HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Friday, January 3, 2014

2014 Turning Point untuk Berubah (Risalah Dakwah 4)


[1]. Kini fajar 2014 telah menjelma. Ramai orang saling mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru. Count Down detik 12 tengah malam 2013 telah berlaku. Tahun baru 2014 disambut dengan gembira dan azam serta semangat baru.

[2]. Terpulanglah pada setiap individu bagaimana mereka mencongak tahun 2014 untuk melangsungkan baki sisa hidup ini. Namun memulakan denyut nadi, hembus nafas dan langkah kaki di tahun baru ini, suka saya menyeru semua agar menghayati peringatan Rasulullah s.a.w;

أَلا إِنَّ رَحَى الإِسْلامِ دَائِرَةٌ فَدُورُوا مع الْإسلام حَيْثُ دَارَ أَلا إِنَّ الْكِتَابَ وَالسُّلْطَانَ سَيَفْتَرِقَانِ فَلا تُفَارِقُوا الْكِتَابَ أَلا إنه سَيَكُونُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ يَقْضُونَ لأَنْفُسِهِمْ ما لا يَقْضُونَ لَكُمْ إن عَصَيْتُمُوهُمْ قَتَلُوكُمْ وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ أَضَلُّوكُمْ قالوا يا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ نَصْنَعُ قال كما صَنَعَ أَصْحَابُ عِيسَى بن مَرْيَمَ نُشِرُوا بِالْمَنَاشِيرَ وَحُمِلُوا على الْخَشَبِ مَوْتٌ في طَاعَةِ اللَّهِ خَيْرٌ من حَيَاةٍ في مَعْصِيَةِ اللَّهِ
Ketahuilah, sesungguhnya Islam bergerak dalam satu pusingan, maka berpusinglah bersama Islam sekira-kira ia berpusing. Ketahuilah sesungguhnya Al-Kitab (Al-Quran) dan pemerintah akan berpisah maka jangan kamu memisahkan Al-Kitab. Ketahuilah sesungguhnya akan berlaku ke atas kamu (zaman kamu), pemimpin yang memutuskan (sesuatu ketetapan) untuk kepentingan diri mereka bukan untuk kamu. Jika kamu mengingkari mereka, mereka membunuh kamu dan jika kamu mentaati mereka, mereka menyesatkan kamu. Lalu mereka berkataYa Rasulallah, "Apakah (sewajarnya) kami lakukan?" Rasul s.a.w menjawab, "(Jadilah) sebagaimana pengikut Nabi Isa ibnu Maryam a.s. Mereka dikelar dengan pengelar besi dan mereka disalib di atas palang kayu. Mati dalam mentaati Allah adalah lebih baik daripada hidup mendurhakai Allah." (rujuk Majma’ az Zawaai’d. Juzuk 5/muka surat 238 oleh Ali bin Abi Bakar al Haithami [w.807] cetakan Darul Rayyan Lit Turath, Qaherah)

[3]. Hidup ini akan sejahtera, harmoni, tenang, selamat dan bahagia apabila kita kekal bersama petunjuk Allah. Tidak ada maknanya kita hidup di dunia ini dalam keadaan derhaka kepada Allah, kerana kelak kita akan berdepan dengan azab-Nya. Kalau pun kita mahu berpolitik, jangan sampai politik kita membawa kita langgar hukum Allah. Jangan kerana ekonomi kita lacurkan agama dan membenarkan perkara haram menerjah masuk ke setiap rongga maai'dah kita. Jangan memburu pengaruh dan kuasa sehingga kita tergamak melakukan penindasan. Sebaliknya jadikan politik, ekonomi dan pengaruh sebagai jejantas untuk lebih dekat dengan Allah.

[4]. Taatilah Allah dan Rasul-Nya meskipun kita keseorangan dan lemah, apalagi kalau kita ramai dan kuat. Letakkan diri dalam keadaan siap sedia untuk pertaruhkan apa sahaja termasuk darah dan nyawa demi agama Allah. Jangan sekali-kali kita enak mengurus kehidupan kita, sedang agama Allah dipersenda dan diperlekeh secara terbuka. Bukankah kita hanya menumpang di bumi bertuah ini? Ya, bila-bila masa kita akan diundang menghadap Allah. Tidak selamanya kita menghuni dunia ini. Justeru itu janganlah walau sedetik cuma, kita abai dan sia-siakan waktu melainkan kita mendekatkan diri kepada Allah, dan usaha sehabis tenaga bagi mentaati semua titah perintah Allah.

[5]. "Mati dalam keadaan taat kepada Allah Taala adalah jauh lebih baik dari hidup  menderhakai Allah." adalah ungkapan yang perlu dihayati dan sayugianya menjadi motto hidup kita. Sentiasalah berpaut sandar pada Al Quranul Karim, wahyu Allah, Tuhan yang mencipta langit dan bumi ini. Al Quran adalah cahaya yang memandu kita keluar dari kegelapan jahiliyah moden ini sekaligus melayakkan kita sampai ke pintu syurga Allah.

[6]. Semoga tahun 2014 menjadi turning point untuk kita lakukan perubahan besar dalam diri kita seiring dengan semangat dan azam baru, guna meletakkan diri kita sebagai hamba-Nya yang soleh amalan dan keperibadiannya. Juga sebagai turning point untuk kita mendidik dan menggerakkan masyarakat lakukan perubahan ke arah mendaulatkan syariat Allah di atas tanahair tercinta ini.

Nasrudin bin Hassan
Timbalan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat

Mencorak Masa Depan

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive