HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Saturday, February 14, 2015

Risalah Dakwah. Siri 096

Risalah Dakwah. Siri 096

Tegas dirikan Kebenaran tetapi Jangan Kesat dan Kasar

1. Kebenaran wajib ditegakbina sebagai mercu perjuangan kita. Jangan berdiam diri dan berpeluk tubuh menyaksikan kebatilan tanpa dibasmi. Amalan menyapu debu - debu kebatilan dan sampah - sampah kejahatan ke bawah karpet perjuangan ini adalah satu amalan buruk yang tidak seharusnya dilakukan oleh "surirumah" atau penghuni kepada gerakan Islam, bermula dari pemimpin sehinggalah kepada ahli biasa. Pemegang amanah perjuangan ini mesti bertindak pada paksi Al Amru bil Ma'ruf dan An Nahyu A'nil Mungkar biarpun ia pedih dan perit.
Sabda Nabi saw : 

قل الحق ولو كان مراً

"Katakanlah yang benar sekalipun ianya adalah pahit"

Sohih Ibnu Hibban

2. Namun kebenaran ini terlalu banyak musuhnya. Ia berlaku sepanjang zaman. Sementelah zaman whatsapp, facebook, blog, telegram dan instagram ini. Justeru itu, hati - hatilah menjulang kebenaran jangan sampai dicemari dengan kata - kata kesat, kasar dan maki hamun meskipun sedang menaip dari bilik kecil dan gelap. Kelak nilai kebenaran itu pudar dan kelam. Pejuangnya pula disambar fitnah. Ia dilihat jahat dan tidak mewakili kebenaran yang diperjuangkan. Sepantas itu musuh menjadikan ini sebagai turning point untuk menolak kebenaran dan melemparkan fitnah kepada pejuang - pejuangnya.

3. Ingat lah ! Kebenaran diperjuangkan dengan fakta, bukti, keberanian, tanggungjawab dan amanah. Ia tidak diperjuangkan dengan nafsu, emosi, dendam dan kebencian. Pejuang kebenaran adalah berjiwa besar dan sanggup depani cabaran serta risiko. Tampil penuh yakin dan cekal tetapi tidak kesat, kasar dan memaki hamun. Fakta kebenaran mesti selari dengan keberanian dan tanggungjawab serta hemah yang tinggi bukan kebencian dan emosi tanpa kawal. Justeru yang kesat, kasar dan emosi tanpa kawal itu bukan dari pejuang kebenaran.

Firman Allah swt :

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ 

Maka dengan sebab rahmat dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. 

Surah Aali I'mran : 159

Nota tambah :

Menyedari musuh yang bijak dan licik dengan gerak saraf, maka semua pihak mesti berhati - hati namun jangan berhenti untuk terus berkata benar dan jangan serik dengan mehnah dan tohmah yang dihadapi asal saja pejuang kebenaran menjaga kredebiliti atau wibawa seorang pejuang. Konsisten dengan prinsip sementara mata jangan lalai dari perancangan musuh dan hati jangan alpa dari mengingati Allah serta memohon nusrah daripadaNya.

Selamat Berjuang .

Nasrudin bin Hassan
Timbalan Pengerusi 1
Lajnah Dakwah PAS Pusat

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive