HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Wednesday, July 21, 2010

Perpaduan Melayu: PAS Tidak Perlu Defensif

1. Sehari dua ini isu Perpaduan Melayu seperti "ibu pelaris" bagi media di pasaran . Pelbagai pandangan dan idea dapat dilihat ketika mengulas isu ini . Samaada melewati media arus perdana , media milik parti masing - masing ataupun di media baru [alternatif] .

2. Ada yang setuju 100% tanpa syarat , ada yang tidak setuju 100% tanpa ruang , ada yang setuju tetapi bersyarat .

3. Saya sendiri mempunyai pandangan peribadi dalam perkara ini dan saya jangka pandangan saya bertepatan dengan semangat perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS . Terdahulu telah saya nukilkan sebahagian pandangan saya melalui posting saya sebelum ini . [klik]

[ Tetapi secara officialnya pandangan saya tidak mewakili parti secara rasmi ] . Justeru itu saya bersedia untuk berdepan dengan pandangan yang berbeza , penuh hormat dan sangka baik .

4. Asasnya saya dirikan pandangan itu bukanlah lahir dari congakkan idea tanpa saya meneliti dan memerhati suara orang ramai terutama mereka [ orang awam ] yang saya temui setiap kali selesai menyampaikan kuliah di masjid dan surau saban hari . Akhirnya rumusan yang saya buat ialah :
  • Ummat Islam mesti bersatu . Rata - rata ummat Islam ialah melayu . Secara mantiqinya ialah melayu mesti bersatu . Namun bersatu atas flatform atau premis Islam . Islam menjadi syarat . Justeru itu saya sangat tidak bersetuju dengan anjuran perpaduan tanpa syarat . Perpaduan itu hanya berjaya dan diredhai oleh Allah swt apabila diikat dengan syarat Islam.
  • Semua pihak mesti kembali kepada Islam . Ayat al Quran yang menganjurkan perpaduan ummah ini telah wujud sejak awal sebelum lahirnya parti - parti politik dalam negara kita . Aus dan Khazraj satu bangsa yang bertelagah di bumi Madinah sejak puluhan malah ratusan tahun . Namun ia disatukan oleh Rasulullah saw dengan kalimah Toiyyibah Laa Ilaahaillallah .
  • Bangsa , material dan kuasa tidak boleh dijadikan premis kukuh untuk perpaduan ummah . Sayang bangsa namun binalah bangsa itu atas agama dan syariat Islam . Sayang material tetapi kawallah material itu dengan kawalan agama dan syariat Islam . Sayang kuasa tetapi bentuklah kuasa itu dengan acuan agama dan syariat Islam .
  • Seperkara lagi ialah , kalau kita bercakap soal perpaduan , kita tidak boleh hanya bercadang untuk bersatu sesama kita bangsa melayu atau ummat Islam sahaja , sementelah lah perpaduan sesama ummat Islam itu hukumnya wajib, tetapi juga mesti ada plan dan perancangan berperingkat untuk bersatu bagi semua bangsa dan kaum , juga berteraskan ajaran Islam [ dalam erti kata lain , melibatkan semua parti bukan antara PAS dan UMNO sahaja dan PAS sekali - kali tidak akan keluar dari PAKATAN Rakyat] . Samaada mereka menganut ajaran Islam [menjadi saudara baru] atau mereka kekal dengan agama mereka tetapi menerima dasar kebaikan dan keadilan yang dibawa oleh Islam .
5. UMNO hulur dan tawarkan perpaduan kepada kita . Saya sarankan agar kita [ PAS ] tidak perlu menolak tawaran itu . Terimalah tawaran untuk perpaduan ummah kerana kita tidak mahu perpecahan , tetapi kita WAJIB letak syarat iaitu Islam . Kerana tanpa Islam , tawaran perpaduan itu sia - sia lantaran ia tidak mungkin dapat dibina dengan baik dan kukuh . Masih segar dalam ingatan saya malah selalu terngiang - ngiang di telinga saya , apabila al Mursyidul Aam PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan segala kerendahan dirinya berkata : "Kalau UMNO terima Islam, PAS ni tak ada pun tak apa !"

6. Dalam kenyataan lain pula , Tuan Guru Nik Abdul Aziz selalu mengulang pendiriannya : "Kalau UMNO terima Islam sebagai dasar perjuangan parti mereka, kita bubar PAS" cuma mungkin saya berbeza sikit dengan Tuan Guru dalam menyusun ayat tersebut . kalau boleh saya sebut: "Kalau UMNO terima Islam sebagai dasar perjuangan parti mereka , maka bubarlah UMNO , Jom sertai PAS" sebab , masa tu perjuangan UMNO dan PAS telah serupa dan sama . Kalau bubar PAS yang telah sekian lama dibina dengan sistem Islam dan tarbiyyahnya , ikhlasnya saya sebut ia akan merugikan masa kita , kerana membina UMNO baru yang belum memiliki sistem tarbiyyah islamiyyah , akan memakan masa yang lama untuk menjadikan ia mantap .

7. Saya sebut kepada umum dan juga wartawan yang bertanya , jika UMNO ikhlas dan serius mahukan perpaduan sebagaimana tawaran yang berikan , maka sewajarnya UMNO menerima syarat yang diberikan iaitu Islam . Apakah UMNO sukar untuk menerima Islam ? Apakah payah UMNO mahu menerima syarat Islam ? Bukankah pemimpin dan rata - rata ahli UMNO adalah beragama Islam ? Kita bukan letak syarat supaya UMNO bubarkan partinya , cuma kita minta supaya UMNO menerima Islam sebagai dasar perjuangan . Sukarkah begitu ? Kalau sukar , maka sukarlah kita ummat Islam mahu bersatu.

8. Saat itu , jangan lagi dituding PAS tidak mahu perpaduan ! PAS punca perpecahan ! dan sebagainya . Kerana kita mahukan perpaduan . Kita mahu supaya ummat melayu bersatu padu atas dasar Islam dan perjuangannya. Kerana nas al Quran pun kata begitu , bidalan orang - orang tua pun kata begitu . [ Bersatu teguh bercerai roboh ] . Masa tu , jangan sesiapa mengatakan PAS tidak mahu bersatu padu . Bahkan yang tidak mahukan perpaduan ialah UMNO semata - mata kerana tidak mahu menerima syarat mudah yang kita letakkan iaitu Islam .

9. Saya mendoakan agar UMNO menerima Islam . Apabila UMNO menerima Islam maka itu tali Allah yang akan mengikat kita menjadi satu dan kuat . Saya tidak suka UMNO bukan semata - mata kerana namanya UMNO , tetapi kerana dasarnya yang tidak Islam malah banyak perkara bertentangan dengan Islam . Selama UMNO tidak menerima Islam , maka selama itu saya tidak boleh suka dan tidak boleh sokong UMNO . Bukan saya tidak mahu sokong UMNO tetapi saya TIDAK BOLEH sokong UMNO kerana ia tidak menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya .

10. Jika UMNO insaf dan kembali kepada dasar dan prinsip Islam lalu menjadikan Islam sebagai asas perjuangannya . Melaksanakan al Amru bil Makruf dan an Nahyu anil mungkar yang menjadi sebahagian teras syariat Islam dan berjuang untuk mendaulatkan syariat Islam di dalam negara ini , maka pada waktu itu saya berjanji , saya akan sokong perjuangan UMNO .

Akhirnya . UMNO hanya berdepan dengan syarat mudah untuk menjayakan tawaran perpaduannya itu . Syarat yang saya maksudkan ialah ISLAM . Bagi pihak PAS pula , saya sarankan agar tidak perlu defensif dengan isu perpaduan melayu yang rata - ratanya adalah ummat Islam . Bukan sahaja Dato' Harussani bahkan siapa jua boleh mengusahakan usaha murni mewujudkan perpaduan ummat Islam dalam negara kita selama mana syarat Islam itu menjadi prinsip . Kerana segala usaha hanya menjadi murni dan mulia jika kerana Islam . Kalau tidak menerima Islam ini sebagai syarat , segala cita - cita untuk bersatu itu berkecai . Orang putih kata : No Islam No talk !


Post a Comment

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 018 590 8890
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Follow by Email

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive