HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Showing posts with label Risalah Pemuda. Show all posts
Showing posts with label Risalah Pemuda. Show all posts

Saturday, March 26, 2016

Berpihaklah Kepada Kebenaran

Dunia Islam alami pelbagai zaman. Bermula zaman perang kabilah, perang antara negara, perang dunia, perang ekonomi, perang pemikiran, perang budaya dan kini perang cyber. Semuanya membawa satu matlamat iaitu memadam cahaya Agama Allah, dengan kelicikan strategi dan helah mereka seperti “divide and rule”, “character assassination” dan lainnya. Ini adalah suatu yang telah disahkan oleh Allah;
يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (surah al-Saff: ayat 8)
Hari ini jelas kelihatan samseng-samseng cyber dan “keyboard trouble” memenuhi segenap jalur dalam jaringan jalur lebar untuk menyebar virus fitnah, racun pembunuh karektor, melagakan pimpinan gerakan Islam, menghina alim ulamak, mempersenda syariat dan merosakkan maruah serta imej perjuangan Islam. Kerancakan serangan mereka makin menjadi-jadi di era Post Islamisme ini.
Pejuang Islam kena alert perkara ini. Kena sedar perancangan musuh dan sepak terajang mereka yang mahu merosakkan Islam. Kena ada tindakan positif dan efektif dari para pejuang Islam untuk “protect” jamaah Islam ini dari serangan virus tersebut. Kalau bukan pejuang Islam menjadi “firewall”nya maka siapa lagi? Ingat pesan Saidina Umar al-Khattab (athar ini disebut oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiah dalam Minhajus Sunnah dan Ibnu Qayyim di dalam al-Fawaid);
إنما تنقض عرى الإسلالم عروة عروة إّا نشأ في الإسلام من لم يعرف الجاهلية
“Akan terungkai ikatan Islam itu serungkai demi serungkai dari ummat Islam apabila merata dalam Islam ini mereka yang tidak mengenali (dan memahami) sepak terajang jahiliyyah (musuh).”

Justeru itu, sifat pejuang Islam ialah responsif secara positif dan efektif dengan bangkit pertahankan Islam, pertahankan alim ulamak yang memperjuangkan Islam dan membawa suara Islam meskipun berdepan dengan 1001 halangan. Jangan playsafe. Sampai bila nak diam? Saya terbaca dalam Kitab yang berjudul “Imam Ahmad ibn Hanbal : Baina Mehnat al-Din wa Mehnat al-Dunya” dimuatkan pesanan Imam Ahmad ibn Hanbal rahimahullah;
إذا سكت العالم تقية و الجاهل يجهل فمتى يظهر الحق
“Apabila diamlah orang yang mengetahui kerana taqiyah (playsafe) sedang orang yang tidak mengetahui terus dalam keadaan tidak mengetahui (jahil) maka bilakah kebenaran itu akan zahir?”

Lebih malang jika sikap tidak berpihak ini terbawa-bawa sampai ke peringkat “makan keliling”. Bertemu dengan kita, mereka berkata kami bersama kamu, jangan bimbang! Namun apabila mereka bersama syaitan-syaitan mereka, mereka berkata “kita serupa, di sana tadi kami hanya berolok-olok.” Sifat ini adalah percikan dari sifat munafik yang tidak wajar kita biarkan. Lihat bagaimana karektor munafiq dalam firman Allah;
وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آمَنُوا قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا إِلَىٰ شَيَاطِينِهِمْ قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ
“Dan apabila mereka (munafiq) bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata; Kami telah beriman, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula; Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman).” (surah al-Baqarah: ayat 14)

Jangan sampai sifat munafiq terpercik kepada kita. Hindarinya sejauh yang boleh. Sikap suka makan keliling ini adalah keji. “Kononnya nak jaga kawan sampai lupa nak jaga Islam”. Gejala ini berleluasa dan akhirnya menjadi fitnah kepada Islam. Lihat sahaja bagaimana aksi mereka. Mereka serang Islam dan alim ulamak bagai nak rak, tiba-tiba kita pula masih berada dalam “zon sangka baik” sokmo, zon playsafe, tidak mahu berpihak, kononnya kita mahu bersikap wara’ sedang mereka tidak pernah bersimpati sebaliknya terus menyerang tanpa henti. Cyber Trooper mereka membelasah dan mengganyang Islam dan para alim ulamaknya tanpa wisel pelerai. Di mana kamu wahai pejuang?! 
Pilihlah kebenaran dan berpihaklah kepada kebenaran.

Friday, November 27, 2015

PAN Sebagai Generasi Kedua Parti Islam?

Saya terpanar membaca kenyataan seorang tokoh PAN yang mendakwa parti itu sebagai generasi kedua parti Islam sebagaimana AKP di Turki, An Nahdah di Tunisia dan PKS di Indonesia. Jauh panggang daripada api untuk membayangkan sejarah gerakan Islam lain dengan kumpulan serpihan yang dirancang dengan konspirasi dan pengkhianatan terhadap kumpulan Islam yang sediada di tanah leluhur ini.

Teman-teman PAN perlu bercermin dengan sejarah yang lurus bahkan untuk anak-anak muda yang baru mengenali dunia amal Islami perlulah menekuni sejarah jatuh bangun gerakan Islam diseluruh dunia. PKS atau Parti Keadilan Sejahtera yang asalnya bermula dengan nama Parti Keadilan muncul selepas ruang demokratik yang terbuka luas pasca Reformasi Mei 1998 di Indonesia. Tanah seberang yang dijarah Belanda selama 350 tahun itu turut menyaksikan bagaimana MASYUMI atau Majlis Syura Muslimin Indonesia ditubuhkan pada tahun 1945 oleh Dr Mohamad Natsir.

MASYUMI yang menjadi pesaing kuat kepada PNI yang dipimpin oleh Ir Soekarno telah diharamkan oleh regim sehingga menumbuhkan beberapa lagi beberapa sepert gerakan Dewan Dakwah Islamiah Indonesia. Di zaman ORBA pula, hanya satu parti Islam yang dibenarkan bergerak iaitu PPP atau Partai Pembangunan Persatuan. Dengan tumbangnya Soeharto pada Mei 1998, ruang demokratik membuka seluas pintu untuk warga Indonesia berekspresi sebebasnya, termasuk ruang demokratik. Namun kegilaan baru tercetus apabila puluhan parpol bernuansa  Islam diwujudkan sehingga lemahkannya kesatuan ummah dan impaknya dapat dirasakan hari ini. Ummah berpecah merebut kek kekuasaan, ironisnya parti pragmatis sekular, bahkan parti berbasis kristian menyatukan kekuatan di negara paling ramai muslim dalam dunia itu. Kekalahan parpol-parpol Islam telah mengheret ummah dalam duka dan kerugian, lihatlah dasar pemerintahan Jokowi, juga Ahok di Jakarta.

AKP lahir melalui sejarah panjang perjuangan Islam di Turki,setelah jatuhnya Khilafah Uthmaniah yang pernah memayungi 600 tahun lebih bumi umat Islam. Kemunculan harakatul ummah seperti Jamaah an Nur yang diinspirasikan oleh tokoh pencerah Turki, Sheikh Badiuzzaman Said Nursi sentiasa digugat musuh. Berakar daripada gerakerja dakwah Jamaah an Nur melahirkan kemudiannya parti politik bernuansa Islam seperti parti Milli Salamah, seterusnya Refah, Fazilet Party.

Perpecahan Parti Fezilet telah memunculkan dua aliran sekolah pemikiran, AKP dan Saadet yang kini menyaksikan AKP sedang mendahului Saadet yang lebih puritan dan fundamentalis. Demografi negara Turki dengan euforia sekular yang masih kuat memungkinkan persaingan dimenangi oleh AKP berbanding Saadet. Realiti Turki yang serba pragmatis jauh berbeda dengan watan kita, dimana Islam diamalkan dengan lebih membumi dan mendalam.

An Nahdah pula menjadi pencabar regim Habib Bourguiba dalam dekad 1980an di negara yang sangat memusuhi amalan Islam. Rashid Ghanoushi, mantan penyokong aliran Sosialis telah menukar kiblat perjuangannya kepada seruan Islam yang syumul. Sosok hebat ini dengan pantas menyihir perhatian peserta  generasi kebangkitan Islam Tunisia dalam dasawarsa 80an, sehingga parti Islam an Nahdah telah diharamkan regim Baath . Lebih tiga ribu pimpinan serta pendokong an Nahdah mendekam dipenjara Tunisia, Ghanoushi mendapat suaka politik di London. Beliau kembali menjadi sebutan warga Tunisia pasca Arab Spring dan pulang kembali ke Tunisia seperti kesatria barisan hadapan.

Sesepuh hebat ini  menghidupkan kembali an Nahdah yang diharamkan dalam dekad 80-an serta reinkarnasi an Nahdah telah disambut dalam semarak kebangkitan rakyat pasca Arab Spring. An Nahdah dalam reinkarnasi baru ini mewajahkan mereka sebagai Islamis demokrat, meninggalkan wajah mereka dalam dekad 80-an. Seruan pemulihan sosio-ekonomi, tatakelola kerajaan yang baik, merapatkan jurang kaya miskin menjadi agenda an Nahdah dalam pusingan kedua ini.

Dimana PAN jika ingin dibandingkan dengan karektor dan sejarah tiga parti Islam tadi. Mereka lahir daripada kekalahan muktamar PAS ke 61 dengan membawa bagasi sejarah, mereka muncul dalam keadaan PAS masih utuh dengan dasar dan prinsip Islam. Dimana kesalahan syarak PAS untuk dirungkaikan intimak dan ketaatan kepada harakatul ummah itu? Untuk anak-anak muda kail panjang sejengkal yang tersihir dengan fenomena post-Islamism, lakukan sedikit kajian dan penelitian kalian. Negara ini sifatnya sangat fragile kondisi persaingan kuasa, PAN hanyalah percaturan belakang tabir yang akan hanya menguntungkan musuh-musuh Islam.titik!

Biodata Penulis

Dr. Riduan Mohamad Nor adalah AJK PAS Pusat dan AJK Lujnah Politik Pusat.

Tuesday, May 26, 2015

Risalah Dakwah. Siri 114 - Jangan Kecewa Dengan PAS

1
Dasar Perjuangan Parti Islam Se-Malaysia
Dasar perjuangan PAS ialah Islam dan ia tidak pernah berubah sehingga ke hari ini. Seusia saya menyertai PAS sejak zaman al Marhum Tuan Guru Hj Yusuf Rawa sebagai Yang Di Pertua PAS pada masa itu sehinggalah hari ini di bawah kepimpinan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS, nyata dasar dan prinsip perjuangan Islam terus diperkukuh dari masa ke semasa.
 
  • Perubahan pendekatan adalah berasaskan Feqhul Waqi' (Memahami Realiti) untuk meletakkan Islam senantiasa sesuai dengan zaman dan tempat yang ditempuhinya. Namun dasar dan prinsip perjuangan PAS tidak pernah digadai pajak meskipun seketika semata-mata memburu kemenangan dan meraih undi dalam pilihanraya.
  • Tiada yang mudah dengan perjuangan Islam ini. Jauh perjalanan dan getir pula laluannya. PAS sebagai sebuah wadah atau platform perjuangan Islam di Malaysia jua terpaksa menempuh situasi yang serupa. Ia adalah sunnah perjuangan Islam sepanjang zaman. Hayati Firman Allah swt :
لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَّاتَّبَعُوكَ وَلَٰكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
  • Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) adalah sesuatu faedah yang mudah  didapati, dan satu perjalanan yang hampir, nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi destinasi yang dituju itu terlalu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah lalu berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta. - Surah at Taubah: ayat 42
  • Apabila kita menyertai PAS, maka perlu kita sedari bahawa PAS bukan sekadar sebuah parti politik yang memburu cita-cita politik melalui peti undi dan pilihanraya semata-mata bahkan PAS adalah sebuah Gerakan Islam yang terus berjuang untuk menyelamatkan manusia dari perhambaan sesama hamba kepada memperhambakan diri kepada Allah swt dan memenangi pilihanraya itu sebahagian dari usaha PAS.
  • Justeru itu tiada istilah kecewa dan putus asa bagi perjuangan ini. Kemelut dalaman parti adalah ujian semasa daripada Allah swt buat para pejuang agamaNya disepanjang zaman. Sejak zaman Rasulullah saw. Baginda dan para sahabat sering diuji Allah swt dengan masaalah dalaman dan fitnah yang ditiup oleh munafiq dari dalam kelompok Islam. Ia adalah ibtila' (ujian) yang mesti ditempuh oleh insan bergelar pejuang. Firman Allah swt :
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّىٰ نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ
  • Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan berita tentang keadaan kamu. - Surah Muhammad: ayat 31
Sekian.

Sunday, January 16, 2011

Media Baharu: Peranan Dan Cabarannya Terhadap Gerakan Islam

Media baharu adalah istilah yang dimaksudkan untuk mencakup kemunculan digital, komputer, atau jaringan teknologi informasi dan komunikasi di akhir abad ke-20. Sebahagian besar teknologi yang digambarkan sebagai ‘media baru’ adalah digital, seringkali memiliki karakteristik dapat dimanipulasi, bersifat jaringan, padat, mampat, interaktif dan tidak memihak. Beberapa contoh adalah seperti internet, website, blog, facebook, computer, multimedia, permainan komputer, CD-ROMS, dan DVD. Media baru bukanlah television, filem, majalah, buku atau publikasi berasaskan kertas. (sumber: Wikipedia)

Gerakan Islam adalah istilah yang dimaksudkan bagi satu amal Islami berterusan yang bersifat massa, berkumpulan dan tersusun demi mengembalikan hak agama Islam untuk memimpin masyarakat dan mengarah seluruh kehidupan.

Khalayak pengguna Facebook agak tergamam, kecewa dan keliru apabila dikhabarkan bahawa pengasas facebook, Mark Zuckerberg akan menutup media jaringan sosial paling popular itu pada pertengahan Mac 2011 nanti. Khabar angin yang sentiasa mewarnai alam media baharu itu mungkin sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu untuk melihat sejauh manakah kebergantungan masyarakat dunia terhadap peranan media baru di dalam kehidupan mereka.

Ini adalah satu contoh keadaan kalut yang menggambarkan betapa besarnya peranan media baru dalam mencorak pemikiran dan pergerakan manusia moden hari ini. Hakikatnya, seluruh dunia begitu terkesan dengan peranan media baharu terutama di dalam menggerakkan golongan ‘middle class’ untuk merobohkan tembok penguasaan kelas atasan/pemerintah di dalam menentukan politik dan hala tuju sesebuah negara.

Sebagaimana media baharu telah menjadi senjata ampuh yang mencabar dan mengancam kerajaan dan anti-establishment, ia juga turut mengundang isu yang sama terhadap Gerakan Islam yang berada di tengah-tengah medan pertarungan merebut teraju kepimpinan manusia.

Artikel ini ditulis secara sepintas untuk melihat bagaimanakah peranan dan cabaran media baru terhadap oleh Gerakan Islam dan langkah-langkah yang perlu diambil demi memastikan media baru bertindak sebagai senjata yang menghunus untuk mereka, bukan ke atas mereka.

Cabaran Media Baharu Terhadap Gerakan Islam

Berikut adalah beberapa cabaran yang bersifat ancaman yang akan memberikan kesan buruk dan negatif terhadap misi dan momentum gerakan Islam di persada masyarakat. Ia juga turut memalit pandangan negatif terhadap para amilin Gerakan Islam;
  1. Lahirnya kelompok Muslim yang merajakan kefahaman liberal dan kebebasan hidup mengikut perspektif Barat. Ia adalah kesan daripada sekurang-kurangnya dua faktor: Pertama, rasa bosan dan ingin bebas daripada budaya politik mengongkong pemerintah. Kedua, rasa kagum dan terima kasih terhadap dunia barat yang mempromosikan hak dan kebebasan hidup melalui media baharu.
  2. Lahirnya kelompok Muslim yang secara bebas, terbuka dan tidak terkawal di dalam mengkritik, bahkan mempersendakan perkara-perkara pokok dan suci di dalam agama. Fenomena kotor ini begitu mempengaruhi tahap sensitiviti umat Islam yang semakin rendah, terutama di kalangan golongan muda dan pertengahan yang begitu terpengaruh dengan budaya baru canangan media baharu tersebut.
  3. Menambahkan kekeliruan masyarakat non-muslim terhadap agama Islam dan para pejuangnya, terutama pengenalan mereka terhadap agama Islam yang disalah-ertikan. Ini juga disebabkan oleh dua faktor utama; Pertama, mereka lebih rapat kepada rakan-rakan muslim berfahaman liberal yang salah. Kedua, mereka lebih terdedah kepada maklumat-maklumat mengenai Islam daripada sumber-sumber yang salah.
  4. Hilangnya populariti terhadap media baharu dan alternatif Islam disebabkan paparan dan hasilan ‘kurang menyengat’ oleh pengamal media baharu muslim. Fenomena ini begitu dilihat apabila portal-portal berita faham liberal jauh mendahului saingannya dari portal-portal berita bersifat Islamik. Pattern ‘sentiasa terkebelakang’ atau ‘memegang ekor kerbau’ yang sinonim dengan umat Islam pastinya menambah burukkan lagi persepsi massa terhadap keupayaan Islam untuk memimpin.
  5. Hilangnya minat, pengaruh dan sokongan golongan muda terhadap gerakan Islam dan programnya disebabkan minat mendalam mereka terhadap media baru yang begitu dikuasai kumpulan bukan Islamik. Ini dapat dikesan melalui kurangnya populariti ikon dan qudwah Islami di mata golongan muda hari ini.
  6. Budaya akhlak yang agak liar dan buruk yang mewarnai amalan interaksi di dalam media baru akibat pengaruh budaya kebebasan bersuara acuan barat melaluinya. Budaya tidak berakhlak mulia ini akhirnya telah menimbulkan polemik, caci maki dan fitnah yang boleh memporak perandakan institusi kehidupan masyarakat Islam.
  7. Kebocoran maklumat dan kerahsiaan dalaman Gerakan Islam yang begitu mudah, cepat dan meluas. Walaupun fenomena ini melampaui tidak hanya ke atas gerakan Islam sahaja, bahkan kepada seluruh pertubuhan dan kerajaan (contohnya fenomena Wikileaks), tetapi ia telah memberi kesan yang besar kepada keutuhan gerakan Islam yang mementingkan etika dan adab kerahsiaan dalam jamaah.
  8. Kegagalan kumpulan Islam untuk mengelak diri atau mengawal diri daripada mendedahkan perselisihan di antara mereka melalui media baharu, sama ada ianya bersifat perselisihan individu di dalam jamaah ataupun di antara kumpulan yang berlainan. Jika sebelum ini perselisihan dalaman hanya pecah di dalam dan mudah diuruskan, tetapi kini ia dilihat agak sukar akibat ‘kegatalan’ pengamal media baharu untuk sentiasa mendahului di dalam penyampaian berita dan maklumat sensasi.
Goncangnya ‘keperibadian muslim’ Gerakan Islam dengan lahirnya ahli-ahli yang agak longgar ikatannya dengan adab dan akhlak amilin Gerakan Islam. Lahirnya, melalui media baru, budaya mengkritik kepimpinan yang agak melampau, hilangnya budaya thiqah di antara pemimpin dan anak buah, tersisihnya keluhuran budaya wala’ dan taat dan melebarnya jurang perselisihan di antara individu jamaah pasti akan mengakibatkan binaan Islami yang semakin merapuh di dalam gerakan Islam.

Cabaran-cabaran yang bersifat ancaman dari media baharu ke atas gerakan Islam sebagaimana di atas menunjukkan betapa besarnya peranan media baru dan hubungannya di dalam memastikan momentum gerakan Islam di dalam menguasai massa dan seterusnya mencapai misi menerajui kepimpinan negara.

Justeru adalah menjadi tuntutan yang begitu mendesak ke atas Gerakan Islam dan pekerjanya untuk menutupi segala kekurangan dan kelemahan yang dikesan akibat kelahiran media baharu, seterusnya menjadikannya pula sebagai senjata ampuh bagi gerakan Islam di dalam meraih pengaruh dan sokongan masyarakat terhadap mereka.

Gerakan Islam dan Peranan Media Baharu

Berikut adalah beberapa cadangan yang menjadi cabaran positif untuk Gerakan Islam yang perlu dinilai, seterusnya dilaksanakan demi memanfaatkan kemudahan teknologi media baharu demi kebaikan dan kekuatan Gerakan Islam;
  1. Melahirkan atau memanfaatkan tenaga mahir daripada kalangan aktivis Gerakan Islam yang berupaya mengurus dan mencipta sesuatu melalui media baru yang mampu menarik masyarakat untuk mendekati dan memahami Islam, seterusnya mendapat sokongan mereka.
  2. Mewujudkan beberapa tapak di laman sesawang yang sempurna dan menarik untuk kunjungan ramai para pengguna media baharu, terutama generasi muda di dalam mendapatkan maklumat tepat, terkini, alternatif, interaktif dan menarik. Ini pastinya menuntut komitmen dan sumber kewangan yang besar, tetapi itu sepatutnya tidak boleh menjadi halangan yang besar kepada sebuah gerakan yang masih ketinggalan di dalam bidang penting ini.
  3. Mengendalikan Facebook atau Twitter bersifat portal berita yang sentiasa dikemaskini dengan maklumat-maklumat menarik dalam genre dipelbagaikan. Juga, kempen-kempen yang berterusan untuk menarik jumlah ‘fans’ yang mencecah ratusan ribu. Sebagai contoh, Facebook ‘Pemuda PAS Malaysia’ dan ‘harakahmuda’ yang telah diusahakan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia hendaklah diperkasakan dengan pemberitaan yang segera dan pelbagai. Ini memandangkan minat dan ‘kegilaan’ yang begitu ketara di kalangan anak muda terhadap penggunaan kedua-dua tapak tersebut.
  4. Sentiasa mampu menyediakan jawaban yang segera daripada sudut pandang Islam terhadap segala isu msyarakat dan negara yang sentiasa dinantikan. Maka media baru akan menjadi instrumen dakwah yang cukup berkesan.
  5. Tenaga amilin (sepenuh masa) yang khusus untuk menumpukan sepenuh masanya untuk mengendalikan projek media baharu.
  6. Menyebarkan maklumat dan aktiviti lapangan Gerakan Islam secara berterusan dan menarik. Di antara aktiviti yang perlu ditonjolkan adalah yang bersifat kebajikan dan hiburan Islam, selain aktiviti dan pendirian politik Islam.
  7. Sentiasa menonjolkan akhlak Islam yang konsisten di dalam penyebaran maklumat dengan menjauhi penyebaran fitnah, penghinaan terhadap individu, humor melampau dan sebagainya.
  8. Sentiasa menyebarkan akhlak Islam dan berpesan agar pengguna media baru terdidik dengan budaya Islam yang mementingkan akhlak yang cemerlang.
Dengan melaksanakan tuntutan di atas ke arah penggunaan media baharu secara berkesan oleh Gerakan Islam, segala ancaman dan serangan ke atas Islam akan dapat diatasi dengan lebih baik dan terkawal. Ia menjadi cabaran besar ke atas aktivis gerakan Islam untuk menyempurnakan kewajiban tersebut yang menuntut pengorbanan harta, tenaga dan pemikiran.

Penutup

Peranan besar media baharu di dalam mencorak pemikiran masyarakat haruslah dilihat secara positif oleh Gerakan Islam. Kita terpaksa mendepani kemajuan sains dan teknologi maklumat secara lebih berani dan bersedia. Di hujungnya, kita berharap untuk melihat media baru akan menjadi senjata utama memartabatkan perjuangan gerakan Islam untuk mengembalikan hak Islam sebagai agama rasmi dari langit untuk menyusun kehidupan manusia, khalifah Allah di bumi ini. Media baharu mestilah dianggap senjata Allah untuk khalifah-Nya di medan juang.

“Murnikan Perjuangan, Maknakan Kemenangan”

Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Pengerusi Akademi Tarbiyah DPP Pusat
(Dibentangkan untuk Himpunan Dunia Media Baru)

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive