HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Monday, February 15, 2016

Perangi Budaya Fitnah-Memfitnah

Fitnah adalah perbuatan keji yang sangat dicela oleh syara’ justeru kesan radiasi fitnah jauh lebih dahsyat dari membunuh. Allah telah menegaskan perkara ini di dalam firmanNya yang berbunyi; (الفتنة أشد من القتل), bermaksud fitnah itu lebih dahsyat (kesan dan akibatnya) dari membunuh. ~ surah al-Baqarah ayat 191 ~

Fitnah adalah angkara perlakuan manusia jahat yang suka mencetuskan kekacauan, pergolakan, permusuhan, pengkhianatan, dendam, huru-hara dan 1001 kerosakan dikalangan masyarakat umat manusia. Sedang Islam yang diturunkan oleh Allah adalah agama yang harmoni, memelihara kesejahteraan bermasyarakat dan melarang sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang mencetus perpecahan dan permusuhan seperti fitnah, tohmah dan khianah.

Firman Allah;
إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ
“Sesungguhnya orang-orang yang mencetuskan bencana fitnah (untuk memesong dan memporak-perandakan) orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka jahannam (kerana perbuatan keji itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).” (surah al-Buruj ayat 10)

Sebagai insan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah Ta’ala. selayaknya kita menjauhkan diri, malah memerangi perbuatan fitnah agar ia tidak menjadi amalan yang berleluasa dikalangan masyarakat di dalam negara kita. Sebagaimana yang telah saya tegaskan tadi, bahawa fitnah adalah perbuatan yang dicetuskan oleh manusia fujur (jahat) yang dipengaruhi pemikiran dan jiwanya oleh syaihan durjana.

Umumnya objektif pelaku dan penyebar fitnah adalah untuk menolak kebenaran yang gagal disangkal dengan hujjah mereka. Fitnah menjadi senjata yang paling murah dan mudah dihasilkan untuk memerangi kebenaran. Ia juga adalah senjata yang digunakan sejak berzaman termasuk untuk menolak kebenaran yang diperjuangkan oleh Nabi sallallahu‘alaihi wasallam. 

Firman Allah;
لَقَدِ ابْتَغَوُاْ الْفِتْنَةَ مِن قَبْلُ وَقَلَّبُواْ لَكَ الأُمُورَ حَتَّى جَاءَ الْحَقُّ وَظَهَرَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَارِهُونَ
“Sesungguhnya mereka telah lakukan fitnah semenjak dahulu lagi, dan mereka merancangkan terhadapmu (wahai Muhammad) berbagai tipu daya, sehinggalah datanglah kebenaran, dan nyatalah (kemenangan) agama Allah (Islam), sedang mereka benci kepada-Nya.” (surah al-Taubah ayat 48)

Sungguhpun demikian, akan pasti ada fitnah yang menjalar di setiap zaman dan tempat. Ia dinyalakan dan ditiup agar umat manusia bertelagah dan bermusuhan. Justeru itu, kita tidak boleh berpeluk tubuh membiarkan api fitnah ini membakar kesejahteraan ummah dan membinasakan kebenaran yang diperjuangkan. Sungguhpun perit dan sengsara berdepan fitnah yang dihadapi, yakinlah bahawa Allah bersama dengan mereka yang memperjuangkan kebenaran. 
Firman Allah;
ثُمَّ إِنَّ رَبَّكَ لِلَّذِينَ هَاجَرُواْ مِن بَعْدِ مَا فُتِنُواْ ثُمَّ جَاهَدُواْ وَصَبَرُواْ إِنَّ رَبَّكَ مِن بَعْدِهَا لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ
“Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang-orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnah (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar. Sesungguhnya Tuhanmu (sesudah mereka menderita dan bersabar dalam perjuangan) adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (surah al-Nahl ayat 110)

Saya menyeru seluruh mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah agar menghindarkan diri daripada budaya fitnah dan bangkit menentang sebarang usaha melakukan fitnah lantaran inilah yang diperintah oleh Allah;
وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لاَ تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ فَإِنِ انتَهَوْا فَلاَ عُدْوَانَ إِلاَّ عَلَى الظَّالِمِينَ
“Dan perangilah mereka sehingga tiada lagi fitnah dan jadilah satu-satunya cara hidup (yang diamal) milik Allah (Islam), maka apabila ia telah berakhir maka tiada lagi permusuhan kecuali ke atas orang-orang yang zalim.” (surah al-Baqarah ayat 193)

Membiarkan fitnah berleluasa tanpa langkah berkesan diambil oleh orang-orang yang beriman dan bertaqwa untuk mencegahnya, maka tunggulah kebinasaan yang akan menimpa masyarakat ini. Kepada Allah Ta’ala kita mohon perlindungan dari kebinasaan yang tidak mampu kita hadapinya kelak. Malah apa yang lebih dibimbangi ialah murka dan azab Allah Ta’ala di akhirat ekoran sikap mendiamkan diri lalu memberi ruang kepada fitnah tersebar.
Nasihat saya jua kepada mereka yang berkuasa. Mereka yang memegang amanah untuk menjaga dan memelihara kesejahteraan rakyat sebagai pemimpin yang diberi mandat agar memberi perhatian serius terhadap perkara ini. Sekali-kali jangan membenarkan fitnah menjadi amalan dalam politik kita. Kerana politik sedemikian hanyalah politik kotor lagi jijik bahkan pula berdepan dengan kemurkaan Allah Ta’ala.
Marilah kita berdoa kepada Alllah Ta’ala agar menghindarkan diri kita daripada menjadi mangsa fitnah dan dalam masa yang sama, kita juga berdoa agar kita tidak memfitnah orang lain. Sungguhpun antara kita berbeza fahaman politik, namun berpolitiklah dalam batas yang tidak mengundang kemurkaan Allah Ta’ala. Berpolitiklah dalam suasana yang sihat dan saling berlumba untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. Berpolitiklah dengan maksud untuk membebaskan rakyat dan negara dari kemungkaran, penyelewengan, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penindasan. Berpolitiklah untuk mencari redha dari Allah Ta’ala.

1 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive