HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Saturday, May 23, 2015

Risalah Dakwah. Siri 111

Risalah Dakwah. Siri 111

Momentum Politik Dakwah.

1. Menilai keputusan Pilihanraya Kecil P091 Rompin. Saya perlu gariskan beberapa perkara untuk sama - sama kita perhati dan ambil tindakan susulan. Sebelum itu saya lampirkan keputusan berbanding Pilihanraya Kecil 2015 dengan Pilihanraya Umum 2013 di P091 Rompin.

⛔️ Pilihanraya Umum P091 Rompin: 2013

Jumlah Pengundi Berdaftar : 53,596
Jumlah Keluar Mengundi : 45,849
Undi Rosak : 883

BN   : 30,040
PAS : 14,926

Majoriti : 15,114
______________

🚫 Pilihanraya Kecil P091 Rompin : 2015

Jumlah Pengundi Berdaftar : 53,294
Jumlah Keluar Mengundi : 39,288             
Undi Rosak : 591

BN   : 23,796
PAS : 14,901

Majoriti : 8,895
_____________

2. Pilihanraya Kecil secara umumnya sukar bagi pembangkang untuk memenanginya. Tambahan pula bertanding di kawasan yang menjadi kubu kuat UMNO dan BN. Sementelah Rompin mempunyai lebih 15 kawasan Felda yang dianggap sebagai fixed deposit kepada UMNO dan BN sebelum ini.

3. Keupayaan PAS mengekalkan prestasi undi yang diperolehi dalam pilihanraya kecil baru - baru ini dengan 14,901 undi, hanya berbeza 25 undi berbanding 14,926 undi yang diperolehi pada pilihanraya umum ke 13 yang lalu adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan bagi sebuah persaingan di arena pilihanraya kecil.

4. Meskipun peratus keluar mengundi lebih rendah berbanding pilihanraya umum yang lalu, tetapi ia tidak menjejaskan undi PAS sebaliknya  UMNO dan BN terpaksa menelan pahitnya apabila sekadar berpuas hati dengan pencapaian 23,796 undi berbanding 30,040 undi yang diperolehi mereka pada pilihanraya umum. Undi mereka merosot sebanyak 6,244.

5. Saya tidak mahu meramal dan meneka kenapa pengundi tidak keluar memberi undi mereka kepada UMNO dan BN sebagaimana yang mereka lakukan pada pilihanraya umum tahun 2013. Sebaliknya suatu yang pasti ialah sokongan rakyat kepada perjuangan PAS masih kekal malah bertambah baik di kawasan - kawasan tertentu termasuk di kawasan Felda meskipun saban hari PAS dibelasah dan difitnah oleh pelbagai pihak yang cemburu dan hasad. Justeru itu, apa yang saya mahu gariskan disini ialah :

Pertama : Tohmahan yang menganggap prinsip Islam yang diperjuang dan dipertegaskan oleh PAS dan pucuk pimpinannya bakal meranapkan PAS dalam pilihanraya adalah tidak benar. Ia hanyalah prasangka atau sikap prejudis terhadap Islam yang mungkin didorong oleh rasa ingin menang cepat dan ingin berkuasa awal. Ia ibarat cuba memetik buah yang belum masak semata - mata terpesona dengan warna kulit buah yang kelihatan ranum.

Kedua : Sungguhpun begitu, PAS tidak boleh berpada dengan pencapaian sedemikian. Ia masih belum selamat dan jelas betapa garis kemenangan masih terlalu jauh. Memerlukan usaha gigih tanpa henti untuk terus berdakwah memahamkan masyarakat mengenai politik Islam dan sistemnya serta bagaimana prinsip dan dasar Islam mesti dipertahan dan diperjuangkan.

Ketiga : Politik dakwah jangan dibataskan dengan tempoh  dan sempadan pilihanraya. Sebaliknya mestilah bergerak sepanjang masa dengan meluaskan kawasan liputannya tanpa syarat. Saya yakin masa depan PAS sangat cerah selama ia berpegang dengan prinsip dan dasar Islamnya. Sokongan anak muda yang diterjemahkan melalui peningkatan undi di saluran 2, 3 dan 4 sangat meyakinkan untuk masa depan PAS asal sahaja mereka terus didekati dan dibajai dengan tarbiyah Islam dan ilmunya.

Keempat : Isu semasa tenggelam dan timbul sementara calon pula pergi dan datang. Maka ia bukan faktor tetap untuk momentum sebuah perjuangan. Sebaliknya dakwah Islamiyah dengan membawa aqidah dan syariat serta ilmu dan amal secara berterusan melalui pendekatan yang penuh hikmah akan menjadi tali hayat perjuangan yang kukuh dan utuh.

Kelima : Masih terdapat 3 kategori pengundi yang mesti diberi perhatian serius dan dakwah terancang ke atas mereka agar perjuangan PAS difahami dengan baik serta meyakinkan dan sekaligus berjaya menghakis fitnah juga tohmahan yang dilemparkan kepada PAS.

a) Non Muslim termasuk kaum asal.
b) Peneroka Felda
c) Kampung Tradisi.

Sekian.

Nasrudin bin Hassan
Timbalan Pengerusi 1
Lajnah Dakwah PAS Pusat

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive