HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Tuesday, March 8, 2016

Ceritera Tun Mahathir

Gelombang Tun Dr Mahathir tidak sangat menarik minat awam justeru reputasinya sangat dipertikai. Apakah ia insaf dan sedar bahawa UMNO kini rosak? Atau sekadar beliau tidak berpuas hati dengan individu?
Pada tahun 1969 beliau dipecat dari UMNO kerana  menentang Tunku Abdul Rahman malah pada waktu itu beliau menggunakan pentas PAS  untuk menyambung hayat politiknya. Kemudian beliau kembali kepada UMNO apabila berakhir era Tunku.
Tahun 2008 beliau umum keluar UMNO kerana tidak berpuas hati dengan Tun Abdullah Badawi (Pak Lah). Kemudiannya beliau kembali semula kepada UMNO apabila Pak Lah berundur.
Tahun 2016 beliau keluar lagi UMNO dan kali ini kerana tidak berpuas hati dengan Dato’ Seri Najib orang pilihannya sendiri sewaktu menggantikan Pak Lah.
Berasaskan rekod ini, saya boleh andaikan bahawa Tun Dr Mahathir akan kembali kepada UMNO buat kesekian kalinya jika Dato Seri Najib berundur dan diganti dengan orang pilihannya seperti Tan Sri Muhyidin Yasin atau lainnya.

Persoalannya ialah, jika ini asas tindakan Tun Mahathir maka apakah gerakannya wajar disokong? Ya, saya lihat orang yang anti Najib mungkin akan sokong dengan harapan Najib berundur dan mereka pastinya akan kembali kepada UMNO selepas Najib berundur.

Katakanlah naik Tan Sri Muhyidin, apakah Tun Mahathir akan kekal menentang UMNO? Apakah penyokong Tun Mahathir akan terus menentang UMNO? atau Tun Mahahtir akan kembali kepangkuan UMNO? Berapa lama pula Tun Mahathir akan menyokong Tan Sri Muhyidin? 

Saya sendiri tidak yakin Tun Mahahtir akan bertahan lama untuk sokong Tan Sri Muhyidin, sebab Tun Mahathir mempunyai rekod menentang orang pilihannya sendiri.

Itu pun kalau naik Tan Sri Muhyidin. Kalau naik Dato’ Seri Zahid Hamidi? Bukan sahaja Tun Mahathir melopong sebaliknya semua kerja buat Tun Mahathir dan penyokong akan temui jalan buntu. Dalam masa yang sama tidak ada jaminan Dato’ Seri Zahid Hamidi lebih baik dari Dato’ Seri Najib.

Itu pun kalau Dato’ Seri Najib berundur dan akur desakan Tun Mahathir. Ia bergantung kepada berapa kuat desakan dan sokongan awam kepada perjuangan peribadi Tun Mahathir untuk menolak Dato’ Seri Najib.

Namun, saya seorang yang tidak berminat untuk menyertai perjuangan peribadi. Dia marah Dato’ Seri Najib mengukuhkan peribadinya dalam UMNO sedang dia sendiri jelas kelihatan berjuang untuk peribadi. Bukan menentang UMNO tetapi mahu mengukuhkan UMNO dengan menolak individu tertentu.

Apakah anda mahu bantu Tun Mahathir berjuang jatuhkan Dato’ Seri Najib supaya selepas ini UMNO kembali kukuh dan Tun Mahahtir kembali kepangkuan UMNO, terpulang lah. Itu selera politik masing-masing.

Kesempatan ini, saya mahu sebut juga sedikit untuk tatapan orang yang marahkan PAS kononnya PAS berbaik dengan UMNO, sebab itu PAS tidak mahu menyertai perjuangan peribadi Tun Dr Mahathir.
Mereka marah PAS kononnya PAS berbaik dengan UMNO, PAS sudah lupakah peristiwa memali? Suka saya sebut, Tun Mahathir lah bertanggungjawab kerana waktu itu beliau adalah Perdana Menteri. Sehingga hari ini belum kedengaran beliau mohon maaf.
Mereka marah PAS kononnya PAS berbaik dengan UMNO, PAS sudah lupakah pimpinan PAS terdahulu disumbat dalam ISA, dipenjara, dibelasah oleh FRU. Suka saya nyatakan bahawa Tun Dr Mahathir lah bertanggungjawab kerana waktu itu beliau adalah Perdana Menteri.
Mereka marah PAS kononnya PAS berbaik dengan UMNO, PAS lupakah kezaliman UMNO kepada rakyat marhaen selama ini? Suka saya ingatkan di sini bahawa Tun Dr Mahathir-lah bertanggungjawab kerana Beliau memimpin UMNO 22 tahun sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Pemerintahan Pak Lah tak sempat mencengkam. Pemerintahan Dato Seri Najib masih baru.
Akhirnya, suka saya sarankan kepada semua pihak, agar tidak menjadikan agenda peribadi sebagai propaganda perjuangan dan mengorbankan kepentingan awam. Jika ada sebuah keinsafan untuk berjuang, ayuh sertailah PAS untuk kita perbaiki diri, masyarakat dan negara dengan Islam yang diwahyukan oleh Allah. Justeru perjuangan kita bukan hanya untuk dunia kita bahkan kita perlu merancang untuk akhirat kita yang selamat dan bebas dari murka Allah.

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive