HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Sunday, December 7, 2014

Risalah Dakwah. Siri 079

Risalah Dakwah. Siri 079

Ijtimak Tarbawi 4.0  ke Ijtimak Liwahdatil Ummah : Kesinambungan Tarbiyah Sepanjang Zaman

1. Saya orang baru dalam PAS. Menyertai PAS sebagai ahli di Kawasan Rompin Pahang pada tahun 1985, beberapa ketika selepas Tragedi Memali. Asas penglibatan saya dan sebahagian besar ahli PAS adalah kerana keberkesanan sistem pentarbiyyahan PAS selain dari faktor - faktor tambahan yang lain. Selepas era Kepimpinan Ulamak 1982, aktiviti Amal Tarbawi semakin rancak dan meninggalkan kesan yang mendalam kepada setiap ahlinya.

2. Namun saya sempat menikmati air tangan tokoh - tokoh seperti al Marhum Ustaz Yahya Othman, Al Marhum Ustaz Mawardi, Al Marhum Ustaz Musthafa Rusdi, Al Marhum Ustaz Abu Bakar Chik selain Tuan Guru Al Mursyidul Am PAS Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pulau Melaka dan Tuan Guru Presiden PAS Hj Abdul Hadi Awang di Rusila, yang merupakan antara tokoh Amal Tarbawi yang pernah berbakti mencetak anggota gerakan Islam dan kepimpinannya yang berkualiti di sepanjang sejarah penubuhannya.

3. Pastinya Amal Tarbawi yang diagendakan oleh mereka adalah warisan emas yang dipusakai pula dari orang - orang terdahulu. Saya menyedari fakta itu tetapi tidak mahir untuk meriwayatkannya. Saya sekadar membaca sejarah mereka untuk menyerap roh perjuangan yang digerakkan sejak awal penubuhan jamaah ini. Insyaallah, sahabat saya Al Fadhil Ustaz Dr Riduan Mohamad Nor adalah orang yang layak mengukir memori dan menatah sejarah gemilang Amal Tarbawi di sepanjang zaman menelusuri penubuhan PAS sebagai sebuah Gerakan Islam unggul di Malaysia.

4. Pengalaman saya sendiri, sejurus menamatkan peperiksaan SRP pada waktu (1985), saya mendapat suluhan tarbiyah dan bimbingan ilmu yang pertama melalui Tuan Guru Hj Abdul Hadi di Masjid Rusila sebelum saya bermukim di Madrasah Muhammadiah (Pondok Sungai Durian Kuala Krai Kelantan) untuk bertalaqqi di rehal Al Marhum Tuan Guru Hj Abdul Rahman. Tidak lama kemudian saya ditaqdirkan untuk meneruskan permukiman di Madrasah Ad Diniah Al Bakriah (Pondok Pasir Tumbuh) di bawah bimbingan Al Marhum Tuan Guru Hj Hashim. Kedua - dua pondok ini adalah antara pondok yang banyak membantu kekuatan PAS terutama di era 80an, khasnya di Kelantan seterusnya melahirkan para pejuang Islam yang bertebaran di seluruh negara.

5. PAS terus mara seimbang di pentas politik Malaysia dengan gerakan Tarbiyah, dakwah dan siasah. Saya masih ingat di akhir 80an, Ijtimak Kok Lanas dalam sebuah ladang getah yang dihadiri hampir seratus ribu peserta telah membugar semangat juang dan menyuntik motivasi Amal Tarbawi kepada ahli. Tentunya selepas itu saya turut berpeluang menghadhiri dua siri Ijtimak Alami Liwahdatil Ummah di Rusila Terengganu. Masih segar dimemori ini, angka pendaftaran saya pada Ijtimak Alami siri pertama pada tahun 1989 ialah ke 140K. Suatu Ijtimak yang telah berjaya mencetus gelombang kebangkitan ummah bersama perjuangan Islam dan akhirnya membantu kemenangan PAS di Kelantan bersama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada pilihanraya edisi 1990.

6. Sepanjang tempoh itu, PAS sememangnya kaya dengan Amal Tarbawi yang diketengahkan melalui pelbagai aktiviti tarbiyah mingguan malah bulanan seperti Usrah, Tamrin, Mukhayyam, Ijtimak, Liqa Fikri, forum, kuliah dan ceramah. Semuanya menjadi medium semaada secara khusus mahupun umum untuk mendidik anggota jamaah dan masyarakat agar menyertai perjuangan suci menegakkan Islam di bumi tercinta ini.

7. Zaman Al Marhum Ustaz Abu Bakar Chik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, sebuah unit sukarelawan yang diberi nama Unit Amal (dan kini dikenali sebagai Jabatan Amal Malaysia) telah ditubuhkan. Jabatan Amal ini pula mempunyai jambori tahunannya sejak awal penubuhan. Sdr. Cikgu Husin ( Timbalan Pengerusi Tetap PAS sekarang ) adalah penggerak utama Jabatan Amal ini sehinggalah beralih kepimpinan dan kini ia dikenali sebagai Tentera Merah yang banyak melahirkan tenaga sukarelawan yang sanggup meninggalkan kemasyhuran untuk bersama bahtera perjuangan Islam ini.

8. Dewan Pemuda PAS Malaysia terus diharapkan berperanan sebagai sayap penting mengemudi agenda mencetak pewaris bagi perjuangan besar ini. Ijtimak Tarbawi yang kini menjengah episod ke 4 adalah mata rantai Amal Tarbawi yang tidak pernah padam dari sejarah dan masa depan perjuangan Islam. Ia terus menggamit kerinduan anggota jamaah yang inginkan pengisian, bimbingan dan sentuhan sepadu antara Aqidah, Fikrah dan Syakhsiyah pula mencakupi 3 kategori selari iaitu Tarbiyah, Dakwah dan Siasah.

9. Insyaallah, dengan segala komitmen dan upaya yang  dimiliki bersama rakan - rakan seperjuangan yang lain di bawah bimbingan Naib Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia merangkap Presiden PAS Yb. Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, akan diusahakan satu lagi Ijtimak A'lami Liwahdatil Ummah (Himpunan Perpaduan Ummah Antarabangsa) buat kali ketiga di bumi Malaysia kelak. 

10. Harapan yang dibawa ialah menyemarakkan kembali Amal Tarbawi agar ia menyerap kesetiap urat nadi ahli jamaah ini dan sekaligus ia merupakan vaksin terbaik untuk menangani virus perpecahan dan krisis dalaman yang kian menular mutaakhir ini. Bukan sahaja kepada PAS tetapi vaksin ini akan disebarkan ke seluruh dunia melalui rangkaian Gerakan Islam yang ada agar turut terselamat dari virus yang sengaja disebar untuk merosakkan prestasi dan reputasi gerakan Islam di seluruh dunia terutama melalui jaringan media baru.

Nasrudin bin Hassan
Timbalan Pengerusi 1
Lajnah Dakwah PAS Pusat.

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive