HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Tuesday, November 25, 2014

Perkongsian dari Parlimen. Siri 09

Perkongsian dari Parlimen : siri 09

[ 1 Bestari Net bakal gagal ? ]

Perbahasan Rang Undang - Undang Perbekalan 2015 Peringkat Jawatankuasa.
25 Nov 2014 / Selasa.

Kementerian Pendidikan
Bekalan B63/P63
Program 050200 : Teknologi Maklumat

Di bawah Butiran 050000 : Pengukuhan Operasi Pendidikan

Peruntukan Keseluruhan : RM897,620,700 

Peruntukan Teknologi Maklumat : RM615,672,600
____________________________

Dato' Pengerusi,

Saya merujuk kepada Program 050200 - Teknologi Maklumat

1.   Pada 26 Mac 2003, Kementerian Pendidikan pada waktu itu, YB Dato’ Seri Musa Mohammad telah bersetuju dengan pelaksanaan SchoolNet di semua sekolah seluruh negara. Namun, pada bulan Disember 2012, di bawah kepimpinan Menteri Pelajaran yang baru, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, projek SchoolNet ini telah diberhentikan.  

2.   Setelah 7 tahun pelaksanaannya, satu kajian keberkesanan telah dijalankan terhadap projek SchoolNet oleh Unit Perancang Ekonomi dan sebuah badan perunding bisnes antarabangsa yang berpangkalan di Amerika Syarikat, iaitu Boston Consulting Group.

3.   Saya tidak pasti mengapa pihak kementerian sangat berminat untuk mengupah perunding-perunding antarabangsa untuk projek-projek khas di bawah Kementerian Pendidikan. Sebelum ini, RM 20.56 juta dibelanjakan kepada McKinsey and Co untuk penggubalan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara.  

4.   Menurut laporan kajian tersebut, skor projek ini hanya mencapai tahap 40% baik sahaja dan pelbagai kepincangan masalah telah berlaku antaranya ialah capaian internet yang kritikal dan masalah aksesibiliti terhadap bahan pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, 22 inisiatif baru telah dikemukakan untuk dilaksanakan.

5.   Setelah kegagalan projek SchoolNet, kerajaan memperkenalkan pula projek 1BestariNet. Ia dikatakan mempunyai 8 karakteristik terbaik bagi meningkatkan capaian ICT di sekolah, membekalkan perkakasan ICT serta membangunkan perisian pendidikan yang lebih interaktif dan efektif.

6.   Hakikatnya, sehingga 12 Jun 2014, sebanyak 8,886 buah sekolah sahaja telah mendapat capaian internet menerusi 1BestariNet. Berdasarkan laporan Berita Harian bertarikh 11 November 2014, Kementerian mendakwa pihak berkuasa tempatan di negeri Sarawak, Pulau Pinang dan Kelantan tidak memberikan kerjasama untuk membuat projek pembinaan menara telekomunikasi oleh pihak YTL Communications Sdn Bhd. Saya ingin meminta penjelasan mengenai perkara ini.

7.   Selain itu, saya juga sangat tidak berpuas hati, walaupun 1BestariNet dikatakan mampu memberikan capaian internet sehingga 50 megabytes sesaat, namun penggunaan komponen Pelantar Pembelajaran Maya (VLE) hanya berada dalam lingkungan 5 peratus sahaja penggunaannya setelah 3 tahun diperkenalkan.

8.   Antara faktor kelemahan yang telah dikenalpasti pada projek 1 Bestari Net ini ialah : 

a) masalah prestasi capaian internet,

b) kekurangan kelengkapan perkakasan ICT untuk pelaksanaan e-pembelajaran, 

c) masalah penyelenggaraan, dan 

d) kurang kemahiran dalam pengendalian program ini. 

Ini menunjukkan secara tidak langsung, kelemahan-kelemahan yang diidentifikasi ini telah mengulangi semula masalah yang berlaku dalam projek SchoolNet tempohari.

Sabda Nabi saw :

ان الله يحب إذا عمل أحدكم عملا أن يتقنة

Sesungguhnya Allah swt suka apabila melaksanakan sesuatu tugas ( amal ) oleh seseorang kamu , bahawa ia melunaskannya dengan tekun dan teliti.

9.   Oleh yang demikian, saya meminta pihak kementerian bertanggungjawab untuk menjelaskan di dewan ini segala pemasalahan yang berlaku dalam proses integrasi ICT dan pendidikan yang telah saya bangkitkan termasuk memberi penjelasan terhadap pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2013 yang menonjolkan kelemahan serta kerugian yang ditanggung kerajaan dalam kontrak yang dimetrai bersama pihak YTL Communications Sdn Bhd.


Nasrudin bin Hassan
Ahli Parlimen Temerloh

 

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive