HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Sunday, March 1, 2015

Sekali Serban di Lilit. Siri 01

Sekali Serban di Lilit. Siri 01

Janganlah demam lagi.

Oleh : Pendekar Sakti

1. Menjelang dinihari, saya masih sukar untuk melelapkan mata meskipun badan benar - benar lesu tidak bermaya. Petang kelmarin saya telah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Alhamdulillah, apabila sebotol air dimasukkan ke dalam tubuh yang tidak bermaya ini pula menerima suntikan sejarum, saya dibenarkan pulang. Namun masih longlai dan hilang keceriaan. Satu badan rasa tidak selesa. Saat begini, saya sendiri mula menginsafi nikmat sihat yang selama ini banyak dipersiakan dengan perkara yang mungkin tidak banyak mendatangkan manafaat kepada diri dan agama.

2. Kesempatan ini saya gagahkan diri untuk menulis. Saya tidak mampu lagi untuk terus terlantar lesu. Sayup - sayup alunan al Quran dari corong rekoder menjadi teman saya untuk menulis. Kali ini saya ingin membuka thread baru untuk penulisan saya sementara thread sedia ada seperti "Risalah Dakwah" dan "Pra Syarat Kemenangan Kita" akan diteruskan dari masa ke semasa. Thread baru ini saya berikan nama "Sekali Serban di Lilit" adalah untuk koleksi penulisan santai dan gaya bebas. Ia bertujuan untuk meletakkan saya terus menulis dan menulis. Saya harap saya juga ada peminat. Hu hu , ini bukan berangan poyo kerana saya sedar kualiti tulisan saya tidaklah sehebat sahabat - sahabat saya seperti Dr Riduan Mohamad Nor yang mampu menulis buku dengan pantas sekira - kira buku pertama belum habis dibaca sudah terbit buku kedua pula.

3. Saya juga mengkagumi tulisan Puan Ainon dari PTS, Ummu Hani dan Ustaz Adnan Fadhil. Mereka banyak menghasilkan karya bermutu dalam bidang masing - masing. Saya hanya penulis 'kampung' yang berkongsi minat. Terasa segan pula untuk menerbitkan hasil tulisan saya. Saya hanya berani kongsikan di laman web saya sendiri dengan kadar pengunjungnya sangat terhad. Namun saya puas menjadikan www.perjuanganku.com sebagai stor untuk 'peram' koleksi tulisan saya disamping laman sosial yang saya miliki di alamat https://m.facebook.com/ustaztantawi?ref=bookmark .

4. Jauh disudut hati saya berharap tulisan saya bermanafaat untuk pembaca. Samaada secara positif mahu negatif. Khasnya untuk tatapan anak cucu saya kelak. Saya sedar tidak ramai meminati sebagai tidak ramai yang suka kepada tulisan saya. Sebab itu facebook saya sering menjadi sasaran cybertrooper dan keyboard warrior yang menyerang balas terutama tulisan saya dalam genre politik. Walaubagaimana pun saya suka serangan dan kritikan itu sekalipun ia pedas dan kadangkala dicaci maki. Mata dan Telinga saya sudah naik kematu menatap dan mendengar serangan balas dalam bentuk caci maki, sindiran, troll dan sebagainya. Ia menjadi motivasi kepada saya untuk terus menulis dan menulis.

5. Setiap siri 'Sekali Serban di Lilit' hanya dimaksimumkan dengan 5 perenggan sahaja. Ia mengambil kira trend orang ramai yang tidak gemar membaca tulisan yang panjang. Sementelah saya pun tidak mampu menulis panjang. Konsep thread 'Sekali Serban di Lilit' adalah santai dan bebas. Ia bukan penulisan ilmiah namun bukan juga penulisan fitnah. Allahu Akbar ! 20 minit telah berlalu, tidak sedar saya sudah masuk perenggan ke 5. Asalnya saya hanya mahu sebut besarnya nikmat sihat dan sangat dirasai apabila saya terlantar demam begini sejak beberapa hari yang lalu. Banyak program dan mesyuarat saya tidak dapat hadir. Paling sedih ialah kelmarin. Sepatutnya saya membentang kertas kerja di NEKAD 6.0 yang berlangsung di Dewan Ust Wahab Nor Masjid Tinggi Bagan Serai Perak. Slot saya akhirnya terpaksa digantikan oleh Al Fadhil Yb Ustaz Idris Ahmad Ahli Majlis Syura. Saya berdoa, semoga janganlah saya demam lagi. Akhirnya saya ingin maklumkan kepada umum, oleh kerana tulisan ini adalah tulisan peribadi, santai dan bebas, maka saya akan gunakan nama pena saya tanpa sebarang jawatan iaitu Pendekar Sakti.

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive