaithan yang pastinya ingin melihat para pejuang Islam berantakan sesama sendiri .

5. Semoga kita dipelihara oleh Allah swt daripada kebinasaan ini . Jauhi fitnah malah jangan sekali - kali berjinak - jinak dengan fitnah . Jika ingin membuat tuduhan , pastikan ada bukti yang kukuh dan jelas . Jika mahu mengandai atau menyangka , pastikan andaian atau sangkaan itu baik . Jika mahu membentuk persepsi , bentuklah persepsi yang tepat dan benar .

6. Terlebih wajar sikap itu diambil tatkala kita berhadapan dengan sahabat seperjuangan . Meskipun wujud perbedaan pandangan dan kelainan tindakan dikalangan anggota jamaah , ianya tidak menghalalkan kita mencetus dan menabur fitnah . Fitnah yang dicetus samalah kita menikam dan membunuh sahabat seperjuangan kita bahkan kesannya lebih kejam .

7. Mengelak agar fitnah tidak terus subur menjadi tanggungjawab kita semua dengan memastikan diri kita tidak bercakap dan mengulas dalam perkara yang kita tidak tahu hujung pangkal atau jangan sekali - sekali membentuk sikap dan fikiran semata - mata mendengar dari satu pihak tanpa menilai dengan adil dan memberi peluang kepada pihak lain pula .

8. Padam segera api fitnah dan padam juga semangat dendam yang membara . Tiada siapa yang boleh mengaut keuntungan apabila fitnah ini merebak , sebaliknya jamaah akan binasa , anggota jamaah akan berpecah , masa depan perjuangan menjadi suram dan Allah swt akan murka .

9. Atas nama Allah swt kita bersyahadah , kitab suci al Quran menjadi rujukan bersama dan mendaulatkan Islam adalah matlamat kita , maka saya menyeru semua pihak agar kita bertaut kembali di atas nokhtah yang sama ini . Tiada yang membezakan kita dan tiada siapa yang boleh menjarakkan kita kecuali kita sengaja melakukannya atau kita sengaja membuka ruang kepada agent - agent musuh untuk menyelinap masuk merosakkan jamaah dari dalam .

10. Marilah kita menghayati kembali ruh berjamaah yang berpaksi di atas semangat ukhuwwah fillah yang utuh lagi intim . Jangan pula kita seronok melihat jamaah retak dan hubungan kita rosak . Mungkin banyak perkara terpaksa kita korbankan khasnya perasaan kita agar jamaah dan ukhuwwah kita kembali pulih malah lebih baik dari sebelumnya . Ianya tidak mustahil dan kita boleh melakukannya demi Islam .



Thursday, May 14, 2009

Ibu : Tarbiyyahlah Anakmu

Kasih ibu terhadap anaknya tidak bermusim , berbeza kasih anak buat ibu hanya pada saat dan tika tertentu .

Barangkali lah [ pada hemat saya ] , dunia hari ini perlukan "hari ibu" untuk memaut ingatan dan kasih insan bergelar anak buat ibu mereka .

Dunia seperti insaf betapa hari ini ibu menjadi bahan antik yang disimpan atau diperosok ke rumah orang - orang tua dan sebahagiannya ditinggal sendirian membilang hari mati .

Kecil sizenya dan sedikit pula jumlahnya buat manusia bertaraf ibu yang mampu mengecap kebahagiaan disamping anak - anak hingga ke akhir hayat mereka .

Hanya anak - anak yang soleh/ah memiliki keupayaan menjaga dan membelai sang ibu biar usia memamah seri wajahnya sehingga sang ibu ini menghembuskan nafas akhirnya dengan tenang di pangkuan anak .

Namun anak yang sanggup bertahan dengan karenah ibu tua bukan mudah dicari . Saya membenarkan kata - kata entah dari siapa yang mengatakan : Ibu seorang boleh membelai dan membesarkan sepuluh orang anaknya namun anak yang sepuluh ini belum tentu dapat membelai dan menjaga ibunya yang seorang .

Sempena hari ibu ini , selain saya turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan semoga berbahagia kepada semua insan bergelar ibu khasnya ibu saya Siti Mariah bt Derani, suka saya mengucapkan jua suatu yang berlainan dari ucapan orang lain .

Ucapan yang saya maksudkan itu ialah " Ibu ! Tarbiyahlah anak - anakmu agar mereka menjadi insan yang soleh dan seterusnya turun ke medan lantas berjuang untuk menegakkan agama Allah swt . Saya kira , anak seperti inilah akan membuatkan ibu bangga dan bahagia ."

Firman Allah swt :

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah Kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara Yang menyukakan hati melihatnya ( penyejuk mata hati ), dan Jadikanlah Kami Imam ikutan bagi orang-orang Yang bertaqwa.

( Surah al Furqan . Ayat : 74 )

Anak adalah anugerah Ilahi yang menjadi amanah ke atas setiap ibubapa , bukan sahaja untuk mengasihinya bahkan juga memelihara dan mendidik agar ia membesar sebagai insan yang soleh dan bertaqwa kepada Allah swt. Justeru itu , Nabi saw menegaskan :[1]

ما من مَوْلُودٍ إلا يُولَدُ على الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أو ينصرانه أو يُمَجِّسَانِهِ

Tiadalah seorang anak yang dilahirkan melainkan ia dilahirkan di atas fitrah . Maka ibubapanya bertanggungjawab menjadikan anaknya Yahudi , Nasrani atau Majusi .

( Riwayat Imam Bukhari dan Muslim )

Anak adalah merupakan asset atau permata hidup kita. Mereka membantu hayat rumah tangga kita dan juga keceriaannya . Mereka jugalah penyambung warisan keluarga dan ummah , malah Nabi saw. sangat berbangga dengan ramainya jumlah ummat Baginda di akhir zaman . Sabda Rasulullah saw. [2]

تزوجوا الودود الولود فإني مكاثر بكم الأمم

Kahwinilah oleh mu akan isteri yang penyayang dan boleh melahirkan anak , maka sesungguhnya aku sangat berbangga dengan ramainya ummat.

( Riwayat Abi Daud dan an Nasa’I )

Melaksanakan tanggungjawab membesar dan mendidik anak – anak bukan suatu yang mudah , sementelah pula kita hari ini terpaksa membesarkan anak di zaman yang terlalu rosak persekitarannya.[3]

Ibubapa perlu memberikan komitmen yang tinggi terhadap pendidikkan anak yang pastinya tidak terhad kepada memberi pelajaran akademik tetapi juga mendidik jiwa mereka agar sedia untuk melaksanakan suruhan Ilahi .

Melengkapkan asuhan mereka sehingga mampu memiliki keperibadian mulia sebagai benteng kukuh menghalang pencemaran akhlak dewasa kini.

Terlebih penting ialah memiliki Aqidah yang benar dan Spiritual yang yang mantap agar mereka selamat pula dari gejala riddah dan ajaran sesat yang kian luas menular .

Pengajaran dari wasiat Lukmanul Hakim .

13. Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman Yang besar".

14. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun; (dengan Yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

15. Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya Engkau mempersekutukan denganku sesuatu Yang Engkau - Dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah Engkau taat kepada mereka; dan bergaulah Dengan mereka di dunia Dengan cara Yang baik. dan Turutlah jalan orang-orang Yang rujuk kembali kepadaKu (dengan Tauhid dan amal-amal Yang soleh). kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu Segala Yang kamu telah kerjakan.

16. (Luqman menasihati Anaknya Dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, Sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau Yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di Dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana Sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi amat meliputi akan Segala Yang tersembunyi.

17. "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan Yang mungkar, dan Bersabarlah atas Segala bala bencana Yang menimpamu. Sesungguhnya Yang demikian itu adalah dari perkara-perkara Yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

18. "Dan janganlah Engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang Yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

19. "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".

Intisari Tarbiyyah dari Wasiat Luqman :

· Membina Aqidah kukuh agar tidak syirik .
. Asuhan agar mentaati Ibu bapa .
· Meyakini pembalasan Ilahi. ( syurga neraka & dosa pahala )
· Melaksanakan Ibadah asas seperti solat
· Mencegah dari terjerumus ke lembah maksiat .
. Sabar menghadapi apa jua musibah tatkala melayari bahtera kehidupan .
· Jauhi sifat tercela seperti Takabbur dsbnya.
· Hiasi diri dengan sifat mahmudah seperti merendah diri dsbnya.
Inilah silibus utama dalam Pendidikan Anak yang perlu kita laksanakan.

Antara lainnya sabda Rasululullah saw. :[4]

مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عليها وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ في الْمَضَاجِعِ

Perintah anak – anak kamu supaya mendirikan solat sedang usia mereka telah meningkat 7 tahun dan pukullah mereka ( jika mereka enggan ) apabila umur mereka meningkat 10 tahun dan asingkan tempat tidur mereka ( lelaki dan perempuan )

( Hadis Sohih Riwayat Imam Ahmad , Abi Daud , al Hakim dan al Baihaqi )

PETUA ALIM ULAMA’ DALAM MENDIDIK ANAK .[5]

ANAK NAKAL .

1. Baca Surah al Fatihah dan hadiahkan kepada Baginda Rasulullah saw.
2. Selawat al Fatih : 100 kali
اللَّهُمَّ صَلِّ وَ سَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلىَ سَيِّدِناَ مُحَمَّدِنِ الْفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ وَ الْخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ وَ نَاصِرِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ وَ الْهَادِيْ إِلىَ صِرَاطِكَ الْمُسْتَقِيْمَ وَ عَلَى آلِهِ وَ أَصْحَابِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَ مِقْدَارِهِ اْلعَظِيْمِ .
3. Surah Aali Imran . Ayat : 83 [6]
4. Ayat al Kursi . 170 kali
5. Surah at Taubah . Ayat 46 : 100 Kali .


Ayat – ayat tersebut dibaca pada air dan gunakan air tersebut sebagai minuman dan mandian .

ANAK DEGIL .

Baca ayat “ Salam Yassin ” : Ayat ke 58 dari surah Yassin .
Baca atau amalkan ayat ini tatkala matahari hampir terbenam atau di tengah malam jumaat sebanyak 313 kali . Sebelum membacanya , terlebih dahulu baca surah al Fatihah sebanyak 5 kali di hadiahkan kepada Rasulullah saw , Alim Ulama’ , Para Syuhada’ , Ibu bapa dan muslimin muslimat seluruhnya.

MELAHIRKAN ANAK YANG MENJAUHKAN DIRI DARI MAKSIAT.

Kepada pasangan suami isteri yang bakal menimang cahaya mata , hendaklah memperbanyakkan membaca surah at Taubah . Semoga anak yang bakal lahir menjadi manusia yang beriman dan bertaqwa.

Semoga Allah memberkati kita semua .

[1] Sohih Bukhari Jil. 1 / Mukasurat 456 . Hadis No. 1293 ( Terbitan Dar Ibnu Kathir 1987 / cetakan ketiga ) Sohih Muslim . Jil . 4 / Muka surat 2047 . Hadis No. 2658 ( Terbitan Ihya’ Turas al A’rabi )[2] Sunan Abi Daud . Jil. 2 / Muka surat 220 . Hadis No : 2050 . Terbitan Darul Fikri . Sohih . di keluarkan oleh an Nasa’I dlm Kitabun Nikah Bab Karahiyatun Tazwijul A’qim . Jil .6 Muka surat 373 . Hadis No. 3227[3] Terdedah kepada gejala social yang merosakkan akhlak dan moral , malah turut mengancam aqidah dengan pelbagai sogokan ideology dan ajaran yang asing dari Manhaj an Nabawiyyah ( antara contoh : Sebagaimana kes murtad yang didedahkan oleh Mastika bln Oktober 2006.)[4] Sunan Abi Daud . Jil 1 / Muka surat : 133 . Hadis No. 495 Terbitan Darul Fikri . Musnad Imam Ahmad . Jil . 2 / muka surat 180 hadis No. 6689 al Hakim dalam Al Mustadrak . Jil . 1 / muka surat 197 dan Sunan al Baihaqi . Jil 3 / muka surat 84[5] Rujuk buku : Amalan Pelembut Hati . Susunan al Ustaz Hanif bin Hj. Ghazali . Terbitan Madrasah Zubaidiyyah . Merbok Kedah .[6] Imam Tabarani meriwayatkan hadis daripada saiyidina Anas bin Malik Bahawa nabi saw. telah bersabda :
من ساء خلقه من الرقيق و الدواب و الصبيان فاقرءوا في أذنه :

Saturday, April 18, 2009

Benarkah Kita Berjuang ... ?



Wahai orang yang beriman ! Apa yang telah berlaku kepada kamu ?

Apabila kamu diseru , agar turun ke medan untuk memperjuangkan agama Allah swt. tiba - tiba kamu memberatkan papan punggung kamu ke permukaan bumi [ malas ]

Kenapa jadi begitu ? adakah kerana kamu lebih sayang kepada kehidupan dunia berbanding kehidupan akhirat ?

Ketahuilah ! sesungguhnya kehidupan dunia yang kamu dambakan itu , berbanding akhirat yang telah dijanjikan oleh Allah swt. adalah sangat kecil nilainya disisi Allah swt .

Jika sekiranya kamu lengah untuk menunaikan amanah perjuangan , nescaya kamu akan diazab oleh Allah swt dengan azab yang sangat pedih .

Maksud Firman Allah swt dari surah at Taubah . Ayat : 38 - 39

Seseketika dalam mengharungi perjuangan ini , alangkah kita duduk sejenak untuk menganalisa atau bermuhasabah diri . Memandang jauh ke dalam jiwa dengan menyelaminya secara jujur dan telus terhadap diri sendiri . Lalu kita ajukan pada diri satu soalan , benarkah kita berjuang ?

Berjuang yang dimaksudkan di sini ialah bekerja gigih dengan segala upaya dan daya malah mengambil segala ruang dan peluang untuk menjulang kalimah Allah swt sehingga ia mengatasi ideologi ciptaan manusia , meskipun terpaksa berhadapan dengan tribulasi dan implikasi yang mengancam kepentingan diri .

Atas alasan dan tujuan tersebut , kita menyertai jamaah Islam ini bagi memastikan aspirasi perjuangan suci itu dapat kita laksanakan secara lebih berkesan . Persoalannya , benarkah kita berjuang ?

Benarkah kita berjuang ? , kalau hanya mengisi borang dan mendaftar diri sebagai anggota jamaah Islam tetapi gagal untuk komited [ iltizam ] dengan segala aktiviti amal jamaei yang dianjurkan oleh jamaah . Kita hanya mampu mentarbiyah tetapi tidak boleh ditarbiyah . Mampu mengarah tetapi tidak boleh diarah . Mampu menegur tetapi tidak boleh ditegur .

Benarkah kita berjuang ? , dengan hanya semata - mata kerap menghadhiri ceramah - ceramah umum tetapi liat untuk hadir dan menekuni program - program khusus seperti usrah , liqa fikri , tamrin , mukhayyam dan pelbagai aktiviti spiritual seperti qiamulail , al mathurat dan zikrullah . Program ceramah dilihat lebih penting sebab kita dapat publisiti sedang usrah ni hanya dihadhiri oleh 10 orang , tidak glamour langsung !

Benarkah kita berjuang ? , apabila kita selalu sahaja gagal melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah digalaskan ke atas pundak kita sebagai pimpinan jamaah walau dimana peringkat posisi kepimpinan kita . Mesyuarat sering tidak hadhir dan kalau pun hadhir hanya dengan kepala kosong . Lebih malang , ada mesyuarat dalam mesyuarat dan ada mesyuarat selepas mesyuarat .

Benarkah kita berjuang ? , sedang banyak masa kita habiskan untuk bersahaja dan mengelamun dalam mengimpi kemenangan . Hanya pandai mengomel dan mengkritik kesalahan anggota jamaah yang lain tetapi kita sendiri hanya mampu berdiri di tepian gelanggang . Kerja kita tidak beres tetapi nak ambil kerja orang lain . Kalut tidak bertempat .

Benarkah kita berjuang ? , seringkali kita mengabaikan hak ukhuwwah atau persaudaraan Islam sesama anggota . Cepat berburuk sangka malah sedikit berbeza pendapat kita terus menyerang pemikiran dan peribadinya seolah - seolah ia adalah musuh tradisi perjuangan kita . Kita rasa hanya kita sahaja yang hebat , berilmu dan berpengalaman . Pintar berhujjah dan berdebat . Kita pandang sahabat pun hanya dengan sebelah mata , penuh rasa benci . Senyum dan bersalam hanya untuk bermuka - muka .

Benarkah kita berjuang ? , suka sangat kita dedahkan rahsia jamaah . Setiap bilah dan patah perkataan yang dibincang dalam mesyuarat kita tulis dalam blog atau web site . Kita jadikan ia bahan sensasi untuk melariskan web site kita jua dengan harapan orang kata kita berani menegakkan kebenaran dan berani melampirkan fakta . Hanya kita yang mahu mempertahankan Islam dan jamaahnya sedang orang lain adalah pengkhianat yang perlu ditumpaskan .

Benarkah kita berjuang ? , kerana wawasan dan sesuatu gagasan pemikiran itu dilahirkan oleh pemimpin atau anggota jamaah yang kita tidak suka , maka kita tolak mentah - mentah . Lebih malang kita kasar dalam menolak dan kita lancang dalam berbicara . Langsung kita tidak hiraukan adab ikhtilaf sebaliknya apa yang kita inginkan ialah bagaimana kita nak menang dan pandangan kita yang diterima pakai .

Benarkah kita berjuang ? , kita sanggup mencantas sahabat seperjuangan dengan cara yang tidak bermoral agar dia jatuh dan kita yang naik jadi pemimpin . Kita melobi habis kawasan dan negeri bagi memastikan kita atau calun pemimpin yang kita suka mencapai kemenangan . Soal mampu atau tidak , soleh atau tidak bukan lagi menjadi ukuran . Ukuran tepat ialah dia mesti dari team kita .

Benarkah kita berjuang ? , wala' atau taat setia kita telah berbelah bahagi , bukan lagi kepada pimpinan jamaah tetapi di sana ada individu berpengaruh dan ia berada di luar jamaah yang sangat kita kagum karektornya . Sedang pimpinan kita sendiri dilihat kolot dan tidak hebat . Kita tidak berdiri teguh di belakang pimpinan kita sebaliknya kita teguh berdiri dan menyokong pemimpin dari luar jamaah kita sendiri .

Benarkah kita berjuang ? , hubungan kita hanya terhad kepada golongan dan team kita . Dakwah kita tidak melebar kepada semua golongan termasuklah non muslim . Kita hanya hebat dalam gelanggang kita sendiri . Kita orang PAS ceramah pasal PAS dalam markas PAS kepada orang PAS , habis tu bila Islam ni nak lePAS ?

Benarkah kita berjuang ? , peribadi kita tidak melambangkan inspirasi perjuangan . Kita malu sipu nak jelaskan dasar perjuangan kerana keterlaluan mahu menjaga hati . Suara Islam mahu diliberalkan atas alasan orang belum memahami Islam . Penampilan diri juga dinuetralkan agar tidak dianggap fundamental .

Benarkah kita berjuang ? , kita banyak ketawa dan hidup dalam kemewahan . Kita tidak mampu menyelami kesusahan dan kepayahan yang dihadapi oleh para murabitun jamaah yang ikhlas berjuang , jauh sekali untuk rakyat yang terhimpit . Gaya hidup hampir menyerupai musuh malah meluka perasaan anggota jamaah sendiri .

Benarkah kita berjuang ? , ibadah kita kurang . Hubungan kita dengan Allah swt jauh . Gagal solat berjamaah dan membaca al quran pada kekerapan yang lebih berbanding orang awam . Kehalusan budi dan ketulusan hati tidak kita dimiliki . Ucapan kita menampakkan kesombongan dan tindakan kita tidak berhemah . Suka pandang rendah pada orang lain jauh sekali mahu menghormati mereka .

Benarkah kita berjuang ? , kadang - kadang kita pun keliru mengenai konsep kepimpinan jamaah kita sendiri . Kita sebut kepimpinan ulama' tetapi kita tidak beradab dengan ulama' . maki hamun ulama' dan menista mereka menjadi kalimah yang meniti di bibir kita tanpa rasa bersalah apalagi berdosa .

Benarkah kita berjuang ? , kerana kita pun tidak jelas matlamat dan hala tuju perjuangan . jamaah kita ni gerakan Islam ke ? atau parti politik semata ? Slogan perjuangan pun gagal kita hayati . Matlamat kita , dustur kita , landasan kita , ikutan kita , cita - cita kita tidak mendarah daging dalam diri kita . malang , sering kita ni cakap lain tetapi tindakan kita lain pula .

Benarkah kita berjuang ? , banyak sungguh dosa kita . Makin berjuang makin tambah dosa . Dosa mengumpat , dosa mengutuk , dosa salah sangka , dosa mencantas , dosa memfitnah , dosa menipu , dosa tidak taat kepada pimpinan , dosa tidak tunai amanah perjuangan , dosa dedah rahsia jamaah , dosa khianat kepada sahabat seperjuangan , dosa hipokrit , dosa melukakan hati anggota jamaah , dosa dedahkan aib pimpinan dan anggota jamaah , dosa mata , dosa tangan , dosa kaki , dosa telinga , dosa mulut , dosa hati , dosa otak , dosa .... , dosa .... , dosa .....dan dosa .....

Ya Allah ! benarkah kita ni berjuang ? atau kita selama ini hanya bermain dan menambah beban dosa dalam perjuangan buat diri kita sendiri .

hayya bina nu'min saah ! ayuh kita kita bersimpuh seketika untuk kita merenung [ introspection ] jauh ke dalam jiwa kita . Terlebih dulu kita buangkan segala alasan membela diri , sikap menyalahkan orang lain dan rasa diri dipihak benar . Sebaliknya cari alasan untuk menyalahkan diri agar kita insaf , jangan bela diri supaya dirasa diri kita juga perlu dihukum dan kumpulkan rasa bersalah itu atas diri kita sendiri agar kita tidak angkuh untuk mengakui kesilapan sendiri .

Sahabat ku semua , marilah kita bermuhasabah agar kita dekat dengan Allah swt dan kita segera diberikan nusrahNya . Insyaallah , muhasabah ini akan memulihkan hubungan kita yang retak , perjuangan kita yang tergugat , dan kedudukan kita yang kian jauh dari Allah swt .

Masih banyak item untuk dipersoalkan pada diri kita dengan mulakan pertanyaan benarkah kita berjuang ? semoga kita diridhai oleh Allah swt .

Selamat berjuang sahabat ku !

Wednesday, April 15, 2009

Pemuda: Ini Amanahmu

Pemuda : Masa Depan Ummah ditanganmu.

Dapat diperhatikan secara jelas , bagaimana dunia Islam hari ini sedang dikepong oleh musuh – musuhnya dari segenap arah . Bahkan permusuhan mereka terhadap Islam kian ketara dan mereka seperti tidak sabar lagi mahu melihat Islam ini hancur dan ummahnya musnah .

Sepanjang kembara tarbiyah , saya bersama Ustaz Zulqarnain dan Ir. Hj Khairil akan mengambil sebahagian masa untuk membincangkan apakah langkah dan bagaimana pula tindakan yang mesti diambil oleh kita selaku seorang muslim bagi mempertahankan Islam dan membantu ummat ini kembali bangkit bersama Izzah Islam .

Saya juga mengharapkan agar pemuda – pemuda Islam tidak memandang remeh akan perkara ini jauh sekali memandang sepi ke arahnya tanpa sebarang reaksi , sedang ummah sangat memerlukan sentuhan pemuda Islam bagi menyelamatkan mereka dan generasi yang mendatang.

Pemuda mestilah peka dan sensitive malah bersikap responsive terhadap pergerakkan musuh yang mungkin sukar dikesan oleh orang awam justeru mereka sering berselindung disebalik peraturan , undang – undang , Ngo , pergerakan kebajikan , hak asasi , kebebasan media dan seumpamanya .

Pemuda jangan lengah untuk bingkas menjawab segala tohmahan yang dilemparkan kepada Islam dan jangan sekali – kali lena di saat musuh bertubi arus mengarahkan serangan pemikiran kepada ummat Islam .

Pemuda sewajarnya bersatu dan jangan sekali – kali pecah hati dan retak solidarity dalam mengumpul segala upaya dan kekuatan berhadapan dengan ancaman musuh yang datang dengan perancangan rapi serta sistematik .

ANTARA TAKTIK MUSUH ISLAM

Al Marhum Abu A’ala Al Maududi rhm. Pernah menyebut di dalam bukunya yang berjudul Tanggungjawab Pemuda Islam Hari ini , bahawa musuh – musuh Islam begitu licik mengatur strategi untuk melemahkan Islam dan ummatnya . Antara taktik mereka ialah :


PERTAMA :

Merombak sistem pelajaran dan pendidikan adalah antara menjadi tujuan penjajahan . Setiap kali berjaya menguasai sesebuah negara Islam, mereka biasanya terus menghapuskan sistem pelajaran dan pendidikan kita jika mereka mampu. Atau mereka akan jadikan orang-orang yang berkelulusan menurut sistem pelajaran kita tidak ubah seperti barang yang tidak berharga dan seperti suatu benda yang hanya layak ditempatkan di dalam tong sampah.

KEDUA :

Menukar dan menghapus bahasa tempatan umat Islam dengan mengunakan cara yang halus. Mereka tidak akan membiarkan bahasa umat Islam yang telah ditawan itu mempunyai nilai yang tinggi. Mereka singkirkan bahasa-bahasa itu agar tidak digunakan dalam bidang pelajaran dan pendidikan.

Mereka juga tidak akan mengekalkan bahasa tempatan sebagai bahasa rasmi dalam sektor pentadbiran negara. Mereka kuatkuasakan bahasa mereka menjadi bahasa rasmi di dalam urusan pendidikan dan pentadbiran negara sebagai pengganti bahasa yang telah dimusnahkan itu. Taktik-taktik yang kotor itu telah pun diamalkan dalam negara-negara Islam oleh semua penjajah barat seperti Belanda, Inggeris, Perancis dan Itali. Begitu juga Russia dan China. Seolah-olah mereka semua telah mengadakan persetujuan bersama dalam mengunakan taktik ini.

KETIGA :

Membentuk angkatan baru yang buta (jahil) Islam. Penjajah barat telah mencipta dalam negara-negara Islam melalui cara yang amat halus suatu generasi baru yang jahil tentang Islam yang suci. Mereka ini jahil tentang asas utama akidah, syariat, sejarah Islam yang agong dan tamaddun mereka yang hebat.

Ini hanyalah satu sudut, manakala sudut lain pula generasi ini telah dicelup aliran pemikiran nya sehingga caracara berfikir dan pandangan mereka terhadap perilaku sesuatu itu mengikut kacamata materialisma barat. Dari generasi yang berhaluan barat ini tumbuh pula generasi baru yang lain, yang sudah dapat dipastikan generasi yang belakang ini akan lebih lemah lagi pegangannya terhadap ajaran Islam dibandingkan dengan generasi sebelumnya.

Mereka lebih kuat dalam mempertahankan tamaddun barat, lebih cinta kepada kebudayan barat dan lebih yakin terhadap falsafah barat yang berkaitan dengan kehidupan manusia.

DI ANTARA KEWAJIPAN PEMUDA ISLAM

ِِAnda semua mestilah benar-benar menjadi muslim , baik dari segi ilmu pengetahuan mahupun dari segi fikiran.

Juga agar anda benar-benar menjadi muslim dari segi hati dan perasaan, supaya anda mendapat sebesar-besar habuan daripada kemampuan yang cukup lengkap dan berada di dalam kelengkapan yang pasti untuk melaksanakan kerja kemasyarakatan di zaman sekarang yang sesuai dengan perundangan dan ajaran Islam.

Anda semua mesti segera memperbetulkan budipekerti yang telah menyeleweng, memperbaiki adat yang telah rosak sehingga anda dapat memperlihatkan perkara secara praktikal bagi Islam seperti mana datuk nenek kita telah memperlihatkannya pada masa lampau.

Hendaklah anda semua mengetahui bahawa percanggahan antara perkataan dengan amalan itu akan menuumbuhkan bibit-bibit nifaq dalam jiwa. Ia akan menghilangkan kepercayaan.

Sesungguhnya kejayaan akan bergantung kepada kejujuran dan niat anda, benar di dalam keazaman dan keselarasan di antara amalan anda dengan perkataan anda. Sesungguhnya seseorang yang berkata apa yang ia tidak lakukan akan mendatangkan kemudaratan besar terhadap dakwahnya.

Firman Allah :

يَاأَيُهَا الَّذِینَ آَمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لا تَفْعَلُونَ *
كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman ! Mengapa kamu berkata barang yang kamu tidak buat. Besarlah kemurkaan di sisi Allah bahawa kamu berkata barang yang kamu tidak buat. ( Surah Al-Sof : 2-3 )

Janganlah anda merasa sayang untuk mencurahkan segala apa yang anda mampu melalui fikiran dan tenaga bekerja yang Allah kurniakan kepada anda untuk berdakwah.

Samada dengan tulisan atau dengan ucapan. Hendaklah anda mengkaji asas-asas tamaddun barat dan mengkritik serta membezakan di antara asas yang silap dengan yang betul. Anda perlu dapat membebaskan fikiran dan jiwa orang Islam dari meniru orang-orang barat.

Anda hendaklah mampu menghancurkan berhala-berhala dan teori-teori barat kerana teori ini telah banyak menipu segolongan orang-orang Islam sejak zaman berzaman. Ini hanyalah satu sudut, manakala sudut yang lain pula hendaklah anda bertugas menyusun dan membentangkan undang-undang Islam yang bersangkutan dengan kehidupan manusia dengan cara-cara yang paling munasabah dan mudah dalam mempraktikan supaya dapat menarik dan meyakinkan generasi baru bahawa undang-undang Islam itu adalah betul dan baik.

Anda hendaklah mampu meyakinkan mereka bahawa jika mereka mengamalkan sistem Islam mereka bukan sahaja akan maju ke depan, malah mereka akan mendahului bangsa lain dalam semua cabang kehidupan.

Sesungguhnya makin luas daerah kegiatan kerja anda dan makin betul dengan manhaj Islam maka makin bertambah banyaklah bilangan pendakwah, bilangan pendokongnya dan bilangan orang yang berpengaruh dengannya di dalam tiap perjuangan hidup.

Dan tugas anda ini hendaklah diteruskan untuk jangka masa yang panjang hingga tiba suatu hari, di mana akan lahir kumpulan manusia yang ramai, yang beriman dengan tugas dakwah dan bergabung di bawah panji dakwah Islamiyyah.

Kumpulan ini sangat kita perlukan untuk mengikat bangunan negara di atas tiang-tiang seri yang berlandaskan Islam. Termasuk di dalam perkara sia-sia sekiranya kita mengira bahawa perubahan Islam secara lengkap dan sempurna boleh wujud dengan tidak didahuluinya oleh persiapan yang cukup. Jika di takdirkan perkara itu berhasil juga dengan tiada persiapan yang cukup lengkap maka perkara itu tidak akan tahan lama dan terasnya tidak akan bertapak kukuh di bumi.

Hendaklah anda gabungkan tiap-tiap orang yang berminat dengan dakwah Islamiyah kepada usrah dan kumpulan anda.

Hendaklah anda menyusun orang-orang yang ada di kalangan mereka dalam satu jemaah yang kuat, yang mempunyai disiplin yang kukuh dan mempunyai perlembagaan yang utuh hingga kelemahan dan kelonglaian tidak boleh menyelit dicelah-celah barisan anda.

Sesungguhnya semata-mata membentuk jemaah di kalangan manusia yang telah bersetuju dengan dasar tertentu tanpa ada penyusunan yang licin, kukuh dan segala gerak kerjanya di tolak oleh perasaan taat dan patuh, maka itu adalah pekerjaan yang cacat tidak akan membuahkan natijah. Ini telah dibuktikan oleh pengalaman dan pengajaran yang telah lepas. Orang yang berpengalaman sahaja dapat menjelaskan kepada anda.

Begitu juga anda mesti bekerja keras menyebar dakwah di kalangan orang orang awam hingga anda boleh menyingkap kabus kejahilan mereka.

Anda jadikanlah mereka itu terang benderang mengenai agama mereka, sehingga mereka dapat membezakan di antara yang buruk dari yang baik.

Demikian juga anda mesti bekerja keras memperbaiki budi pekerti mereka, meninggikan taraf pemikiran dan fahaman mereka terhadap Islam supaya mereka dapat berdiri tegak dan teguh dalam menghadapi serangan ideologi, seruan kepada maksiat dan kefasikan yang sedang bermaharaja lela di negeri-negari Islam, dengan dibantu dan dokongan dari kerajaan yang telah
rosak.

Ini adalah penting kerana :

Bumi yang rakyatnya telah mempertuhankan syahwat dan kelazatan hidup tidak boleh menjadi bumi yang baik untuk dibangunkan negara Islam,

Bila lahirnya sikap pura-pura dan merebaknya kejahatan yang menyeluruh di kalangan umum manusia, mustahillah untuk dibangunkan dasar dan undang-undang Islam di kalangan para pendusta, pengkhianat dan orangorang fasik. Sejauh mana mereka boleh hidup dengan dasar dan sistem kafir maka sejauh itulah mereka tidak boleh hidup dengan dasar dan sistem Islam.

Jangan anda cuba membangun dasar-dasar Islam di atas asas yang tidak sihat, di atas tiang seri yang lemah dan di atas tunjang yang bergoyang.

Anda mesti bersabar dahulu di dalam masalah ini, kerana matlamat yang mahu kita capai itu ialah matlamat yang besar, yang bertujuan membaiki nilai-nilai kemanusiaan, memberikan fahaman kepada manusia dan mengembalikan mereka ke kandang Islam sesudah mereka berada di dalam kemurtadan sejak beberapa lama. Kerja-kerja yang baik seperti ini memerlukan keteguhan dan kesabaran dan pemikiran yang matang.

Anda pasti menghayung langkah kedepan dan tiap langkah mesti berwaspada, bijaksana dan berhati-hati. Dan jangan anda terlalu cepat menghayung langkah baru sebelum anda mengulangi hasil langkahan anda dahulu serta menganalisa natijahnya : Adakah langkahan itu berjalan di atas jalan yang telah digariskan, adakah ia memberi natijah yang diharapkan.

Antara hakikat yang mesti diterima ialah gopoh gapah itu adalah suatu perkara yang tidak selamat akibatnya. Contohnya

- kita menyertai di dalam suatu kementerian yang tidak betul dan tidak beriman dengan dengan dasar-dasar kita

- Harapan kita menyertai di dalam kementerian itu akan memberi suatu langkah yang boleh mendekati kepada tujuan-tujuan kita. Tetapi itu adalah perkara yang salah kerana pengalaman lalu membuktikan bahawa usaha yang seumpama ini tidak akan membuahkan natijah yang baik, kerana orang yang memegang teraju pemerintahan, merekalah yang menetapkan polisi pemerintahan dalam dan luar negerinya dan menyelenggarakan polisi pemerintahan itu berdasarkan kepentingan dan nafsu mereka.

Penyertaan kita bersama mereka dengan membawa tujuan yang baik, bersih dan mulia terpaksa berganding bahu dengan mereka dan terpaksa menyesuaikan dengan perjalanan mereka. Ini memberi erti bahawa pada akhirnya kita akan jadi trompet dan alat mainan di tangan mereka, yang boleh mereka lakukan terhadap kita mengikut sesuka hati mereka.

Friday, March 13, 2009

Membina Karisma Kepimpinan PAS

Kepimpinan Ulama' :
Membina Karisma Kepimpinan.

Kepimpinan adalah jentera utama bagi sebuah organisasi , apatah lagi bagi sebuah organisasi yang memperjuangkan Islam seperti PAS .

PAS sebagai sebuah Gerakan Islam, telah diketahui umum bahawa teras kepimpinannya ialah Kepimpinan Ulama' dimana ianya telah diasaskan sejak awal 80an lagi .

Namun ia tidaklah boleh dibiarkan mengambil tempoh sekian lama tanpa kepimpinan ini dimuhasabah dan diperkasakan dari masa ke semasa terutama bagi melengkapkan keperluan jamaah dan tuntutan perjuangan yang kian mencabar dewasa kini .

Bahkan kepimpinan parti [ PAS ] janganlah berasa selesa dengan tahap prestasi yang dimiliki melainkan mestilah secara jujur dan bertanggungjawab berusaha segigih mungkin untuk mempertingkatkan kualiti kepimpinan . Sekurang - kurangnya menghampiri garis kepimpinan yang menepati piawaian standard dalam pengurusan organisasi dan juga pengurusan sumber manusia [ ahli / anggota parti ] .

Justeru itu karisma kepimpinan yang berteraskan Kepimpinan Ulama' ini janganlah terhenti di atas penguasaan ilmu agama semata - mata [ tanpa menafikan kepentingannya ] , tetapi mestilah mempunyai kredebiliti dalam menangani peraturan dan arahan gerakkerja dalaman parti serta mendepani strategi dan tindakan terhadap isu atau perkembangan politik .

Sewajarnya kita menyedari bahawa PAS bukanlah halaqah pengajian Fardhu Ain atau Sidang Fatwa yang mana tidak mengapa jika kepimpinan hanya memantau dari jauh atau 'slow' dalam tindakan . Sekadar menanti kalau ada isu yang bertentangan dengan agama untuk bersuara dan bertindak .

Sebaliknya PAS adalah sebuah Gerakan Islam yang selayaknya aktif dan agerasif meredah cabaran malah membelah halangan membentuk laluan untuk Islam di daulatkan serta menangani isu ummah lantas menjuarainya , maka kepimpinan PAS mestilah kepimpinan yang aktif , hidup dan bertenaga dalam menggerakkan seluruh jentera dan organ parti ke arah mencapai matlamat perjuangan .

Kepimpinan Yang Pasif Tidak diperlukan .

Menyedari zaman yang penuh dengan ancaman dan halangan malah 1001 kesulitan terpaksa dihadapi , ditambah pula kekurangan tenaga dan upaya untuk mendepani segala tahaddiyat ini , meletakkan beban amanah itu semakin besar dan berat kepada pemimpin parti .

Mereka tidak boleh bersikap sambil lewa , hadhir mesyuarat dengan 'kepala kosong' tanpa idea , lebih malang jika gagal menghadhiri mesyuarat sedang potfolio yang disandangnya adalah sandaran parti untuk mencapai objektif dan matlamat perjuangan .

Kepimpinan yang berwibawa pula berkarisma , ialah kepimpinan yang mampu menggerakkan diri , lajnah dan anggotanya bagi melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya . Malang 1001 kali malang jika kepimpinan yang dipilih dan dilantik sekadar menjadikan jawatan itu sebagai populariti atau mengambil manafaat dari title berjawat untuk penampilan diri dalam parti .

Lebih malang kepimpinan pasif ini menjadi penghalang kepada individu - individu tertentu yang memiliki kemahuan dan kesungguhan untuk melaksanakan tugas serta amanah perjuangan tetapi tidak boleh berbuat demikian lantaran tiada ruang kerana tidak berjawat . Kuota pilihan dan lantikan kepimpinan telah dipenuhkan oleh mereka yang tidak berfungsi .

Kepimpinan Pasif ini biasanya hadhir mesyuarat sekadar menongkat dagu dan merenung meja mesyuarat tanpa idea bernas apalagi kertas kerja yang menggariskan tindakan yang perlu dilaksana . Tambah memalukan jika wujud pula "mesyuarat" dalam mesyuarat atau sebarang aksi dan perlakuan sengaja yang jelas menunjukkan sikap tidak menghormati mesyuarat .

Kepimpinan Kalut tidak menambah Kebaikan parti

Sebagaimana kepimpinan pasif tidak diperlukan oleh parti malah mengganggu kelancaran gerakkerja parti dalam melangsungkan misi dan visinya , kepimpinan kalut juga tidak menambah kebaikan dan kekuatan organisasi . Sebaliknya kekalutan itu membuatkan organisasi menjadi semakin kusut dan tidak menentu .

Kepimpinan kalut ini mungkin banyak cakapnya dalam mesyuarat tetapi hanya sekadar menyampuk serta mengkritik aktiviti dan gerakkerja yang dibuat oleh pihak lain sedang tugas atau tanggungjawab sendiri diabaikan malah dilepaskan dengan cukup bijak melalui kepetahannya berkata - kata .

Terkadang kalut dengan 1001 idea tetapi malang , idea itu gagal dilaksanakan walau hanya satu dari idea tersebut . Akhirnya mesyuarat menjadi bising dan hingar seperti pasar tetapi tidak mehadhirkan natijah yang positif dan keputusan yang baik untuk dilaksanakan .

Kepimpinan Ulama' mesti bersih dari imej hambar ini .

Andai kepimpinan yang telah saya sebutkan itu benar - benar berlaku , tentulah ia melakar imej yang negatif kepada institusi Kepimpinan Ulama' .

Justeru itu , semua pihak bertanggungjawab berusaha meletakkan kepimpinan parti sebagai kepimpinan yang dinamis . Jika melibatkan individu ulama' yang alim dan faqih maka mestilah individu tersebut bertindak aktif dan profesional dalam tindakan sebagai penjawat amanah dalam parti agar dilihat kepimpinan ulama' aktif , cerdas dan cergas .

Sementara yang melibatkan individu profesional dan aktivis pula , mestilah individu terbabit melandaskan tindakan mereka berasaskan feqh Islami agar dilihat pula sebagai kompenan institusi Kepimpinan Ulama' yang tidak tersasar dari ketulenan manhaj perjuangan Islam .

Tegasnya , kepimpinan Ulama' bukanlah merujuk kepada batang tubuh individu ulama' yang wujud dalam parti tetapi berasaskan kolektif kepimpinan parti yang mendasarkan matlamat , tindakan dan hala tuju perjuangan di atas keputusan dan pemantauan syura ulama yang telah diinstitusikan di dalam parti .

Peranan Perwakilan menjelang Muktamar

Muktamar parti memberi hak kepada anggotanya memilih saf kepimpinan yang akan menerajui parti sekaligus memacu tindakan ke arah menepati objektif dan mencapai matlamat perjuangan . Menginsafi realiti tersebut , tugas perwakilan tidaklah mudah dalam membuat pilihan mengenegahkan pemimpin yang layak dan mengangkat pemimpin yang memiliki karisma .

Pemilihan tangkap muat , pangkah borong dan ikut mana yang sempat sama lah rendah kualitinya dengan cara memilih pemimpin berasaskan populariti atau mana yang pandai ceramah tapi zero prestasi kerjanya . Juga jelas tidak benar jika pemilihan itu turut berasaskan kroni bukan berasaskan merit .

Perwakilan mestilah terlebih dahulu benar - benar mengenal pasti calon yang yang akan dipilih agar tidak salah pilih atau memilih mereka yang tidak banyak membantu parti . Secara umumnya , calon parti PAS semuanya baik dari segi akhlak dan ikhlas pula dari segi niat . Tetapi kepimpinan tidak cukup sekadar baik akhlak dan ikhlas niat tetapi mestilah ada kesungguhan bekerja dan berjuang dan mampu menangani berat beban tanggungjawab yang digalas .

Peranan individu yang dicalonkan .

Kepimpinan bukanlah satu kemuliaan tetapi adalah satu taklif atau tanggungjawab yang mesti ditunai . Janganlah menjadikan jawatan sekadar untuk disandang sedang kita menyedari bahawa kita tidak bersedia untuk memimpin . Alangkah jika kita dengan rendah diri boleh menarik diri lalu memberi laluan kepada mereka yang berkelayakkan dan mampu menunaikan tugas dengan baik .

Apa yang kita fikir ialah untuk perjuangan yang kita dokong agar ianya digerakkan dengan sebaik mungkin bukan tergendala pergerakkannya ekoran kepimpinan yang pasif dan bersahaja dalam parti .

Namun saya berpendapat , jika ada dikalangan kita mendapat pencalonan , maka bersedialah untuk memikul tanggungjawab perjuangan ini sebaik mungkin dan mohonlah petunjuk Allah swt agar dikurniakan petunjuk dan kekuatan bagi melaksanakan tugas besar perjuangan ini . Tekad dan ikrarlah untuk menunaikan amanah yang bakal digalas .

Pun begitu , kita tahu akan keupayaan kita sendiri . Jika ada orang yang lebih layak daripada kita , pastinya tanggungjawab itu mesti diserahkan kepada mereka yang lebih layak dengan kita menarik diri lalu ruang dan peluang itu diberi kepada mereka .

Peranan Pemimpin yang telah dipilih dan dilantik .

Kepimpinan ini adalah masu'uliyah yang akan dipersoalkan dihadapan Allah kelak . Jawatan yang disandang sekali lagi saya tegaskan bukanlah sebagai satu kemuliaan jauh sekali satu keseronokan sebaliknya ia menjadi ujian besar buat kita membuktikan ubudiyah kita kepada Allah swt . sejauh mana kita bersedia menunaikan amanah apabila amanah itu diserahkan kepada kita . mengabaikan amanah tentu sahaja satu pengkhianatan dan kelak kita akan dihukum oleh Allah swt .

a ] Kenal pasti bidang tugas , kemudian cari jalan dengan segala upaya bagi menunaikan tanggungjawab dengan memberikan apa yang terbaik dari kita buat perjuangan suci ini .

b ] Perjuangan ini diurus tadbir secara berjamaah , justeru itu elakkan bertindak secara Lone Rangers atau Zorro . Kita bukan mengejar populariti secara individu jauh sekali publisiti diri . Sebaliknya kita mengangkat wadah perjuangan dan berjuang secara kolektif .

c ] Meskipun sukar dan penat memikul beban amanah perjuangan ini , sebagai pemimpin kita selayaknya bertahan dengan segala upaya yang kita miliki . Jangan manja dan jangan pula cepat merajuk .

d ] Selia perjuangan ini dengan semangat dan jiwa yang tenang . Jangan terlalu ikut "angin pasang surut" kita yang tidak menentu itu kerana ia menganggu prestasi . Berjuanglah dengan kesedaran dan kewajaran bukan mood dan perasaan .

e ] Dekatkan diri kepada Allah swt menjadikan kita kuat dan bertenaga menangani kerencaman masaalah perjuangan , dalaman atau luaran .

f ] Bertanggungjawab terhadap ahli biar pun hanya ahli biasa dengan memimpin mereka dan hidup bersama mereka . Tiada kepimpinan elit dalam perjuangan Islam sebagaimana tiada juga pemimpin yang kalis tarbiyah .

g ] Tunjangi tindakan dengan prinsip istisyarah dan istikharah agar kepimpinan kita biarpun dalam apa jua sentuhan yang kita lakukan tidak terhindar dari petunjuk Allah swt .

h ] Miliki semangat setia kawan berasaskan ukhuwwah fillah , basmi politik cantas sesama sendiri , jangan biarkan tenaga terbiar atau terbuang serta berlaku adil dalam tanggapan dan tindakan

i ] Berdisiplin , berakhlak , beradab dan thiqah sesama sendiri , dengan jamaah dan terhadap pimpinan jamaah .

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive