HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Saturday, November 8, 2014

Kalau Dedak Katakan Dedak, Jangan Kami Tertampi-Tampi

Saya menjangkakan polemik semakin reda dan konflik semakin pulih. Isu MB Selangor pun kian tenang. Saya sendiri tekun mengasah pena untuk mengukir tinta membina corak fikir ummah. Mengatur program dan aktiviti masyarakat. Terkini saya dan rakan-rakan Pimpinan PAS Temerloh sedang giatkan kempen “Tolak Judi”. Kami telah mengadakan perbincangan dengan YDP Majlis Perbandaran Temerloh, membuat aduan polis mengenainya dan terkini aduan rasmi ke SPRM berhubung salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan yang melindungi aktiviti judi. In’sya-Allah minggu depan, kami akan menemui Dato’ Zahid Hamidi pula selaku Menteri Dalam Negeri.

Malangnya, kerancakan kami tersentak seketika dengan kenyataan sinis dan terbuka YAB Lim Guan Eng (LGE)  terhadap PAS dan Presidennya YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang. Kenyataan LGE yang mendapat liputan media itu memang spoil. Kita baru sahaja mahu redakan keadaan, mengembalikan kejernihan, tetiba LGE lempar batu besar ke tengah tasik tenang. Bukan sahaja airnya kembali berkocak tetapi habis rosak bunga kiambang yang telah hampir bertaut rapat di permukaan tasik yang tenang.

Kata orang “air yang tenang jangan disangka tiada buaya” masalahnya sekarang, buaya tak timbul tapi ada orang dari darat permukaan melemparkan objek yang mengganggu ketenangan air. LGE tidak sepatutnya berbuat demikian. Kembali mengeruhkan keadaan. Kononnya mahu menempelak Presiden PAS, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dengan isu kehadiran mesyuarat. Sedang kehadiran beliau ke mesyuarat itu juga sangat buruk. Kata budak-budak sekarang, “statement LGE tu macam poyo jer!” Malah kehadiran Presiden PKR ke Mesyuarat PR juga tidak penuh. Tapi perkara itu tidak pernah berbangkit kerana namanya bukan Abdul Hadi Awang.

Pada pengamatan saya, Tuan Guru Presiden PAS seorang yang sangat  punctual dan bertanggungjawab dengan amanahnya. Ketidakhadiran beliau ke mana-mana mesyuarat adalah sama ada beliau berkeuzuran, bertembung jadual dengan majlis penting atau lain keadaan yang tidak mengizinkan. Mereka yang mengenali peribadi beliau dari dekat pasti tidak akan menafikan kenyataan saya ini. Namun saya lihat kenyataan LGE berunsur kesumat dendam yang tidak kesampaian. Masih terbuku rasa tidak puas hati beliau kepada PAS dan Tuan Guru Hj Abdul Hadi sehingga beliau masih membangkitkan “cerita awal diakhir cerpen!”.
Saya meneliti perjalanan politik ini dengan tekun. Tanpa saya menghubungkan keseluruhan puzzlenya di sini, jelas kelihatan kenyataan LGE itu adalah kerana beliau tidak mahu krisis ini tamat. Seperti beliau mahukan perkara ini berterusan. Sedangkan masalah dalaman inter-parti atau intra-parti adalah perkara biasa dalam dunia politik dan ianya boleh diselesaikan dengan baik. 
Namun, apa yang lebih ketara, saya lihat seperti beliau mahu melepaskan beban atau membebaskan diri dari suatu halangan yang menghantui beliau.
  • Apakah LGE sengaja memanaskan suhu politik ini sebagai tekanan kepada PAS? sebagai percubaan untuk mengeluarkan PAS daripada Pakatan Rakyat?
  • Apakah PAS dianggap sebagai liabiliti kepada mereka untuk mereka menang dalam pilihanraya negeri Sarawak kelak?
Persoalan sedemikian menerjah masuk lantaran umum mengetahui bahawa “yang bercakap tidak serupa bikin” itu ialah LGE sendiri. Sewajarnya beliau mencermin diri dikaca dinding sebelum beliau mempraktis aksi seorang hero di pentas politik. Manakan tidak?
  • Kalaulah LGE sendiri mempunyai kehadhiran buruk ke mesyuarat PR;
  • Kalaulah PR Penang sendiri tidak pernah mengadakan mesyuarat selepas PRU lepas;
  • Kalaulah Pengerusi DAP Sarawak juga memboikot Mesyuarat PR Sarawak;
  • Kalaulah Kerajaan Penang yang diterajui DAP juga tidak memakai kesepakatan PR dalam isu Pilihanraya Kerajaan Tempatan.
Maka kenapa LGE mahu menilai dan menghukum orang lain ? Pula menilai dan menghukum dengan tanggapan yang salah.

Saya sebetulnya tidak mahu mengeruhkan keadaan. Saya juga mengharapkan semua pihak “ambil yang jernih buang yang keruh”, malangnya situasi yang saya harapkan sangat berbeza. LGE terus mengasak dengan terancang. Bagai mengambil peranan UMNO dan BN untuk terus memberi tekanan kepada PAS. Saya tidak tahu selama mana PAS boleh bersabar. Kalau dedak katakan dedak, jangan kami tertampi tampi. Kalau tak nak katakan tak nak, jangan kami ternanti nanti. Namun begitu, saya doakan semoga ada cahaya dihujung terowong.

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive