HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Tuesday, March 3, 2015

Risalah Dakwah. Siri 102

Risalah Dakwah. Siri 102

Label Melabel

1. Label adalah tanda. Tentu sahaja ia ada yang baik dan ada yang buruk. Sikap meletak label pada orang adalah tidak wajar kecuali atas sebab tertentu. Seperti melabel seseorang itu penipu adalah salah kerana asal seseorang itu ialah bersih dan baik. Kaedah perundangan Islam yang biasa digunakan ialah :

الأصْلُ بَراءَةُ الذِّمَّةِ

Asal kedudukan seseorang itu tiada apa - apa kesalahan.

2. Kecualilah jelas dan diketahui atau terbukti bahawa ia adalah seorang penipu, maka kita boleh kata, dakwa atau label orang itu penipu. Demikian juga label munafiq, liberal dan lainnya. Sangat tidak wajar kita melabel si anu bin si anu munafiq atau liberal kecuali telah terbukti dari tindakan dan perlakuan si anu yang melakukan perbuatan munafiq atau memiliki fahaman liberal.

3. Adapun tindakan meletak label di"persimpangan" jalan, maka itu adalah wajar agar menjadi panduan kepada umum untuk laluan yang betul dan tidak tersesat arah. Langkah ini seperti menyatakan batas - batas iman dan kufur, sifat - sifat munafiq dan soleh, sempadan Islam dan Liberal atau lainnya. Malah alim ulamak wajar menegaskan perkara ini sebagaimana ia juga adalah method Al Quran dan As Sunnah.

4. Terlalu banyak ayat Al Quran yang menjelaskan batas iman, kufur dan munafiq. Ertinya siapa yang melakukan perbuatan yang disebut oleh Al Quran sebagai Iman maka ia berlabel iman dan barangsiapa yang melakukan perbuatan yang disebut oleh Allah sebagai kufur maka ia berlabel kufur. Begitu juga barangsiapa yang melakukan perbuatan yang disebut oleh Al Quran sebagai munafiq maka ia berlabel munafiq. Contoh yang boleh saya bawa disini ialah :

🎾 Ayat 1 hingga 5 dari surah Al Baqarah adalah untuk label IMAN

🔵 Ayat 6 hingga 7 dari surah Al Baqarah adalah untuk label KAFIR

🔴 Ayat 8 hingga 20 dari surah Al Baqarah adalah untuk label MUNAFIQ

Saya bawakan satu contoh dari hadis Nabi saw. Sabda Nabi saw :

آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

Tanda atau label orang munafiq ada 3 : apabila ia bercakap ia berdusta, apabila ia berjanji ia mungkir dan apabila ia diberi amanah ia khianat.

Riwayat : Imam Bukhari dan Muslim

5. Seperkara lagi ialah al Ukhuwwah. Ukhuwwah yang dituntut ialah Ukhuwwah FilLah iaitu Persaudaraan kerana Allah swt. Persaudaraan tidak boleh dibina untuk mencetus perbuatan dosa dan permusuhan. Sebab di dalam Islam, apa pun situasi Al Quran meletakkan sempadan. Ada ayat yang memerintahkan kita supaya bersaudara seperti ayat 9 - 10 dalam Surah Al Hujurat sementara di sana ada pula ayat yang suruh kita memerangi munafiq seperti ayat 193 dari surah Al Baqarah dan ayat 9 dari Surah At Tahrim.

6. Begitu jua ayat 148 Surah An Nisa' membenarkan kejahatan seseorang disebut secara terang bagi orang yang dizalimi supaya kejahatan tidak dilakukan ke atas orang lain pula. Ertinya al Ukhuwwah juga mempunyai batas sempadan tersendiri.

Nasrudin bin Hassan
Timbalan Pengerusi 1
Lajnah Dakwah PAS Pusat
www.perjuanganku.com
___________________

Lampiran 1 :

وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِن بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَىٰ فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّىٰ تَفِيءَ إِلَىٰ أَمْرِ اللَّهِ فَإِن فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Surah al Hujurat : Ayat 9

Lampiran 2 :

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

Surah Al Hujurat : Ayat 10

Lampiran 3 :

وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ فَإِنِ انتَهَوْا فَلَا عُدْوَانَ إِلَّا عَلَى الظَّالِمِينَ

Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.

Surah Al Baqarah : Ayat 193

Lampiran 4 :

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ جَاهِدِ الْكُفَّارَ وَالْمُنَافِقِينَ وَاغْلُظْ عَلَيْهِمْ وَمَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ

Wahai Nabi! Berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafik, serta bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

Surah At Tahrim : Ayat 9

Lampiran 5 :

لَّا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلَّا مَن ظُلِمَ وَكَانَ اللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا

Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Surah An Nisa' : Ayat 148

Sekian

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive