HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Monday, December 21, 2015

Tali Allah Pengikat Perpaduan Ummah

Politik negara bagai terkesima seketika apabila tumpuan hampir semua pengamat politik dan media hari ini teralih arah kepada Multaqa Serantau Alumni Al Azhar Malaysia 2015 yang berlangsung di Hotel Grand Seasons Kuala Lumpur sejak 16 Disember.

Suatu program yang telah membariskan dua pemimpin besar negara iaitu YAB Perdana Menteri DS Mohd Najib dan YB. Presiden PAS DS Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang di pentas yang sama bagi membicarakan isu Perpaduan Ummah Merentasi Ideologi.

Ia bukan sahaja mengulangi sejarah Mei 2002 yang lalu, apabila Dewan Bahasa Pustaka juga telah membariskan dua pemimpin besar negara iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu dan Al Marhum Tuan Guru Dato Fadhil Mohd Noor selaku Presiden PAS pada masa itu dengan membawa topik yang membicarakan soal Palestin serta menuntut kesatuan ummah untuk menanganinya.

Kali ini, perbahasan isu yang menemukan pemimpin utama dua parti politik besar negara adalah lebih luas sempadan tajuknya menjangkau isu perpaduan ummah sejagat dengan meletakkan pasak “Tali Allah” sebagai tunjang perpaduan ummah.

Saya kira semua orang suka perpaduan. Tidak ada orang yang seronok bersengketa sepanjang masa. Semua orang mengimpikan suatu ketenangan, kedamaian, keharmonian, kebahagiaan dan sebagainya.

Fenomena ini hanya boleh dicapai dengan amalan politik matang. Politik fasa baru negara dengan meletakkan tanggungjawab kepada kerajaan yang memerintah supaya melaksanakan Islam dan keadilan kepada semua kaum. Sementara pembangkang pula berperanan secara konstruktif membangun dan membina serta mewujudkan check and balance. Yang benar katakan benar dan yang salah katakan salah.

Politik matang yang menuntut semua pihak berlapang dada dan mampu duduk semeja serta berdiri sepentas bagi membincangkan isu-isu bersama khasnya perkara yang boleh menyatukan ummat Islam. Justeru musuh Islam sememangnya siang dan malam merencana untuk memecah belahkan ummat Islam. Mereka berpesta apabila umat Islam bercakaran dan pastinya mereka tidak senang duduk apabila umat Islam bersatu dengan ikatan yang kukuh iaitu Islam.

Umat Islam adalah umat terbaik. Namun ia menjadi lemah dan lesu apabila ia berpecah. Maka pemimpin ummat Islam wajib memikirkan bagaimana kesatuan ummat Islam boleh diusahakan dan Allah telah mengajar kita bagaimana prinsip dan syarat penyatuan itu dilakukan.

Tiadalah suatu yang indah dalam kehidupan ini  melainkan apabila kita boleh melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Allah saat ianya sukar dilakukan. Antara perintah Allah yang termaktub di dalam al-Quran al-Karim, namun sangat sukar untuk direalisasikan ialah “Perpaduan Ummat Islam Berasaskan Tali Allah”.

Firman Allah di dalam surah Aali-Imran ayat 103 ini adalah ayat yang popular dibacakan tatkala membincangkan isu perpaduan, namun ia belum popular untuk dipraktiskan di negara kita. Hayati ayat ini terlebih dahulu;
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا
“Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah”

وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ
“Dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam)”

فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ
“Maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka”
فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
“Lalu Allah selamatkan kamu dari neraka tersebut. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.”

Saya mengamati ucapan panel undangan di Multaqa Serantau Alumni Al Azhar kelmarin dan juga ucapan kedua-dua pemimpin utama dari dua parti politik besar Ummat Islam di Malaysia ini. Kesemua ucapan dan kenyataan yang diungkap mengenai perpaduan ini disusun dengan begitu baik dan indah.

Namun, perlu saya tegaskan di sini, bahawa keindahan perpaduan ummah itu tidak akan menjadi realiti jika tali pengikatnya bukan “Tali Allah”. Ini adalah syarat terpenting dan inilah asas keindahan yang dimaksudkan.

“Tali Allah” atau Islam adalah hanya sanya tali kukuh yang boleh menambat hati dan jiwa manusia untuk damai tanpa sengketa. Manusia tidak mungkin boleh ditambat dengan ideologi ciptaan manusia, wang ringgit, perkauman, isu politik, ekonomi dan lainnya.

Hanya Islam! Mengenepikan Islam maka terburai segalanya. Tidak mengambil Islam maka binasalah impian untuk bahagia, tenang, damai dan aman di dunia dan akhirat. Gagal mempraktiskan Islam dalam sistem kehidupan kita samada secara individu mahupun bernegara, maka binasalah peradaban dan gelaplah masa depan ummah.

Menolak dan menentang Islam adalah satu kezaliman yang mesti diperangi habis-habisan hingga ke akhir hayat. Mengaku tidak menentang Islam tetapi tidak mempraktiskan Islam malah terus kekal melakukan mungkar dan maksiat juga merupakan kezaliman yang wajar diperangi. 

Firman Allah;
وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ فَإِنِ انتَهَوْا فَلَا عُدْوَانَ إِلَّا عَلَى الظَّالِمِينَ
“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah (iaitu penentangan terhadap Islam), dan (sehingga) jadilah Agama itu hanya milik Allah. Kemudian jika mereka berhenti (dari menentang Islam) maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.” (surah al-Baqarah ayat 193)

Sekian.

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive