HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Friday, January 3, 2014

Hari Pertama Persekolahan (Risalah Dakwah 5)


[1]. Bukan sahaja dirasakan oleh anak-anak yang akan melangkah kaki ke sekolah tetapi juga ibu bapa pasti turut teruja menghantar anak-anak mereka ke pintu sekolah pagi ini bagi menghadapi sessi baru persekolahan mereka. Manakan tidak, anak-anak dihantar dengan segunung harapan agar kelak mereka mewarisi ilmu yang berguna untuk membina kehidupan yang bahagia dan masa depan yang cemerlang.

[2]. Saya mengambil kesempatan ini untuk turut sama mendoakan kejayaan semua anak-anak kita. Bukan sahaja berjaya di dunia tetapi juga berjaya diakhirat dan lahir sebagai seorang yang soleh, pula berbakti kepada ummah serta negara tercinta. Sehubungan dengan itu, pelajar dan ibu bapa mestilah menyedari matlamat dan objektif kehidupan ini agar apa yang dilakukan termasuk pelan tindakan dan hala tuju kehidupan tidak hanya terhenti setakat tempurung dunia ini sahaja sebaliknya biarlah sampai ke ruang akhirat dan berakhir di Villa Syurgawi.

[3]. Marilah kita hayati Firman Allah :

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَافَّةً فَلَوْلاَ نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُواْ إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu ugama, dan supaya mereka dapat memberi peringatan kepada kaumnya apabila ia kembali kepada mereka kelak mudah-mudahan mereka dapat berwaspada (dari melakukan larangan Allah). (Surah At Taubah : Ayat 122)

Ayat ini menegaskan kewajipan menuntut ilmu dan objektifnya adalah untuk memberi peringatan kepada masyarakat berasaskan ilmu yang dipelajari agar tidak derhaka kepada Allah Taala, apabila ia kembali kelak kepangkuan masyarakatnya.

[4]. Justeru itu, sangat penting bagi ibu bapa amnya dan pelajar khasnya menyedari bahawa ilmu Islam adalah wajib dipelajari walau apa disiplin pengajian kita. Itulah asas hidup bagi seorang muslim iaitu memahami agama yang dianut (Islam) dan bebaskan diri serta masyarakat dari kejahilan. Kita tidak mahu lahirnya generasi yang tinggi nilai akademik separas Master dan Phd., tetapi buta agama dan tidak tahu membezakan dosa pahala atau syurga neraka, kerana inilah faktor utama suburnya mungkar dan maksiat dalam negara kita dewasa ini bahkan turut menelurkan jenayah yang kian tidak terkawal.

[5]. Sekolah adalah platform untuk belajar baca dan tulis sedang ia sememangnya alat penting melahirkan seorang ilmuan. Namun faktor asas seorang hamba Allah  seperti Islam, Iman dan Taqwa mesti dimiliki dengan seimbang dan sepadu agar cendikiawan negara yang bakal lahir kelak adalah cendikiawan yang membangunkan dunia dan akhirat. Bukan sahaja tanggungjawab ini terpikul pada ibubapa dan pelajar tetapi juga kerajaan. Malah tanggungjawab kerajaan jauh lebih besar untuk menyediakan sebuah sistem pengajian atau pendidikan negara yang seimbang dan sepadu dalam mengintegrasikan keperluan duniawi dan ukhrawi.

Nasrudin bin Hassan
Timbalan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat.
Mencorak Masa Depan

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive