Jangan Biarkan Api Fitnah Menyala
Fitnah adalah salah satu malapetaka yang
 membinasakan umat manusia. Sememangnya Islam memberikan perhatian 
serius terhadap bahaya fitnah sehingga disebut implikasinya lebih buruk 
dari membunuh. Fitnah secara umumnya adalah pencetus sengketa justeru ia
 sering membabitkan tuduhan tanpa bukti, pra sangka tanpa asas dan 
persepsi yang salah. Malah fitnah sering beriringan dengan dendam atau 
sekurang-kurangnya rasa tidak puas hati terhadap pihak yang lain.
Fitnah
 juga seperti harimau yang sedang tidur. Sesiapa sahaja yang 
mengejutkannya daripada tidur yang nyenyak hanya membuatkan harimau itu 
bingkas bangun dan menerkam. Sedikit sahaja percubaan meniup api fitnah,
 ia akan menyala dan menyambar.
Fitnah
 juga boleh tercetus dalam pelbagai situasi juga dari aneka posisi. 
Lantaran itu, berhati-hatilah kerana fitnah adalah agenda syaitan yang 
pastinya ingin melihat umat manusia berantakan sesama sendiri.
Hari
 ini fitnah masih dikenali sebagai senjata paling tua ia terus digunakan
 secara berleluasa di sepanjang zaman. Isteri Nabi sallallahu‘alaihi 
wasallam, Sayyidatina ‘Aisyah turut pernah difitnah dan dituduh berzina dengan Sofwan bin Mu‘attal
 al-Sulami. Plot cerita yang disusun rancang oleh Abdullah bin Ubai bin 
Salul cukup meyakinkan sehingga sebahagian Sahabat Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam mencadangkan agar Nabi menceraikan ‘Aisyah sementara sebahagian yang lain mempertahankannya. Nabi sallallahu‘alaihi wasallam
 diam tidak terkata, tambahan pula wahyu terhenti kira-kira sebulan 
lamanya. Sehinggalah akhirnya turun wahyu membebaskan keluarga 
Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam dari belenggu fitnah yang direka.
Allah Taala berfirman di dalam surah al-Nuur ayat 11;
إِنَّ الَّذِينَ جَاؤُوا 
بِالإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ لا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم بَلْ هُوَ 
خَيْرٌ لَّكُمْ لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُم مَّا اكْتَسَبَ مِنَ الإِثْمِ 
وَالَّذِي تَوَلَّى كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ
“Sesungguhnya
 orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu 
juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu 
bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan
 beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan 
orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara 
mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).”
Melalui sejarah tamadun moden hari ini juga dapat disaksikan bagaimana kuasa manusia di dunia ini, biarpun mereka telah memiliki peluru berpandu, jet pejuang, kereta perisai, bom nuklear dan 1001 jenis senjata canggih termasuk pesawat tanpa pemandu, namun mereka tetap menggunakan senjata tanpa nombor siri (fitnah) ini untuk menjatuhkan lawan mereka sama ada musuh mereka dalam persaingan ekonomi atau musuh mereka dalam pertembungan politik.
Umumnya
 objektif pelaku dan penyebar fitnah adalah untuk menolak kebenaran yang
 gagal disangkal dengan hujjah mereka. Fitnah menjadi senjata yang 
paling murah dan mudah dihasilkan untuk memerangi kebenaran. Ia juga 
adalah senjata yang digunakan sejak berzaman termasuk untuk menolak 
kebenaran yang diperjuangkan oleh Nabi sallallahu‘alaihi wasallam. Firman Allah Taala:
لَقَدِ ابْتَغَوُاْ الْفِتْنَةَ 
مِن قَبْلُ وَقَلَّبُواْ لَكَ الأُمُورَ حَتَّى جَاءَ الْحَقُّ وَظَهَرَ 
أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَارِهُونَ
“Sesungguhnya
 mereka telah lakukan fitnah semenjak dahulu lagi, dan mereka 
merancangkan terhadapmu (wahai Muhammad) berbagai tipu daya, sehingga 
datanglah kebenaran, dan nyatalah (kemenangan) agama Allah (Islam), 
sedang mereka benci kepada kebenaran.” (surah al-Taubah ayat 48)
Sifat Orang Mukmin Menghadapi Angkara Fitnah
Sebagai
 insan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah, selayaknya kita 
menjauhkan diri, malah memerangi perbuatan fitnah agar ia tidak menjadi 
amalan yang berleluasa dikalangan masyarakat di dalam negara kita.
Semoga
 kita dipelihara oleh Allah Taala daripada kebinasaan ini. Jauhi fitnah 
malah jangan sekali-kali berjinak-jinak dengan amalan memfitnah. Jika 
ingin membuat tuduhan, pastikan ada bukti yang kukuh dan jelas. Kerana 
setiap tuduhan mestilah diakhiri dengan hukuman, bukannya dijaja untuk 
menjatuhkan maruah yang tertuduh. Jika mahu mengandai atau menyangka, 
pastikan andaian atau sangkaan itu baik. Jika mahu membentuk persepsi, 
bentuklah persepsi yang tepat dan benar.
Terlebih
 wajar sikap itu diambil tatkala kita berhadapan dengan sahabat 
seperjuangan. Meskipun wujud perbezaan pandangan dan kelainan tindakan 
di kalangan anggota jamaah, ia tidak menghalalkan kita mencetus dan 
menabur fitnah. Fitnah yang dicetus samalah kita menikam dan membunuh 
sahabat seperjuangan kita bahkan kesannya lebih kejam.
Mengelak
 agar fitnah tidak terus subur menjadi tanggungjawab kita semua dengan 
memastikan diri kita tidak bercakap dan mengulas dalam perkara yang kita
 tidak tahu hujung pangkal atau jangan sekali-kali membentuk sikap dan 
fikiran semata-mata mendengar dari satu pihak tanpa menilai dengan adil 
dan memberi peluang kepada pihak lain pula.
Padam
 segera api fitnah dan padam juga semangat dendam yang membara. Tiada 
siapa yang boleh mengaut keuntungan apabila fitnah ini merebak, 
sebaliknya jamaah akan binasa, anggota jamaah akan berpecah, masa depan 
perjuangan menjadi suram dan Allah Taala akan murka.
Atas
 nama Allah kita bersyahadah, kitab suci al-Quran menjadi rujukan 
bersama dan mendaulatkan Islam adalah matlamat kita, maka saya menyeru 
semua pihak agar kita bertaut kembali di atas nokhtah yang sama ini. 
Tiada yang membezakan kita dan tiada siapa yang boleh menjarakkan kita 
kecuali kita sengaja melakukannya atau kita sengaja membuka ruang kepada
 ejen-ejen musuh untuk menyelinap masuk merosakkan jamaah dari dalam.
Marilah
 kita menghayati kembali ruh berjamaah yang berpaksi di atas semangat 
ukhuwah fillah yang utuh lagi intim. Jangan pula kita seronok melihat 
jamaah retak dan hubungan kita rosak. Mungkin banyak perkara terpaksa 
kita korbankan khasnya perasaan kita agar jamaah dan ukhuwwah kita 
kembali pulih malah lebih baik dari sebelumnya. Ia tidak mustahil dan 
kita boleh melakukannya demi Islam.
Nasihat Kepada Pemerintah
Nasihat
 saya juga kepada mereka yang berkuasa dan mengelola kuasa media agar 
memberi perhatian serius terhadap perkara ini. Jangan sekali-kali 
membenarkan fitnah menjadi amalan dalam politik kita. Kerana politik 
sedemikian hanyalah politik kotor lagi jijik pula berdepan dengan 
kemurkaan Allah Taala.
Bagi
 pihak saya, segigihnya saya mahu membina para pemuda PAS agar mewarnai 
perjuangan suci untuk menegakkan Islam di atas tanahair ini dengan 
membentuk medan politik yang disinari hidayah atau petunjuk Allah Azza 
wa Jalla. Sebagaimana kita tidak mahu orang lain memfitnah maka 
demikianlah kita tidak mahu kita turut terjebak dalam budaya fitnah. 
Justeru kita mesti mulakan dari diri kita dan parti kita.
Namun,
 tidak bermakna PAS dan para pemudanya akan diam membenarkan segala 
kemungkaran dan kefasadan yang berlaku di pentas politik tanahair. 
Membongkar penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh 
kerajaan yang memerintah selaku pemegang amanah rakyat mestilah 
dilaksanakan asal sahaja ia bertunjangkan bukti yang kukuh, maka ia 
bukan fitnah malah ia adalah satu kewajiban.
Semoga
 budaya intelektual sebegini akan terus subur sehingga meletakkan kita 
semua sebati dengan tindakan berasaskan hujjah dan fakta bukan fitnah 
dan tohmah. Jika ada pertuduhan, silakan namun lampirkan bukti yang 
benar. Sejurus bukti dikemukakan, pihak berwajib bertindaklah 
sewajarnya, jangan membuat pendakwaan terpilih berasaskan kecenderungan 
dan kepentingan pihak tertentu.
Marilah
 kita berdoa kepada Allah Taala agar menghindarkan diri kita daripada 
menjadi mangsa fitnah dan dalam masa yang sama, kita juga berdoa agar 
kita tidak memfitnah orang lain. Sungguhpun antara kita berbeza fahaman 
politik, namun berpolitiklah dalam batas yang tidak mengundang kemurkaan
 Allah. Berpolitiklah dalam suasana yang sihat dan saling berlumba untuk
 berkhidmat kepada rakyat dan negara. Berpolitiklah dengan maksud untuk 
membebaskan rakyat dan negara dari kemungkaran, penyelewengan, rasuah, 
penyalahgunaan kuasa dan penindasan. 
Berpolitiklah untuk mencari redha dari Allah Taala, bukan dengan cara menyuburkan budaya fitnah menjatuhkan pihak lawan.
0 comments:
Post a Comment