PAN Sebagai Generasi Kedua Parti Islam?
Saya terpanar membaca kenyataan seorang tokoh PAN yang mendakwa parti itu sebagai generasi kedua parti Islam sebagaimana AKP di Turki, An Nahdah di Tunisia dan PKS di Indonesia. Jauh panggang daripada api untuk membayangkan sejarah gerakan Islam lain dengan kumpulan serpihan yang dirancang dengan konspirasi dan pengkhianatan terhadap kumpulan Islam yang sediada di tanah leluhur ini.
Teman-teman PAN perlu bercermin dengan sejarah yang lurus bahkan untuk anak-anak muda yang baru mengenali dunia amal Islami perlulah menekuni sejarah jatuh bangun gerakan Islam diseluruh dunia. PKS atau Parti Keadilan Sejahtera yang asalnya bermula dengan nama Parti Keadilan muncul selepas ruang demokratik yang terbuka luas pasca Reformasi Mei 1998 di Indonesia. Tanah seberang yang dijarah Belanda selama 350 tahun itu turut menyaksikan bagaimana MASYUMI atau Majlis Syura Muslimin Indonesia ditubuhkan pada tahun 1945 oleh Dr Mohamad Natsir.
MASYUMI yang menjadi pesaing kuat kepada PNI yang dipimpin oleh Ir Soekarno telah diharamkan oleh regim sehingga menumbuhkan beberapa lagi beberapa sepert gerakan Dewan Dakwah Islamiah Indonesia. Di zaman ORBA pula, hanya satu parti Islam yang dibenarkan bergerak iaitu PPP atau Partai Pembangunan Persatuan. Dengan tumbangnya Soeharto pada Mei 1998, ruang demokratik membuka seluas pintu untuk warga Indonesia berekspresi sebebasnya, termasuk ruang demokratik. Namun kegilaan baru tercetus apabila puluhan parpol bernuansa Islam diwujudkan sehingga lemahkannya kesatuan ummah dan impaknya dapat dirasakan hari ini. Ummah berpecah merebut kek kekuasaan, ironisnya parti pragmatis sekular, bahkan parti berbasis kristian menyatukan kekuatan di negara paling ramai muslim dalam dunia itu. Kekalahan parpol-parpol Islam telah mengheret ummah dalam duka dan kerugian, lihatlah dasar pemerintahan Jokowi, juga Ahok di Jakarta.
AKP lahir melalui sejarah panjang perjuangan Islam di Turki,setelah jatuhnya Khilafah Uthmaniah yang pernah memayungi 600 tahun lebih bumi umat Islam. Kemunculan harakatul ummah seperti Jamaah an Nur yang diinspirasikan oleh tokoh pencerah Turki, Sheikh Badiuzzaman Said Nursi sentiasa digugat musuh. Berakar daripada gerakerja dakwah Jamaah an Nur melahirkan kemudiannya parti politik bernuansa Islam seperti parti Milli Salamah, seterusnya Refah, Fazilet Party.
Perpecahan Parti Fezilet telah memunculkan dua aliran sekolah pemikiran, AKP dan Saadet yang kini menyaksikan AKP sedang mendahului Saadet yang lebih puritan dan fundamentalis. Demografi negara Turki dengan euforia sekular yang masih kuat memungkinkan persaingan dimenangi oleh AKP berbanding Saadet. Realiti Turki yang serba pragmatis jauh berbeda dengan watan kita, dimana Islam diamalkan dengan lebih membumi dan mendalam.
An Nahdah pula menjadi pencabar regim Habib Bourguiba dalam dekad 1980an di negara yang sangat memusuhi amalan Islam. Rashid Ghanoushi, mantan penyokong aliran Sosialis telah menukar kiblat perjuangannya kepada seruan Islam yang syumul. Sosok hebat ini dengan pantas menyihir perhatian peserta generasi kebangkitan Islam Tunisia dalam dasawarsa 80an, sehingga parti Islam an Nahdah telah diharamkan regim Baath . Lebih tiga ribu pimpinan serta pendokong an Nahdah mendekam dipenjara Tunisia, Ghanoushi mendapat suaka politik di London. Beliau kembali menjadi sebutan warga Tunisia pasca Arab Spring dan pulang kembali ke Tunisia seperti kesatria barisan hadapan.
Sesepuh hebat ini menghidupkan kembali an Nahdah yang diharamkan dalam dekad 80-an serta reinkarnasi an Nahdah telah disambut dalam semarak kebangkitan rakyat pasca Arab Spring. An Nahdah dalam reinkarnasi baru ini mewajahkan mereka sebagai Islamis demokrat, meninggalkan wajah mereka dalam dekad 80-an. Seruan pemulihan sosio-ekonomi, tatakelola kerajaan yang baik, merapatkan jurang kaya miskin menjadi agenda an Nahdah dalam pusingan kedua ini.
Dimana PAN jika ingin dibandingkan dengan karektor dan sejarah tiga parti Islam tadi. Mereka lahir daripada kekalahan muktamar PAS ke 61 dengan membawa bagasi sejarah, mereka muncul dalam keadaan PAS masih utuh dengan dasar dan prinsip Islam. Dimana kesalahan syarak PAS untuk dirungkaikan intimak dan ketaatan kepada harakatul ummah itu? Untuk anak-anak muda kail panjang sejengkal yang tersihir dengan fenomena post-Islamism, lakukan sedikit kajian dan penelitian kalian. Negara ini sifatnya sangat fragile kondisi persaingan kuasa, PAN hanyalah percaturan belakang tabir yang akan hanya menguntungkan musuh-musuh Islam.titik!
0 comments:
Post a Comment