HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Saturday, November 21, 2015

Akses Segera Dokumen TPPA: Kalau PWC Boleh, Kenapa Tidak Para Wakil Rakyat?

Kenyataan Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI),  Datuk Seri Mustapa Mohamed baru-baru ini bahawa dokumen Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) akan terlebih dahulu diserahkan kepada Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS) dan Price Waterhouse Coopers (PWC) Malaysia untuk kajian analisa kos-manfaat menimbulkan persoalan.

Saya boleh cuba memahami penglibatan ISIS selaku think-tank utama kerajaan tetapi mengapa PWC? Mengapa dokumen perjanjian ini boleh diberikan kepada sebuah firma perunding asing tetapi tidak kepada ahli-ahli parlimen yang dipilih rakyat? TPPA adalah isu kepentingan awam maka bukankah satu kewajaran bagi ahli-ahli parlimen yang dipilih secara sah oleh masyarakat awam turut diberikan akses segera kepada dokumen TPPA? Kalau PWC boleh, mengapa tidak para Wakil Rakyat?

Semalam Menteri MITI II Dato’ Seri Ong Ka Chuan pula membayangkan bahawa TPPA mungkin tidak sempat dibahaskan dalam sesi parlimen yang akan datang ini. Ini bermakna proses tatapan umum dokumen TPPA mungkin akan terus tertangguh dan ahli-ahli parlimen terus dinafikan hak akses kepada dokumen TPPA ini.

Maka berapa lama lagikah para ahli parlimen dan rakyat perlu menunggu?

Sesuatu yang tidak munasabah bagi sebuah firma asing seperti PWC diberi kelebihan oleh kerajaan untuk menghadam TPPA. Pastinya juga bayaran perundingannya amat lumayan. Saya akan memohon kepada menteri agar jumlah bayaran kepada PWC dan penglibatan firma asing ini dalam perundingan TPPA didedahkan kepada umum menerusi soalan di parlimen.

Kerajaan juga telah mempunyai tempoh 5 tahun untuk menghadam perjanjian ini sepanjang proses rundingan. Maka tempoh waktu yang hanya tinggal sedikit ini memerlukan penglibatan wakil-wakil rakyat sepenuhnya agar kandungan perjanjian ini dapat diperhalusi. Malangnya kerajaan seperti lebih gemar berahsia dan kelihatannya takut dari mengambil pertanggungjawaban atas isu TPPA. Berani kerana benar. Takut kerana salah?

Kepada Datuk Seri Menteri, hentikan sandiwara ini dan lakukan perkara yang betul. Kembalikan hak rakyat untuk membuat penilaian dengan memberikan para ahli parlimen akses segera kepada dokumen TPPA. Sekali lagi saya ulangi; kalau PWC boleh, mengapa tidak para wakil rakyat?

Membina Malaysia Sejahtera. Sekian.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Temerloh

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive